Series
1489
"Dah settle, ke? Jom gerak" aku segera berdiri sambil memegang tray makanan yang telah licin. Memang sedap makanan di sekolah ini.
Kalau lapar lagi, turun sedikit ke bawah sana, ada cafe disediakan untuk pelajar. Umph! Sedapnya roti puri cicah kari ikan di situ. Eh, kan baru je makan. Bukan-bukan aje fikiran aku ni.
"Jom!" Dahlia bangun, dan diikuti Rose yang masih menjilat jarinya sehingga licin. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Yup, true.
"Sedap, kan?" kata Rose.
"Okay, let's start our adventure!" jerit Dahlia. Seronok benar dia nak menjelajah sekolah tua ini.
Kami berjalan perlahan-lahan sambil berbual menuruni bukit menuju ke arah bangunan akademik.
"Kita skip la ya bangunan yang kita dah biasa lalu. Aku teringin nak pusing kawasan berhampiran kelas dan makmal sekolah" pintaku pada mereka berdua.
"Okay jugak tu. Kan jalan banyak-banyak nanti, kurang pulak lemak kat badan ni" kata Rose selamba.
"Look at the building design, I feel like we were back in 30s or 40s, right? Old and white. Urgh, scary, but honestly, it's beautiful at the same time" kata Dahlia sambil kedua tangannya memeluk dirinya seperti menahan kesejukan.
"Kan... Tapi saya pun suka. Suka sebab pokok-pokok yang ada di sekitar sini besar dan rendang. Terasa redup dan nyaman je bila kita lalu bawahnya. Macam sekarang ni, walaupun tengahari rembang, tapi kita tak terasa panas tu" Rose berkata sambil mendongakkan kepalanya ke atas, menarik nafas sedalamnya, dan menghembus perlahan. Dia benar-benar menikmati keindahan alam yang ada di sini. Tanganya didepangkan seluasnya.
Mataku liar melihat kiri dan kanan mencari laluan tikus yang dikata Iqmal dua hari lepas. Setakat ini, aku masih belum menjumpai longkang besar yang digunakan untuk menyusup keluar daripada sekolah.
Kami melintasi bilik-bilik kelas yang tersusun memanjang hingga ke belakang sekolah. Kelas aku berada di bahagian hadapan, Dahlia somewhere di tengah, dan kelas Rose berada di belakang. Kelasnya juga berdekatan dengan makmal sains.
Kami menghampiri hujung pagar sekolah. Di sini juga terletaknya satu kawasan berpagar yang menempatkan barang untuk dilupuskan. Aku dengar, disini keras tempatnya. Ada cerita mengatakan, sesiapa yang melepak di sini akan ditemani 'sesuatu'. 'Sesuatu'yang menyerupai pelajar perempuan lengkap beruniform sekolah, dan berambut hitam panjang mengurai. Namun, setakat ini, mereka berkata 'sesuatu'itu tidak akan melakukan apa-apa. Hanya berdiri tegak memerhatikan sesiapa melepak di sekitar sini pada waktu senja.
Alamak, tiba-tiba bulu tengkuk aku tegak berdiri, dan pipiku sejuk disapa angin lalu. Rose dan Dahlia nampak bahagia sahaja berjalan mendahului aku. Tidak ingin ketinggalan, aku mempercepatkan langkahku.
"Hey, ada orang la duduk-duduk di bangku sana. Tapi, saya tidak cam siapa mereka. Seniorkah?" tanya Dahlia sambil mulutnya dimuncungkan ke arah dua orang lelaki yang sedang duduk di kerusi taman yang disediakan oleh sekolah di sepanjang laluan tepi kelas ini.
"Iya kot, kita pun tak sempat nak mengenali semua senior, kan?" Rose bersangka baik.
"Abaikan aje mereka. Depan tu nanti, kita lalu belakang kelas Rose, ya?" aku mencadangkan begitu kerana ingin meninjau laluan tikus di belakang sekolah pula.
"Okay" serentak Rose dan Dahlia menjawab.
Apabila kami semakin mendekati dua orang lelaki tersebut, kami cuba buat-buat tidak nampak. Namun, sempat aku melirikkan mata ke arah mereka. Eh, mereka sedang melihat tajam ke arah kami bertiga. Seperti sedang memerhatikan pergerakan kami. Aku cepat-cepat merangkul tangan Rose dan Dahlia, dan cepat-cepat mengheret keduanya jauh daripada situ. Wajah mereka... Ada iras Harry, eh, Teacher Harry. Siapa mereka?
Share this novel