PENDETA Bahadur menyandarkan belakang badannya ke kerusi. Buku tulisan tangannya tentang riwayat Nakhoda Nara ditutup. Lalu kulit buku yang tebal itu di tepuk dengan kedua telapak tangannya sambil menghembuskan nafas dengan kasar. Lelaki yang buta sebelah matanya itu mengalihkan pandangannya kepada tiga orang kanak-kanak yang masih duduk di sampingnya dengan mulut mereka yang ternganga.
"Jadi.. Nara menjadi perompak? Bukankah dia sudah beli perahu?" Ayas bertanya.
"Ya.. kan dia hendak menjadi nelayan.. kenapa perlu menjadi perompak pula?" Usop pula bertanyakan hal yang sama.
"Apakah Nara dan Bonang jadi kaya raya dengan hasil rompakan?" Rania turut tidak mendiamkan diri.
Pendeta Bahadur terus tertawa apabila dihujani pertanyaan dari ketiga-tiga anak kecil tersebut. Selepas selesai ketawa, Pendeta yang buta sebelah matanya itu menuangkan air dari bejana di atas meja bacaannya ke dalam gelas. Setelah meminum air dari gelas itu sehingga habis, Pendeta Bahadur mengangkat kerusinya dan dialihkan sedikit untuk menghadap tiga kanak-kanak itu dengan bertentangan mata.
"Ya.. Nara mula menjadi nelayan sendiri.. dia juga berniaga di pasar bersama Bonang.. dan ada waktunya, mereka juga menjadi perompak." Pendeta Bahadur diam seketika sebelum melanjutkan kata-katanya.
"Mereka merompak, bukan untuk kekayaan diri mereka.. Mereka merompak orang kaya yang sombong.. saudagar yang menipu.. orang yang menindas orang lain.. dan hasil rompakan, mereka bahagikan kepada orang-orang yang miskin. Mereka membentuk kumpulan perompak yang dinamakan kumpulan Damar. Nara yang menjadi ketua kumpulan juga menggunakan nama samaran sebagai Damar. Mereka mengumpulkan ahli kumpulan daripada kalangan remaja yang miskin dan di tindas untuk lebih menguatkan kumpulan mereka. Namun Nara dan Bonang yang sentiasa menutup wajah mereka langsung tidak di kenali identiti sebenar mereka walaupun daripada kalangan ahli kumpulan Damar sendiri." Pendeta Bahadur meleretkan senyuman.
PINTU rumah diketuk dengan kuat. Seorang wanita segera membuka pintu rumahnya. Wanita itu terkejut apabila melihat seseorang yang menutupi mukanya dengan sehelai kain berdiri di depan pintu rumah. Pendatang dengan wajah tertutup litup itu segera berlari meninggalkan wanita tersebut.
Wanita yang masih terkejut dan ketakutan itu tiba-tiba menjadi hairan dengan tindakan pendatang yang menutup wajahnya itu. Dia kemudian melihat satu bungkusan di lantai pada hadapan pintu rumahnya. Wanita itu segera mencapai bungkusan tersebut dan membukanya.
Alangkah terkejutnya wanita tersebut apabila mendapati bungkusan yang di tinggalkan di hadapan pintu rumahnya itu mengandungi sejumlah wang yang agak banyak. Dia mula tertanya-tanya, siapakah gerangan yang membawa wang tersebut. Entah kenapa wang yang berjumlah banyak itu diberikan kepadanya.
Di kota, mula heboh tentang berita rompakan yang dilakukan ke atas rombongan saudagar dari luar negeri. Rompakan yang di lakukan oleh kumpulan Damar semakin kerap berlaku. Hal tersebut mula tersebar sehingga ke pengetahuan Sultan.
Bahkan rombongan sultan yang membawa ufti turut dirompak oleh kumpulan berkenaan. Hal tersebut telah menimbulkan kemurkaan Sultan. Baginda telah mengarahkan kawalan lebih ketat di lakukan dan kumpulan perompak itu perlu dibasmi dengan segera mungkin. Namun tiada seorang pun yang tahu mengenai kumpulan perompak yang bergelar Damar itu.
Sebaliknya, golongan orang miskin pula hanya mendiamkan diri setelah mendapat sejumlah wang. Mereka masing-masing tidak menghebohkan wang yang telah di terima oleh mereka bagi mengelakkan harta mereka dirampas dan disiasat oleh pasukan diraja.
Ada di kalangan mereka yang menggunakan wang yang di dapati itu untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan memulakan perniagaan mereka sendiri dan ada juga yang membeli perahu untuk turun ke laut malah ada yang menjadikan modal untuk bercucuk tanam dan mengusahakan kebun.
Nara dan Bonang pula semakin mengembangkan perniagaan mereka. Dari meniaga di kaki lima, kini mereka sudah mempunyai gerai sendiri di pasar kota. Selain sayur dan buah-buahan, kini mereka turut menjual hasil laut yang ditangkap sendiri oleh Nara.
Walaupun menjadi perompak, namun mereka langsung tidak menggunakan hasil rompakan tersebut untuk kegunaan diri mereka sendiri. Semua hasil rompakan mereka akan beri dan bahagi kepada golongan miskin secara adil.
Kini nama kumpulan perompak Damar sering menjadi bualan mulut masyarakat. Bagi orang kaya, nama kumpulan itu di kutuk dan menjadi mimpi ngeri buat mereka. Namun bagi golongan miskin, kumpulan itu dipuji dan perbuatan kumpulan Damar turut di sokong oleh mereka.
Hari itu, hasil jualan Nara dan Bonang telah habis di beli oleh orang ramai. Sejak berlakunya kes rompakan, urusan jual beli di pasar kota semakin rancak. Setelah mendapat wang hasil rompakan daripada kumpulan Damar, kini kuasa beli rakyat semakin meningkat.
Semakin ramai orang yang mampu membeli dari kalangan orang miskin. Walaupun para peniaga sedar hasil jualan mereka lebih meningkat, namun golongan saudagar yang kaya tetap tidak menyedari rantaian ekonomi kini semakin membaik, malah peminta sedekah juga sudah tiada yang berkeliaran di kawasan kota untuk menagih simpati.
Nara dan Bonang dengan senang hati mengemas gerai mereka setelah semua barangan mereka habis terjual. Baru sahaja selesai mengemas, Orang Kaya Bagan dan para pengawalnya datang menghampiri dengan wajah yang masam mencuka.
Nara tanpa berlengah langsung menghulurkan wang kepada orang kaya tersebut sebagai cukai jualannya. Walaupun tidak menyukai tindakan wakil Syahbandar tersebut, namun Nara dan Bonang terpaksa akur demi kelangsungan perniagaan mereka.
"Jualan kalian habis hari ini.. aku rasa, cukai kalian juga perlu di tambah.." Orang kaya Bagan masih ingin memeras.
"Janganlah begitu orang kaya.. kami pun bukan selalu dapat habiskan jualan kami. Lagipun, untung kami bukan besar. Hari ini jualan kami sedikit saja.. sebab tu semua habis terjual.." Nara cuba berdiplomasi dengan berhelah.
"Tadi aku lihat banyak sahaja jualan kalian.."
"Mana ada orang kaya.. mungkin orang kaya tersalah lihat. Lagipun tadi kami susun barang jualan rendah, tidak di tompokkan. Sengaja untuk bagi nampak banyak, untuk di jadikan tarikan orang. Sayur, ikan tu semua sedikit je.." Nara masih berhelah. Orang Kaya Bagan hanya mendiamkan diri. Matanya hanya melilau melihat ke sekeliling kawasan gerai.
"Nanti esok saya turun ke laut.. Kalau dapat tenggiri paling besar, saya berikan kepada orang kaya. Dijamin ikan segar." Nara bijak mengumpan orang kaya Bagan dengan kata-katanya.
"Hmm.. baiklah.." Orang Kaya Bagan menepuk bahu Nara dan kemudiannya berpaling, lalu pergi meninggalkan gerai tersebut. Kata-kata Nara berjaya menjinakkan keangkuhan orang kaya itu.
"Wah.. berjaya juga kau lembutkan hati Orang Kaya Bagan." Bonang memegang kedua belah bahu Nara.
"Anjing ditepuk, menjungkit ekor.. nak selamat dari orang angkuh, sombong ni, kita beri je dia rasa dihormati.. biar dia terus hanyut dengan kesombongannya.. Kalau dia tak nak mengalah, nanti kita bedal lagi wang dia.." Nara berbisik kepada Bonang.
Lantas kedua mereka menghamburkan ketawa dengan kuat. Bonang terasa geli hati mengenangkan peristiwa Nara merompak Orang Kaya Bagan, menyebabkan dia ketawa sehingga mengeluarkan air mata dan menekan perutnya.
"Ayuh kita jalan-jalan dulu sekitar kota.." Nara melihat kawasan gerai mereka untuk memastikan semuanya sudah di kemaskan.
"Jom lah.. awal lagi untuk kita pulang."
Mereka berdua beriringan berjalan di kawasan sekitar sambil melihat barang jualan yang dijual oleh peniaga lain. Kawasan pasar itu sungguh luas dan begitu ramai peniaga dan pedagang sama ada orang tempatan mahupun bangsa asing yang berniaga.
Setelah mencuci mata di kawasan gerai, mereka menuju pula ke arah pusat kota. Di kawasan pusat kota hanya di penuhi oleh lot kedai termasuklah kedai makan. Kawasan tersebut jarang di masuki oleh golongan miskin melainkan untuk makan dan minum. Kebanyakan barangan yang di jual di pusat kota adalah barangan mewah dan mahal, bahkan sewa kedai di kawasan tersebut juga jauh lebih mahal berbanding di pasar berhampiran pelabuhan.
Di atas bukit, belakang pusat kota pula menempatkan istana Sultan. Orang kebanyakan dilarang sama sekali untuk mendekati kawasan istana melainkan mendapat jemputan Sultan atau saudagar dari luar negeri yang ingin memohon kebenaran untuk berdagang.
Ketika berjalan di kawasan kota, Nara tertarik kepada satu kedai yang terletak di sudut paling hujung deretan kedai. Kedai itu menjual pelbagai jenis senjata. Di sebelah kedai tersebut pula, terdapat kawasan kerja bagi tukang besi.
Bahang kepanasan mampu di rasakan dari luar kawasan tersebut. Nara menjengukkan kepalanya untuk meninjau keadaan di dalam kawasan tukang besi. Bonang yang menyedari Nara ingin masuk ke kawasan tersebut segera menegah sepupunya itu dengan menarik lengan Nara.
"Bonang, kau pergilah ke perahu dahulu.. sebentar lagi kita pulang. Aku ingin melihat tukang besi bekerja dahulu."
"Kau jangan lama sangat."
"Ya lah.. aku cuma ingin melihat-lihat sahaja. Kau pergilah dahulu ke perahu." Nara sangat penasaran untuk melihat tukang besi bekerja. Bonang pula hanya akur dengan kehendak Nara. Dia mula pergi meninggalkan Nara di situ. Nara pula menapak memasuki ruangan tukang besi. Di dalamnya, kelihatan seorang lelaki sedang menempa besi. Nara memberanikan dirinya mendekati lelaki tersebut.
"Apa hajat ke ke sini anak muda?" Lelaki yang sedang menempa besi itu menyedari kehadiran Nara.
"Saya cuma ingin melihat sahaja.. Pakcik sedang membuat keris?"
"Ah.. aku baru menyiapkan bilah keris ini.." Lelaki itu menunjukkan bilah keris di tangannya kepada Nara sebelum mencelup bilah tersebut ke dalam minyak.
"Apa kau ingin mencari keris atau ingin belajar membuat keris?" Lelaki itu bertanya lagi.
"Kalau ada keris yang menarik, saya juga ingin miliki.." Nara tersengih.
"Kalau nak mencari keris, kau pergi lihat sahaja di kedai sebelah. Keris buatanku yang sudah siap ada di situ untuk dijual."
"Oh begitu.. kalau keris itu, berapa harganya?" Nara menunjukkan ke arah satu keris yang berada di tempat tersebut.
"Keris itu bukan untuk dijual.. Itu keris raja yang baru aku siapkan.. itu di tempa khas untuk Sultan."
"Keris raja?" Nara bermonolog setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut.
"Kalau yang di tangan pakcik itu?"
"Ini keris yang di tempah oleh orang kaya.." Lelaki itu melihat-lihat bilah keris yang ada pada tangannya.
"Banyak juga bilah keris di sini.." Nara teruja apabila melihat beberapa bilah keris yang tersusun di tempat tersebut. Namun matanya tetap lebih tertarik kepada keris raja yang sudah lengkap mempunyai hulu dan sarung. Dia benar-benar ingin melihat bilah keris raja tersebut.
"Boleh saya tengok keris raja ni?" Nara cuba mencapai keris tersebut.
"Jangan! Kau jangan pegang keris tu.. Itu keris raja.. hanya Sultan dan mereka yang berdarah keturunan raja sahaja yang boleh menyentuhnya." Lelaki itu dengan suara yang keras menghalang Nara. Nara yang terkejut dengan tegahan lelaki itu segera menghentikan pergerakannya.
"Ma..maaf.. saya tak tahu.."
"Aku cuma mengingatkan sahaja.. keris itu mempunyai daulat raja.. orang sembarangan tidak boleh menyentuhnya.. nanti terkena tulah." Lelaki itu tersenyum kemudian meletakkan bilah keris di tangannya. Nara pula mengundurkan kembali langkah kakinya dan mula membelek-belek beberapa bilah keris yang terdapat di situ.
"Pakcik ini pasti bukan tukang besi biasa.. siapa nama pakcik?"
"Hmm.. orang menggelarkan aku Empu Tok Luth. Aku adalah keturunan empu diraja sejak dari zaman pemerintahan Nila Utama.." Lelaki yang berperanan sebagai empu keris itu memperkenalkan dirinya sambil mengukirkan senyuman.
Dihatinya, terdetik rasa bangga dengan salasilah keluarganya yang sudah bersilih ganti memberi khidmat kepada para raja secara turun termurun. Dia kemudian menyambung melakukan pekerjaannya dengan menarik dan menolak berulang kali sebuah alat yang menghembuskan udara ke relau bagi meleburkan besi.
"Bolehkah ajarkan saya cara menempa keris?" Nara yang berada di belakang Empu Tok Luth masih terus bertanya.
"Kalau kau benar-benar sanggup untuk belajar, aku tiada masalah." Empu Tok Luth menjawab tanpa memandang ke arah Nara. Dia masih leka dengan tugasannya untuk menyemarakkan api di relau peleburan besi.
"Kalau begitu, nanti saya kembali lagi ke sini jika sudah bersedia untuk belajar."
"Jadi.. siapa namamu wahai anak muda?" Empu Tok Luth baru ingin bertanyakan nama anak muda yang mendatanginya itu.
Namun dia tidak mendengar sebarang jawapan bagi pertanyaannya itu. Lelaki itu segera berpaling untuk melihat Nara yang berada di belakangnya sebentar tadi. Kelibat anak muda itu sudah tidak kelihatan.
Apabila menjengukkan kepalanya ke arah luar, Empu Tok Luth baru dapat melihat kelibat Nara yang sudah berlari menjauh dari tempatnya. Lelaki itu melihat pula ke arah keris raja yang tersemat di dalam sarung. Sarungnya terbuat daripada kayu, dihiasi dengan saduran perak dan hulunya pula bertatahkan puluhan biji batu delima dan zamrud. Penampilannya sangat menawan dan selayaknya bagi seorang raja. Keindahan keris tersebut pasti sahaja akan memukau setiap mata yang memandang.
Share this novel