BAB 15

Romance Completed 9718

Selesai membasuh baju, Adelia mula melangkah naik ke bahagian atas. Dia ingin menemani anak-anaknya itu untuk tidur. Walaupun esok hari cuti, dia sudah membiasakan anak-anak untuk tidur awal. Hari cuti bukanlah waktu untuk membuatkan dia menghapuskan peraturan yang telah ditetapkan. Kaki yang melangkah mula terhenti apabila terdengar perbualan di antara Yasmin dan anak-anaknya.

“Alah.. jomlah kita tengok tv.. Auntie ada CD tau.. Cerita tu best…” Pujuk Yasmin lembut. Kata ibu muda, pastilah hendak membeli jiwa! Radeya dan Raid mula berpandangan sesama sendiri.

“Tak boleh.. nanti mama marah…” Jawab Radeya petah!

“Alah, kalau mama marah, auntie kan ada.. auntie boleh pujuk mama. Dia mesti tak marah dekat Deya dan Raid!”

“Tak mahulah.. Nanti mama rotan! Raid tak mahu kena rotan dengan mama!” Jawab si abang pulak!

“Mama tak rotan punya.. Kalau mama rotan Deya dengan Raid, auntie akan rotan mama balik! Alah, jomlah teman auntie tengok cerita ni, lagipun esok kan cuti.” Rayu Yasmin lagi.

Adelia masih lagi hendak curi-curi dengar. Ingin tahu juga sama ada anak-anaknya yang dibelai dengan kedua belah tangannya ini akan mengikuti kemahuan Yasmin ataupun akan tetap patuh dengan peraturan yang sudah dia tetapkan!

“Adik, macam mana ni?” Si abang mula melontarkan pertanyaan kepada adiknya.

“Tak mahulah… adik nak tidur! Adik tak nak kena marah dengan mama!” Hati Adelia jadi tersentuh mendengar kata-kata anaknya! Selama ini, dia selalu menganggap anak-anaknya itu terlalu nakal. Tidak mahu mendengar kata-katanya. Namun kini dia sedar, kenakalan itu adalah salah satu proses pembesaran kanak-kanak. Nakal itu perlu untuk memastikan otak anak-anak sentiasa cergas! Kenapa dia tidak terfikirkan semua ini dahulu?

“Abang pun nak tidur jugak… Bye Auntie..”

Adelia terus menerus bersandar di tepi dinding. Tanpa sedar, wajahnya mula basah! Basah dengan kerinduan dan rasa sayang yang makin bercambah!

Setelah memastikan bayang Yasmin hilang dari pandangan, Adelia terus menapak ke dalam bilik Radeyah. Sepertinya, Radeya telah mula lena dilulit mimpi. Terus dihadiahkan satu ciuman di ubun-ubun milik Radeya.

‘Mama sayang Deya… Mama sayang sangat…’ Ditelus lembut pipi anak perempuannya itu. Air matanya menitis di pipi. Mungkin benar kata Rafie yang dirinya terlalu berkeras! Terlampau bertegas dalam mendidik anak-anak. Jadi sebab itu Rafie perlu memanjakan mereka. Supaya didikan ini akan jadi sempurna.

Kemudian kakinya menapak ke bilik anak lelakinya pula. Namun pelik kerana Raid masih belum tidur. Dia sedang berdiri sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap.

“Raid tak tidur lagi?” Raid sedikit tersentak apabila mendengar teguran dari mamanya. Mukanya kelihatan cuak sedikit.

“Kenapa ni?” Terus dia tarik Raid dekat dengannya. Dipeluk bahu Raid dengan mesra.

“Raid tak boleh tidur…” Ujar Raid perlahan.

“Biar mama dodoikan Raid ya…” Ajak Adelia sambil memandang wajah anak lelakinya yang sedikit muram itu.

“Betul ke mama nak berpisah dengan papa?” Sekali lagi Adelia tersentak mendengar pertanyaan anaknya.

“Ish… siapa cakap macam tu?”

“Auntie Yasmin yang cakap.”

Adelia mula melepaskan keluhan. “Sudahlah sayang.. pergi tidur ya!” Adelia langsung tidak menghiraukan pertanyaan anaknya. Dia terus menyelimut Raid yang sudah berbaring di atas katil.

“Mama…” Panggil Raid perlahan sambil mula bangun dari pembaringan.

“Iya sayang…”

“Abang sayang mama…” Terus dipeluk Adelia yang agak tergamam itu. Air matanya menitis lagi. Terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan dari anaknya itu. Jika takdir memisahkan dirinya dan Rafie, dia tetap akan teruskan hidup bersama anak-anak.

“Mama pun sayang abang…” Adelia terus menemani Raid sehingga anak itu tertidur.

Keluar sahaja dari bilik Raid, dia terus melagkah ke kamar peraduan miliknya. Namun ketika Adelia melewati kamar Yasmin, terdengar gelak tawa yang agak kuat. Mungkin Yasmin sedang berbual di telefon. Pintu bilik yang agak terbuka itu memudahkan kerja Adelia untuk mencuri dengar perbualan Yasmin yang sungguh mesra itu.

“I pun sayang you… Sayang sangat! Sungguh, tak sabar nak jumpa you.. Tak sabar nak keluar dari rumah yang dasyat nih! Betullah cakap you… peraturan kat dalam rumah ni banyak sangat!” Suara Yasmin yang manja sampai ke peluput telinga Adelia.

‘Ya Allah.. kuatkan hatiku dalam melewati perpisahan ini! Mungkin sudah tersurat yang cinta ini akan ternokhtah di sini. Mungkin benar yang cinta ini makin tawar…’ Adelia tidak kuat lagi untuk terus mendengar perbualan Yasmin yang sememangnya lebih banyak menghiris tangkai hatinya. Jadi lebih baik dia beredar. Beredar dari terus menyakitkan hati sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience