Bab 2 kau yang pernah pergi

Romance Series 10412

"Kau sudah kehilangan akal! Itu adikmu! Adikmu!"

"Kau mahu aku merestui hubungan kalian? Baiklah tapi kau sudah berfikir sebetulnya soal Mami mu? Apa kau bersedia untuk mati?"

Ren berdiri teguh di hadapan kubur yang baru ditimbus. Tanah merah yang dihiasi bunga itu basah kerana hujan. Dia berdiri kaku dengan kedua tangan di hadapan. Hujan baru saja mereda namun payung yang dipegang Jake masih utuh melindunginya.

"Tinggalkan aku sebentar... Kalian boleh tunggu aku di luar." Suaranya kedengaran tanpa berpaling.

"Baik, Tuan." Hazel, Jake dan Aaron serentak menjawab. Mereka berlalu meninggalkan Ren keseorangan. Lelaki itu kemudiannya berjongkok, menghela nafas berat, menatap gundukan tanah itu.

"Kalau dulu kau tidak menyelamatkan aku, pasti tempat kita bertukar. Tempatmu di sini, di atas tanah ini. Sementara aku yang di dalam.

"Apa kau bahagia melihat aku menanggung rasa benci kepadamu sampai ke detik ini? Mungkin rasa benci ini akan kekal sehingga aku mati."
Ren mendengus, menyindir si mati yang tidak akan mendengarnya. Dia tersenyum sinis dengan rasa perit hatinya.

"Apa kau fikir aku akan bahagia setelah apa yang terjadi? Tidak, Daddy. Tiada doa yang akan aku iringkan untukmu kecuali kata-kata nista yang aku titipkan. Jadi, selamat tinggal. Semoga bertemu di neraka."

Ren bangkit, berdiri menjulang dengan tatapan masih belum terlerai. Dirasakan penuh angkuh. Orang yang mati itu tidak akan kembali, urusannya di dunia ini sudah tiada lagi. Kotak rokok dikeluarkan dari poket. Dia tidak peduli jika kelihatan tidak beradab, persetankan mereka yang pernah membuat dia terluka.
And he wished them hell-all of them.

*****
Bagasi roda berputar-putar akibat ditarik, semakin lama semakin laju. Sedikit berlari tatkala melihatkan waktu yang sudah lewat, jarum pendek sudah menunjukkan angka 8. Perjalanan 14 jam dari London ke Kuala Lumpur sepatutnya membuat dia kelelahan tapi hatinya dilanda risau. Perkhabaran tentang kematian Daddy membuat dia mengambil keputusan untuk terus terbang meninggalkan tanah tempat dia mencari rezeki.

"Nak Adelia." Tangan itu melambai-lambai ke arahnya. Terus dia berlari keluar dari balai ketibaan mendapatkan lelaki dengan tubuh sedikit berisi. Palang besi yang menghalang mereka terus dielak, Adelia serta-merta meraih tangan tua itu lalu mengecupnya.

"Pak Hassan sihat?" Tanya Adelia kepada pemandu keluarganya itu.

"Sihat, Nak Adel. Kamu sihat?"

"Makin gemuk, Pak." Mereka tertawa nipis dengan jenaka yang bersahaja.
Adelia mencari-cari kelibat yang lain namun tiada. Nampaknya Pak Hassan seorang yang datang menyambutnya pada malam ini. Dia sendiri sudah boleh teka kalau yang lain lebih sibuk berurusan untuk majlis pengkebumian.

"Majlis tahlil mula pukul berapa, Pak?" Tanya Adelia sambil mengira masa.

"Lepas Isya'."

Adelia menggumam. Mungkin dia akan sampai lebih lewat. Perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur pun akan mengambil masa lebih daripada 30 minit. Kalau Pak Hassan laju, mungkin kurang daripada itu. Tapi Adelia sudah tahu, lelaki ini tidak akan bawa lebih dari 80km/j.

"Nak Adelia nak pergi mana-mana dulu ke sebelum kita balik?" Tanya Pak Hassan. Adelia menggeleng laju. Sebaiknya dia terus pulang, pasti Ibu dan yang lain sedang menunggu.

"Tak perlu. Saya rasa sebaiknya kita terus balik."

Pak Hassan mengangguk menerima arahan daripada anak perempuan arwah majikannya itu.

Lelaki itu membantu menarik bagasi Adelia, hanya bersaiz kecil. Menduga sepertinya dia tidak akan lama di Malaysia.

5 tahun sudah dia tinggalkan negara ini. Bau udaranya masih sama, hangatnya juga sama tapi hati Adelia masih belum menghangat. Bertemu dengan mereka dalam suasana sebegini tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Sepatutnya bertemu dalam rasa cinta tapi rasa duka yang menyelinap membelit jiwa.

Sekurangnya London memberi Adelia sedikit ketenangan walaupun nyatanya hati itu sudah lupa cara untuk bahagia. Mengharapkan hujan emas untuk membuat hatinya membaik dibandingkan dengan hujan batu yang menyebabkan dia memilih untuk berlari.

"Perjalanan tadi okay?" Tanya Pak Hassan lalu memasukkan bagasi ke dalam bonet.

"Semuanya lancar cuma saya sikit risau kalau tak sempat datang malam ni." Balas Adelia yang memilih untuk duduk di tempat penumpang hadapan.

Tiada lagi soalan. Adelia juga lelah.
Diam dipilih untuk menjadi teman perjalanan. Dibiarkan kepalanya menerawang jauh.

Kereta meluncur laju di atas jalan raya, membawa mereka ke destinasi yang dituju. Dadanya berdebar saat melihatkan kediaman Boris Gajendra dibanjiri oleh tetamu yang hadir. Matanya menangkap sosok lelaki-lelaki tegap yang berpakaian seperti pengawal berdiri di hadapan pintu pagar.

Adelia menggigit bibir, "Apa dia ada di sini?" Getus hatinya. Dalam diam dia cuba mencari sosok lelaki yang paling dia mahu hindari. Lelaki yang menyebabkan dia memilih untuk pergi. Lelaki yang membuat hidupnya seperti di dalam penjara sepanjang 5 tahun ini tapi dia adalah lelaki yang paling dirindui.

"Kita dah sampai." Ucapan Pak Hassan menyentakkan Adelia. Dia tersenyum kelat sebelum mengucapkan terima kasih. Adelia menarik selendang yang di atas bahu naik ke atas kepala, dibuka pintu kereta dengan berhati-hati. Semua pandangan tertancap kepadanya. Ada wajah-wajah yang Adelia tidak kenali, ada pun wajah yang dia pernah nampak namun tidak cukup untuk dipanggil sebagai teman.

"Kak Adel!" Adelia memusingkan badan, ternampak seorang gadis lingkungan 15-16 tahun berlari ke arahnya. Adelia menguntumkan senyuman sebelum gadis itu menjatuhkan badan untuk memeluk Adelia.

"Rindunya dekat Dina!" Adelia memeluk Dina erat.

"Dina rindu Kak Adel juga." Kedua sepupu itu mengoyangkan badan ke kiri dan ke kanan menikmati kehangatan. Sesekali tawa kecil mereka berpadu.

"Mama dengan Ibu mana Dina?" Adelia melepaskan pelukan mencari kelibat orang tuanya. Dalam pada masa yang sama dia cuba mencari kelibat lelaki yang difikirkan tadi.

"Semua ada dekat dalam. Jom masuk."

"Dina," Adelia serta-merta menghentikan Dina yang menarik tangannya.

"Abang Ren ada?" soalnya.

Dina tersenyum lembut.

"Abang Ren dekat belakang. Jom masuk."
Adelia menggigit bibir. Di antara risau dan teruja, dia tahu lambat-laun mereka akan dipertemukan kembali.

Lelaki itu hanya memerhatikan Adelia dari kejauhan. Meneliti perempuan itu dari atas sehingga bawah. Dia menghela nafas berat. Rokoknya dimatikan, pandangannya kelam. Fikirannya menerawang.

"Adel cantik tak?'"
"Cantik... teman wanita aku tercantik di dunia. Hadiah dari syurga!"

"Cantik..." Bisiknya perlahan disela getaran di dada.

*****
Ayat-ayat suci berkumandang bergema di seluruh ruang tamu, Ibu masih tersengguk-sengguk menangis sambil ditenangkan oleh Mama Long. Adelia datang mendekat lalu mengambil tempat di sebelah ibunya.

"Ibu..." Adelia menyentuh perlahan bahu tua itu. Wajah Ibu sedikit terkejut lalu meraih Adelia ke dalam pelukan. Tangisan kesedihan dan tangisan kesyukuran juga berpadu, membuat wanita tua itu separuh berteriak. Anak yang sudah lama meninggalkan akhirnya kembali.

Keduanya berpelukan erat dengan isakan yang makin kuat. Mama Long dan Dina cuba menenangkan mereka berdua.

"Adel minta maaf, Bu" Satu kecupan diberikan di dahi Ibu. Ibu menggosok belakang badan Adelia untuk menenangkan puterinya.

"Alhamdulillah Ibu bersyukur Adel dah sampai. Itu yang paling penting." Balas Ibu dengan isakan tersisa. Matanya masih sembab dengan tangisan yang tidak berhenti.

Lebur rasa rindu untuk si Ibu yang sudah dipendam selama bertahun. Adelia punya alasan untuk tidak kembali dalam tempoh 5 tahun ini, dia belum cukup kuat untuk berhadapan dengan semua orang. Daddy, Ibu...Ren. Terutamanya Ren, Adelia jamin kalau lelaki itu tidak akan sudi memandangnya walaupun sekali.

"Auntie," Suara lembut itu membuat Adelia tersentak. Wanita yang pernah muncul di antara dia dan Ren itu kini melutut di hadapan Ibunya. Adelia memalingkan muka, tidak sudi untuk memandang.

"Catherine, kamu dah makan?" Tanya Ibu prihatin. Tunangan anak tirinya itu menggeleng. Raut cantik itu terlihat penat akibat terpaksa terbang dari Indonesia semata-mata untuk hadir ke majlis ini, sebagai tanda sokongan untuk keluarga sahabat Papinya yang sekaligus merupakan keluarga bakal mertuanya.

"Mami Papi kamu sihat?"

"Ya, sihat, Auntie. Mereka titipkan salam." Catherine sesekali mengerling ke arah Adelia yang membungkam.

"Hi, Adelia," sapa Catherine dengan senyuman manis. Hati Adelia jadi nyeri. Melihat wanita yang tersenyum kepadanya, dia merasakan senyuman itu tipu dan palsu—senyuman yang terpaksa, tidak ikhlas.

Adelia tersenyum nipis. Kenyataannya, senyuman Adelia yang sebenarnya tipu, palsu, senyuman yang terpaksa dan tidak ikhlas.

"Kapan pulangnya?" soal wanita itu lagi. Adelia jengkel; entah kenapa suara wanita itu bingit di telinganya.

"Baru je sampai. You datang dengan siapa?" Adelia menduga mesti jawapannya adalah 'bersama tunang'. Hatinya mendadak dicuit cemburu.

"Sendirian," balas Catherine dengan senyuman masih terpahat. Bertambah-tambah sakit hati apabila wajah itu terlihat ikhlas. Adelia tidak suka.

Adelia mengetap gigi, namun Ibu dengan lembut meraih tangannya. Adelia menoleh melihat ke dalam mata tua itu; Ibu tersenyum manis mengisyaratkan Adelia untuk bersabar, seperti sudah tahu bahasa tubuh Adelia.

Dada Adelia berdegup kencang saat lelaki yang dicari tadi tiba-tiba melangkah masuk ke dalam ruang tamu. Adelia yang duduk bersama Ibu cepat mencengkam tangan wanita itu. Nafasnya tersekat, matanya mendadak panas.

Lima tahun sudah berlalu, tapi nyatanya dia masih belum bersedia untuk hari ini. Hatinya bergetar hebat melihat sosok bertubuh teguh itu mendekat. Adelia menundukkan muka, tidak mahu menatapnya.

"Ibu, Mama Long. Aku dan Catherine pulang dulu ya?" Suara itu masih lunak seperti dulu, langsung tiada getar dalam suaranya. Adakah hanya Adelia yang merasakan cemas? Adelia masih belum berani memandang walaupun jarak mereka terlalu dekat.

"Ren dah nak balik? Tidur lah sini malam ni," pinta Ibu. Hujung mata Adelia menangkap tangan Catherine yang diraih oleh Ren untuk membantu perempuan itu bangun.

"Maaf. Aku juga ada kerja esok, tapi Jake dan Aaron akan tetap di sini sehingga majlis tamat." Lembut suaranya memujuk Ibu. Berbeza dengan Daddy, Ren tidak pernah membenci Ibu. Sekurang-kurangnya wanita itu pernah ada menggantikan tempat Sakura didalam hidupnya.

"Baiklah kalau macam tu. Aku berangkat dulu ya. Selamat malam."
Diucapkan dengan nada terakhir itu, Adelia memberanikan diri mengangkat muka. Saat netra mereka bertemu, masa bagaikan terhenti. Tiap memori menerobos masuk ke dalam jiwa yang pernah mati.


"Siapa namamu?" Ren berdiri tegak di hadapan perempuan kecil di hadapannya. Anak perempuan itu tersenyum menampakkan gigi rongaknya, tetapi masih kelihatan manis berlesung pipit dan rambut diikat kincir kuda.

"Bunga Adelia. Umur 8 tahun. Abang?"

"Namaku Ren. Jadi kau 8 tahun. Aku..." Ren mengira jarinya. "Aku 5 tahun tua darimu."

"5 tahun tua?" Kini Adelia mengangkat jari. 8, 9, 10, 11, 12... Eh... 9, 10, 11, 12.

"13 tahun! Woaa, Abang dah tua." Adelia tertawa lagi. Dia melompat-lompat keriangan.

"Nanti abang tinggal dekat sini? Boleh main dengan Adel hari-hari." Adelia mengoyangkan badan ke kiri dan kanan. Gaun berwarna putih itu ikut mengembang saat dia berpusing girang.

"Kenapa bahasa abang pelik?" Tanya Adelia ingin tahu. Cara pertuturan Ren berbeza dengannya. Diperhatikan budak lelaki itu atas bawah. Rambutnya tersisip rapi dan berkemeja kemas, seperti watak-watak lelaki tampan dalam filem.

"Aku dari Indonesia. Kamu juga aneh. Dibaca 'A' tapi disebut 'Ae'," balas Ren mengejek. Adelia mejelirkan lidah. Tidak suka dengan bicara remaja yang kini sudah menjadi abang tirinya itu.

"Bluerk! Taknak main dengan abang." Adelia berlari meninggalkan Ren yang masih berdiri mencebik.

"Jangan lari. Nanti jatuh," tempik Ren. Baru sahaja cakap, memang betul Adelia jatuh tersembam ke tanah. Penyudahnya dia menangis kesakitan sambil memegang lutut.

"Tadi juga aku bilang apa? Dasar gadis bodoh!" Omel Ren lalu mendekati Adelia dan meniup luka pada lututnya.

"Baju dah kotor," ucap Adelia nyaring di sela tangisan. Gaun putih itu khas dipakai untuk majlis pernikahan Ibu dan Daddy sudah tidak cantik dan keronyok.

"Jangan menangis. Nanti juga aku ganti," anak lelaki itu berbisik memujuk Adelia. Risau para tetamu lain menangkap gadis itu menangis dan Ren akan dipersalahkan. Nasib baik mereka bermain di laman belakang, tiada orang lain di situ.

Adelia berhenti menangis.

"Betul ni? Janji?" Adelia mengangkat jari kelingking.

Ren tersenyum manis, "Ya, janji."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience