Bab 11

Fantasy Series 1713

SUARA ayam jantan yang berkokok menghiasi suasana pagi. Nara bangkit dari tidurnya dengan rasa segar-bugar setelah mendapatkan tidur yang nyenyak. Rasa pegal pada betis kakinya akibat berjalan jauh juga menghilang. Setelah mandi dan membersihkan diri, Nara bersiap untuk memulakan kembali pertualangannya.

Namun niat lelaki itu sedikit tergendala apabila Nek Jah meminta Nara untuk membantunya mengupas kelapa terlebih dahulu. Nara terpaksa menangguhkan perjalanannya  buat seketika, demi membantu wanita tua yang sudah sudi memberi Nara tumpang berteduh malam tadi. Selesai mengopek beberapa biji kelapa, Nara diminta pula untuk mengukur kelapa tersebut. Demi tidak mengecewakan Nek Jah, Nara cuba membantu dengan seikhlasnya. Sedang asyik Nara mengukur kelapa, Nek Jah pula menatap anak muda itu dengan penuh minat.

“Hmm.. nampaknya kau bukan orang biasa-biasa..” Nek Jah tiba-tiba menegur Nara yang sedang mengeruk isi kelapa. Nara berhenti dari pekerjaannya dan memandang ke arah Nek Jah

“Apa maksud Nek Jah? Saya ni orang biasa seperti kebanyakan orang saja Nek Jah.” Nara bertanya untuk merungkai persoalan yang bermain difikirannya. 

“Mungkin sekarang kau seperti orang biasa.. Tapi.. masa akan datang, mungkin kau berbeza.” Nek Jah tersenyum.

“Saya tak faham maksud Nek Jah.” Nara berterus terang.

“Nek Jah cuma dengar dari kata-kata orang tua dahulu kala.. Kata orang tua, kalau seseorang itu mengukur kelapa, kepalanya tidak bergoyang sama, maka nanti dia akan berkahwin dengan anak raja.. Sama macam kau sekarang.. Jarang ada orang mengukur kelapa sepertimu.” Nek Jah ketawa sambil menjawab pertanyaan Nara. Nara sedikit terpana.

“Mengarutlah Nek Jah.. Jangan duk percaya benda macam tu.. takde kaitan langsung kukur kelapa dengan kahwin anak raja.” Nara turut ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Lelaki muda itu kemudian kembali meneruskan tugasnya mengeruk isi kelapa.

“Bunyi macam mengarut.. Tapi jangan meremehkan kata-kata dan petua orang tua. Kadang kala, ada kata-kata mereka itu terdengar tak masuk akal, namun ada nasihat dan pengajaran yang kita tak nampak. Sampai masa, baru kita sedar akan kebenaran kata-kata itu.” Nek Jah menyampaikan nasihat kepada anak muda di hadapannya. Nara terdiam. Kata-kata Nek Jah ada benarnya. Orang tua terlebih dahulu memakan garam. Jika bukan dari pengetahuan mereka, orang muda tidak akan tahu bahawa garam itu masin. Ilmu pengetahuan dari orang dahulu di pelajari dan diturunkan kepada generasi yang lebih muda. Dari satu generasi ke satu generasi yang lain. 

“Nanti kalau sudah selesai kau parut kelapa tu, tolong Nek Jah perahkan santannya pula.. Nek Jah nak memasak. Kau pun nanti makan sama dengan Nek Jah. Lepas makan baru kau teruskan perjalananmu..” Nek Jah mengatakan hasratnya kepada Nara. Nara yang sedang sedang memarut kelapa itu mula terasa berat hati. Sedikit demi sedikit Nek Jah cuba melengahkan masanya untuk memulakan perjalanan. Padahal perjalanannya masih jauh untuk kembali ke kampung halamannya.

“Tak usah kau khawatir.. Tak akan lari gunung dikejar.. Nanti selepas makan, kau bergeraklah.. Sebelum memulakan perjalananmu, kau juga perlu makan.” Nek Jah bersuara. Ucapan wanita tua itu mengejutkan Nara. Seolah Nek Jah mampu membaca apa yang sedang difikirkan oleh Nara. Nara terpempan sehingga tidak mampu membalas kata-kata wanita tua terbabit. 

“Aku orang tua.. Melihat wajahmu saja aku sudah mampu membaca apa yang bermain di fikiranmu.” Nek Jah seakan merungkai persoalan yang bermain dibenak Nara. Dalam diam, Nara menundukkan wajahnya sambil mengukir sedikit senyuman. Dia mula sedar bertapa tingginya pengetahuan yang dimiliki oleh orang tua di hadapannya itu. 

Setelah selesai melaksanakan kerja yang diminta oleh Nek Jah, Nara berehat sementara menunggu wanita tua itu menyiapkan masakan. Tidak lama kemudian, mereka pun makan bersama. Sedikit makanan turut dibungkus oleh Nek Jah kepada Nara sebagai bekalan untuk anak muda itu berkelana. Setelah Nara bersiap sedia untuk memulakan perjalanannya, Nek Jah menghulurkan sesuatu kepada Nara.

“Ambillah cincin ini.. Ini cincin warisan keluarga Nek Jah.. Nek Jah tiada anak atau pun cucu.. Jadi, kau terimalah cincin ini. Anggaplah cincin ini pemberian dari orang tua mu..” 

“Eh, tapi kenapa pula Nek Jah nak berikan kepada saya?” Nara terkejut dan merasa pelik dengan tindakan Nek Jah.

“Entahlah.. Nek Jah suka kepadamu.. Nek Jah anggap kau sebagai cucu Nek Jah sendiri.. Jadi, terimalah pemberian ini dari nenekmu.” Nek Jah tersenyum kepada Nara.

“Kalau begitu, baiklah.. Terima kasih Nek Jah.. Semoga kita berjumpa lagi.” Nara menyarungkan cincin delima berwarna merah ke jari manisnya. Cincin yang terbuat dari perak dengan batu berwarna merah itu sepadan dengan jari Nara. 

“Kau anak yang baik.. Teruskanlah berbuat kebaikan.. Tapi jangan sesekali berbuat kejahatan.” Nek Jah memberikan pesanan. 

“Hmm.. baiklah Nek Jah.. Saya bergerak dulu.” Nara ingin segera memulakan perjalanannya.

“Baiklah.. Hati-hati dalam perjalananmu..” Nek Jah menemani pemergian Nara dengan pandangan matanya. Semakin lama, anak muda itu semakin menjauh dan semakin mengecil pada penglihatannya. Tidak lama kemudian, Nara langsung menghilang dari pandangan matanya. Sementara itu, Nara pula kembali berjalan merentasi pesisiran pantai. Ketika itu, matahari sudah mula menyorotkan cahayanya dengan terang benderang. Kehangatan sudah mula dirasakan oleh Nara walaupun ketika itu matahari masih belum mencapai ke kedudukan tepat di atas kepala. 

Apabila tiba waktu tengah hari dan matahari sudah berada lurus di atas kepala, Nara menghentikan sebentar perjalanannya. Ketika ini, haba dari kepanasan matahari sedang mencapai tahap puncaknya. Nara harus berehat seketika di bawah teduhan bayang pepohonan.  Dia berencana untuk meneruskan perjalanan hanya setelah matahari mulai condong sedikit ke sebelah barat. 

DI Tanjung Anding, Bonang menatap nasi di dalam pinggan. Sudah hampir dua minggu dia berduka. Makanan yang disediakan terasa tidak menyelerakan walaupun semuanya disediakan sendiri olehnya. Setiap hari, dia masih menangis mengenangkan Nara. Sepanjang masa ini, Bonang langsung tidak melakukan apa-apa selain berkurung di dalam rumah dan makan hanya sedikit, apa sahaja yang serba ada di dalam rumah. Paling tidak, dia hanya ke kebun sayur di belakang rumah untuk memetik sayur-sayuran bagi mengisi perutnya. Sayur-sayuran yang ditanamnya juga sudah mulai layu dan kurang subur kerana tidak terjaga. 

Matahari pada ketika itu sudah hampir terperosok ke perut laut. Suasana di dalam rumah sudah semakin kelam dan berbalam. Namun Bonang masih belum ingin menyalakan pelita di dalam rumah. Nasi di depannya masih belum terjamah. Bonang kemudian mengesat air mata yang terbit dari matanya yang sudah bengkak. Lelaki yang sedikit gendut itu kemudian bangkit berdiri dan segera menyalakan pelita. Dia kemudian berjalan ke arah muka pintu rumah. Matahari yang sudah hampir mencecah permukaan laut ditatapnya. 

“Bonang!” Satu suara teriakan kedengaran dari kejauhan. Bonang tersentak. Dia sangat mengenali suara tersebut. Dia segera melangkah menuruni anjung rumah dan melihat ke arah punca suara yang memanggil namanya. Dari kejauhan, Bonang dapat melihat satu sosok manusia yang sangat dia rindukan dan sedang berlari menuju ke arahnya. Air mata Bonang sekali lagi tumpah dan gugur ke bumi. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya.

“Na..Nara.. Nara! Kau benar-benar Nara?” Bonang segera berlari menuju ke arah Nara. Dia tidak peduli jika apa yang dilihatnya itu adalah realiti atau illusi semata-mata. Dia benar-benar ingin memeluk sosok lelaki yang dilihatnya itu.

“Bonang! Aku benar-benar rindukan kau.” Nara segera memeluk Bonang apabila mereka berhadapan. Bonang juga turut mendakap erat saudaranya itu.

“Nara.. benarkah kau masih hidup? Jangan tinggalkan aku lagi Nara.. Aku juga rindukan kau..” Bonang tidak dapat menahan diri dari meluahkan perasaannya. Saudaranya itu dipeluk sekuat hati. Beberapa kali pipi Nara dikucupnya dengan sepenuh hati.

“Ish.. jangan kau mencium aku.. Aku masih hidup lagi la..” Nara melepaskan pelukannya dan cuba menolak wajah Bonang yang sudah tidak terkawal menciumnya. 

“Kemana kau selama ini Nara? Aku fikir kau sudah mati dan hanyut di laut.” 

“Aku juga berfikir begitu Bonang.. Tapi syukurlah nyawaku masih panjang.. Selama ini aku dirawat di negeri Cendanagiri.. Aku terdampar di sana setelah dipukul oleh ombak yang tiba-tiba mengganas.” Nara memulakan cerita.

“Cen..Cendanagiri? Begitu jauh kau hanyut? Jadi kau berjalan pulang dari sana?” Bonang terkejut.

“Apa lagi pilihan yang aku ada? Mahu atau tidak, aku terpaksa berjalan kaki untuk bertemu denganmu semula.”

“Bagaimana perahumu?”

“Rebung Sari.. aku tak tahu bagaimana keadaannya.. Mungkin sudah hanyut di bawa arus laut.. Atau sudah hancur ketika dipukul ombak..” Nara mempamerkan riak wajah yang berduka. 

“Hari sudah senja.. Ayuhlah kita masuk ke dalam rumah dulu.” Bonang mengajak Nara untuk kembali ke rumah mereka. Tanpa berlengah, mereka berdua segera menuju ke arah teratak usang yang menjadi kediaman mereka selama ini. 

“Kenapa aku lihat kau semakin kurus sedikit? Matamu juga bengkak..” Nara menegur Bonang sambil mereka berjalan.

“Hmm.. setiap hari aku teringatkan kau Nara.. aku fikir kau sudah tiada dan tinggalkan aku sendirian di sini. Sehingga aku mahu makan pun tak lalu.. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.” Bonang meluahkan kesedihannya. Nara tersenyum mendengar pengakuan saudaranya itu. Nara kemudian melompat ke belakang badan Bonang dan berpaut pada bahu lelaki gempal itu.

“Dukung aku Bonang.. Aku sudah terlalu letih untuk berjalan..”

“Dah sampai rumah pun.. Ishh.. kau jalan la sendiri.” Bonang memaut kaki Nara yang sedang bergantung di belakang badannya itu.

“Nanti kau urutkan kaki aku.. Kejang habis dah seluruh kaki aku ni berjalan beratus batu..” Nara membuat permintaan kepada Bonang. Bonang hanya tersenyum sendiri. Hatinya kini berbunga-bunga apabila kembali bersama Nara. Selama belasan tahun, begitulah hubungan diantara mereka berdua. Bagai isi dengan kuku, keduanya sukar untuk dipisahkan. 

Setelah masuk ke dalam rumah, mereka berdua segera menjamah makanan. Nasi yang cuma berlaukkan sayuran goreng dimakan dengan lahap sekali. Selama dua minggu, inilah kali pertama Bonang dapat makan dengan penuh selera. Kesedihan di hatinya selama ini sudah sirna sama sekali. Sambil makan, Bonang masih bertanyakan keadaan Nara sepanjang masa berada di kampung Aur Cabang. Nara menceritakan kembali apa yang telah terjadi terhadapnya selama ini. 

“Aku fikir, kau sudah terkena tulah kerana mencuri keris raja.. Keris sakti itu pasti sudah menyumpah kau sehingga kau dihanyutkan oleh badai laut.” Bonang berkata.

“Ah.. keris raja itu masih tersimpan elok di atas alang sana kan?” Nara bertanya setelah Bonang menyebutkan tentang keris tersebut.

“Ya lah.. Siapa lagi yang tahu keberadaannya selain kau dan aku..” Bonang segera menjawab.

“Tapi.. Kiai Muhsin pun seakan tahu mengenai keris itu di sini..” Bonang kembali teringat kehadiran Kiai tua itu ke rumah mereka.

“Bagaimana dia tahu? Kau bagitahu dia?” Nara terkejut.

“Tidak lah.. Rahsia kau, juga adalah rahsia aku.. Tidak mungkin aku akan beritahu sesiapa pasal keris tu.. tapi Kiai Muhsin seakan tahu.. Ketika dia singgah kemari, dia ada mengatakan, rumah kita ini terlihat saja buruk, namun terdapat barang istimewa yang biasanya hanya ada di istana..” Bonang berterus terang.

“Ah.. orang tua itu.. Dia bahkan mampu membaca fikiran kita. Aku terkadang risau untuk berdampingan dengannya.” 

“Ish, kau ni.. Dia itu bukan orang biasa.. Orang alim macam dia, tak pelik kalau mempunyai keramat.. Allah mampu memberikan anugerah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.. Apatah lagi orang yang rapat hubungannya dengan Allah macam Kiai Muhsin Tuban tu..” 

“Kau ni tak habis-habis la Bonang.. Tulah la, keramat la.. Mengarut je semua tu..” Nara cuba membantah. 

“Kalau Allah nak, apa pun boleh jadi.. Tiada yang mustahil dalam dunia ni Nara.. Dia nak muliakan seseorang hambanya dengan memberi satu kelebihan berbanding orang lain pun, itu tidak mustahil..” Bonang menyampaikan sedikit kuliah singkat. Nara terdiam setelah mendengar kata-kata Bonang. 

“Keris raja tu pun, sebaiknya kau pulangkan kembali Nara.. Aku tak ingin kau terkena tulah.. Binasa badan kau nanti.” Bonang terus memberi peringatan.

“Itu hanya sebilah keris Bonang.. Sebuah benda yang tak punya apa-apa kuasa ke atas manusia.. Bukankah kau sendiri yang mengatakan, hanya Allah yang Maha Berkuasa? Yang mampu mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia hanyalah Allah semata-mata.” Nara memberikan hujah. Kini Bonang mula terdiam. Ucapan Nara itu ada benarnya. Nara kemudian mengalihkan pandangannya ke atas alang. Di atas sana, terselit bilah keris raja yang tidak terlihat dari arah bawah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience