USAI melaksanakan solat subuh, Nara sudah bersiap sedia untuk memulakan petualangannya. Likur dan Kartika seakan berat hati untuk membiarkan pemuda itu berpergian seorang diri. Namun kehendak lelaki itu tiada siapa mampu menghalang. Kartika terlebih dahulu mempersiapkan bekalan makanan untuk Nara. Beberapa jenis makanan dibungkus di dalam kain. Kain tersebut pula diikat dan dijadikan kantung agar Nara mudah membawanya dengan menggalas pada bahu. Pada kantung kain itu diselitkan juga beberapa batang tebu yang sudah dipotong pendek agar mudah dikunyah.
“Di dalam kantung ini ada bekalan makanan buatmu. Ada ubi rebus yang sudah ku bungkus di dalam daun pisang. Ada juga pulut di dalam bungkusan yang lain dan juga sesikat pisang. Tebu ini untuk kau kunyah di dalam perjalananmu.” Kartika menghulurkan bungkusan kain yang mengandungi makanan kepada Nara. Pemberian daripada Kartika itu disambut oleh Nara dengan sukacita.
“Terima kasih Kartika.. Tidak terbalas rasanya budi baikmu terhadapku.” Nara tersenyum sambil menggalas kantung kain yang diterimanya pada bahu. Seraya itu juga Kartika menghulurkan pula satu kantung yang terbuat dari kulit kambing kepada Nara.
“Ini pula air minum..”
Nara menyambut pula kirbat yang dihulurkan oleh Kartika. Kirbat yang mengandungi air itu telah siap sedia diikat seutas tali padanya. Nara turut menggalas tali kirbat tersebut pada bahunya. Dengan begitu, dia tidak perlu bersusah payah untuk membimbit kantung yang berat terisi dengan air itu.
“Berhati-hatilah dalam perjalananmu Nara.” Likur menyampaikan pesanan kepada Nara.
“Baiklah. Kalau begitu, aku mula bergerak dulu. Terima kasih Likur.. Terima kasih Kartika..” Nara berjabat tangan dengan Likur sebagai tanda salam perpisahan.
“Kalau ada masa, berziarahlah ke sini. Kami sentiasa mengalu-alukan kedatanganmu.” Kartika menguntum senyuman. Fikirnya, mungkin senyuman itu adalah hadiah terakhir darinya kepada Nara. Nara turut membalas senyuman gadis yang sudah banyak membantunya selama ini.
“Kalau ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.”
Nara sempat mengalunkan serangkap pantun sebagai kata-kata terakhir sebelum perpisahan. Lelaki itu kemudiannya segera berpaling badan dan membuka langkah kakinya untuk bergerak. Nara tidak ingin teragak-agak dalam memulakan langkah permulaan bagi menghadapi satu pengembaraan panjang untuk pulang ke kampung halamannya.
“Selamat jalan Nara..” Kartika sedikit menjerit kepada Nara yang sudah berjalan beberapa langkah. Nara segera berpaling dan melambai tangannya kepada dua orang adik-beradik yang sudah banyak membantunya itu. Sedetik kemudian, Nara meneruskan kembali perjalanannya menuju ke arah selatan. Walaupun jarak destinasinya agak jauh, namun perjalanannya dirasakan akan sedikit mudah bagi Nara. Ini kerana, dia hanya perlu berjalan di sepanjang kawasan pantai sahaja memandangkan rumahnya juga berada di tepi laut. Hal tersebut dirasakan agak sama dengan perjalanan yang sering dilakukan oleh Nara dan Bonang untuk menuju ke kota yang mempunyai dermaga. Berbeza dengan perjalanan kali ini hanyalah jaraknya sahaja yang lebih jauh dan berbeza negeri serta kerajaan pemerintah.
Fajar menyingsing yang masih tersipu-sipu menerangi alam menemani langkah permulaan Nara. Pemuda itu perlu bertolak awal dinihari kerana ingin menempuh perjalanan yang agak panjang. Selain itu, Nara juga ingin mengelakkan daripada dirinya ditahan oleh pengikut penghulu kampung jika masih berlengah. Jika dirinya ditahan untuk tujuan soal siasat, hal tersebut pasti akan merencatkan rencana Nara untuk segera pulang ke kampung halamannya. Nara bukanlah risau jika dirinya ditangkap. Dia hanya tidak ingin membuang masa hanya untuk tujuan soal siasat yang sia-sia.
Semakin lama berjalan, langit juga semakin cerah. Alam semakin terang disuluh cahaya mentari pagi. Setelah agak jauh berjalan meninggalkan rumah Likur, Nara berehat sebentar di bawah sebatang pohon besar. Di kawasan tersebut langsung tidak terlihat rumah atau perkampungan. Sambil menghilangkan lelah, Nara membuka bungkusan kain yang mengandungi bekalan makanan buatnya. Dia perlu bersarapan dan mengisi perutnya terlebih dahulu. Tubuhnya memerlukan tenaga untuk meneruskan perjalanan sebentar lagi.
Selesai menjamu selera, Nara merasakan sudah cukup masa untuk dirinya berehat. Dia segera bangkit berdiri sambil menggalas semula bekalan makanan dan minumannya di bahu. Sebelum memulakan langkahnya, Nara terpandang kepada sebatang kayu di tanah. Kayu tersebut dicapainya dan dihentak ke tanah beberapa kali.
“Hmm.. kata orang, masa berjalan bawalah tongkat, kalau boleh jenis semambu.. Tiada semambu, bedal je la kayu apa pun.. Tiada rotan, akar pun berguna..” Nara bercakap sendirian. Dia kemudian meneruskan perjalanannya sambil membawa kayu yang diambilnya itu untuk dijadikan tongkat. Sepanjang hari Nara berjalan merentasi pesisiran pantai. Beberapa kali dia berhenti untuk menghilangkan lelah dan memakan bekalan makanannya sambil berteduh dari panas terik mentari.
Selepas waktu asar, perjalanan Nara dirasakan lebih selesa memandangkan cuaca sedikit mendung kerana matahari terperosok di celahan awan yang tebal. Namun begitu, tenaga Nara pula sudah banyak berkurangan. Seharian berjalan terasa begitu memenatkan. Nara tetap mengerahkan kudratnya untuk terus berjalan agar dirinya tiba secepat mungkin ke tempat tujuan. Tidak lama kemudian, Nara melihat ke arah mentari yang sudah menghampiri permukaan laut. Nara masih meneruskan langkah kakinya sambil berfikir.
“Sebentar lagi senja akan berlabuh.. Aku perlu mencari tempat yang selamat untuk bermalam.. Kena kumpul kayu dulu untuk buat unggun api.” Nara kemudian bergerak menjauhi gigi air dan menuju ke arah semak belukar dan pohon kayu. Dia perlu mengumpulkan kayu secukupnya untuk dibuat unggun api bagi menghadapi waktu malam. Di dalam berpetualangan sebegitu, unggun api bukan sahaja diperlukan untuk membekalkan cahaya dan menghangatkan badan, malah turut berfungsi sebagai bahan bakar untuk memasak dan perlindungan diri dari sebarang ancaman, lebih-lebih lagi dari haiwan buas. Setelah masuk ke kawasan berhutan, Nara mula mengumpulkan kayu. Beberapa kayu pelbagai saiz dipilih yang dirasakan sesuai untuk dinyalakan sebagai bahan bakar.
“Hai anak muda.. Siapa dirimu? Kenapa kau berada di sini?” Tiba-tiba Nara dikejutkan dengan satu suara yang menyapanya dari arah belakang. Nara segera berpaling untuk melihat ke arah pendatang tersebut. Kelihatan seorang wanita tua berdiri sambil memegang sebatang tongkat kayu. Nara yang terkejut kerana sapaan yang tiba-tiba tadi melepaskan semua kayu yang berada di tangannya.
“Ah.. ne..nenek ni siapa..?” Nara yang terkejut tergagap bertanya tanpa menjawab pertanyaan wanita tua itu. Wanita tua itu pula hanya diam menatap Nara yang terlihat gugup.
“Sa..saya Nara.. saya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman. Kerana hari sudah hampir malam, saya terpaksa beradu di sini dahulu..” Nara mula memperkenalkan diri sambil menjawab pertanyaan yang ditujukan kepadanya sebentar tadi.
“Oh, begitu.. Jadi kau di sini mengumpul kayu untuk nyalakan api?” Wanita tu itu bertanya lagi.
“Iya.. begitulah hajatnya.”
“Hmm.. kalau begitu, kau bermalam saja di rumah nenek. Tidak jauh dari sini.. Nenek pun perlukan kayu api. Jadi kalau kau sudi membantu nenek untuk kumpulkan kayu api, nenek akan terima kau sebagai tetamu. Di dalam rumah, pasti keselamatan mu lebih terjamin.” Wanita tua itu memberi penawaran kepada Nara.
“Ta..tapi.. Nenek ni siapa?” Nara masih ingin tahu.
“Panggil saja Nek Jah.. lagipun Nek Jah pun tinggal sendirian.. Mahukah kau bantu Nek Jah untuk kumpulkan kayu api?”
“Hmm.. kalau begitu, baiklah..” Nara tersenyum simpul. Dia kemudiannya menundukkan badannya untuk mengutip kembali kayu yang dikumpulkannya tadi.
“Cukupkah sebegini Nek Jah?” Nara memangku timbunan kayu kedua belah di lengannya.
“Ya, cukuplah tu.. Jadi, ayuh kita ke rumah Nek Jah.” Wanita tua yang memperkenalkan diri sebagai Nek Jah itu memusingkan badannya dan mula berjalan. Nara tanpa teragak-agak, segera menelusuri jejak wanita tua di hadapannya itu.
Malam itu Nara menumpang berteduh di rumah wanita tua yang bergelar Nek Jah. Nara turut dijamu pada malam itu sehingga kekenyangan. Oleh kerana dirinya terlalu kepenatan, Nara tidak banyak berbicara dan bersoal jawab dengan Nek Jah. Nara langsung tidak menyimpan sebarang prasangka terhadap wanita tua yang sudi memberinya tumpang bermalam di rumahnya itu. Badannya yang terlalu letih telah menyebabkan fungsi otaknya turut tergendala. Nara hanya ingin berehat secukupnya. Selesai makan malam dan mencuci pinggan mangkuk, Nek Jah ke ruang tamu untuk menemui Nara. Namun niatnya untuk berbicara menjadi tergendala apabila melihat Nara sudah pun lena dibuai mimpi.
“Hmm.. Nampaknya dia benar-benar keletihan.. Jauh barangkali perjalanannya.” Nek Jah tersenyum tatkala melihat Nara yang tidur terlentang di lantai.
Share this novel