SEKEMBALINYA Nara dan Bonang ke rumah mereka, Nara segera membuka kilas kain sarung yang melilit di pinggangnya. Dari celahan kilas kain tersebut, Nara mengeluarkan sebilah mata keris. Dengan penuh hati-hati, dia memegang bilah keris tersebut. Seni ukiran dan tempaan pada bilah keris tersebut benar-benar indah dan memukau pandangan Nara. Bonang pula hanya melihat temannya itu menatap bilah keris tersebut.
"Kau beli ke bilah keris tu?" Bonang melontarkan pertanyaan.
"Aku dapat dari kedai senjata tadi la.."
"Dapat? kau beli atau di beri hadiah? ke.. kau curi?" Bonang mula curiga dengan Nara.
Hanya dari sekilas pandang sahaja pada bilah tersebut, Bonang yakin ia adalah keris yang berkualiti. Kalau di beli, pasti harganya sangat mahal. Jika di beri secara percuma, agak mustahil untuk orang menghadiahi Nara keris sebegitu. Nara bukanlah sesiapa untuk diberikan hadiah bermutu tinggi oleh seseorang.
Nara pula langsung tidak mengendahkan pertanyaan Bonang. Dia hanya terus menatap bilah keris di tangannya tanpa menjawab soalan yang di berikan. Bonang cuba memerhatikan bilah keris di tangan Nara dengan teliti.
"I..ini.. ini keris bangsawan.. setidaknya, laksamana sahaja yang layak memakai keris ini.." Bonang mulai tersentak apabila menyedari bilah keris di tangan Nara itu.
"Syyhh.. Jangan cakap kuat-kuat.." Nara meletakkan jari telunjuknya yang tegak ke langit, rapat ke bibir mulut.
"Apa maksud kau? Bagaimana kau dapat keris ni Nara?" Bonang memperlahankan suaranya. Dia mulai cemas dengan bilah keris yang di miliki oleh Nara. Keris seperti itu adalah tidak layak sama sekali untuk di miliki oleh mereka sebagai orang kebanyakan. Dia yakin Nara telah mencuri bilah keris milik bangsawan itu.
"Ini adalah keris raja.. keris milik sultan.."
"Keris..keris sultan? kau benar-benar sudah gila Nara.. apa kau mahu kita di pancung oleh sultan?"
"Hanya kau dan aku sahaja yang tahu Bonang. Kalau kau tidak memberitahu kepada orang lain, tiada orang yang akan tahu."
"Tapi..untuk apa kau ambil keris raja ni?"
"Aku pun tak tahu kenapa.. Aku rasa keris ini yang mahu aku menjadi pemiliknya.. Keris ini yang memanggil-manggil aku untuk mendekatinya.." Nara terus menatap bilah keris di tangannya.
"Keris tu pula yang hendak mencari pemilik.. padahal kau yang mencurinya.." Bonang menepuk dahi. Dia benar-benar tidak faham apa sebenarnya yang di fikirkan oleh Nara sehingga berani mencuri harta milik Sultan.
Bonang termenung seketika. Apa pun yang akan terjadi, dia akan menanggung risikonya bersama Nara. Dia tidak menyalahkan Nara kerana mencuri bilah keris milik sultan itu. Dia tahu Nara seorang yang nekad dan akan melakukan apa sahaja demi mereka. Bahkan Nara juga sanggup menggadaikan nyawa untuk dirinya. Jadi Bonang juga tidak akan meninggalkan Nara dan bersumpah akan sentiasa bersama walaupun nyawa menjadi taruhan. Dia terlalu banyak terhutang budi kepada Nara.
"Ayuhlah makan dulu.. Ah.. aku hampir terlupa.." Bonang seolah-olah terkejut.
"Kenapa Bonang?"
"Semalam aku dengar, ada kiai dari tanah jawa datang ke perkampungan kita.. kabarnya dia hendak menyampaikan kuliah agama di sini. Ayuhlah nanti kita pergi ke surau.." Bonang bercerita dengan penuh semangat.
"Kau nak percaya ke cakap lebai tu semua? Dah la datang dari jawa sana.. kenapa perlu datang ke sini pula? Mungkin dia tu kaki penipu.. orang tanah jawa pun tak nak percaya dah padanya. Sebab tu dia lari, datang ke sini pula.." Nara sepertinya mempunyai pandangan yang buruk terhadap golongan agamawan.
"Ishh.. tak baik la kau cakap begitu.. kalau dia itu betul-betul orang yang baik macam mana? kita pergi dulu dengar kuliah dia.."
"Yalah.. nanti kita pergi la." Nara tidak ingin terus berbahas dengan Bonang.
Bilah keris di tangannya kemudian di bungkus di dalam sehelai kain. Dia perlu menyorokkan bilah tersebut dengan berhati-hati agar tidak di ketahui oleh sesiapa pun.
Bonang sudah mula membuka saji yang menutupi hidangan makan malam mereka. Setelah berfikir seketika, Nara lantas memanjat tiang rumahnya. Lelaki muda itu kemudian menyelitkan bungkusan kain yang membaluti bilah keris di celah kayu yang menjadi galang atap. Setelah menyembunyikan bilah keris tersebut, Nara langsung turun dan menuju ke arah Bonang untuk makan malam bersama.
BEBERAPA orang penduduk kampung baru usai melaksanakan solat fardhu maghrib di surau. Nara dan Bonang pula baru tiba di tangga surau berkenaan. Rumah mereka yang terletak jauh dari penempatan masyarakat dan berada paling hujung di kampung tersebut menyebabkan mereka terlambat sampai.
Bonang dan Nara segera menjejakkan kaki mereka di lantai surau dan segera duduk di sudut belakang. Mereka tidak menunaikan solat dan duduk jauh dari jemaah yang cuma beberapa orang di surau itu. Jemaah lainnya duduk menghadap seorang lelaki tua yang asing. Lelaki tua itu adalah Kiai Muhsin Tuban, seorang alim yang berkelana dari tanah jawa.
Sementara menunggu waktu solat isyak, para jemaah kusyuk mendengarkan kuliah dari kiai tua tersebut. Bonang juga menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap kata-kata lelaki dari tanah jawa itu. Namun bagi Nara pula, ucapan lelaki tua itu sangat membosankan. Dia hanya mendengar kuliah yang disampaikan itu sekadar angin lalu sahaja. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
"Menurut hadith Imam Muslim, sesiapa yang memasuki sesuatu jalan bagi menuntut ilmu, Allah akan mudahkan kepadanya jalan ke syurga. " Kiai Muhsin Tuban berkuliah sambil memejamkan matanya. Bonang benar-benar tertarik kepada ayat yang di sampaikan oleh lelaki tua itu.
"Jadi, dengan mencari ilmu, bukan sahaja akan menjadi pintar, tapi akan mudah untuk masuk syurga?" Bonang tiba-tiba mencelah ketika kuliah masih sedang berlangsung. Beberapa orang jemaah segera berpaling ke belakang dan melihat ke arah Bonang. Kiai Muhsin Tuban juga mencelikkan matanya, menatap ke arah Bonang yang berada di sudut paling belakang dalam ruangan surau tersebut.
"Benar anak muda.. Jika menuntut ilmu, pasti ilmu itu akan menjaga dirimu. Kau akan mampu membezakan diantara yang haq dan batil. Jika kau menjaga yang haq dan menghapuskan yang batil, bukankah kau akan terhindar dari melakukan dosa dan cenderung mengumpulkan pahala? Maka benarlah, jalanmu untuk ke syurga menjadi lebih mudah. Malah orang yang menuntut ilmu itu adalah pejuang fisabilillah. Orang yang mendapat rahmat Allah Kita akan ke syurga juga kerana rahmat dari Allah " Kiai Muhsin Tuban tersenyum sambil menjawab soalan Bonang.
"Menuntut ilmu, apakah dengan sentiasa mendengar kuliah?" Bonang kembali bertanya.
"Majlis ilmu adalah salah satu sumber ilmu.. Banyakkan juga membaca. Membaca itu jambatan kepada ilmu.. Tapi, walaupun sudah banyak membaca, jangan lupa juga untuk bertalaqi. Menuntut ilmu itu perlu berguru.. jika tiada guru, maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya.."
"Bagaimana jika tidak tahu membaca?"
"Menurut Ibnu Majah, dari hadith yang diriwayatkan dari Anas bin Malik, katanya, Rasulullah bersabda, menuntut ilmu adalah satu fardhu yang wajib ke atas tiap-tiap seorang Islam. Maka jika kita tidak tahu, wajib untuk kita belajar.. Rasululllah sendiri adalah seorang yang ummi.. buta huruf.. Kali pertama malaikat Jibril mendatangi Rasulullah di gua hira', Jibril minta Rasulullah untuk baca.. iqra'.. bacalah..Tapi Rasulullah hanya menjawab, ma ana bi qari, aku tidak tahu membaca.. Namun setelah menerima wahyu, Rasulullah pula yang menyampaikan ilmu yang berupa wahyu itu kepada para sahabat. Dari seorang yang buta huruf, akhirnya Rasulullah menjadi gedung ilmu dan ilmunya tersebar ke serata dunia malah kekal sehingga kini. Oleh itu, jangan jadikan alasan tidak tahu membaca untuk tidak menuntut ilmu.. belajar membaca itu adalah gerbang permulaan untuk memasuki taman-taman ilmu."
Bonang dan semua jemaah yang mendengar ucapan Kiai Muhsin Tuban terpana. Masing-masing mula terdetik rasa ingin belajar dan menuntut ilmu di hati mereka. Sebelum ini mereka tidak tahu keperluan mencari ilmu itu adalah wajib di dalam agama Islam. Bahkan sebahagian besar penduduk kampung mereka masih tidak begitu memahami dan tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Selama ini tiada ustaz atau alim ulama yang tinggal dan mengajarkan mereka tentang agama di sana. Penduduk di situ hanya mengamalkan agama sebagai ikutan orang tua sahaja. Kini kehadiran Kiai Muhsin Tuban mula menyedarkan mereka tentang ajaran Islam yang sebenar.
Tidak lama kemudian, Kiai Muhsin Tuban menghentikan kuliah agamanya untuk memberi laluan kepada laungan azan isyak. Mereka bersolat isyak secara berjemaah, termasuklah Nara dan Bonang walaupun selama ini mereka tidak bersolat.
Usai solat isyak, para jemaah yang tidak sampai sepuluh orang itu mulai bubar dari surau. Kiai Muhsin Tuban hanya berdiri melihat para jemaah mula menuruni tangga surau. Tiba-tiba Kiai Muhsin Tuban di sapa oleh Bonang.
"Pak kiai.. bolehkah ajarkan saya membaca?" Bonang tersenyum kepada kiai tua itu. Di samping Bonang, Nara berdiri mendiamkan diri.
"Insyaallah.. kalau begitu, datanglah ke surau ini selepas waktu zohor atau asar esok."
"Saya cuma boleh datang selang sehari saja Pak Kiai.. sehari saya akan berjualan di kota.. sehari saya akan menguruskan kebun.. kalau hari berniaga, saya akan pulang lewat.. esok hari saya uruskan kebun, bolehlah saya datang ke sini.. saya akan siapkan urusan di kebun lebih awallah dari biasa kalau begitu.."
"Kamu berkebun dan berjualan sendiri?"
"Iya pak kiai.. sudah beberapa tahun kami berdua lakukan kerja sendiri.." Bonang menjawab sambil tersengih, menampakkan barisan giginya.
"Hmm.. sungguh tabah kalian berdua.. dari kecil sudah bekerja sendiri tanpa di jaga orang tua.." Kiai Muhsin Tuban menepuk bahu Bonang.
Bonang dan Nara tersentak mendengar kata-kata Kiai dari tanah jawa itu. Mereka belum pun memperkenalkan diri mereka, namun entah bagaimana lelaki tua tersebut tahu mereka sudah kehilangan orang tua sejak dari kecil dan mereka terpaksa bekerja sendiri untuk menyara kehidupan mereka. Di hati mereka, mula terdetik pertanyaan tentang persoalan tersebut.
"Aku hanya manusia biasa.. tiada yang aku ketahui melainkan dengan izin Allah semata-mata.." Kiai Muhsin Tuban tersenyum. Nara dan Bonang pula terus tercengang. Perkataan orang tua itu sepertinya menjawab pertanyaan di hati mereka sebentar tadi.
"Kamu juga akan datang belajar setelah pulang dari laut?" soal Kiai Muhsin kepada Nara.
"Bagaimana.." Nara semakin terpempan. Pertanyaannya tersekat di kerongkong dan tidak mampu di habiskan. Kiai Muhsin Tuban benar-benar bukan manusia biasa. Bagaimana pula dia tahu Nara mencari hasil di laut sebagai nelayan.
"Dialah yang mengajarkan manusia kepada apa yang mereka tidak tahu.. Apakah kamu akan belajar membaca juga? Atau kamu sudah pandai membaca?"
"Aku tidak tahu.." Nara menjawab tanpa menunjukkan minat. Kiai Muhsin Tuban pula terus meleretkan senyuman seraya melanjutkan kata-katanya.
"Sabda Rasulullah, ilmu itu ada tiga bahagian iaitu kitab yang berbicara, sunnah yang berdiri tegak dan berkata aku tidak tahu.."
Nara dan Bonang semakin terpinga-pinga. Nara semakin tidak ingin berterusan berada di hadapan Kiai Muhsin Tuban. Dia benar-benar rimas mendengar kata-kata lelaki dari tanah jawa tersebut.
Kata-kata lelaki tua itu seperti mengetuk pintu hatinya dan lebih meresahkan apabila lelaki tua itu sepertinya mampu membaca hati dan fikiran mereka.
Nara tanpa menunggu, terus menuruni anak tangga surau dan dia di ikuti oleh Bonang yang terlebih dahulu bersalaman dengan Kiai Muhsin Tuban sebelum meminta diri untuk pergi. Kiai Muhsin Tuban hanya melihat kelihat dua orang anak muda itu berlalu semakin menjauh dari surau berkenaan. Dia yang baru tiba di kampung tersebut hanya terus menetap di surau berkenaan buat sementara waktu.
Share this novel