EMPU Tok Luth yang sedang menempa besi menghentikan pekerjaannya apabila menyedari kehadiran beberapa orang lelaki di tempatnya bekerja. Seorang lelaki yang berbusana melayu lengkap serta mewah diiring oleh beberapa orang yang tertugas sebagai pengawal. Empu Tok Luth segera mendatangi lelaki yang terlihat gah dan berkuasa itu.
"Sudah siapkah keris yang paduka baginda sultan inginkan?" Lelaki kaya itu tersenyum kepada Empu Tok Luth.
"Iya Datuk Bendahara.. sebentar, hamba ambilkan.." Empu Tok Luth tersengih sambil menganggukkan kepalanya kepada lelaki yang mendatanginya itu.
Lelaki itu adalah Bendahara negara yang diutus menjadi wakil pemerintah untuk mengambil keris raja yang di inginkan oleh Sultan. Sambil tersenyum, Empu Tok Luth mencapai keris raja. Keris itu di hunus dari sarungnya oleh Empu Tok Luth bagi melihat buat kali terakhir keris sakti tersebut. Sebentar lagi keris itu akan berganti tangan dan akan disimpan oleh Sultan. Maka selepas ini tiada lagi rakyat jelata yang akan dapat melihat keris tersebut melainkan dengan izin sultan.
Setelah keris tersebut terhunus, Empu Tok Luth terbeliak biji matanya. Dia benar-benar terkejut. Bilah keris yang berada di hulu dan sarung keris raja itu bukan bilah asal keris raja. Itu adalah bilah keris biasa yang di tempa olehnya. Dari ciri-ciri yang terdapat pada bilah keris tersebut, memang diyakini bilah keris itu di tempa oleh dirinya sendiri. Namun, bilah itu bukanlah bilah keris raja yang sakti. Empu Tok Luth mulai bingung. Dia menyarungkan kembali keris tersebut ke sarungnya.
"Ma..maafkan hamba Datuk Bendahara.. hamba baru perasan, ada sedikit kecacatan pada bilah keris raja. Maafkan hamba.. berikan hamba sedikit masa lagi untuk memperbaiki keris raja milik paduka baginda sultan ini.." Empu Tok Luth cuba berdalih untuk tidak menyerahkan keris tersebut kepada Bendahara.
Jika dia menyerahkan keris tersebut, pastilah sultan akan murka kepadanya bahkan lebih teruk jika dia dihukum bunuh oleh sultan. Mahu atau tidak, Empu Tok Luth terpaksa mengelak daripada memberikan keris tersebut kepada Bendahara.
"Berapa lama masa yang tuan hamba perlukan?" Bendahara mula berubah reaksi wajahnya. Dia sepertinya tidak menyenangi permintaan Empu Tok Luth untuk menangguhkan masa.
"Err..err.. berikan hamba.. err.. tiga bulan lagi.." Empu Tok Luth tergagap menjawab. Dia sendiri sebenarnya bingung dan tidak tahu dimana untuk mencari bilah keris raja yang asal.
"Ciss Tok Luth.. Dulu paduka baginda berikan tuan hamba tempoh sebulan untuk siapkan.. Tapi tuan hamba minta lima bulan, kononnya untuk memilih tarikh yang sesuai buat paduka baginda. Baginda sudah setuju untuk lima bulan.. tapi sekarang tuan hamba mahu tambah tiga bulan lagi? Apakah tuan hamba ingin membuat Baginda Sultan murka?" Bendahara mula meninggikan suaranya terhadap Empu Tok Luth. Wakil sultan itu merasakan Empu Tok Luth seperti sengaja ingin mempermainkan dirinya dan sultan.
"Maaf.. maafkan hamba Datuk Bendahara.. tapi hamba benar-benar memohon kepada datuk.. hamba tidak ingin menyerahkan keris yang tidak sempurna kepada baginda sultan. Itu sama seperti hamba menghina paduka baginda.. hamba hanyalah pacal yang hina datuk.. hamba hanya ingin memberikan yang terbaik kepada baginda sultan." Empu Tok Luth mula ketakutan. Namun dia tetap perlu berdalih daripada menyerahkan keris yang sudah tertukar bilah itu.
"Baiklah Tok Luth..hamba berikan tuan hamba tempoh satu minggu. Ingat.. satu minggu saja lagi.." Bendahara mengacukan jari telunjuknya kepada Empu Tok Luth.
Selepas mendengus kencang, Bendahara langsung berpaling punggung dan pergi dari kawasan tersebut. Empu Tok Luth yang melihat Bendahara dan para pengawalnya berlalu pergi dari situ terus merasa lututnya lemah longlai, seraya punggungnya rebah ke tanah. Tangannya masih memegang kemas sarung keris raja. Sekali lagi, tangannya memegang hulu keris tersebut dan menarik keluar keris dari sarungnya.
"Bagaimana bilah keris ini boleh bertukar? Apa sebenarnya yang telah berlaku?" Empu Tok Luth masih di landa kebingungan.
NARA memasukkan sebuah hulu yang terbuat dari kayu berwarna hitam pada bilah keris di tangannya. Hulu keris itu di pulas serta di tekan dengan kuat supaya ketat dan kemas memegang bilah keris. Setelah berpuas hati dan yakin hulunya telah kejap pada bilah, Nara menilik keris di genggaman tangannya itu sambil tersenyum.
"Tulah? Hanya omong kosong yang mengarut.." Nara berbicara sendirian.
Dia langsung tidak mempercayai kesaktian dan daulat seorang raja. Bagi Nara, perkataan tulah hanyalah sekadar kata-kata untuk menakutkan rakyat jelata terhadap penguasa. Mana mungkin seorang manusia mempunyai kesaktian yang akan memudaratkan manusia lain. Malah perbuatan kudeta yang sering terjadi terhadap banyak kerajaan selama ini, tiada pun di khabarkan mereka itu mendapat tulah.
"Nara.. ayuhlah kita ke surau.." Bonang tiba-tiba muncul dari arah belakang Nara. Kehadiran Bonang itu benar-benar membuatkan Nara terkejut dan keris pada pegangang tangannya hampir terlepas.
"Kau ni.. buat terkejut aku saja.. Kau benar-benar ingin belajar dari Kiai itu Bonang?" Nara bertanya sambil tangannya memegang kejap hulu keris. Bilah keris raja pada genggamannya ditilik kembali dengan penuh khusyuk.
"Aku ingin menjadi manusia yang berguna Nara.. aku ingin jadi orang berilmu.." Bonang menyatakan hasratnya. Kali ini dia merasakan buat pertama kali dalam hidupnya, dia menyimpan cita-cita.
Selama ini, Bonang hampir tidak pernah membuat apa-apa keputusan dalam hidupnya. Segala pekerjaan dan keperluan hidupnya diurus dan diputuskan oleh Nara. Bonang sedar dirinya sangat lemah dan penakut jika dibandingkan dengan Nara yang sentiasa bersemangat dan berfikiran ligat.
"Untuk apa juga kau belajar? bukankah hidup kita sudah terurus, sudah mencukupi sekarang?"
"Kau dengar tak Kiai Muhsin bagitahu malam tadi? Dengan ilmu, kita bukan hanya dapat mengubah hidup kita, bahkan kita mampu menolong orang lain.."
"Jadi?"
"Akal tak datang sekali, runding tak sekali tiba.. nak jadi orang berilmu, bukan dalam sekelip mata.. aku nak berusaha belajar dan menimba ilmu. Aku ingin menjadi pendeta.. Aku ingin mencari ilmu dan sebarkan ilmu." Bonang terlihat penuh tekad dan semangat.
Nara mendiamkan diri setelah mendengar jawapan Bonang. Dia tidak pernah melihat Bonang bersemangat seperti itu. Dia yakin Bonang benar-benar memaksudkan kata-katanya sebentar tadi.
Sebagai seorang teman dan saudara yang membesar bersama, Nara tidak ingin memperkecilkan niat Bonang. Selama ini, setiap tindakan Nara sama ada baik atau buruk, Bonang sentiasa menyokong penuh dan memberinya semangat.
Kini Bonang hanya ingin menuntut ilmu di surau kampung mereka. Nara tidak akan keberatan untuk menemani sepupunya itu walaupun Nara sendiri tiada niat untuk belajar. Jika hal tersebut yang akan memberi kebahagiaan kepada saudaranya, Nara pasti akan memberikan sokongan. Setelah diam sejenak, Nara akhirnya melepaskan satu hembusan nafas yang panjang.
"Tunggu sebentar, aku ingin mandi dahulu.." Nara bangkit berdiri dan segera memanjat tiang untuk menyorokkan keris di pegangan tangannya di alang rumah. Selesai menyorokkan keris, Nara segera keluar untuk membersihkan diri manakala Bonang hanya memerhati tindak tanduk temannya itu.
"Jika cerdik, teman berunding. Jika bodoh, disuruh arah." Bonang berbicara sendiri seraya tersenyum melihat Nara yang sedang menuju ke arah sumur di belakang rumah mereka.
BONANG dengan tekun belajar mengenal huruf daripada Kiai Muhsin Tuban. Nara juga turut belajar bersama, namun dia terlihat bersikap acuh tak acuh dalam belajar. Niat kehadirannya hanya untuk menemani Bonang.
Di samping belajar mengenal huruf, Bonang tanpa segan turut meminta kepada Kiai Muhsin Tuban untuk mengajarkannya membaca Al-quran. Kiai Muhsin Tuban terlihat senang hati mengajarkan dua orang anak muda yang ingin menuntut ilmu itu. Walaupun lelaki tua itu menyedari Nara tidak benar-benar mempunyai minat untuk belajar, setidaknya anak muda itu masih juga memasuki majlis ilmu tersebut.
Setelah selesai belajar, Kiai Muhsin Tuban meladeni Bonang dan Nara berbual-bual sementara menunggu tibanya waktu maghrib. Mereka saling bertukar cerita mengenai pengalaman masing-masing. Kiai Muhsin Tuban turut menceritakan pengalamannya menuntut ilmu selama ini bagi menyemangati dua anak muda tersebut untuk terus menuntut ilmu.
Kata-kata dari Kiai tua itu banyak membekas di hati Bonang, namun bagi Nara, kata-kata lelaki itu di dengarnya sekadar angin lalu. Walaupun sikap Nara yang terlihat acuh tak acuh, Kiai Muhsin Tuban sepertinya tertarik dengan Nara.
"Terkadang, perbuatan orang kita tidak tahu yang mana benar atau salah.. Mungkin salah di mata kita, namun benar di mata orang.. mungkin juga benar di mata kita, namun salah di mata orang.. sebaiknya, kita janganlah melakukan hal yang nyata salah dan dilarang oleh agama.." Kiai Muhsin Tuban menepuk-nepuk paha Nara yang sedang duduk berhadapan dengannya.
Nara dan Bonang agak terkejut mendengarkan kata-kata lelaki tua itu. Kadang-kala, tutur kata Kiai itu seperti mengetahui perbuatan dan fikiran mereka. Mendengar kata-kata Kiai Muhsin Tuban, Nara terasa seperti lelaki tua itu mengetahui perbuatannya merompak orang kaya dan sedekahkan hasil rompakannya kepada orang miskin.
Pada fikirannya, apakah itu yang di maksudkan oleh Kiai tua tersebut dalam kata-katanya sebentar tadi.
"Maksud Pak Kiai macam mana?" Nara ingin memastikan maksud dari lelaki tua terbabit.
"Setiap tindakan kita pasti ada baik dan buruknya.. mungkin bagi kita, perbuatan kita itu benar.. namun bagi pihak lain, perbuatan kita itu salah.. contohnya kisah yang terjadi kepada Saiyidina Ali dan Saiyidina Muawiyah.. Peperangan terjadi di antara mereka dan menjadi perebutan kuasa pemerintahan empayar islam. Ada pihak yang menyokong Ali dan mengatakan Ali di pihak yang benar dan Muawiyah yang salah.. ada juga pihak yang menyokong Muawiyah dan mengatakan Muawiyah yang benar dan Ali yang salah.. sebenarnya kedua mereka adalah sahabat Rasulullah.. keduanya percaya kepada kebenaran masing-masing. Hanya keadaan yang memaksa kedua pihak berperang, padahal mereka adalah sama-sama islam. Bahkan Muawiyah sendiri menangis apabila mengetahui Ali mati dibunuh."
Nara dan Bonang terdiam apabila mendengar kisah peperangan merebut jawatan khalifah empayar islam itu dari Kiai Muhsin Tuban. Sebagai anak yang membesar tanpa didikan agama dan penjagaan dari orang tua, Nara dan Bonang langsung tidak mengetahui kisah yang pernah berlaku kepada empayar Islam.
Nara kini hanya merasa sedikit lega dari cerita yang di sampaikan oleh Kiai Muhsin Tuban. Dia mula beranggapan, mungkin kata-kata Kiai itu tadi tidak di tujukan kepada dirinya. Bagi Bonang pula, kisah yang di sampaikan oleh Kiai Muhsin Tuban itu sangat menarik. Dia sepertinya ingin terus mendengar kisah sedemikian.
"Takdir setiap orang sudah ditentukan.. bersabarlah menempuhi setiap ujian dalam hidup ini.. sentiasalah berbuat kebaikan. Jika pun bukan untuk kebaikan diri kita, setidaknya demi kebaikan orang lain.." Kiai Muhsin Tuban mengucapkan kata-kata tersebut sambil menatap tepat ke mata Nara. Nara mula menjadi bingung kembali. Kata-kata Kiai tua itu sering membuat dirinya penasaran akan maksud sebenar yang ingin di sampaikan oleh lelaki tersebut.
Tidak lama kemudian, dua orang lelaki memasuki ruangan surau tersebut sambil memberikan salam. Salah seorang dari mereka kemudiannya mula mengetuk kertuk dengan kuat bagi menandakan telah masuk waktu maghrib.
Lelaki yang satu lagi pula melaungkan azan untuk mengajak para penduduk kampung untuk turut menunaikan solat maghrib secara berjemaah sebentar lagi. Seketika kemudian, beberapa orang lagi mulai tiba di surau dan solat maghrib mula di laksanakan dengan Kiai Muhsin Tuban menjadi imam mereka.
Share this novel