Bab 12

Romance Completed 13016

"Assalamualaikum..." tegur seorang wanita dari luar pagar.

"Waalaikumussalam." jawab Laila. Getah paip yang dipegangnya untuk menyiram pokok bunga diletak ke bawah. Pili air ditutup rapat. Laila mendekati wanita itu yang sedang berdiri di luar pagar. Cantik! desis hati Laila.

"Iya...Cik cari siapa?" tanya Laila. Laila melihat wanita muda itu teragak-agak ingin menjawab. Tubuhnya tinggi lampai. Penampilannya seperti model muslimah. Sungguh cantik. Siapakah dia?

"Err...Ammar ada?" tanya wanita itu. Sopan sekali lagaknya.

"Tuan Ammar ada kat dalam. Boleh saya tahu Cik ni siapa?" Laila bertanya kembali.

"Saya...Syazlin. Ibu Aileen. Bekas isteri Ammar." beritahu wanita itu. Terkejut Laila mendengatkan kata-kata itu. Laila tidak pernah melihat wajah ibu Aileen sebelum ini kerana tiada sekeping gambar pun yang disimpan di rumah itu. Patutlah Aileen comel, ibunya cantik. Memang jauh sekali jika nak dibandingkan dengan dirinya yang berpakaian agak kolot.

"Ohh...maaf. Saya tak tahu, Puan Syazlin. Nanti saya panggilkan Ammar. Masuklah dulu." pelawa Laila. Tangannya pantas membukakan pintu pagar kecil di sebelah kanannya. Malas mahu menekan remote control untuk pintu pagar utama. Syazlin tersenyum dan terus masuk membuntuti Laila.

Pintu bilik Ammar diketuk perlahan. Selang beberapa saat, pintu bilik dibuka. Terjengul muka dingin Ammar di situ.

"Ada tetamu nak jumpa Tuan. Puan Syazlin..." beritahu Laila. Kakinya terus melangkah ke dapur untuk membancuh air.

"Siapa Laila?" tanya Kak Wani yang asyik membelek majalah di meja bar di dapur itu.
"Syazlin. Bekas isteri Tuan Ammar." jawab Laila. Kak Wani sedikit terperanjat.

"Hahh? Buat apa dia datang sini?" tanya Kak Wani. Laila menjongketkan bahunya tanda tidak tahu. Wajah Kak Wani nampak macam tak suka sahaja dengan kedatangan Syazlin.

**********

"Dah balik?" tanya Kak Wani setelah melihat Laila mengangkat dulang cawan yang kosong ke dapur. Laila mengangguk.

"Akak nampak macam tak suka saja dia datang sini..." ujar Laila.

"Hurm...Akak memang tak suka dia. Dulu tu dia yang tinggalkan Ammar dan Aileen. Lari dengan lelaki lain. Alasannya, dia tidak cintakan Ammar. Senangkan? Lepas tu, datang balik. Nak apa lagi tak tahulah." Kak Wani membuka cerita Ammar. Laila hanya mendengar sahaja.

"Ammar tu setia orangnya. Masa Syazlin tu tinggalkan dia, keadaan Ammar tak terurus. Terperap saja dalam bilik. Masa tu umur Aileen baru saja 3 bulan. Datin lah yang jaga. Akak tengok keadaan Ammar masa tu sedih sangat. Alhamdulillah, sekarang dia dah makin okey." Kak Wani sambung cerita lagi. Dia mengeluh perlahan.

"Kenapa Syazlin kahwin juga dengan Tuan Ammar kalau dia tak cintakan Tuan Ammar, Kak?" soal Laila pelik.

"Sebab...mama Syazlin tu dah berkenan sangat dengan Ammar. Dipaksanya Syazlin untuk berkahwin dengan Ammar. Syazlin tu anak kawan baik Datin. Walaupun Syazlin tu buat onar, Datin tetap berkawan baik lagi dengan mama si Syazlin tu. Masa tu, Syazlin tu dah hilang entah ke mana. Keluarganya pun tak dapat nak jejak. Tiba-tiba baru sekarang muncul." Kak Wani mendengus tidak suka.

Laila terdiam mendengar cerita dari Kak Wani itu. Kesian Ammar...Laila bersimpati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience