Bab 1 It should be me

Romance Series 10412

Air menggunyur jatuh di atas kepalanya, menggosok-gosok rambut dengan sabun hingga berbusa. Matanya terpejam menikmati air yang setengah hangat, melegakan tubuhnya yang pengap.

'Masa kematian pukul 11.13 malam.'

Dia berjalan tegap menuju ke arah walk-in closet. Beberapa pakaian berwarna-warni tersusun cantik, tapi dia memilih mengenakan kemeja hitam dan seluar dengan warna serupa. Tali leher diikat sempurna, rambut disisir dengan kemas. Sedikit berminyak menampakkan rambutnya yang berkilau. Dia kembali menata dirinya di depan cermin.
Tampak cukup rapi.

"Are you ready?" Suara wanita membuatnya berbalik. Dia membalas dengan anggukan perlahan disertai senyuman tipis.

"Semua masih di hospital. You nak ke hospital dulu atau terus ke rumah?" Wanita bernama Hazel itu menambah soalan.

"Terus ke kediaman Boris."

"Are you sure?" Dia mengangkat kedua alisnya sekaligus untuk menjawab pertanyaan Hazel.

"Ke sana saja." Balasnya singkat.
Hazel mengangguk faham lalu mengambil setiap barang peribadi lelaki itu dan memasukkan ke dalam tas tangannya: telefon pintar, kunci, dompet. Selalu begitu, lelaki itu jarang mengawasi barang miliknya, itu kerja Hazel sebagai pembantu peribadi.

Mereka berjalan beriringan menuju lobi, di sana sudah ada pemandu yang siap menunggu.

"Good afternoon, Mr. Haruki."
Ren mengangguk dengan sapaan Angeline, salah seorang resepsionis di Apartmen Syrus tempat dia tinggal.

"Sorry for your loss. Salam takziah buat keluarga you."

"Thank you, Angie." Hazel yang membalas. Sudah faham dengan sikap majikannya. Dia tidak akan merespon ucapan itu.

"Kami pergi dulu," pinta Hazel.

Angeline mengangguk singkat sebelum dua orang berpakaian serba hitam itu menghilang masuk ke dalam kereta.

Saat ini, Ren hanya ingin satu hal. Menghabiskan hari ini dengan cepat. Kematian ayahnya sudah dapat diduga. Lelaki tua itu mengidap sakit jantung. Dalam tiga tahun terakhir ini, penyakit itu sudah beberapa kali menyerangnya. Kata doktor, jika tidak hari ini, mungkin esok. Ren memicit pelipisnya yang mendadak sakit. Pandangannya sengaja dialihkan ke luar tingkap.

"Puan Seri kata kita boleh terus ke tanah perkuburan. Lagipun dah dekat waktu zohor. Mereka semua dah tunggu di sana." Ujar Hazel dengan telefon pintar di tangan. Pesanan WhatsApp baru saja diterima memberitahu info tentang upacara pemakaman yang akan berlangsung.

Lelaki itu menegakkan tubuhnya.
"Sure." Balasnya pendek. Semakin lama semakin tidak berminat untuk bercakap.
Dia kembali merenung kearah pokok-pokok yang menghiasi jalan, bergerak seiring dengan lajunya kenderaan. Di benaknya memainkan memori seperti pita filem lama. Hitam dan putih. Bezanya, tiada putih, cuma hitam. Cuba mencari memori bermakna dengan almarhum namun nihil, yang jelas hanya luka tersisa.

Dia mencuba menyibak, mencari rasa kesedihan dari balik hati, apakah kematian Daddy memberi satu rasa? Tidak ada. Satu rasa pilu pun tidak berkunjung tiba. Meminta air mata untuk mengalir tapi sepertinya kelenjar air matanya rosak. Kalau begitu, hatinya juga telah rosak atau dirinya telah rosak. Mungkin kesemua di atas.

Tapi yang pasti rasa benci dan dendam yang nyata. Jelas di raut wajahnya yang terlihat datar. Dia tidak peduli meskipun almarhum adalah ayahnya sendiri.

"Bos, kita sudah sampai."

Ren memalingkan wajah kembali menatap pembantu peribadinya. Seperti baru tersedar menjejak bumi, dia meraup muka. Lalu dia menarik kaca mata hitam dari saku depan dada lalu disarungkan. Saat pintu kereta dibuka, dua orang lelaki dengan pakaian serupa, berblazer hitam sudah membongkok di depannya.

"Tuan!" Sapa mereka dengan teguh.
Ren hanya membalas dengan anggukan sebelum mereka kembali menegakkan tubuh.

"Apa Mami ku akan datang?" Tanya Ren kepada salah satu dari mereka. Matanya meliar melihat ke kiri dan ke kanan mencari sosok yang dipanggil Mami itu.

"Nyonya Sakura sepertinya tidak hadir hari ini. Dia menghantar Genji sebagai wakil." Jawab Jake, pengawal Ren yang bertubuh besar dan tinggi. Di sebelahnya Aaron, lebih pendek namun tubuh masih tetap dalam bentuk yang serupa.

Ren bergumam. Sepertinya dia sudah boleh menduga tentang itu. Wanita seperti Sakura tidak mungkin akan muncul memberi penghormatan kepada mantan suaminya.

Matanya mencari lelaki yang dikenali sebagai Genji, dia di sana. Di bawah pokok berhadapan dengan pintu pagar pemakaman. Tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

Lelaki bertubuh kekar itu berjalan mendekati Genji sambil diikuti oleh yang lain.

"Sepertinya akan hujan." Tiada hello atau hai, itu yang dikatakan oleh Genji setelah habis melihat langit. Dia tersenyum nipis melihat Ren yang sudah berada di depannya.

"Sediakan payung buat Tuanmu, sepertinya akan hujan." Arahan Genji diterima baik oleh Hazel. Gadis itu berlari kecil menuju ke kereta untuk mengambil payung. Keselamatan Ren adalah prioritas mereka semua.

"Ada berita dari Mami?"
Genji menggeleng dengan rokok di bibir, belum pun dibakar. Tiada niat untuk dinyalakan, itu cuma satu kepuraan bagi lelaki yang mahu berhenti merokok sepertinya.

"Kau juga tahu sikap Mamimu. Di depan terlihat galak tapi di dalam seperti tikus." Genji tersenyum miring. Nama saja Sakura itu anak kepada Yakuza, tapi mereka semua tahu Sakura itu penipu paling besar. Penakut. Bacul.

"Ren," Sapaan itu membuat mereka semua berbalik badan. Wanita berumur lingkungan 50-an itu berjalan cepat ke arahnya. Ren menangkap tubuh tua itu lalu dipeluk erat. Kalau bukan kerana kematian Boris, pasti mereka tidak akan bertemu lagi.

Pelukan dilepaskan, Ren mengulurkan tangan kepada lelaki yang berdiri di sebelah wanita itu, mereka kemudian berjabat tangan.

"Apa kalian dari rumah sakit?" Tanya Ren sambil menyela pandang pasangan suami isteri di depannya yang juga ditemani oleh anak gadis mereka.

"Aha. Kami ke sini dulu. Mungkin dalam 15 minit Ibu kamu sampai. Dia minta kita semua untuk bersiap." Ucap wanita itu sambil melirik jam di tangan. Sudah pukul 1.30 petang. Matahari juga semakin terik, berbeza dengan ucapan Genji tadi. Apa betul akan hujan?

"Terima kasih sebab datang, Ren. Mama Long tahu kamu sudah lama tak balik." Wanita yang dipanggil Mama Long itu menggosok lembut bahu Ren. Lelaki itu hanya membalas dengan senyuman paksa.

"Mama juga sudah cuba call Adelia. Dia dalam perjalanan pulang. Mungkin malam nanti dia sampai." Tambah Mama Long.
Informasi tambahan Mama Long membuat Ren memilih untuk diam. Perutnya mendadak bergolak seperti ingin muntah. Nama itu terdengar menjijikkan di telinganya. Tidak ingin dilihat raut wajahnya berubah, dia pura-pura tersenyum menyapa gadis yang berdiri di belakang Mama Long.

"Hello, Dina."

"Hi, Abang." Dina melambai kecil.

"Mari masuk ke dalam." Ajakan ibu saudara tirinya itu ditolak. Ren memilih untuk berdiri di depan pagar masuk bersama para pegawainya. Genji juga sudah hilang entah ke mana, barangkali memilih untuk menunggu di dalam kereta.

Ren memerhatikan setiap orang yang hadir, beberapa wajah yang dikenalinya. Mereka merupakan teman rapat keluarga Gajendra. Masing-masing mengucapkan takziah kepadanya sama seperti Angeline. Namun malang tiap ucapan itu dirasakan kosong. Hatinya sudah lama mati untuk Si Mati.

"Sayang, maaf ya aku telat."
Ren cepat-cepat membalikkan badan. Seorang wanita berbusana hitam dan berselendang tipis dengan rambut terurai di depan dahi menyapanya dengan senyuman manis. Lalu mereka berpelukan, satu kecupan halus jatuh di pipi lelaki itu.

"Papi sama Mami ngak bisa hadir, jadi aku ke sini." Beritahu wanita itu sambil mencari sosok Ibu tiri Ren.
"Auntie Seri belum juga sampai?"
"Masih di rumah sakit." Balas Ren sepatah.
"Mereka sudah dalam perjalanan ke sini. How was your flight?" tambahnya lagi.
"Good. Aku tahu beritanya juga sudah cukup lambat. Maaf ya, Sayang." ucap Catherine lembut lalu diraih tangan lelaki itu. Ren hanya mengangguk tanpa membalas genggamannya.

"Jake, iring Miss Catherine ke bawah tenda." Jake mengangguk menerima arahan. Cuaca panas terik membuat mereka semua berkeringat lebat. Khemah berwarna putih yang berdiri tegak menutup kotak kubur itu tampak lebih menarik dalam cuaca begini.

"Kamu ngak mahu duduk?" tanya Catherine peduli.

Ren menggeleng sambil tersenyum. "Ngak usah. Aku di sini saja. Nungguin Ibu." Ucapnya lembut memberi konfirmasi tentang keadaannya. Dia 'baik-baik saja'.
Catherine tersenyum hangat dengan sifat peduli tunangannya itu.

"Ya udah. Nanti mereka sampai aku kemari lagi." Balas Catherine sebelum diiringi Jake untuk masuk ke dalam kawasan tanah perkuburan.

"Cantik Miss Catherine hari ni," bisik Hazel sambil tersenyum. Tidak mahu nampak tidak beradab di majlis kematian dengan komentarnya, jadi berbisik adalah cara yang baik. Ren melirik ke arah Catherine yang sudah menempatkan diri di sebelah Mama Long.

"Cantik," jawabnya ikhlas. Ya benar, cantik. Tapi entah kenapa hatinya tidak berdetak.

Sebuah van putih masuk ke perkarangan kawasan perkuburan, mereka yang lain mula berdiri mendekati wanita yang keluar dari perut kenderaan itu. Ren berjalan menghampiri lalu memeluk bahu wanita yang berwajah sugul itu.

"Ren..." desisnya dengan air mata yang berjurai.

"Ya Ibu, aku di sini. Ayuh kita ke sana." Lelaki itu memapah Seri menghampiri kotak tanah yang sudah habis digali. Seri duduk sambil ditenangkan oleh tetamu yang hadir.

"Salam takziah, Puan Seri."
"Semoga arwah diberkati."
"Saya harap Puan bersabar menghadapi ujian ini."

Suara-suara mereka dilantunkan memujuk Seri yang sedang hiba. Keranda yang ditutup kain hijau bertahta ayat suci diturunkan dari kenderaan. Ren hanya memerhati dengan diam sebelum dia berjalan semula keluar ke hadapan pagar. Di situ dia berdiri di bawah pokok yang sama, rokok dikeluarkan dari dalam poket lalu dibakarnya. Asap disedut dalam-dalam sebelum dilepaskan ke udara.

"Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam,
Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup...."

Ren memerhatikan mereka yang terisak-isak menangis dari kejauhan. Satu tangan diletakkan dalam poket seluar. Tidak sudi untuk mendekat. Setiap butir bicara lelaki berkopiah itu tidak difahaminya. Membesar dengan suasana religi yang berbeza membuatkan dia memilih untuk bersendiri di luar. Secara harfiahnya, masih ditemani tiga orang pegawainya, cuma realiti, dia sendiri. Kosong dan tidak berpenghuni.
Tiba-tiba hujan renyai turun dari langit yang terik. Ironi. Genji mungkin patut menikam nombor hari ini, mana tahu kalau-kalau nasibnya baik pasti dibolot tempat pertama.

Tiada lagi titisan hujan menitik di kepalanya tatkala Jake membuka payung, Ren masih memandang mereka dengan tatapan kosong.

"Tuan, ayuh tunggu didalam kereta," ujar Jake.

"It's okay. Let's wait here," balasnya. Jake mengangguk faham dengan arahan yang diberikan.

Dia menatap ke langit yang beransur gelap, hujan juga mulai lebat. Lalu menjatuhkan pandangannya pada keranda yang masih di situ. Kotak empat segi itu sepatutnya diisi dengan tubuhnya, majlis ini sepatutnya untuknya, air mata mereka sepatutnya untuk dirinya. Sampai ke hari ini dia masih berharap untuk tidak berdiri di situ sebagai orang hidup yang mati jiwanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience