Bab 3

Romance Completed 13016

"Kak Wani! Kak Wani!!" jerit Ammar dari dalam bilik. Terkocoh-kocoh Kak Wani masuk ke bilik Ammar. Terkejut dia dengan laungan Ammar itu.

"Iya, Tuan Ammar. Ada apa?" Kak Wani bertanya sedikit cuak. Tidak pernah dia melihat muka Ammar sebengis itu.

"Siapa yang kemas meja kerja saya ni? Mana note book hitam yang saya letak atas meja ni??" Ammar bertanya dengan suara mendatar.

"Err...saya tak tahu, Tuan. Mungkin Laila yang kemas kot." Kak Wani bersuara takut-takut. Mesti Laila yang kemas ni. Hadoi! Habislah kau Laila. Bisik hati Kak Wani, risau.

"Lailaaaa!!!"

Bergegar rumah mewah itu dengan laungan Ammar. Terperanjat Laila yang sedang mengupas bawang di dapur. Ouch! Jari tangan Laila terluka sedikit dek terkejut dengan laungan Ammar. Jarinya dibasuh dan ditekapkan dengan hujung bucu tudung hitamnya. Kakinya terus berlari mendapatkan Ammar.

"Iya...Tuan panggil saya?" tercungap Laila bersuara setelah sampai di bilik Ammar. Kelihatan Kak Wani yang berhadapan dengan Ammar sedang tertunduk. Laila mengatur langkah mendekati dengan perasaan cuak.

"Iyalah...siapa lagi nama Laila dalam rumah ni?!" perli Ammar. Hatinya panas.

"Mana note book hitam aku? Semalam aku letakkan kat atas meja ni saja. Huhh?!!" tengking Ammar kasar. Terangkat sedikit bahu Laila dengan tengkingan Ammar itu.

"Saya kemas dan letak atas meja tu saja. Saya tak ambil pun. Saya tak tahu macam mana boleh hilang..." perlahan sahaja suara Laila menjawab. Laila gerun dengan sikap Ammar ketika ini. Lututnya terasa menggeletar sedikit. Kak wani sudah menelan liur.

"Kalau kau letak kat sini mesti ada sekarang ni! Ni tak ada!! Kan aku dah pesan jangan kemas meja aku!! Kau ni tak boleh diharap!!" tengking Ammar dengan lantang. Meruap-ruap marahnya pada Laila. Buku nota hitam itu begitu penting padanya.

"Sa...saya...mintak maaf. Saya tak sengaja..." tergagap-gagap Laila bersuara. Betapa takutnya Laila dengan amarah Ammar saat ini. Marahnya kali ini lain daripada sebelumnya. Mata Laila sudah berkaca. Ammar mendengus kuat.

"Menyusahkan!! Keluarrr!!!" arah Ammar dengan herdikan.

Laila dan Kak Wani terus berlalu keluar. Air mata Laila menitis jua. Namun, cepat-cepat Laila menyapunya. Laila tidak pernah dimarahi sedemikian rupa. Ini adalah kali pertama Laila dimarahi dengan begitu teruk sekali. Hatinya sedikit terasa dengan perbuatan Ammar. Kak Wani mengenggam tangan Laila untuk memujuknya.

**********

Ammar meraup mukanya beberapa kali. Entah mengapa hatinya begitu panas sekali dengan Laila. Ammar beristighfar untuk menenangkan hatinya yang panas. Kakinya dilunjurkan ke bawah meja. Belakang badannya disandarkan di kerusi beroda itu. Tiba-tiba Ammar merasa sesuatu di hujung kakinya.

Ammar membongkokkan badan dan meraba-raba ke bawah meja. Buku notanya! Macam mana boleh terjatuh ke bawah meja? Mungkin dia tidak sengaja menjatuhkannya masa mengambil briefcasenya yang diletakkan di atas meja itu pagi tadi. Bisik hati Ammar. Iya! Ammar perasan memang buku nota hitamnya itu berada di bawah briefcasenya semalam. Allah! Keluh Ammar.

Tiba-tiba rasa bersalah terhadap Laila bertandang di hatinya. Ammar perasan Laila hampir menangis kerana dimarahinya tadi. Tetapi Ammar tidak dapat menahan marahnya yang membuak-buak ketika itu. Ammar meraup rambut hadapannya ke belakang. Hatinya betul-betul rasa bersalah dengan tindakannya tadi.

**********

Berlaga-laga bunyi pinggan yang diletakkan di atas rak pinggan selepas dibilas. Setelah habis pinggan di dalam singki dibasuh, Laila memusingkan badannya ke belakang. Laila mahu mengambil lauk di dalam peti ais. Terperanjat Laila apabila melihat Ammar sudah tercegat di hadapannya setelah dia berpusing tadi. Dadanya diurut perlahan untuk mengurangkan rasa terkejut.

"Kenapa tak balut luka kat tangan tu? Tak letak ubat ke? Nanti kena jangkitan kuman pulak." Ammar bersuara dengan pertanyaan. Laila menjatuhkan tangan kanannya yang sedang mengurut dadanya itu tadi. Tangannya disorokkan ke belakang. Laila menundukkan wajahnya. Hatinya masih terasa dengan hal semalam.

"Saya tanya...kenapa tak balut luka tu?" Ammar mengulang balik soalannya yang dibiarkan sepi. Matanya tepat memandang wajah Laila.

"Err...tak apa. Sikit saja..." Laila menjawab gugup. Laila takut dengan renungan mata Ammar. Laila takut dia dijerkah lagi seperti semalam.

Ammar mengambil kotak first aid yang berada di atas peti ais dan membukanya. Ammar menghulurkan plaster kepada Laila. Teragak-agak Laila mahu mengambilnya.

"Err...tak apalah, Tuan. Saya tak suka balut dengan plaster. Nanti gam plaster tu susah nak tanggal. Leceh nak tanggalkan bila nak solat nanti." Laila menerangkan sebab dia tidak mahu.

Ammar meletakkan kembali plaster ke dalam kotak tersebut. Minyak TYT pula dihulurkan kepada Laila. Laila menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Saya okay saja, Tuan. Nanti luka ni sembuh sendiri." Laila menolak.

"Ambil...sapu kat luka tu. Jangan degil." arah Ammar tanpa riak di wajah.

"Saya tak mahulah, Tuan. Saya tak suka sapu ubat. Saya geli..." perlahan sahaja Laila bersuara. Takut nanti Ammar memarahinya pula. Sejak dari kecil lagi Laila tidak suka menyapu ubat jika terluka di badannya kecuali terpaksa. Dia geli, lebih-lebih lagi bila ubat itu melekit.

Ammar mengangkat kening. Peliknya minah ni! Ngomel Ammar di dalam hati.

"Ini arahan. Awak nak saya mengamuk lagi?" ugut Ammar.

Cepat sahaja Laila mencapai minyak TYT tersebut. Laila tidak mahu peristiwa semalam berulang kembali. Laila perit. Ammar hampir tergelak dengan tingkah Laila. Namun, Ammar cuba menahannya supaya tidak kelihatan.

"Saya minta maaf marah awak semalam." sebaris Ammar menuturkannya. Kakinya terus melangkah pergi dari ruangan dapur. Ammar segan sebenarnya. Laila hanya terpinga mendengar ayat Ammar itu tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience