BAB 5

Romance Series 26489

BAB 5

“Iman. Mana nombor telefon Cik Hanis yang tolong mama dulu tu?.” Datin Aliyah yang sedang menyuap mi goreng ke dalam mulut tiba-tiba bersuara.

“Mama ingat nak ajak dia minum-minum esok.” Sambung Datin Aliyah lagi.

“Mama nak minum kat mana tu?.” Tanya Syahrul Iman.

“Hmm… Mama tak decide lagi nak ke mana. Tapi mama macam nak ajak dia shopping-shopping dulu ke. Kemudian baru pergi minum. Iman rasa Cik Hanis tu macam mana orangnya?.”

“Entahlah mama. Mama pun janganlah percaya sangat kat orang. Buatnya dia hanya nak amik kesempatan kat mama aje, siapa tahu kan?.”

“Eh, kamu ni Iman. Tak baik buruk sangka kat orang macam tu. Kan papa?.”

“Betul cakap mama tu. Dia kan dah pulangkan beg duit mama kamu. Tentu orangnya baik.”

Syahrul Iman tidak membalas kata-kata orang tuanya itu. Malas nak berdebat pasal Hanis Ariana. Pada pandangan matanya, wanita itu memang nampak baik dan sopan. Setiap kerja yang diberikan tidak pernah menghampakan. Cuma dia sering kali mencari salah silap wanita itu. Ada sahaja yang tidak kena. Dan setiap kali itu, wanita itu tidak pernah mengeluh. Dia akan betulkan apa yang salah sehinggalah dirinya berpuas hati.

 “Okeylah. Mama, papa. Iman pergi office dulu. Nanti Iman send number Cik Hanis tu pada mama.” Selepas bersarapan, Syahrul Iman bangun dan bersalaman dengan kedua ibu bapanya. Dia harus segera ke Elegant Perfect Designer kerana ada kerja yang perlu disiapkan secepat mungkin.

Sesampai sahaja di pejabat, sempat dia menjeling ke meja Hanis Ariana ketika dia melalui meja wanita itu. Dilihatnya wanita itu sedang membuat kerja di komputer ribanya.

 Tiba-tiba dia berhenti dan berpaling ke meja Hanis Ariana.

“Masuk bilik I sekarang, Ariana.” Hanis Ariana terkedu sekejap bila di sapa tiba-tiba begitu.

“Hah. Baik Encik Syahrul.” Dengan pantas dia bangun dan membuntuti langkah Syahrul Iman.

“Ye, Encik Syahrul. Ada apa-apa yang penting ke?.” Soal Hanis Ariana ketika mereka berada di dalam bilik Syahrul Iman.

“Mestilah ada hal penting I panggil you ni. Takkan I nak panggil saja-saja. Duduk.” Syahrul Iman mengarahkan Hanis Ariana duduk. Tak pernah tak serius nada suara lelaki itu. Hanis Ariana juga sudah lali.

Hanis Ariana duduk dan menanti arahan seterusnya dari Syahrul Iman. Lelaki itu dilihatnya sibuk mencari-cari fail. Fail apa yang dicari itu dia tidak tahu. Mahu bertanya takut pula dimarahi. Maklumlah. Sejak kes beg duit Datin Aliyah kelmarin, Encik Syahrul Iman ni dilihatnya seperti ‘semacam’ layanannya terhadap dirinya. Dia sendiri tidak pasti kenapa. Sepatutnya dia yang perlu bersikap dingin terhadap lelaki itu kerana menuduhnya yang bukan-bukan. Tetapi disebabkan dia hanyalah pekerja, dia terpaksa akur dan cuba melupakan kes itu.

Tiga minit sudah berlalu. Hanis Ariana masih menunggu. Dia jadi tidak selesa pula. Dia teragak-agak mahu bertanya.

“Errr… Encik Syahrul cari apa tu?. Boleh saya tolong carikan sekali.” Tangan Syahrul Iman terhenti seketika semasa mendengar pertanyaan Hanis Ariana itu. Dia memandang wanita yang sedang duduk itu.

“I cari fail projek Indera Malika. Ada you nampak?.”

Mata Hanis Ariana melilau mencari-cari fail yang dicari. Dia bangun menuju ke arah rak bersusun fail. Tangannya ligat menyelak setiap fail yang ada. Tak sampai seminit bibirnya sudah mengukir senyuman.

“Ini dia Encik Syahrul failnya.” Hanis Ariana mengunjuk fail Indera Malika itu kepada Syahrul Iman.

“Jumpa pun. Thanks.” Syahrul Iman menyambut fail tersebut dari tangan Hanis Ariana dan dibukanya.

“Okey. I nak you handle projek Indera Malika ni. Make sure semuanya berjalan lancar. And… Kalau ada apa-apa problem cuba selesaikan dulu. If you tak boleh nak buat, baru you cari I. I tak nak benda-benda remeh pun you buang masa cari I nak tanya. Understand?.”

“Saya faham Encik Syahrul. Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu ye.”

“Hmm… Okey. You boleh keluar.”

Hanis Ariana keluar dari bilik Syahrul Iman sambil membawa fail Indera Malika bersamanya.

Dia duduk di meja dan membuka fail Indera Malika itu. Dia menyemak dan meneliti setiap helaian di dalam fail tersebut. Sesekali keningnya berkerut kerana cuba memahami projek yang diterima. Adakala dia tersenyum kerana sudah faham apa yang diinginkan pelanggan mereka.

“Eh Hanis. Tak nak balik ke? Pukul 1 dah ni.” Laila yang sedang mengemas meja menegur Hanis Ariana.

“Pukul 1 dah ke? Ya Allah. Sekejapnya masa. Tak perasan I.” Jawab Hanis Ariana sambil melihat jam di pergelangan tangannya.

“Yelah. Mana you nak perasan. I tengok you dari tadi busy bukan main lagi.”

“Ni hah Encik Syahrul minta I handle projek Indera Malika yang kat Kuantan tu. Maunya I tak busy. Nak pergi tandas pun tak dan.” Tergelak Laila mendengar kata-kata Hanis Ariana itu.

“Okeylah Hanis. I balik dululah. You tu janganlah kerja keras sangat. Kang jatuh sakit pulak.” Sempat Laila menasihati rakannya itu.

“Baiklah Lailaku sayang. Thanks ambil berat pasal I. Hati-hati balik tu.”

“Okey bye, Hanis.”

“Bye.”

Tak sampai seminit kelibat Laila sudah menghilang disebalik pintu utama. Hanis Ariana menyambung kerjanya semula. Dia bercadang mahu kerja lebih masa pada hari itu kerana mahu menyiapkan kerja yang masih tertunggak sebelum dia menerima projek Indera Malika.

Hanya ada beberapa staf sahaja yang masih belum pulang. Masing-masing tekun dengan amanah yang diberikan. Terasa lenguh pula tengkuknya kerana asyik menunduk memandang komputer. Jari-jarinya juga sudah terasa kebas.

‘Ya Allah letihnya. Baliklah.’ Bisik hatinya. Segera dia bangun dan berkemas-kemas untuk pulang.

Beberapa minit kemudian, dia sudah pun berada di tempat parkir kereta. Dia menuju ke arah kereta Myvi putihnya dan menekan butang buka pada kunci keretanya.

Hanis Ariana membuka pintu keretanya. Dia meletakkan beg tangan dan beg berisi fail di tempat duduk sebelah pemandu. Kemudian dia menghidupkan enjin keretanya. Tidak hidup! Dadanya mula cemas. Keningnya berkerut kerisauan. Dia cuba menghidupkan enjin keretanya sekali lagi tetapi tetap juga tidak hidup.

“Aduh! Kenapa pulak dengan kereta ni? Janganlah buat hal.” Hanis Ariana mengomel sendirian sambil mencuba lagi menghidupkan enjin keretanya.

Tiba-tiba cermin tingkapnya diketuk dari luar.

Tok! Tok! Tok!

‘Kus semangat!!!.’ Macam nak gugur jantungnya bila tiba-tiba ada orang mengetuk cermin tingkapnya. Tangannya mengusap perlahan dadanya dan melihat siapakah gerangan orang yang berada diluar. Dia membuka pintu keretanya.

“Kenapa ni?.” Tanya Syahrul Iman.

“Entahlah Encik Syahrul. Enjinnya tak boleh hidup pulak.”

“Buka bonet depan ni.” Arah Syahrul Iman. Briefcase yang di bimbit di letakkan di atas lantai. Lengan baju kemejanya disinsing separas siku dan butang bajunya dibuka satu di bahagian atas. Kemudian dia membuka bonet enjin kereta Myvi milik Hanis Ariana. Dia memeriksa enjin kereta tersebut.

“Enjin kereta you ni ada yang problem. Bila last you servis?.” Tanya Syahrul Iman kepada Hanis Ariana yang setia berdiri di sebelah dirinya sedari tadi.

“Errr… Lebih kurang tujuh bulan lepas kot, Encik Syahrul.” Jawabnya teragak-agak. Memang sudah lama keretanya tidak di servis. Seingatnya kali terakhir keretanya di servis semasa dia masih menjadi isteri Hakim Hizwan.

“What??? Seven months ago??.” Syahrul Iman menggeleng kepala. Hanis Ariana pula sudah menggigit bibir.

“Kereta ni macam manusia juga. Kena jaga. Kena servis. Kalau dibiar ‘sakit’ lama-lama nanti you juga yang parah kena rawat dia.” Syahrul Iman menyambung lagi. Tak pasal-pasal dapat bebelan percuma petang itu. Huh!.

“So, you nak balik naik apa ni?.” Soalnya lagi.

“Hmm… Terpaksalah saya naik Grab aje.”

“Kereta you ni?.”

“Saya akan minta tolong abang ipar saya hantarkan orang baiki nanti.”

Selepas mendengar jawapan daripada Hanis Ariana itu, Syahrul Iman menutup semula bonet enjin kereta Myvi putih itu. Dia mengambil briefcase yang diletak di atas lantai tadi.

“Ambil barang you. I hantarkan you balik.”

“Eehh… Tak payahlah Encik Syahrul. Saya naik Grab aje. Tak payah susah-susah. Lagipun jalan kita tak sehala.” Hanis Ariana menolak.

“Ambil barang you sekarang. Kunci kereta you ni. I tunggu kat kereta I.” Tanpa menunggu persetujuan daripada wanita itu, Syahrul Iman terus berlalu pergi ke keretanya. Membulat mata Hanis Ariana apabila ditinggal begitu. Melopong mulutnya kerana kehilangan kata-kata.

Tergopoh-gapah Hanis Ariana mencapai barangnya di dalam kereta dan mengunci pintu kereta Myvinya. Cepat-cepat dia berlari menuju ke kereta BMW 330i M Sport berwarna Black Sapphire itu.

Syahrul Iman sudah menantinya di dalam kereta. Berebut-rebut Hanis Ariana membuka pintu dan masuk ke dalam kereta mewah itu. Dia tidak mahu Encik Syahrul Iman menunggunya lama. Tanpa menunggu lagi, Syahrul Iman terus bergerak meninggalkan ruang parkir kereta.

Dalam perjalanan pulang, mereka tidak banyak bercakap. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Lima belas minit perjalanan, tiba-tiba Syahrul Iman bersuara.

“Ni nak hantar you kat rumah hari tu ke?.” Hanis Ariana terkejut. Dia memegang dadanya.

“Hah? A’ah. Hantar saya kat rumah hari tu.”

“Okey.” Jawabnya ringkas. Laju keretanya menyelusuri jalan raya di ibu kota itu.

Sejam kemudian mereka sampai di hadapan rumah kakak Hanis Ariana, Aida. Syahrul Iman memberhentikan keretanya. Hanis Ariana mengambil beg tangan dan barangannya yang lain sebelum membuka pintu.

“Ermm… Terima kasih ye, Encik Syahrul hantar saya balik.”

“Hem. Sama-sama.” Tanpa memandang dirinya, majikannya itu hanya menjawab ringkas ucapan terima kasihnya.

Hanis Ariana keluar dari kereta BMW 330i M Sport itu. Dia menutup perlahan pintu kereta tersebut. Selepas sahaja pintu ditutup, Syahrul Iman terus memandu pergi. Dia mengeluh perlahan.

Sebenarnya dia tidak faham dengan perangai majikannya yang seorang itu. Wajahnya tidak pernah senyum. Selalu kelihatan serius dan garang. Berbeza pula dengan Dato Redhuan yang lebih mesra pekerja. Patutlah dia digelar ‘garang macam singa!.’

Hanis Ariana masuk ke dalam rumah Kak Aida. Selepas menceritakan masalah yang menimpa, dia meminta tolong abang iparnya, Helmi menghantar pomen untuk membaiki keretanya esok.

Selepas makan malam di rumah Kak Aida, Hanis Ariana meminta tolong abang iparnya untuk menghantarnya dan Aisyah pulang ke rumah. Walaupun kakaknya berkali-kali mengajak mereka bermalam di sana, namun Hanis Ariana tetap mahu pulang. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga kakaknya lagi.

Masuk sahaja di dalam rumah, tiba-tiba telefon bimbit Hanis Ariana berbunyi. Keningnya berkerut melihat skrin telefon. ‘Nombor tidak dikenali’ tertera. Hatinya tertanya-tanya. Takut juga jika Hakim Hizwan yang menelefon. Dengan berhati-hati dia menjawab panggilan tersebut.

“Hello. Assalamualaikum.” Suara perempuan!

“Waalaikumussalam. Ye. Cari siapa?.”

 “Ni Cik Hanis, kan?.”

“Ye saya. Saya Hanis. Ni siapa ye?.” Hatinya masih tertanya-tanya. Ligat fikirannya mengecam pemilik suara di talian telefon.

“Sayalah. Datin Aliyah. Ingat tak?.” Hanis Ariana sudah mengukir senyuman. Manakan tidak dia melupai wanita itu.

“Oh. Hah. Datin Aliyah. Apa khabar?.”

“Alhamdulillah, baik-baik saja. Cik Hanis sihat?.”

“Sihat alhamdulillah, Datin. Hmm… Ada apa ni Datin telefon saya malam-malam ni? Ada hal penting ke?.”

“Tak adalah penting pun. Hmm… Esok Cik Hanis free tak? Saya ingat nak ajak Cik Hanis keluar minum-minum. Window shopping ke. Boleh ke?.” Pelawa Datin Aliyah.

“Oh ye ke? Hah… Ikutkan tak ada apa-apa program esok. Cuma saya nak betulkan kereta saya rosak je. Hmm… Datin nak ajak keluar pukul berapa tu?.”

“Kalau pukul 9 pagi? Boleh?.”

Hanis Ariana berfikir sejenak. Mahu menolak rasa tidak sedap pula. Hendak membiarkan abang iparnya sendiri menguruskan keretanya rasa seperti mengambil kesempatan pula.

“Hmm… Insha Allah Datin. Tapi kita nak jumpa di mana tu Datin?.”

“Nanti saya datang jemput Cik Hanis. Rumah kat mana?. Nanti Cik Hanis send location pada saya ye.”

“Eh tak payahlah Datin. Tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Datin sebut aje nak jumpa kat mana. Nanti kita jumpa kat sana aje.”

“Tak apa Cik Hanis. Saya jemput Cik Hanis ye esok. Nanti send saya location tau.”

“Tapi Datin…” Hanis Ariana cuba menolak.

“Dah jangan tapi – tapi lagi. Esok Cik Hanis tunggu aje kat rumah okeh.”

“Err… Baiklah Datin. Kalau dah Datin cakap macam tu. Nanti saya bagi lokasi rumah saya ye.”

“Hah macam tulah. Kita jumpa esok ye. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Klik! Telefon dimatikan.

Selepas telefon dimatikan, Hanis Ariana duduk bersandar di atas sofa. Dia berfikir sebentar kemudian dia menelefon Aida dan meminta abang iparnya itu bantunya esok  memanggilkan pomen.

Syukurlah abang iparnya tidak ada apa – apa urusan esok. Dapatlah dia bantu. Lagi pula dia sudah meninggalkan kunci kereta pada kakaknya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience