BAB 19

Romance Completed 9718

Rafie memandang mesej di telefon bimbitnya berulang kali. Mesej dari Adelia yang menyuruh dia menjaga Radeya di hospital itu mengundang rasa aneh di hatinya. Apatah lagi bila panggilan yang dia lakukan, langsung tidak mendapat respon daripada Adelia. Hatinya mula dipagut rasa risau. Bimbang dengan keadaan Adelia itu.

“Mak, saya balik rumah kejap ya.. Hmm, mak tolong tengok Deya dengan Raid kejap eh!” Ujar Rafie sambil bersalam dengan ibunya yang sedang melawat Radeya di hospital.

“Hah, elok-elok memandu.” Nasihat Puan Kalsum pendek.

Sesampainya di rumah, Rafie terus berlari ke tingkat atas. Dia pasti yang isterinya itu ada di bilik mereka memandangkan kereta isteri Adelia berada di garaj kereta. Pintu bilik mula ditolak kasar. Matanya sedikit mencerlung apabila melihat Adelia yang sedang memunggahkan baju-bajunya ke dalam beg pakaian.

“Adelia!” Jerit Rafie tinggi.

Jeritan itu menyebabkan baju yang berada di tangan Adelia mula terlucut. Mereka sama-sama saling tergamam!

“Sekali lagi Delia nak tinggalkan abang?” Tanya Rafie keras. Kepalanya digeleng beberapa kali. Betapa dia kecewa dengan sikap isterinya itu!

“Bukan ke sebenarnya awak yang tinggalkan saya?” Tanya Adelia pula.

“Abang keluar rumah, bukan untuk memisahkan kasih kita…. tapi sebab abang nak Delia sedar yang Delia sebenarnya sentiasa perlukan abang… Abang nak Delia sedar yang Delia hanya cintakan abang… Abang nak ajar hati Delia yang kering itu supaya basah bila rindukan abang …” Kaki Rafie sudah mula mendekat. Menghampiri isterinya itu.

“Habis tu apa perlunya Yasmin?” Tanya Adelia dengan tangisan. Sungguh, kata-kata suaminya itu memang benar. Jiwanya hanya basah dengan kerinduan apabila mereka mula terpisah!

“Abang dengan Yasmin tak ada apa-apa… Kita orang cuma berlakon! Berlakon seperti pasangan kekasih bila sayang berkeras menuduh abang ada hubungan dengan dia… Sebab itu abang sengaja merancang untuk bawa Yasmin tinggal kat sini. First sebab abang nak bagi sayang sedar yang tak ada orang yang boleh jaga abang macam mana yang sayang jaga abang sekarang! Kedua… sebab abang nak buktikan pada sayang, yang sayang sebenarnya tak boleh hidup tanpa abang! Walau macam mana tawar pun hubungan kita, manisnya rasa cinta itu sebenarnya masih belum hilang. Maaf sebab abang terpaksa buat semua ini. Abang perlu selamatkan rumah tangga kita. Abang perlu selamatkan amanah yang abang jaga selama ni. Abang tak mahu amanah ni terlucut dari tangan abang.. Terlucut dari jiwa kita… Jadi sebab tu abang uji sayang… Abang minta maaf…”

Ditarik Adelia ke dalam pelukannya. Wajah isterinya dibawa rapat ke dada. Biar isterinya itu tahu debaran yang dia tanggung tika ini. Detak detik jantungnya, hanya kerana Cinta kepada ALLAH yang disandarkan pada seorang wanita yang bergelar isteri kerana sekali dia sayang, tak kan dibiarkan kasih itu terlucut dari gengamannya. Isteri adalah satu amanah titipan Allah buat seorang lelaki. Jadi, seharusnya abang sebagai lelaki perlu menjaga amanah itu dengan sebaik mungkin!

Adelia tersenyum. Sebenarnya dia sudah tahu. Dia sudah tahu melalui kad yang diberikan kepada Yasmin tadi. Itu memang kad undangan perkahwinan. Tapi diantara Yasmin dan Megat. Bukannya dengan Rafie. Jadi dari situ dia mula faham yang suaminya pasti hendak menguji emosi seorang isteri.

Pada mulanya, memang dia rasa seperti hendak marah kerana dipermainkan sesuka hati oleh Rafie. Tapi jika tidak kerana ujian ini, pasti dia tidak akan sedar yang kasih sayang ini ALLAH hadirkan dalam bentuk ujian. Supaya manusia itu terus bergantung kepadaNYA.. lebih dari segala sesuatu di dunia ini.

Sebenarnya baju yang diletakkan di dalam beg adalah untuk merangka percutian semperna cuti sekolah minggu hadapan. Dia memang biasa kemas awal-awal supaya tidak kalut di kemudian hari. Tak sangka pula yang Rafie akan berfikir yang dia akan meninggalkan rumah.

“Abang….Delia banyak buat salah dengan abang. Delia nak minta maaf kalau ada tutur kata Delia yang menyinggung perasaan abang! Delia minta ampun… Delia yang salah.. Delia banyak merungut dengan perkahwinan kita.. Delia cuba mencari kesalahan abang sedangkan Delia pun banyak cacat celanya! Delia terlalu taksub dengan peraturan-peraturan dalam rumah ni sehingga membataskan kasih sayang antara kita! Delia minta maaf bang… Halalkan semuanya..” Adelia mula tersedu-sedu.

“Sayang…” Tangan Rafie mula mengangkat sedikit dagu milik isterinya.

“Raya lambat lagilah…” Terus pecah tawa Rafie. Adelia mula merengus! Orang tengah tangkap cintan, dia boleh buat lawak bagai pulak!

“Abang ni… Cuba serius sikit!” Marah Adelia sambil mengesat air mata dan air hidungnya.

Dahi Rafie mula didekatkan ke dahi isterinya. Makin lama makin rapat…

“Eh, abang nak buat apa ni?” Adelia faham sangat riak wajah suaminya itu. Ingat sikit bang, dah nak magrib dah nih…

“Abang nak seriuslah ni… Cakap suruh abang serius.. Abang serius nak buat nih!” Terus Adelia menolak kasar tubuh Rafie. Susah kalau bercakap dengan lelaki ni. Lantas Adelia hendak berlalu ke bilik air namun pinggangnya mula dipeluk kemas oleh Rafie.

“Abang maafkan segala kesalahan sayang…. Abang pun nak minta maaf dengan sayang.. Sebab abang, nyawa anak kita hampir melayang! Abang pun nak mintak maaf sebab tak alert dengan rumah tangga kita…. Abang selalu ambil mudah semua perkara! Abang selalu buat Delia marah! Maafkan abang ya…”

Adelia mula berpaling dan mencari raut wajah suaminya itu. Dia mula tersenyum manis. Apa yang berlaku, pasti akan ada hikmahnya… Dengan rela, Adelia mula memeluk suaminya. “Delia maafkan abang…”

“Percayalah, kalau seorang isteri itu seperti hamparan dunia, suami pula langit untuk menaunginya.. Kalau isteri diibaratkan seperti ladang dan tanaman, suami pula adalah pemagarnya.. Kalau isteri adalah kejora, suami pula adalah bintang! Tengok, mereka saling melengkapi. Seperti sayang yang sentiasa melengkapi abang…” Dikejapkan pelukannya.

Adelia makin terharu mendengar kata-kata suaminya itu. ‘Ya Allah, terima kasih sebab masih meminjamkan kebahagian ini kepadaku…’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience