PENGLIHATANNYA berbinar dan sedikit kabur. Nara yang baru tersedar daripada pengsannya bingung dan tidak tahu dimana dirinya berada sekarang. Walaupun segala sendinya terasa lenguh, Nara tetap menguatkan diri untuk bangkit dari pembaringan. Dalam keadaan kakinya yang berlunjur, Nara mendapati dia sedang berada di atas katil pada ruangan sebuah bilik. Satu ruangan yang tersangat asing bagi Nara. Matanya melilau melihat ke sekeliling arah.
"Dimana aku sekarang? Macam mana aku boleh sampai ke tempat ni?" Nara bermonolog di dalam hatinya. Dia kemudian menginjakkan kakinya ke lantai seraya bangkit berdiri dari katil yang menjadi tempat pembaringannya tadi. Beberapa detik kemudian, Nara terduduk kembali di hujung katil tersebut apabila merasakan kepalanya masih pening. Tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar dan terlihat seorang gadis memasuki ruang kamar Nara berada.
"Ah, kamu sudah sedar ya?" Gadis itu langsung menyapa apabila melihat Nara sedang duduk di hujung katil dengan kakinya sudah pun menyentuh lantai.
"Siapa kau? Di mana aku sekarang? Macam mana aku boleh berada di sini?" Bertalu-talu persoalan terpacul dari mulut Nara. Dia benar-benar kebingungan dan tidak tahu apa yang telah berlaku pada dirinya.
"Tenanglah.. rehatkan dirimu.. Namaku Kartika.." Gadis itu mula memperkenalkan dirinya sambil bibirnya mengukir seulas senyuman kepada Nara.
"Bagaimana aku boleh berada di sini?" Nara masih ingin mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di benaknya. Kartika pula menuangkan air ke dalam gelas dan menghulur gelas tersebut kepada Nara.
"Minumlah dulu.." Kartika menyantuni lelaki yang baru sedar dari pengsan itu. Nara yang merasa haus segera mencapai gelas yang dihulurkan dan langsung meneguk air dengan rakus. Dia benar-benar dahaga dan harus membasahkan tekaknya.
"Sudah seminggu kau pengsan.. Abangku menemuimu terdampar di pantai seminggu yang lalu. Jadi dia membawamu ke rumah kami." Kartika masih tersenyum.
"Terdampar di pantai? Aku.. aku pengsan selama seminggu?" Nara terkejut apabila mendengar penjelasan daripada Kartika. Dia masih tidak tahu apa yang berlaku terhadap dirinya. Mindanya mula dikerah untuk mengembalikan ingatan yang hilang. Tidak lama kemudian, Nara mulai mengingati kejadian ketika ombak besar menghempas perahunya di tengah laut. Setelah dilanda ombak ganas tersebut, kesedarannya hilang dan Nara sudah tidak tahu apa yang berlaku terhadap dirinya. Ketika itu dia hanya berfikir dirinya cuma akan mati sahaja.
"Siapa namamu wahai pemuda?" Kartika menyoal. Nara menatap wajah gadis di hadapannya itu beberapa detik sebelum memberikan jawapan.
"Nara.. namaku Nara.."
"Pasti kau kelaparan memandangkan sudah seminggu kau terlantar.. nanti aku siapkan makanan." Kartika mengambil gelas dari tangan Nara lalu gadis itu segera berpaling punggung. Kartika kemudian keluar dari bilik tersebut dan meninggalkan Nara sendirian kembali. Setelah Kartika hilang daripada pandangan matanya, Nara mengerahkan lagi otaknya untuk berfikir. Dia masih belum tahu di mana dia sedang berada. Entah bagaimana dengan perahunya. Sudah seminggu dia tidak sedarkan diri, bagaimana pula dengan Bonang. Seketika kemudian, seorang lelaki pula memunculkan diri di hadapan Nara. Lelaki tidak berbaju itu hanya mengenakan sehelai seluar panjang berwarna biru gelap berserta kain merah lusuh yang dililit dikepalanya. Pendatang yang baru memasuki ruang bilik tersebut segera menghampiri Nara sambil tersenyum.
"Bagaimana keadaanmu? Namaku Likur. Seminggu yang lalu, aku menemukanmu terdampar di pantai.." Lelaki itu memperkenalkan diri sambil bertanya keadaan Nara.
"Aku baik-baik saja.. terima kasih kerana sudah menyelamatkan aku.. namaku Nara."
"Apakah kau dipukul ribut di laut dan hanyut ke pantai ini?"
"Agaknya begitulah.. yang aku ingat, sebelum ini aku turun ke laut. Tiba-tiba ribut melanda dan ombak besar menghempas perahuku."
"Syukurlah kau tidak apa-apa.."
"Tapi, bagaimana dengan perahuku?"
"Perahu? Entahlah.. aku tidak melihat sebarang perahu ketika menemukanmu.. Aku hanya melihat dirimu sahaja yang terdampar di pantai itu."
"Hmm.. Rebung Sari.. apakah kau sudah musnah dihempas badai?" Nara berbicara sendirian di dalam hatinya. Dari penjelasan yang dia dapatkan dari Likur, Nara yakin perahunya itu sudah tiada. Mungkin saja perahu tersebut hancur musnah atau telah hanyut dibawa arus laut. Nara kelihatan terbungkam sambil matanya merenung lantai. Otaknya diperas sehingga menimbulkan urat-urat di sisi dahinya. Likur juga turut berdiam diri tatkala memerhatikan Nara. Dia tahu lelaki muda itu masih dilanda kebingungan dan memberikan masa untuk Nara bertenang. Dia tidak ingin terus menekan lelaki yang baru sedar dari pengsan itu dengan pelbagai soalan.
"Seminggu aku tak sedarkan diri..." Nara bersuara dengan nada berbisik. Urat di dahinya masih tegang. Seolah ada sesuatu yang cuba difikirkannya tetapi masih belum berjaya diingat.
"Ah, Bonang! Pasti Bonang sangat khawatir dengan keadaanku.. Sudah seminggu berlalu.. entah bagaimana Bonang mampu hidup sendirian.." Nara tersentak apabila dia mula teringat kepada sepupunya itu. Mereka jarang berenggang. Selama ini, paling lama Nara meninggalkan Bonang hanyalah selama dua hari, iaitu ketika dia turun ke laut untuk menangkap ikan. Kini Nara sudah seminggu tidak pulang ke rumah, malah tanpa sebarang khabar berita. Nara yakin Bonang pasti sedang bersedih dan kesunyian. Lebih teruk lagi, jika temannya itu menganggap Nara sudah meninggal dunia. Nara tidak yakin sepupunya itu mampu berdikari. Bonang yang bertubuh sedikit gempal itu sememangnya seorang penakut dan tidak mampu menguruskan dirnya sendiri. Sejak kecil, segala urusan sepupunya itu pasti akan diandalkan kepada Nara.
"Bonang.. maafkan aku.. aku harap kau baik-baik saja dan mampu menguruskan dirimu." Nara meraup muka menggunakan telapak tangan kirinya. Dia kini sangat risaukan keadaan Bonang berbanding dirinya sendiri. Walau apa pun kelemahan Bonang, Nara sangat menyayangi saudaranya itu. Di dunia ini, hanya Bonang sahaja yang sentiasa ada di sisi Nara. Dia teman, dia juga saudara, dialah tempat bermanja dan meluah perasaan. Hubungan mereka sudah seperti isi dengan kuku. Terlalu rapat dan sukar untuk dipisahkan.
"Nara, kau tidak apa-apa?" Likur kembali bersuara. Dia sekadar ingin tahu jika ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran lelaki baru sedarkan diri itu. Nara dilihatnya termenung agak lama.
"Ah, aku tidak apa-apa.. Aku cuma memikirkan keadaan saudaraku. Dia pasti kesunyian dan bimbang dengan kehilanganku." Nara tersenyum kelat sambil berterus terang tentang hal yang sedang difikirkannya.
"Oh, tak usahlah kau terlalu memikirkan tentang orang lain. Sebaiknya kau pentingkan keadaan dirimu sendiri terlebih dahulu. Saudaramu itu pasti mampu menjaga dirinya sendiri. Kau berehatlah supaya lekas sihat. Nanti kau pulanglah bertemu saudaramu itu." Likur cuba menasihati Nara. Dia sendiri risau dengan keadaan Nara ketika menemui lelaki tersebut terdampar di pantai. Kini hatinya sedikit lega setelah melihat Nara sudah sedar dari pengsannya selama seminggu. Selama ini, Likur sangat bimbang jika Nara yang diselamatkannya itu meninggal dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pasti kematian lelaki muda itu akan membebankan dirinya. Penduduk kampung pasti akan menekan Likur dan Kartika dengan pelbagai soalan jika ada lelaki asing meninggal di dalam rumah mereka. Padahal dia hanya berniat untuk membantu menyelamatkan nyawa seorang manusia yang pengsan dan terdampar di tepi pantai. Kini Likur hanya ingin terus merawat Nara agar lelaki muda itu segera sihat dan kembali ke kampung halamannya.
Tidak lama kemudian, Kartika muncul kembali sambil menatang dulang yang berisi semangkuk bubur nasi dan sesikat pisang. Dulang tersebut diletakkan di atas meja yang berada di samping katil yang menempatkan Nara. Kartika kemudian mengambil mangkuk yang berisi bubur nasi dan dihulurkan kepada Nara.
"Makanlah dulu.. perutmu pasti sangat lapar." Kartika bersuara lembut. Nara tanpa teragak-agak lantas menyambut mangkuk pemberian Kartika. Bubur nasi yang disediakan untuknya itu segera dimakan dengan gelojoh sekali. Nara sudah tidak segan silu untuk menjamah makanan memandangkan perutnya yang berkeroncong terasa perit kerana sudah seminggu tidak terisi. Likur dan Kartika hanya mendiamkan diri sambil melihat Nara yang sedang makan. Terdetik rasa kasihan di hati mereka apabila melihat keadaan Nara yang sudah kebuluran. Selama seminggu terlantar dalam keadaan pengsan, Nara hanya dititiskan air putih sahaja ke mulutnya oleh Kartika. Gadis itu berfikir, walaupun Nara dalam keadaan tidak sedarkan diri, setidaknya tubuh lelaki itu masih tetap memerlukan air untuk terus bertahan hidup. Kini hatinya semakin senang apabila melihat Nara sedang menikmati bubur nasi yang disediakan olehnya dengan lahap sekali. Usahanya dalam merawat lelaki itu selama seminggu ini tidaklah sia-sia. Selesai menghabiskan bubur nasi, Nara segera meletakkan mangkuk yang sudah tidak tersisa dengan makanan itu ke dulang. Sebiji pisang pula diambil, lantas dikupas kulitnya dan segera disuap ke mulut. Nara benar-benar menikmati juadah yang dihidangkan kepadanya itu.
" Maaf kalau aku tidak sopan.." Nara tersenyum sambil mengunyah isi pisang di dalam mulutnya.
"Tak apa.. makanlah. Kau pasti benar-benar kelaparan. Sudah seminggu kau tidak mendapatkan sebarang makanan." Likur tersenyum sambil memandang ke arah Nara. Dia sangat memahami keadaan Nara yang sudah tidak mendapatkan makanan sekian lama.
"Hmm.. tapi.. di mana aku berada sekarang?" Nara bertanya setelah menelan pisang yang dikunyahnya. Dia tahu dirinya sekarang tidak berada di kampungnya sendiri memandangkan dia tidak pernah melihat atau mengenali Likur dan Kartika selama ini.
"Kampungku ini digelar Aur Cabang." Likur segera menjawab. Kartika pula hanya diam sambil melihat ke arah Likur dan Nara silih berganti.
"Aur Cabang? Aku tak pernah mendengarnya.." Nara sedikit terkejut. Dia mula menduga jika tempatnya berada sekarang pasti sangat jauh dari perkampungan asalnya.
"Ya.. Di sini kampung Aur Cabang.. Di kerajaan Cendanagiri.. Kau pula berasal dari mana?" Likur memberi penjelasan sambil mengemukakan pertanyaan kepada Nara.
"Cen..Cendanagiri? Kerajaan Cendanagiri?.. Hmm.. aku dari Tanjung Anding, di kerajaan Indera Kenchana." Nara terkejut besar. Jarak dia berada sekarang diperkirakan sangat jauh dari kampung asalnya.
"Kerajaan Indera Kenchana? Jaraknya sangat jauh.. lebih seratus batu dari sini.." Giliran Likur pula mengalami kejutan. Kartika yang berdiri disamping abangnya itu turut tersentak. Nara kemudian menjatuhkan pandangan wajahnya. Otaknya sepertinya sedang berfikir dengan gigih. Entah bagaimana, dirinya di bawa oleh badai laut sehingga beratus batu jauh jaraknya. Dia bingung. Kini Nara mula bertekad untuk segera sembuh dan sihat seperti sedia kala. Walau apa pun, dia harus pulang ke kampungnya. Dia harus kembali ke sisi Bonang yang sedang gelisah tanpa dirinya disisi.
Share this novel