BAB 1

Romance Series 26489

Suasana di perkarangan Mahkamah Syariah Gombak ketika itu agak tegang selepas perbicaraan kes perceraian antara Hanis Ariana dan Hakim Hizwan. Mereka sah bercerai selepas Hakim Hizwan mengaku telah melafazkan talak satu ke atas Hanis Ariana pada tanggal 12 Mac 2018 sekitar jam 8.50 malam.

“Sayang. I minta maaf. I nak kita rujuk semula. I sayangkan keluarga kita. I tak nak anak kita jadi mangsa keadaan.”

“Kenapa sekarang baru you rasa tak nak anak kita jadi mangsa keadaan? Kenapa tak dari dulu? Apa yang you minta semua I turutkan. I sanggup berhenti kerja sebab you kata you tak nak Aisyah dibesarkan oleh orang luar. I korbankan banyak perkara, Hizwan. Tapi akhirnya I yang merana.”

“I betul-betul minta maaf. I menyesal. I janji takkan ulanginya lagi. Please Sayang. Kita rujuk semula. Tolonglah fikirkan tentang Aisyah.”

“Dahlah Wan. Ana dah tak nak dengan kau lagi. Buang masa kau je pujuk macam ni. Dulu masa kau sibuk dengan perempuan lain kau tak ingat pulak isteri dengan anak kau. Sekarang bila dah jadi macam ni baru kau nak terhegeh-hegeh.”

Sinis kata-kata Aida, kakak Hanis Ariana kepada Hakim Hizwan yang menemaninya sepanjang perbicaraan berlangsung. Marah sungguh dia bila dapat tahu adiknya sudah bercerai.

Selama 3 tahun adiknya menyimpan rahsia rumah tangganya yang bergelora. Tidak sedikit pun pergaduhan antara mereka suami isteri diceritakan oleh adiknya itu. Patutlah sejak beberapa tahun yang lalu dilihat kelakuan adiknya agak pelik. Menjadi sedikit pendiam dan wajahnya juga kadangkala tidak ceria apabila mereka berjumpa. Tetapi tidak pernah pula dia bertanya kepada adiknya itu. Dia hanya beranggapan yang adiknya cuma keletihan kerana menguruskan rumah tangga.

“Tapi sekarang saya dah menyesal kak. Saya dah tak ada apa-apa hubungan dah dengan perempuan tu. Saya cuma nak Hanis dengan Aisyah je. Saya nak keluarga saya balik. Tu je kak. Tolonglah. Sayang. Please!! Kita rujuk semula.”

Dilihat air mata Hakim Hizwan sudah mencurah-curah membasahi pipinya. Dia seperti hilang arah. Tidak percaya yang mereka sudah tiada ikatan suami isteri lagi. Sungguh! Hakim Hizwan amat menyesali setiap apa yang telah terjadi. Di dalam hatinya hanya mahukan isteri dan anaknya, Aisyah kembali semula padanya seperti dahulu kala.

“Cukuplah Hakim Hizwan. I dah tak boleh nak hidup dengan you lagi. I dah penat nak mengadap semua kerenah you. Penat! I penat sangat! I dah tak larat. I doakan lepas ni you akan berjumpa dengan perempuan yang betul-betul boleh bahagiakan hidup you. Pasal Aisyah, I harap you boleh laksanakan apa yang mahkamah perintahkan. I pergi dulu. Assalamualaikum.”

Hanis Ariana dan Aida melangkah pergi meninggalkan Hakim Hizwan di perkarangan Mahkamah Syariah. Dia nekad tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Mulai saat ini, dia hanya mahu menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap anaknya, Aisyah. Janjinya di dalam hati hanya mahu membesarkan Aisyah sepenuh kasih sayangnya.

Kereta dipandu pulang oleh Aida. Dalam keadaan begini, dia tahu emosi adiknya masih tidak stabil. Seeloknya biarlah dia sahaja yang memandu kereta pada ketika itu. Dilihat adiknya hanya diam membisu merenung ke luar tingkap.

“Apa plan Ana lepas ni?.” Aida memecah kesunyian dengan soalan kepada Hanis Ariana.

Hanis Ariana yang sedang mengelamun tersentak. Dia menoleh ke arah kakaknya yang sedang memandu.

“Hmm… Entahlah kak. Yang Ana tahu sekarang ni Ana nak besarkan Aisyah. Ana nak cari kerja.”

“Baguslah macam tu Ana. Kuatkan semangat. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Sabar banyak-banyak, okey.”

“Pasal rumah, Ana ada tanya rumah sewa dekat dengan tadika Aisyah tu. Sewanya pun tak berapa mahal. Insha Allah minggu depan kami pindah masuk. Kak… terima kasih banyak sebab tumpangkan kami kat rumah akak. Kami dah banyak menyusahkan akak dengan Abang Helmi.”

“Eh. Janganlah cakap macam tu. Kita kan adik-beradik. Time Ana susah akak tolong. Nanti kalau akak susah, Ana pulak tolong akak. Abang Helmi pun tak kisah. Kami tolong apa yang termampu je Ana. Dah. Hal kecik je tu. Jangan duk runsing.”

“Terima kasih, kak.” Hanis Ariana memegang lembut tangan kakaknya yang sedang memandu. Dia menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Dia tersenyum memandang ke luar tingkap. Hatinya harus cekal untuk harungi ujian kehidupannya.

Selang 30 minit perjalanan dari mahkamah, kini mereka tiba di hadapan sekolah tadika Aisyah. Nasib perbicaraan selesai awal. Kalau tidak tentu dia terpaksa meminta tolong Abang Helmi untuk mengambil anaknya itu.

Hanis Ariana keluar dari kereta dan menuju ke pintu pagar sekolah tadika Aisyah. Hanis Ariana melambai tangan ke arah Aisyah yang berlari riang mendapatkan dirinya. Hanis Ariana memeluk erat anaknya itu. Didakap dengan penuh kasih sayang. Dia ingin mengembalikan semangatnya yang telah hilang dengan mendakap anaknya itu. Tidak sedar rupanya air mata yang lama di tahan berguguran jua.

“Mama. Kenapa mama menangis ni?.” Tanya Aisyah selepas pelukan dileraikan.

“Tak ada apa, Sayang. Mama Cuma rindukan anak mama ni je.” Jawab Hanis Ariana sambil tersenyum. Diseka air matanya yang gugur dengan jari. Dia tidak mahu Aisyah melihatnya begitu. Cepat-cepat dia bangun dan memimpin Aisyah ke kereta.

Selepas mengambil Aisyah dari tadika, mereka singgah di kedai makan di depan taman perumahan mereka untuk membungkus makanan. Terasa agak letih pula mahu memasak tengah hari itu ditambah dengan emosi yang sedikit terganggu disebabkan daripada perbicaraan perceraian pagi tadi.

Sejurus tiba di rumah Aida, selepas menyiapkan Aisyah mandi, mereka menjamu selera bersama-sama. Anak-anak Aida juga sudah pulang ke rumah dari sekolah. Hanya Helmi sahaja yang tiada kerana kebiasaannya waktu makan tengah hari dia hanya makan di kedai berhampiran pejabatnya sahaja.

 

 

Share this novel

Qilah Razak
2020-04-29 06:59:41 

Maafff... Laptop sy rosakkk (TT)

Oyokisaloma Sham
2020-04-27 12:17:59 

Bila nak updat ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience