BULAN yang bercahaya menjadi penyeri alam. Purnama yang bersinar itu turut ditemani oleh gugusan bintang yang gemerlapan menghiasi dada langit malam. Bunyi suara ombak yang berdendang menghempas pantai kedengaran jelas tatkala makhluk lain telah pun membisu. Suasana malam itu terasa tenang dan mendamaikan. Namun ketenangan malam itu masih tidak mampu menenangkan suasana di hati Nara. Pemuda itu masih duduk membungkam di bangku pada anjung rumah. Matanya asyik menatap rembulan yang sedang tergantung di hamparan langit yang luas. Di kala itu, hatinya tiba-tiba membuak rasa rindu kepada Bonang. Sejenak kemudian, Nara menghembuskan satu nafas keluhan.
“Bonang.. Walau pun kita jauh beribu batu, tapi ingatlah.. Kita tetap memandang bulan yang sama.. Kau dan bulan, bagiku adalah sama.. Hanya satu dalam hidupku.. Menjadi teman ketika aku sendirian dalam kegelapan..” Nara berbicara sendirian. Hatinya terasa penuh dibalut oleh perasaan rindu.
“Wahai bulan, tunjuklah jalan kepada angin semilir, agar dia sampaikan khabarku kepada Bonang.. Jangan biarkan saudaraku itu terus bersedih.” Nara masih memaku pandangannya kepada bulan. Sedetik kemudian, matanya teralih kepada gugusan bintang yang sedang memagari bulan. Cahaya berkelipan yang bertebaran itu mula menarik perhatian Nara. Pemuda itu kemudian mengangkat tangan kanannya ke arah para bintang. Ibu jari dan telunjuknya diluruskan, seraya mata kirinya dipejam. Nara seolah sedang mengukur jarak diantara bintang.
“Hmm.. Indera Kayangan menganjur ke sebelah selatan.. Bonang, bersabarlah.. Aku pasti akan pulang.” Nara mengukir seulas senyuman. Dari kedudukan bintang yang bertaburan, Nara dapat mengenal pasti arah kedudukan dan tujuannya. Wajar sahaja Nara sebagai pelaut mampu membaca kedudukan bintang-bintang. Namun kebolehan yang miliki pada usia semuda itu amat memberangsangkan. Sikap ingin belajar dan tidak mudah putus asa dalam mengenali bintang dan laut ketika bersama Juragan Delit sebelum ini menjadikan Nara arif dalam hal tersebut. Di kalangan para pelaut, ilmu mengenali bintang adalah salah satu ilmu penting bagi mereka mengenal pasti arah dan tujuan mereka ketika berada di tengah laut. Tanpa pengetahuan tersebut, mereka yang berada di tengah laut pasti akan tersesat tanpa arah tuju. Bagi masyarakat di kepulauan Nusantara ini, mereka bergantung sepenuhnya kepada alam dan tidak berpandukan kompas seperti orang barat. Ilmu berdasarkan petunjuk alam dipelajari dan diperturunkan oleh mereka dari generasi ke generasi.
“Nara, kenapa kau masih belum tidur? Apakah kau ingin bergadang sepanjang malam?” Suara Likur tiba-tiba mengejutkan Nara. Nara segera berpaling dan melihat lelaki pemilik rumah tersebut sedang berdiri di muka pintu.
“Oh, Likur.. Aku ingin mengambil angin malam sebentar.. Nanti aku pasti akan tidur.” Nara segera menjawab pertanyaan Likur. Setelah diam sejenak, Nara melanjutkan lagi ucapannya.
“Likur.. Aku fikir, selepas subuh nanti, aku ingin bertolak pergi. Aku ingin pulang ke kampung halamanku.”
“Hmm.. apakah kau risau jika di bawa menghadap penghulu dan bimbang dirimu akan ditahan di sana? Jangan terlalu difikirkan hal tersebut.. Lagipun, penghulu Megat Budi itu, walaupun tegas, namun baik orangnya. Dia bukanlah seorang yang jahat.. Malah dirimu juga masih belum sihat sepenuhnya Nara.. Nanti-nanti saja kau pulang.” Likur cuba menasihati.
“Bukan hal itu yang aku fikirkan.. Aku cuma terlalu khawatir dengan saudaraku di sana.. Dia pasti sangat bersedih dan menganggap aku sudah meninggal. Aku bimbang jika dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.” Nara memberi penjelasan.
“Kalau begitu, lebih baik kau tunggu lagi beberapa hari.. Terlalu bahaya jika kau bertualang dalam keadaanmu sekarang.” Likur terus berusaha menasihati Nara.
“Hidup ini sentiasa berisiko dan kita tidak pernah tahu bila bahaya akan mendatang.. Jika tidak bertindak, sebutir nasi pun tidak akan masuk ke tekak.”
“Benar.. Tapi keadaan kau sekarang masih tidak sihat sepenuhnya Nara. Jika kau berpergian dalam keadaanmu sekarang, itu sengaja mencari penyakit namanya.. Sama seperti ingin menempah maut..”
“Aku yakin sudah sihat Likur.. Jangan kau risau keadaan tubuhku.” Nara tersengih sambil menepuk kedua belah pahanya. Likur melepaskan satu keluhan seraya menggelengkan kepalanya. Dia tahu, kata-katanya sudah tidak mampu untuk membantah Nara yang keras kepala.
“Kau benar-benar kepala batu Nara..” Likur tersenyum sambil menatap wajah Nara. Lelaki muda di hadapannya itu masih tetap tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
“Maaf Likur.. Aku juga tidak ingin terus menyusahkan kau dan Kartika di sini.. Segala makan minum aku disediakan.. Aku malu.. Pantang pemuda makan tanggung, berak cangkung.”
“Jangan berkata begitu Nara.. Aku ikhlas membantumu.”
“Terlalu besar jasamu kepadaku.. Malah aku terhutang nyawa kepadamu Likur. Aku tak tahu bagaimana mahu membalasnya.”
“Itu sudah menjadi tanggung jawab kita sesama manusia.. Jangan kau terus mengungkit hal sebegitu. Kalau kau ditempat aku, pasti kau juga akan melakukan hal yang sama.” Likur tetap rendah hati. Nara terdiam seketika. Dia merendahkan pandangan matanya sambil termenung.
“Hmm.. kalau begitu, sesudah subuh nanti aku akan mula bergerak pulang. Seandainya diberi kesempatan dalam hidup ini, aku akan membalas budi baik kau terhadapku.” Nara mengulangi hajatnya kepada Likur.
“Aku tahu, aku takkan mampu lagi menghalangmu. Kalau begitu, nanti aku minta Kartika menyiapkan bekal untukmu.. Perjalananmu pasti mengambil masa beberapa hari.” Likur terpaksa akur. Dia sudah berputus asa untuk terus menghalang hasrat Nara.
“Terima kasih Likur..”
“Ya.. sudahlah.. Sekarang ada baiknya kau tidur dulu. Rehatlah secukupnya sebelum menempuh perjalanan yang panjang.”
Share this novel