BAB 12

Romance Completed 9718

Sejak Rafie keluar dari rumah, semua urusan mula diselesaikan sendiri oleh Adelia. Pagi-pagi lagi, dia sudah mengejutkan Raid dan Radeya yang perlu ke sekolah. Kebiasaanya dia akan menyiapkan Radeya sementara Rafie akan menyiapkan Raid! Tapi sekarang dia perlu menyiapkan kedua-duanya. Hendak harapkan Yasmin, memang tak dapatlah. Walaupun sudah puas dikejut, Yasmin tetap tidak berganjak. Entah solat subuh atau pun tidak, Adelia sendiri tidak pasti.

“Raid sikat rambut sendiri… Mama nak ikat rambut Deya kejap!” Arah Adelia sedikit kalut. Saat ini, dia teramat berharap agar suaminya ada disamping mereka. ‘Beginikah hidupku nanti setelah berpisah dengan Rafie dalam erti kata yang sebenar?’

“Mama….” Panggil Radeya perlahan tika Adelia menyikap rambut anaknya itu.

“Ya sayang…” Sahut Adelia sedikit.

“Kenapa papa tak tinggal dengan kita dah?” Terhenti pergerakan tangan Adelia.

“Kan papa kerja…” Bohong Adelia sambil mula memperkemaskan ikatan rambut Radeya. Bimbang jika mengurai dengan sendirinya nanti.

“Mama kan marah bila Deya menipu! Tapi mama pun tipu Deya jugak!” Radeya sudah pun berpaling mengadap mamanya.

“Papa tak kerja kan? Papa nak kahwin dengan Auntie Min!”

“Mana sayang tahu ni?” Setahunya, dia belum pernah menceritakan hal ini dengan sesiapa pun! Bagaimana pula anaknya itu boleh tahu? Lagipula, anak-anaknya masih kecil untuk dibebani dengan masalah rumah tangga kedua ibu bapanya.

“Auntie Min yang beritahu…” Adelia mula rasa hendak marah apabila mendengar jawapan daripada Radeya. Dia tidak suka jika Yasmin merosakkan pemikiran anak-anaknya!

“Deya tak suka kalau papa kahwin lain. Deya nak tinggal dengan papa dan mama! Deya sayang mama!” Radeya terus memeluk mamanya. Adelia mula rasa terharu. Dulu dia sentiasa merasa yang anak-anaknya sentiasa melebihkan Rafie kerana Rafie gemar mengambil hati anak-anak berbanding dirinya yang kerap marah-marah apabila menerapkan displin dalam diri anak-anak. Tapi sebenarnya, anaknya itu tetap menyayanginya

“Mama, papa dah datang!” Jerit Raid sambil mula mengambil beg sekolahnya.

“Deya dengan Raid pergi pakai kasut dulu. Mama nak tengok papa kejap!” Arah Adelia sambil mula bangun dari duduk. Walaupun Rafie tidak tinggal di sini, suaminya itu tetap datang untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah. Rafie juga akan menukar pakaian kerja di sini sahaja.

Apabila sampai ke kamar peraduan, mata Adelia mula jatuh pada susuk tubuh Rafie yang sedang mengenakan baju kemejanya di badan. Malah suaminya itu tergopoh-gopoh membutangkan bajunya. Tanpa berfikir panjang, terus Adelia mendekat dan membantu Rafie memakaikan tali leher.

Air muka Rafie jelas terkejut dengan tindakan Adelia. Akhirnya Rafie hanya membiarkan. “Yasmin tak bangun lagi?” Tanya Rafie sambil ralit memandang wajah Adelia. Sungguh, dia rindukan isterinya itu. Terlalu rindu…

‘Aku yang berada depan mata pun, dia asyik fikirkan Yasmin!’ Adelia mula hendak membentak! Hatinya mula bertakung dengan rasa sebak!

“Belum…”

“Terima kasih.” Ucap Rafie apabila Adelia selesai memakaikan tali leher. Lambat-lambat dia mula mengalihkan pandangan. Baru sahaja Rafie menapak sedikit kemudian dia berpatah semula. Dikucup lembut dahi Adelia. Syahdunya terasa seperti upacara pembatalan air sembahyang mereka dulu. Memori lama seakan-akan berputar kembali.

Adelia hanya merelakan. Sungguh, dia makin takut untuk menanti hari esok!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience