BAB 8

Romance Completed 9718

Adelia cuba untuk tidak menangis tapi air matanya tidak mampu ditahan lagi. Bimbang jika disimpan, ia akan bernanah dan memakan masa untuk sembuh! Tangannya mula mencapai baju-baju di dalam almari. Dikaut dan dicampakkan ke dalam beg pakaian. Akhirnya, inilah penyudah kepada rumah tangganya.

“Delia… Tolong jangan buat abang macam ni!” Halang Rafie apabila melihat perbuatan Adelia yang memasukkan segala baju ke dalam begnya.

“Awak yang paksa saya buat semua ni Rafie…” Balas Adelia sambil mula mengemaskan kain bajunya.

“Abang tak akan lepaskan Delia! Itu keputusan abang!” Putus Rafie tegas. Susah untuk dia fahamkan isterinya jika isterinya terus menerus mejadikan emosi dan perasaan sebagai resepi utama dalam pernikahan mereka ini. Bermula dengan selisih faham yang kecil, akhirnya mengundang masalah yang lebih besar.

Ya, Rafie mula mengaku… Dialah yang bersalah kerana kurang peka dalam mengadun resepi berkasih ini. Dia lelaki yang mengambil temeh semua perkara! Dia sering membebankan isterinya dengan kerja rumah tanpa menghulurkan bantuan! Lantas menyebabkan isterinya itu mula tawar hati dengan sikapnya. Masalah ini nampak remeh, tapi ia terus menjadi berat apabila dihimpun segala sikap buruknya itu. Dan dikala dia ingin memperbaiki semuanya, di mula sedar yang dia sudah mula terlewat. Sekarang timbul pula masalah baru. Masalah yang terus menghancurkan hati isterinya.

“Awak tamak!!!” Jerit Adelia geram. Sungguh, lelaki memang tidak pernah cukup dengan satu! Sebelum dapat, mulut manis berjanji macam-macam. Namun kini, semua rasa itu makin tawar! Hilang manisnya.. hilang masinnya.. hilang masamnya.. cinta ini sudah tidak berperisa lagi.

“Saya bukan tamak… Tapi saya tahu yang Yasmin tak boleh jadi isteri sebaik awak Delia… Jadi sebab itu..”

“Jadi sebab itu awak memutuskan untuk jadikan dia perempuan simpanan?” Adelia terus-menerus menghentam suaminya. Tidak peduli jika terpaksa memotong kata-kata suaminya itu.

“Saya ni tak ubah macam orang gaji awak je Rafie.. Tak ubah macam tu kan?” Tanya Adelia dengan suara yang penuh rintihan,

“Abang tak pernah anggap awak macam tu Delia!” Suara Rafie jugak sudah separuh merayu. Sukar benar hendak memahamkan isterinya ini.

“Awak tak anggap macam tu tapi itulah yang awak lakukan…” Adelia mula terduduk di birai katil. Tidak mampu melakukan apa-apa lagi walaupun untuk menyeka air mata yang mampir di pipi.

“Delia…” Rafie sudah mula melutut..

“Kadang-kadang saya tertanya-tanya mana salah saya… Saya tahu saya ni banyak kurang Rafie..” Adelia mula teresak. Melepaskan rasa sesak yang menghuni rasa hati. Rafie terus bangun dan memeluk isterinya kejap!

‘Kata-kata pujukan tidak akan mampu untuk memulihkan hati Adelia tika ini! Aku perlu lakukan sesuatu..’

“Delia betul-betul bertekad dengan keputsan Delia ni?” Tanya Rafie perlahan setelah Adelia melepaskan pelukan.

“Saya tak akan cakap kalau saya tak fikir!” Keras sedikit nada suara Adelia.

‘Memang sayang fikir.. tapi Delia tak fikir panjang!’ Rafie mula mengeluh perlahan.

“Delia tak kesiankan anak-anak ke?” Rafie mula menggunakan anak-anak sebagai alasan. Mana tahu kalau-kalau hati Adelia kembali lembut.

“Dia orang dah besar.. dia orang pasti boleh terima. Lagipun berpisah lebih baik dari kita bergaduh di depan mereka. Benda tu lagi boleh mempengaruhi fikiran dia orang! Awak jangan risau tentang hak penjagaan anak-anak. Kita akan bergilir-gilir jaga. Saya pun tak berniat nak pisahkan anak-anak dengan bapa dia orang!” Keputusan Adelia sudah benar-benar tekad.

Sekali lagi Rafie mengeluh perlahan. “Kalau betul Delia nak berpisah dengan abang, abang nak minta satu perkara dengan Delia!” Pinta Rafie perlahan.

“Apa lagi yang saya boleh tolong awak?”

“Yasmin… dia tak tahu apa-apa tentang selok belok hal rumah tangga. Jadi, abang nak Delia ajar dia.. Ajar dia cara untuk menguruskan rumah tangga. Anggaplah ini tugas terakhir dari seorang isteri untuk seorang suami.” Ujar Rafie perlahan.

Adelia mula berpaling ke arah lain! Tegar sungguh seorang suami membuat permintaan sebegitu rupa terhadap seorang isteri. Adakah suaminya ini benar-benar tidak berperasaan?

“Sampai macam ni sekali sayang awak pada dia?” Tanya Adelia sayu.

“Delia….” Rafie mula menggaru kepala. Kusut!

“Baiklah. Saya setuju. Saya harap awak tak minta apa-apa lagi. Jadi buat sementara ni, saya minta izin nak tinggal kat sini dulu. Supaya saya senang nak ajar perempuan kesayangan awak tuh!” Tutur Adelia tidak berperasaan lagi.

“Kalau kita dah berpisah pun, rumah ni tetap miik Delia.” Balas Rafie perlahan. Sedih sungguh mengenangkan perkahwinannya dengan Adelia huru-hara seperti ini. Mampukah dia berpisah dengan Adelia?

“Saya tak mahu.. saya tak mahu berhutang apa-apa dengan awak Rafie.” Adelia mula menjauh daripada Rafie. Bimbang jika dia akan kalah dengan pujukan lembut Rafie. Semalam sahaja dia sudah tetewas! Mungkin sampai bila-bila pun dia akan kekal tewas.

“Abang yang banyak berhutang dengan Delia…” Kata-kata Rafie membuatkan langkah Adelia terhenti. Agak tertanya-tanya sedikit.

“Abang mula berhutang bila Delia menguruskan rumah tangga kita dengan sempurna. Abang berhutang apabila Delia mengandungkan anak-anak abang. Abang terus berhutang apabila Delia melahirkan anak-anak abang! Abang terus berhutang kata maaf apabila abang melukakan hati Delia… Abang berhutang ucapan terima kasih apabila Delia memperlengkapkan diri abang sebagai seorang suami.. Abang terus-menerus akan berhutang dengan Delia.. Sampai bila-bila…”

Sejurus selepas itu, Adelia kembali meneruskan langkah! Memang dia terharu! Namun kata-kata Rafie tidak mampu memujuk hatinya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience