Bab 2 (part 2)

Fantasy Series 1713

KEESOKAN harinya, awal pagi lagi Nara dan Bonang berangkat keluar dari rumah mereka menuju ke kota. Mereka memikul dan membimbit bakul yang penuh diisi dengan pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan. Kesemua barangan itu adalah hasil pertanian mereka sendiri dan mereka akan menjualnya di kota. Perjalanan yang mengambil masa lebih dari dua jam itu sangat memenatkan, ditambah lagi dengan bebanan yang dibawa oleh setiap dari mereka.

Sesampainya mereka di kota, aktiviti perdagangan sudah berjalan dengan rancak. Ramai orang tempatan dan orang asing dari seluruh pelosok dunia datang melakukan urusan jual beli di pasar yang tidak jauh dari pelabuhan itu. Oleh kerana Nara dan Bonang sudah agak terlewat tiba di sana, mereka terpaksa memilih tempat kosong yang agak hujung untuk meniagakan barangan mereka. Nara segera menarik keluar bakul kosong yang dilapis secara bertindih pada bakul yang terisi sayur dan buah. Bakul kosong itu kemudian dilungkupkan secara terbalik dan disusun secara teratur. Bonang yang tadinya pergi meninggalkan Nara yang sedang menyusun bakul kembali semula sambil membawa beberapa keping papan kayu. Papan itu di letakkan di atas bakul yang telah di susun oleh Nara sebentar tadi. Kemudian sayur-sayuran yang dibawa oleh mereka dihamparkan di atas papan tersebut.

Ketika mereka sedang asyik mengaturkan barang dagangan mereka, tiba-tiba muncul beberapa orang lelaki yang berpakaian segak dan kemas. Bersama mereka, turut ada beberapa orang lelaki yang memegang tombak, terlihat seperti pengawal kepada kumpulan lelaki berkenaan. Seorang lelaki yang lagaknya seperti ketua kepada kumpulan tersebut memegang dan membelek-belek sayur-sayuran yang telah disusun di atas papan.

"Hoi budak.. kau belum bayar cukai tapak lagi kan?" Lelaki itu melontarkan pertanyaan dengan kasar.

"Kami belum mula berniaga lagi.. masih lagi menyusun barang jualan. Biasanya Orang Kaya Deman, wakil Syahbandar yang akan kutip cukai. Tuan ini siapa?" Bonang cuba memberi alasan sambil bertanya kepada lelaki tersebut. Lelaki itu menjadi berang setelah mendengar kata-kata Bonang dan dengan pantas dia menggenggam baju Bonang dan menarik Bonang ke arahnya.

"Mulai hari ini, Deman sudah tiada.. sekarang, aku.. Orang Kaya Bagan yang akan menjadi wakil Syahbandar dan mengutip cukai di sini.. Faham?" Lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Orang Kaya Bagan itu mengherdik ke arah Bonang sehingga beberapa titis air liur dari mulutnya terpercik mengenai muka Bonang. Bonang hanya memejamkan matanya kerana mulai merasa ketakutan.

"Sekarang, kau nak bayar cukai atau nak aku sita semua barang-barang kau ini?" Orang Kaya Bagan mula mengancam. Nara yang tidak ingin keadaan terus menjadi keruh, segera mengeluarkan wang dan menghulurkan kepada Orang Kaya Bagan. Wakil Syahbandar itu mula melepaskan baju Bonang dan mengambil wang yang dihulurkan oleh Nara.

"Cuma ini saja? Hoi budak! Kalian meniaga sayur dan buah.. bayaran ini cuma untuk sayur sahaja. Untuk buah, kena tambah lagi jumlahnya.." Orang kaya Bagan mula mengambil kesempatan apabila dia menyedari Nara tadi mengeluarkan wang yang banyak dari saku seluarnya.

"Tapi, biasanya jumlah itulah yang kami bayarkan kepada Orang Kaya Deman.." Nara cuba menolak permintaan Bagan.

"Bukankah sudah aku cakap.. mulai sekarang, aku yang menjadi wakil Syahbandar.. bukan lagi Deman.. Jadi harga cukai sekarang aku yang tentukan.. Bukan lagi Deman! Kalau kau tak mahu bayar, aku akan sita sahaja buah-buahan mu itu."

"Ba..baiklah.." Nara segera akur dan menambahkan wang yang di minta oleh Bagan. Bonang pula hanya terkebil-kebil memandang Nara memberikan wang dari koceknya untuk membayar cukai tapak perniagaan mereka. Setelah mengambil wang daripada Nara, orang kaya Bagan dan kumpulannya segera pergi dari situ. Nara yang berdiam diri hanya merenung orang kaya Bagan yang semakin menjauh. Hati Nara sebenarnya sudah terbakar oleh amarah. Namun dia terpaksa menahan dirinya dari melawan lelaki yang berkuasa di kawasan tersebut. Jika dia melawan, pasti mereka tidak akan dibenarkan untuk terus berniaga di situ untuk selamanya. Bahkan mungkin dia akan menerima padah yang lebih buruk seperti di penjarakan atau di hukum bunuh kerana menentang wakil Syahbandar yang menjadi orang kepercayaan Sultan.

"Nara, kenapa kau berikan wang mu kepadanya? Bukankah itu wang untuk kau beli perahu?" Bonang mula menegur Nara.

"Tidak mengapa.. nanti sudah habis berjualan, gantikan semula wangku itu." Nara mengalihkan pandangannya dari Orang Kaya Bagan dan mula memandang ke arah Bonang sambil tersenyum kelat. Mereka kemudiannya meneruskan kembali menyusun barang dagangan mereka.

Setelah tiba waktu tengah hari, kawasan pasar mulai lengang pengunjungnya. Orang yang lalu lalang semakin berkurang. Urusan jual beli juga sudah turut reda. Ketika itu, Bonang dan Nara mulai mengemas barang-barang mereka. Jualan mereka yang berupa sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar hampir habis terjual. Cuma tersisa sedikit yang cukup untuk di makan oleh dua atau tiga keluarga. Ketika mereka sedang mengemas, tanpa di sangka, orang kaya Bagan kembali mendatangi tapak jualan dua orang remaja tersebut.

"Dah habis ya kalian berniaga?"

"Ya, kami ingin pulang dahulu.." Nara menjawab tanpa melihat ke arah orang kaya Bagan. Dia tetap meneruskan pekerjaannya untuk mengemas barang-barang mereka.

"Kalau begitu, bayarkan dulu cukai jualan kepadaku.."

"Tadi kan kami sudah membayarnya?" Nara tersentak dengan kata-kata Bagan. Fikirnya, apakah wakil Syahbandar yang baru itu sudah lupa cukai yang dibayarnya tadi.

"Tadi kalian cuma membayar cukai tapak.. bayaran untuk kalian duduk berniaga di sini.. Sekarang aku menuntut cukai hasil perniagaan. Bukankah jualan kalian habis terjual? keuntungan itu Syahbandar akan kenakan cukai.."

"Ta..tapi.. selama ini bukankah cukai jualan cuma dikenakan ke atas orang asing? Kami orang tempatan.. kami rakyat Sultan.."

"Berapa kali kau hendak aku ulang wahai budak? Sekarang urusan cukai, aku yang tetapkan.." Orang Kaya Bagan bersuara perlahan kepada Nara namun suaranya itu ditekan dengan keras serta berbaur ancaman. Nara mula mendengus kasar. Namun amarahnya tetap di kawal untuk mengelakkan hal yang buruk terjadi. Nara segera menghulurkan wang kepada lelaki tamak di hadapannya itu.

"Macam ni lah.. budak bijak.." Orang kaya Bagan menuding jari telunjuknya ke arah Nara seraya menolak dahi Nara dengan jarinya itu. Kemudian orang kaya tersebut terus berpaling dan berjalan meninggalkan Nara dan Bonang.

"Ini dah melampau.. tiada la untung kita berniaga kalau dikenakan bermacam cukai. Kita buat kerja sampai kepala ke bawah, kaki ke atas, senang-senang je dia peras." Bonang mula bersuara. Dia tadinya berdiam diri kerana ketakutan. Setelah Orang Kaya Bagan menjauh, barulah dia berani mengeluarkan suaranya.

"Biarkan.. Dia itu bagai jawi belang puntung, didahulukan dia menyepak, dikemudiankan dia menanduk.." Nara tidak ingin terus berbicara mengenai hal tersebut. Hatinya sendiri masih membara, namun dia sedar mereka tidak mampu melakukan apa-apa kerana manusia seperti Orang Kaya Bagan itu pasti tidak boleh dibawa untuk berunding. Mereka sendiri yang akan rugi jika menentang orang yang berkuasa seperti Orang Kaya Bagan. Nara kemudian melihat baki sayur dan buah yang tidak terjual oleh mereka pada hari tersebut.

"Bonang, kau beri saja baki yang tidak terjual itu kepada orang.. Makcik yang minta sedekah di sana juga.. Tolong bawakan bakul ini semua ke tepi pantai sana.. Tunggu aku di sana." Nara memberikan arahan.

"Kau nak kemana?"

"Aku hendak pergi beli perahu." Nara tersengih kepada Bonang.

"Cukupkah wang kau?"

"Wang simpananku selama ini rasanya sudah cukup untuk membeli perahu kecil untukku."

"Baiklah. Kalau begitu, aku tunggu kau di pantai sana. Kita pulang naik perahu saja." Bonang pula tersengih. Dia turut gembira apabila Nara begitu teruja untuk mendapatkan perahu dan bakal menjadi nelayan sendiri. Temannya itu nanti tidak lagi menjadi awak-awak di kapal Juragan Delit yang cuma akan menerima upah yang diberikan orang, tetapi bakal mencari dan menjual sendiri hasil tangkapannya. Bonang akan sentiasa menyokong cita-cita Nara yang sudah menjadi temannya di kala sedih atau gembira sejak kecil itu.

Nara kemudian terus berlari meninggalkan Bonang. Menuju ke tempat tukang kapal yang terletak di hujung kota tersebut. Bonang pula kembali mengemas barang-barang dan mengambil baki sayur dan buah yang tidak terjual. Sayur dan buah-buahan itu di ikat dalam bungkusan dengan kemas. Bonang kemudian berjalan menuju ke arah seorang pengemis wanita yang berada tidak jauh dari tempat mereka berniaga.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience