Bab 15

Fantasy Series 1713

WAKTU malam menjelang tiba. Nara dan Bonang terpaksa menghentikan perjalanan mereka dan bermalam di pertengahan jalan. Mereka mengumpulkan kayu api di belukar berhampiran dan memilih serta membersihkan kawasan pinggir hutan untuk dijadikan tempat penginapan. Unggun api dinyalakan dan pada malam tersebut, mereka tidur beralaskan tanah dan berbumbungkan langit.

Pertengahan malam, Nara terjaga dari tidurnya. Hatinya tiba-tiba resah dan dia tidak dapat meneruskan tidurnya. Setelah berbalik badan ke kiri dan kanan berulang kali, akhirnya Nara bangkit dari pembaringan. Entah apa yang merungsingkan hatinya.

Tidak lama kemudian, perutnya dirasakan memulas. Nara memandang ke arah Bonang yang lena diulit mimpi. Tidak ingin mengganggu tidur temannya itu, Nara perlahan-lahan berdiri dan menuju ke arah pantai.

Sampai di kawasan yang berhampiran gigi air, pemuda itu langsung mengorek lubang pada pasir pantai menggunakan tangannya. Selesai mengorek lubang, Nara segera duduk mencangkung dan melepaskan hajatnya di situ.

Ketika Nara sedang membuang air besar dan Bonang pula terus lena diulit mimpi, tanpa disedari oleh mereka, bahaya mula menghampiri.

Dalam kegelapan malam itu, terlihat sosok lembaga dua orang lelaki yang masing-masing sedang menunggang kuda menghampiri ke arah Bonang. Mereka menuju ke sana setelah tertarik oleh cahaya dari unggun api yang masih menyala. Setelah menghampiri Bonang yang masih tidak sedarkan diri dari tidurnya, dua orang lelaki tersebut turun dari tunggangan kuda. Bonang ditenung oleh mereka.

Tanpa menunggu lama, salah seorang dari lelaki tersebut melepaskan satu sepakan kepada Bonang. Bonang yang disakiti segera tersedar. Tiba-tiba dadanya diinjak dengan kuat menggunakan tapak kaki oleh salah seorang lelaki yang baru tiba itu. Bonang yang masih terpisat-pisat itu mengerang kesakitan. Tanpa diduga, sebilah belati pula hinggap di leher Bonang. Rasa sejuk dari hujung mata belati yang menyentuh kulitnya membuatkan darah Bonang segera menderau.

“Hoi budak.. Kau datang dari mana? Kau sedang berpetualang ya? Kau pasti mempunyai wang kan? Serahkan semuanya kepada kami.” Lelaki itu segera mengugut Bonang.

Dari kejauhan, Nara pula mula menyedari kehadiran pendatang yang tidak diundang. Setelah menyelesaikan hajatnya, Nara baru sahaja ingin kembali ke tempat Bonang. Namun dari jarak jauh itu, dia sudah dapat melihat kelibat dua orang lelaki bersama dua ekor kuda. Nara segera merebahkan dirinya ke pasir pantai agar keberadaannya tidak diketahui. Perlahan-lahan Nara merangkak menuju ke arah belukar yang jauh sedikit dari kedudukan Bonang dan dua orang lelaki yang mendatangi mereka itu.

Bonang dipukul bertali arus. Mulut dan hidungnya sudah mengeluarkan darah yang meleleh akibat menerima serangan dari pendatang yang tidak diduga itu.

“Mana wang kau? Serahkan semuanya kepada kami..” Lelaki penyerang itu semakin berang. Dia menampar dan memukul Bonang berkali-kali.

“A..aku..aku tak ada wang..” Bonang menjawab dengan penuh ketakutan. Dia juga mula berfikir dimanakah Nara pada ketika itu. Kenapa Nara menghilang di saat dirinya diseksa sedemikian oleh pendatang yang tidak dia kenali. Malah Bonang memang tidak memegang walau sekeping wang. Semua wang dan emas mereka dipegang oleh Nara.

“Mana mungkin kau berpetualang tanpa membawa wang.” Lelaki itu menendang Bonang sehingga membuatkan pemuda gendut itu terpelanting jauh. Bonang berguling-guling menahan kesakitan manakala lelaki yang menyerangnya itu berjalan menuju ke arah Bonang untuk terus menyeksanya. Teman kepada lelaki itu pula hanya tersenyum melihat mangsa mereka diseksa. Dia kemudian menggeledah kantung kain yang terletak berhampiran kawasan tidur Bonang tadi. Lelaki itu mendengus geram apabila mendapati karung tersebut hanya mengandungi buah-buahan sahaja. Satu lagi karung di geledah dan dia hanya menemui pakaian.

Tiba-tiba Nara muncul dari belukar dan menyerang lelaki yang sedang menggeledah barangan mereka. Satu pukulan keras dari sebatang kayu yang dihayun oleh Nara tepat mengenai kepala lelaki tersebut. Lelaki yang sedang menendang Bonang terkejut. Dia segera berpaling ke arah Nara dan temannya. Temannya itu terlihat sudah terkulai tidak sedarkan diri di tanah.

“Tak guna.. Masih ada tikus lain rupanya..” Lelaki itu mendengus geram kerana tidak menyedari kewujudan Nara sebelum ini. Tadi, dia dan temannya hanya menyangka Bonang tidur sendirian di situ.

Melihat keadaan temannya yang sudah tidak sedarkan diri, lelaki yang sedang memukul Bonang meninggalkan mangsanya dan menuju ke arah Nara. Belati di tangannya dipegang dengan kejap. Dia sudah tidak sabar untuk menusukkan belati tersebut ke perut Nara. Walaupun Nara sedang memegang sebatang kayu, namun lelaki itu langsung tidak gentar. Dia tetap memandang rendah terhadap anak muda yang berdiri dihadapannya itu dan yakin akan menghabisi riwayat Nara sebentar lagi.

“Na..Nara..” Bonang bersuara perlahan apabila menyedari kehadiran Nara. Di hatinya, dia gembira dengan kemunculan Nara yang ingin membantunya. Namun Bonang juga turut khawatir jika Nara akan tertewas dengan lelaki yang sudah menyerangnya sebentar tadi. Walau bagaimanapun, Nara adalah satu-satunya harapan untuk mereka melepaskan diri dari perompak yang membahayakan keselamatan diri mereka itu. Segala harapan terpaksa diletakkan kepada Nara.

Perkelahian mula berlaku di antara Nara dan lelaki yang cuba merompak itu. Masing-masing melepaskan serangan, namun serangan dari kedua mereka sama-sama meleset. Hayunan kayu dari Nara berjaya dielakkan dan tikaman daripada belati oleh lelaki tersebut juga berjaya Nara hindari. Masing-masing berwaspada dengan serangan lawan mereka. Satu kesilapan sahaja, nyawa mereka akan melayang.

Tidak ingin kelamaan dengan keadaan tersebut, Nara mengambil keputusan berani untuk segera mengakhiri. Dia membaling kayu pada pegangannya ke arah tangan lawannya yang sedang memegang belati. Serangan Nara mengenai sasaran. Belati yang menjadi senjata lelaki tersebut terlepas dari genggaman akibat serangan Nara.

Nara segera mengambil peluang untuk menguis pasir ke arah muka lawannya dengan menggunakan kaki. Lelaki tersebut terundur ke belakang beberapa tapak sambil memejam matanya kerana serangan pasir halus yang ditujukan ke arah wajahnya. Nara langsung menerpa dan menumbuk lelaki tersebut.

Serangan Nara berjaya membuatkan lelaki tersebut rebah ke bumi. Kini mereka mula bergelut di tanah. Nara yang berada di atas tubuh lawannya menumbuk beberapa kali wajah lelaki tersebut. Sejenak kemudian, lawannya itu kembali membalas tumbukan dan menggulingkan badannya. Kini kedudukan mereka berganti. Sekarang Nara pula yang berada di bawah dan menerima tumbukan dari penyerangnya.

Tidak ingin membiarkan dirinya terus menerima serangan lawan, Nara menarik kaki kanannya dan menendang lawannya sehingga membuatkan lawannya itu tercampak ke belakang.

Lelaki yang tercampak itu kemudian menyambar kembali belatinya yang berada di tanah. Dia kembali menuju ke arah Nara yang masih terbaring di tanah. Belati pada pegangan tangannya dipegang erat. Tangannya segera dihayun dengan mata belati yang tajam tertuju ke arah dada Nara. Tidak ingin mengalah, Nara segera menyanggah dan menahan tangan penyerangnya. Mata belati hampir saja menyentuh dada Nara.

“Bonang! Tolong aku!” Nara menjerit meminta bantuan daripada Bonang. Tangannya tidak kuat untuk terus menahan tujahan yang tertuju ke dadanya. Sakit pada luka di lengan kirinya akibat badik kelmarin belum lagi sembuh, kini dirasakan semakin menyengat.

Pada masa yang sama, Bonang pula gementaran seluruh badan. Dia benar-benar ketakutan. Lelaki yang memukulnya tadi terlihat sangat menakutkan. Malah pertarungan nyawa di antara Nara dan lelaki tersebut yang disaksikan Bonang semakin menggentarkan jiwanya. Dia tidak berani untuk menyerang lelaki yang telah mencederakan dirinya tadi. Lututnya juga terasa lemah untuk bangkit berdiri.

“Bonang! Cepat, bantu aku! Aku sudah tak tahan lagi..”Nara mengulangi jeritannya meminta tolong. Namun Bonang tetap kaku di tempat duduknya. Tangannya menggeletar. Melihat nyawa Nara yang sedang terancam, Bonang cuba untuk bangkit berdiri dan membantu saudaranya itu. Namun ketakutan lebih menguasai dirinya.

Tidak mampu untuk terus menahan tujahan belati daripada lawannya, Nara terpaksa bertindak dan tidak terus mengharapkan bantuan daripada Bonang. Dia sekali lagi mengangkat kakinya dan menendang lawannya untuk mendorong lelaki yang menyerangnya itu berundur.

Setelah berjaya mencampakkan lawannya, Nara segera bangkit dan mencapai sebatang kayu. Lelaki yang menyerangnya itu juga segera berdiri dan berlari menuju ke arah Nara. Akhirnya satu serangan penghabisan dilancarkan oleh mereka ke arah lawan masing-masing. Belati tajam dituju ke arah perut Nara dan hayunan kayu dari Nara pula menuju ke arah kepala lawannya. Masing-masing ingin segera mengakhiri perlawanan dengan menamatkan nyawa lawan mereka.

Nara yang sempat memusingkan badannya di saat menghayunkan kayu terelak daripada mata belati menembusi perutnya. Manakala hayunan kayu daripada Nara pula tepat mengenai kepala lawannya. Lelaki yang menerima serangan Nara itu berguling di tanah, menahan kesakitan. Nara pula masih berdiri dengan nafas yang tercungap-cungap. Perlahan-lahan Nara berjalan mendekati lawannya yang sedang mengerang kesakitan. Melihat keadaan lelaki tersebut, hati Nara dikuasai amarah yang penuh kebencian. Dia tidak ingin manusia seperti itu terus hidup di atas muka bumi ini.

“Mampuslah kau!” Nara menghayunkan lagi tangannya yang masih memegang kayu dan menghentak kepala lelaki tersebut. Pukulan diteruskan lagi ke seluruh badan lawannya itu.

“Maaf.. tolong..maafkan aku.. jangan.. bunuh.. aku..” Lelaki tersebut bersuara perlahan. Merayu keampunan dan memohon agar nyawanya disisakan.

Nara menghentikan pukulannya. Dia kemudian membaling kayu di tangannya ke arah lelaki yang sudah longlai di tanah itu. Air liur dari mulutnya diludah ke arah lelaki tersebut. Nara kemudian berdiri kaku sambil menatap lelaki dihadapannya dengan nafas yang tercungap-cungap.

Dia kemudian mengalihkan pandangannya kepada Bonang. Saudaranya itu masih terduduk di tanah sambil terketar-ketar seluruh badannya. Nara menarik nafas yang dalam dan segera menghembus kembali sebelum dirinya berjalan menuju ke arah Bonang. Dia memegang tangan Bonang dan segera menarik untuk mendorong saudaranya itu bangkit berdiri. Luka pada mulut dan hidung Bonang ditatap oleh Nara. Terdapat juga beberapa kesan lebam dan calar pada wajah dan seluruh tubuh Bonang.

Hati Nara kembali sakit apabila melihat saudaranya diperlakukan sebegitu kejam. Dia kembali melihat ke arah dua orang lelaki yang sudah tewas di tangannya. Mereka masih bernyawa walaupun mengalami kecederaan parah. Nara sempat berfikiran untuk menamatkan riwayat mereka, namun sejenak kemudian dia membatalkan niatnya. Dia tidak ingin menjadi pembunuh. Mengambil nyawa manusia itu bukan sesuatu yang mudah. Dia tidak ingin dipertanggung jawab di atas kes pembunuhan.

“Ayuh Bonang, kita beredar segera dari sini..” Nara menuntun tangan Bonang. Mereka bergerak menuju ke kawasan unggun api dan membungkus semula barangan mereka di dalam kain. Selesai mengemaskan barangan, Nara mendorong Bonang untuk menunggang di atas kuda. Dia kemudian menepuk punggung kuda yang lainnya dan kuda tersebut segera berlari meninggalkan kawasan tersebut. Nara kemudian segera naik dan menunggang kuda bersama Bonang. Kuda itu dikerahkan untuk bergerak dan beredar dengan segera.

“Bagaimana dengan mereka?” Bonang mula bersuara.

“Biarkan saja mereka berdua di situ.. Bagaimana mereka menyeksa orang, merompak dan meninggalkan mangsa mereka dalam kesakitan, mereka juga harus merasakan apa yang orang lain rasakan..” Nara berpaling sebentar ke arah dua perompak yang sudah lemah tergeletak sambil mengerang kesakitan.

“Nara.. maafkan aku.. Tadi.. aku.. tak mampu menolong kau..” Bonang meminta maaf di atas kelemahannya. Dia tadinya sangat ketakutan sehingga membiarkan nyawa Nara terancam.

“Sudahlah Bonang.. Bukan aku tak kenal kau.. Badan saja besar, tapi besar kalang.” Nara melepaskan tawa. Bonang terdiam. Kata-kata Nara ada benarnya. Dia benar-benar penakut walaupun berbadan besar. Walaupun dirinya dan Nara membesar bersama, namun sifat mereka jauh berbeza. Kemudian, Nara dan Bonang segera memacu kuda tunggangan mereka untuk berlari dengan pantas dan meredah kegelapan malam di pesisiran pantai itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience