PENDETA Bahadur menepuk permukaan meja bacaannya dengan kedua telapak tangan. Belakang badannya disandarkan pada kerusi yang menjadi tempat dia melapik punggungnya. Selepas menghela satu nafas yang panjang, Pendeta Bahadur mengukir senyuman pada bibirnya. Tiga orang kanak-kanak yang berada di sampingnya ditatap dengan sebelah matanya yang masih tercelik.
“Hmm.. rasanya, cukup sampai disitu dulu Pakcik ceritakan pada kali ini.. Nanti lain kali kita sambung lagi kita petualangan Nara.” Pendeta Bahadur bersuara.
“Alaa.. kami nak dengar lagi la Pakcik..” Rania seakan merajuk dan ingin pendeta yang buta sebelah matanya itu meneruskan penceritaan mengenai riwayat hidup Nara.
“Hahaha.. Esok sajalah.. Hari ini cukup sampai di sini dulu.” Pendeta Bahadur geli hati melihat telatah Rania. Di hati kecilnya, dia turut gembira kerana tiga orang kanak-kanak tersebut berminat untuk mendengar kisah hikayat yang diceritakan olehnya.
“Tapi.. tulah tu apa Pakcik Bahadur?” Ayas pula bersuara. Anak kecil itu sepertinya belum memahami maksud dari perkataan tersebut.
“Hmm.. tulah itu adalah kecelakaan atau kemalangan yang diterima oleh seseorang akibat bersalah atau menderhaka kepada orang-orang yang mempunyai daulat. Itu sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak menderhaka dan melawan orang tua, orang sufi, orang alim dan orang yang berpangkat seperti raja. Senang kata, tulah itu adalah balasan kepada orang yang menderhaka. Orang-orang yang melawan orang tua, orang alim dan pemerintah ni, Allah pasti akan balas perbuatan mereka.” Bahadur memberi penerangan sebagai jawapan kepada pertanyaan Ayas. Mendengar jawapan yang diberikan, Ayas, Usop dan Rania masing-masing terlopong mulut mereka.
“Jadi, kenapa pula dikatakan Nara akan terkena tulah kerana mencuri dan memiliki keris raja? Dia tak melawan sultan.. Dia hanya mencuri keris raja tu je..” Usop pula bertanya.
“Hahaha.. Perbuatan mencuri harta milik sultan itu pun sudah dianggap menderhaka.. Dalam hal ni, Nara memang bersalah.. Tapi.. entahlah. Pakcik pun tak tahu kenapa Nara nak sangat memiliki keris raja tu sampai sanggup mencurinya. Padahal Nara bukan seorang yang panjang tangan dan suka mengambil hak orang lain tanpa tujuan. Selama ini, dia mencuri dan merompak pun kerana ingin menolong orang miskin dan untuk memberi pengajaran kepada orang kaya yang sombong dan bongkak. Mengenai tulah keris tu pun, ada juga kepercayaan yang mengatakan, bukan hanya sekadar raja atau sultan yang mempunyai daulat. Bahkan barangan dan perhiasan diraja termasuklah senjata, juga sangat ampuh dan tidak layak dipegang oleh rakyat biasa. Kononnya, bagi orang kebanyakan yang memegang harta milik raja,mereka akan turut terkena sumpahan dan tulah. Tapi Nara tidak mempercayai semua kepercayaan tersebut. Dia hanya menganggap kisah tulah itu adalah sekadar dongengan untuk menakutkan rakyat terhadap raja yang memerintah.” Pendeta Bahadur memberi penerangan dengan panjang lebar.
“Tapi benarkah tulah tu ada?” Rania mencelah.
“Macam yang Pakcik katakan tadi.. Tulah itu adalah pembalasan daripada Allah kepada orang yang menderhaka kepada orang yang darjatnya lebih tinggi seperti ibu bapa, orang tua, orang alim dan raja-raja.”
“Kalau macam tu, adakah Nara akan terkena tulah? Atau dia hanyut di laut itu adalah satu tulah kepada Nara kerana memiliki keris raja?” Ayas semakin ingin tahu.
“Hmm.. entahlah.. Susah untuk Pakcik katakan.. Tapi, yang pastinya, Nara tidak percaya kepada tulah.. Malah mungkin juga dia tidak akan terkena tulah dari keris raja tersebut.” Pendeta Bahadur tersenyum.
“Tapi.. Nara itu kan orang biasa.. Orang kebanyakan.. Kenapa dia tidak terkena tulah?” Usop pula bertanya.
“Sebenarnya.. Nara itu bukan orang biasa.. Dia bukan orang kebanyakan seperti Bonang.” Pendeta Bahadur semakin melebarkan senyumannya. Tiga orang kanak-kanak yang mendengar ucapannya terkejut dan semakin tertanya-tanya.
“Maksud Pakcik Bahadur?” Rania menginginkan penjelasan dari pendeta buta sebelah matanya itu.
“Nara itu sebenarnya keturunan diraja.. Dia mewarisi darah raja di dalam tubuhnya. Ayahnya memang seorang orang laut yang mencari nafkah sebagai nelayan. Namun, arwah ibu Nara sebenarnya adalah seorang puteri diraja yang melarikan diri dari istana.. Setelah istana mereka diserang, ibu Nara melarikan diri demi menyelamatkan nyawanya. Dia kemudian berkahwin dengan ayah Nara dan menjadi orang kebanyakan. Manakala Bonang pula adalah sepupu Nara dari sebelah ayahnya. Ibu Bonang adalah adik kepada ayah Nara dan ayah Bonang pula asalnya dari Padang, di Pulau Sumatera.. Tapi kerana Bonang itu disusui oleh ibu Nara, maka mereka berdua sebenarnya sudah menjadi adik beradik susuan, bukan sekadar sepupu.” Pendeta Bahadur menjelaskan salasilah keluarga Nara yang penuh dengan kejutan. Tiga orang kanak-kanak itu semakin melopong kerana terpempan mendengar kata-kata Pendeta Bahadur.
“Nakhoda Nara itu keturunan raja?” Ayas seolah belum percaya dengan penjelasan Pendeta Bahadur.
“Ya.. Nara sebenarnya keturunan raja.. Mungkin kerana itulah Nara itu bersifat berani, suka mengambil risiko dan berfikiran jauh. Nara mungkin berani kerana mewarisi keberanian ayahnya. Tapi sifat yang semula jadi tumbuh dalam diri Nara dalam daya pemikiran dan kebolehan dalam kepimpinan, itu mungkin diwarisi daripada datuk dan ibunya yang merupakan golongan diraja.” Pendeta Bahadur menjelaskan dengan lebih terperinci. Dia kemudian menyambung lagi kata-katanya.
“Mungkin kerana darah raja yang mengalir dalam tubuhnya itu, Nara terelak dari terkena tulah.” Pendeta Bahadur membuat andaian. Walaupun kadang-kala dia juga tidak mempercayai tulah dari keris raja, namun itulah pendapat yang mampu dia pegang untuk menjelaskan keadaan Nara yang tidak ditimpa kualat. Dari segi logik akal, Pendeta Bahadur sendiri tidak mempercayai kualat dari benda mati seperti keris. Namun dari sudut pegangan agama, hal yang buruk boleh sahaja terjadi dan menimpa seseorang kerana perbuatannya yang menderhaka. Manusia yang suka menderhaka, Allah pasti akan membalas perbuatan mereka tidak kira sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.
Tiba-tiba pintu bilik bacaan terkuak. Pendeta Bahadur dan tiga orang kanak-kanak yang sedang bersamanya segera berpaling ke arah muka pintu. Setelah pintu terbuka, kelihatan seorang wanita menjengukkan kepalanya ke dalam bilik bacaan. Sepertinya dia sedang mencari seseorang.
“Haa.. ada di sini pun kamu.. Puas ibu cari kamu Rania. Apa yang kamu buat di sini? Jom balik..” Wanita yang merupakan ibu Rania itu segera memanggil anak perempuannya setelah melihat keberadaan anaknya di sana.
“Maaf pendeta kalau Rania sudah mengganggu pendeta di sini..” Ibu Rania mengangguk perlahan sambil menurunkan pandangan wajahnya kepada Pendeta Bahadur.
“Tak mengapa.. Dia dan kawan-kawannya tidak menggangguku.. Mereka hanya ingin mendengar cerita.” Pendeta Bahadur menjawab sambil tersenyum.
“Hari sudah senja.. Ayuh Rania, pulang dahulu.” Ibu Rania mengajak anaknya itu untuk pulang.
“Ya, kalian bertiga pulanglah dahulu.. Hari sudah senja. Nanti esok saja kita sambung lagi cerita.” Pendeta Bahadur mengiyakan kata-kata Ibu Rania. Sejenak kemudian, ketiga-tiga orang kanak-kanak tersebut mula berjalan dan meninggalkan ruangan bilik bacaan tersebut. Meninggalkan Pendeta Bahadur untuk bersendirian bersama buku-bukunya di sana. Di saat dirinya mula bersendirian, Pendeta Bahadur membuka kembali buku Hikayat Nakhoda Nara yang dikarangnya. Helaian muka surat dibeleknya satu persatu hingga tiba pada lembaran terakhir yang terlihat tulisannya. Pendeta Bahadur kemudian mencapai pena bulu yang berada di atas meja, lalu mencelup hujung bahagian pangkal bulu ke dalam dakwat hitam. Pena bulu itu kemudian digerakkan di atas helaian kertas pada buku yang sedang ditatapnya. Pendeta yang buta sebelah matanya itu kembali menyambung penulisannya dalam menghikayatkan perjalanan hidup Nakhoda Nara.
MENJELANG pagi esok, matahari sudah pun naik segalah. Pendeta Bahadur baru selesai melaksanakan solat sunat dhuha di rumahnya. Setelah bangkit dari tikar sembahyang, pendeta tersebut segera bergerak menuju ke arah pintu rumahnya. Baru sahaja dia membuka pintu rumah, kelihatan Ayas dan Rania sudah berjalan menuju ke arahnya. Pendeta Bahadur tersenyum sendiri. Dia sudah dapat mengagak tujuan kedatangan dua orang anak kecil itu ke rumahnya.
“Pakcik Bahadur.. Ayuh, sambung cerita semalam.” Rania yang tidak sabar segera menjerit kepada Pendeta Bahadur. Telatah anak itu serta merta membuatkan Pendeta Bahadur tertawa.
“Awal sekali kalian mencariku.. Langsung tak sabar.” Pendeta Bahadur menjawab sambil masih tersisa tawanya.
“Lekaslah Pakcik..” giliran Ayas pula menunjukkan sikap tidak sabarnya.
“Ya lah.. Tapi mana lagi seorang?” Pendeta Bahadur menyoal apabila menyedari ketiadaan Usop.
“Usop ada kat sana.. Sedang bermain dengan Melur.” Rania segera menjawab.
“Hari ini kita tak payah la bercerita di dalam bilik.. Pakcik nak ceritakan kisah Nakhoda Nara kepada kalian di tempat terbuka. Ayuh, kita ke gazebo..” Pendeta Bahadur menyampaikan hasratnya.
“Baiklah.. Ayuh Ayas.. kita ke sana sekarang.” Rania ingin segera menuju ke arah gazebo. Ayas pula hanya patuh dan mengikuti langkah Rania yang sudah semakin cepat.
“Jangan lupa ajak kawan kalian.” Pendeta Bahadur sedikit melaung sambil tertawa. Dia kemudian perlahan-lahan turun dari tangga rumahnya dan dengan segera berjalan menuju ke arah gazebo, tempat yang sudah dijanjikannya kepada dua orang kanak-kanak sebentar tadi.
Setibanya Pendeta Bahadur di gazebo, Rania dan Ayas sudah siap menunggunya bersama Usop dan Melur. Melur adalah anak perempuan yang sebaya dengan tiga orang kanak-kanak tersebut. Hari ini, dia juga diajak oleh tiga orang rakannya itu untuk mendengar kisah riwayat hidup Nakhoda Nara daripada Pendeta Bahadur. Di perkampungan mereka, Pendeta Bahadur sangat dihormati sebagai seorang yang berilmu dan sering beribadat. Walaupun raut wajahnya terlihat sedikit menakutkan, lebih-lebih lagi kepada anak-anak kecil, namun Pendeta Bahadur sebenarnya seorang yang peramah dan sangat sayangkan kanak-kanak. Walaupun penampilannya terlihat seperti garang, namun hakikatnya pendeta yang buta sebelah matanya itu adalah seorang yang baik hati dan sangat merendah diri.
“Baiklah, kalian sudah bersedia untuk dengar sambungan kisah semalam?” Pendeta Bahadur bertanya sebagai berbasa-basi untuk menyapa para kanak-kanak di situ.
“Sudah!” Usop dan Rania bersemangat menjawab pertanyaan sang pendeta. Melur pula terkebil-kebil disebabkan dia tidak tahu hujung pangkal cerita kerana tidak turut serta pada penceritaan Pendeta Bahadur semalam. Ayas yang sudah tidak sabar pula kembali bertanya kepada Pendeta Bahadur.
“Jadi apa yang berlaku selepas Nara pulang kembali menemui Bonang? Dia kembali jadi nelayan dan merompak?”
“Wah, sudah tak sabar lagi kamu ni.. Biar Pakcik duduk dulu..” Pendeta Bahadur kemudian melabuhkan punggungnya di atas sebuah bangku yang terdapat di gazebo. Empat orang kanak-kanak itu pula duduk di lantai dengan kepala sedikit mendongak melihat ke arah Pendeta Bahadur.
“Hmm.. Selepas kehilangan Rebung Sari, Nara sudah tak menjadi nelayan.. Dia hanya bercucuk tanam dengan Bonang dan menjual hasil tanaman mereka di kota. Tapi dia masih menjual ikan dengan menjadi peraih. Dia membeli ikan dari nelayan dan menjualnya di kota. Walaupun untungnya lebih kecil berbanding dia menangkap sendiri ikan-ikan tu, setidaknya Nara tetap bersemangat untuk mencari wang dengan berniaga. Kes rompakan juga masih dilakukan namun agak jarang sekali. Nara bukan jenis yang suka merompak secara semberono.. Setiap mangsanya pasti akan dikenal pasti sebaik mungkin terlebih dahulu. Hanya orang kaya yang suka memeras orang sahaja yang akan dirompak olehnya. Mereka juga tetap belajar dengan Kiai Muhsin Tuban di surau, lebih-lebih lagi Bonang. Nara seperti biasanya, dia kurang berminat untuk belajar.. Keadaan itu berlangsung hampir setahun lamanya.” Pendeta Bahadur memulakan cerita.
Share this novel