Bab 13

Fantasy Series 1713

SELESAI menunaikan solat fardhu maghrib, para jemaah di surau melakukan solat sunat dua rakaat secara sendirian. Tidak lama kemudian, masing-masing mengambil tempat duduk untuk mendengar kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh Kiai Muhsin Tuban. Nara dan Bonang turut berada di dalam majlis tersebut. Apabila Kiai tua dari Tanah Jawa itu memulakan ucapannya, para jemaah mula mendiamkan diri dan memberikan fokus mereka kepada kuliah yang akan disampaikan. 

“Dalam surah An-nisa’, ayat 135, Allah melarang kita mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar belitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka (ketahuilah) Allah Maha Terperinci dan Teliti Pengetahuan-Nya terhadap segala apa yang kamu lakukan. Selain berkata tentang kesaksian berdasarkan kebenaran, ayat ini juga menjelaskan kepada kita tentang konsep amalan dan tindakan yang perlu selari dengan niat. Niat yang baik haruslah dilaksanakan dengan tindakan yang baik. Tiada kelonggaran untuk melakukan tindakan yang menyalahi peraturan dengan niat yang baik. Niat dan matlamat tidak menghalalkan cara.” Kiai Muhsin Tuban menyampaikan kuliahnya dengan penuh khusyuk. Lelaki tua itu kemudian meneruskan kata-katanya lagi.

“Islam memerintahkan umatnya berlaku adil terhadap semua pihak, sekalipun mereka adalah musuh.. Menurut para ulama, segala wasilah atau cara hendaklah mengikut hukum matlamat yang telah ditetapkan. Ini bererti, sesuatu matlamat yang baik hendaklah dijayakan dengan cara yang betul dan menepati kehendak syarak. Dilarang sama sekali sesuatu matlamat yang baik menggunakan cara yang tidak benar. Niat yang baik tidak akan menghalalkan cara yang haram.  Untuk tujuan yang benar dengan menipu, itu salah dan tidak boleh. Umpama hendak bersedekah dengan merompak. Tidak akan bercampur hak dengan batil kerana hak selamanya hak, batil selamanya batil.” 

Kata-kata Kiai Muhsin Tuban mengetuk pintu hati Bonang. Dia tiba-tiba merasakan ayat Kiai Muhsin Tuban itu ditujukan kepada dirinya dan Nara. Padahal dua bulan yang lepas, Bonang dan Nara sudah membuat kesepakatan untuk tidak lagi merompak dan membubarkan kumpulan Damar yang ditubuhkan oleh mereka.

Walaupun dia sudah membuat keputusan bersama Nara, namun kata-kata Kiai Muhsin tadi seolah sedang membenarkan keputusan yang telah mereka sepakati dan mengkritik perbuatan mereka yang sudah lepas. Manakala, pada masa yang sama, Nara langsung tidak mendengarkan perkataan Kiai Muhsin Tuban yang sedang menyampaikan kuliah. Walaupun jasadnya berada bersama di dalam surau tersebut, namun pemikiran Nara sudah hanyut dibawa oleh lamunan. Jiwanya berada jauh dari tempat tersebut. Pada ketika itu, fikiran Nara sedang melayang teringatkan kecantikan Putri Laila yang pernah dilihatnya pada setahun yang lalu. Sejak kebelakangan, entah kenapa Nara bagaikan dirasuk oleh ingatannya terhadap Putri Laila walaupun gadis itu hanya dilihatnya sekali sahaja. 

Setelah tamat kuliah, mereka melanjutkan pula melakukan solat isyak secara berjemaah. Selesai solat, Nara segera turun dari surau bersama para jemaah yang lain. Bonang pula masih tetap berada di dalam surau bersama Kiai Muhsin Tuban untuk meneruskan sesi pengajiannya bersama lelaki dari jawa itu. Di tangga surau, Nara sempat berbual bersama beberapa orang penduduk kampung. Sesekali dia hanya berdiam diri dan mendengar perbicaraan orang kampung mengenai isu semasa. Setelah penduduk kampung yang menjadi jemaah di surau itu bersurai dan pulang ke rumah masing-masing, Nara kembali naik ke surau dan duduk bersama Bonang untuk belajar. 

Tamat pengajian bersama Kiai Muhsin Tuban, mereka berdua pulang ke rumah yang terletak jauh di hujung kampung. Sampai dirumah, Nara segera menarik tangan Bonang dan mengajak temannya itu untuk duduk bersama. Tanpa berlengah, Nara menyampaikan khabar yang dia terima dari orang kampung kepada Bonang.

“Bonang.. Tadi aku dapat tahu, nanti rombongan diraja akan melalui kawasan kampung kita..” Nara mula berbicara dengan semangat sekali.

“Jadi?” Bonang masih tidak mengerti niat Nara.

“Apa kata kita rompak mereka?” Nara tanpa berselindung, menyatakan hasratnya.

“Kau gila ke Nara? Bukan ke kita dah janji dua bulan lepas, kita dah taknak merompak? Dan kita dah umum kepada anggota kita yang kumpulan Damar dah dibubarkan..” Bonang cuba memberi peringatan kepada Nara.

“Hmm.. rompakan kali ini, kita lakukan berdua je.. Aku janji, ini rompakan terakhir yang akan kita lakukan.” Nara mengangkat tangannya separas bahu sambil menghalakan tapak tangannya ke arah Bonang. 

“Nara.. kau tak dengar ke tadi Kiai Muhsin bagitahu? Benda yang kita buat ni salah.. Walaupun berniat baik, kita nak tolong orang miskin, tapi niat tak menghalalkan cara.. Yang salah tetap salah.. Aku taknak kita terus hidup bergelumang dengan dosa..” Bonang sekali lagi mengingatkan Nara.

“Tolonglah Bonang.. Aku berjanji, ini betul-betul yang terakhir kalinya.. Kalau kau tak nak tolong, aku akan buat sendiri je.” Nara menyatakan tekadnya. Kata-kata Nara itu langsung melemahkan Bonang. Walau apa sekali pun, dia tidak akan pernah meninggalkan Nara dan membantah saudaranya itu. Dia tahu Nara sudah nekad. Saudaranya itu pasti akan melaksanakan apa yang sudah dia katakan. Nara itu sangat keras kepala dan sama sekali tidak akan menarik balik kata-katanya. Mahu atau tidak, Bonang terpaksa turutkan. Dia tidak ingin Nara menghadapi bahaya sendirian. Jika berlaku sesuatu kepada Nara, Bonang pasti akan menyalahkan dirinya sendiri.

“Huh.. baiklah.. Tapi janji, ini betul-betul yang terakhir ya.. Kalau kau nak merompak lagi selepas ni, aku tumbuk muka kau. Aku nak bertaubat Nara.. Aku nak jadi manusia yang baik. Baik bagi manusia dan baik bagi Allah.” Bonang meluahkan rasa yang hadir di dalam hatinya. 

“Ya Bonang.. Aku berjanji, selepas ni kita tak merompak dah. Ini adalah yang penghabisan kali.” Nara tesengih. Kini mindanya mula menyusun rencana untuk melakukan serangan hendap kepada rombongan istana yang bakal tiba tidak lama lagi. Sebuah rancangan perompakan yang terakhir.  

EMPAT hari kemudian. Beberapa orang pengawal berjalan sambil mengiringi pasukan yang sedang membawa tandu. Rombongan diraja itu sedang bergerak menuju ke arah istana yang terletak di kota, sambil mengawasi keselamatan salah seorang puteri raja. Puteri yang berada di dalam tandu di usung oleh empat orang lelaki yang berbadan kekar dan dilindungi keselamatannya. Selain itu, bersama sang puteri turut terdapat beberapa peti harta yang berupa wang emas. Ketika rombongan tersebut melalui sebatang jalan yang dipenuhi oleh hutan belukar dan pohon-pohon yang tinggi, tiba-tiba sahaja sebatang pokok telah tumbang dan melintangi jalan.

“Berhenti! Ada halangan di depan. Kalian letak dahulu tandu di sini dan jaga keselamatan puteri. Yang lain, ikut aku untuk alihkan pohon yang tumbang itu.” Salah seorang lelaki yang terlihat berperanan sebagai ketua rombongan memberi arahan. Mendengarkan arahan yang diberikan, para pengawal yang memikul tandu segera meletakkan usungan mereka itu ke tanah. Manakala pengawal yang lain pula segera menuju ke arah pohon yang telah tumbang merintangi jalan mereka.

“Kenapa? Apa yang dah berlaku?” Kedengaran satu suara seorang perempuan dari dalam tandu.

“Ampun Tuan Puteri.. Ada pohon besar tumbang dan merintangi jalan. Kami terpaksa membuang terlebih dahulu pohon tersebut. Jadi Tuan Puteri terpaksa menunggu sedikit masa sebelum kita meneruskan perjalanan.” Salah seorang pengawal menjawab.

“Pohon ini sengaja ditebang! Hati-hati! Mungkin ini satu muslihat!” Tiba-tiba salah seorang pengawal yang memeriksa keadaan pohon yang tumbang tadi menjerit memberi amaran.

Serentak itu juga, seorang lelaki yang berpakaian hitam dan menutup mukanya dengan kain yang juga berwarna hitam terjun dari dahan pokok yang tinggi dan berayun menggunakan tali. Lelaki yang berayun itu segera melepaskan satu tendangan ke arah pengawal yang sedang melindungi Tuan Puteri di tandu. Pengawal itu segera tercampak jauh setelah menerima tendangan keras tersebut. Lelaki yang berayun itu pula berjaya mendaratkan kakinya dengan kemas ke tanah. Sejurus itu juga lelaki bertutup litup mukanya itu melepaskan satu tendangan lagi ke arah perut pengawal yang lain. 

“Perompak Damar! Ayuh hapuskan perompak itu dengan segera. Lindungi Tuan Puteri!” Melihatkan cubaan rompakan yang dilakukan, para pengawal yang berada berdekatan pohon yang tumbang tadi segera ingin bergerak ke arah tandu.

Namun sebelum mereka membuka langkah, sebatang lagi pohon besar telah tumbang di antara mereka dan tandu yang menempatkan Tuan Puteri. Kini pasukan para pengawal tersebut telah tersepit di antara dua pohon besar yang telah tumbang. Sementara itu, perompak yang bergelar Damar itu telah pun berjaya mengalahkan empat orang pengawal yang menjaga tandu. Dia kemudian segera menyelak kain yang menutupi tandu.

“Ahhhh..” Jeritan puteri yang berada di dalam tandu kedengaran apabila dia dikejutkan dengan kemunculan Damar. 

“Maaf.. aku tak ingin apa-apakan dirimu.. Sebaiknya kau diam saja..” Perompak Damar berkata kepada Tuan Puteri. Lelaki bertopeng itu segera menarik satu kotak peti yang berada di samping Tuan Puteri. Peti tersebut dibuka dan terpamer wang emas yang memenuhi ruang kotak tersebut. Damar segera menutup kembali peti tersebut. Di kala itu juga seorang lelaki lain yang juga berpakaian hitam dan menutup muka muncul dari arah belukar dan menuju ke arah tandu.

“Aku dah tumbangkan pokok tu.. lekas kita larikan diri..” Lelaki yang baru muncul dan berbadan sedikit gempal itu menghampiri temannya.

Tiba-tiba satu tujahan dari tombak menuju ke arah mereka. Namun kedua orang perompak itu bernasib baik apabila peti yang mengandungi wang emas pada tangannya digunakan untuk menahan dan menepis serangan yang ditujukan kepada mereka. Salah seorang pengawal yang dipukul tadi sudah bangkit dan kembali menyerang si perompak. Menyedari serangannya gagal, pengawal terbabit mengeluarkan sebilah badik dan bersedia untuk menyerang kembali. Manakala, si perompak yang bergelar Damar menyerahkan peti yang bersaiz sederhana pada tangannya kepada temannya yang berbadan gempal. 

“Lekas pergi dari sini.. Nanti aku menyusul..” Damar memberi arahan. Temannya yang menerima peti berisi wang emas itu segera menurut dan melarikan diri dengan secepat mungkin bersama hasil rompakan mereka. Manakala Damar pula mula berentap dengan pengawal yang tadi cuba menyerangnya. Tidak lama bergelut, Damar berjaya menendang lawannya, namun dia turut menerima serangan yang tidak dijangka. Badik di tangan pengawal itu berjaya melukakan lengan Damar. Luka itu memanjang pada lengan sebelah kiri. Mujur saja mata badik itu tidak mengenai bahagian pergelangan tangan yang menyimpan nadi. Setelah berjaya menjatuhkan lawan dan mendapat luka, Damar segera berlari menyelamatkan diri. Dia tidak boleh berlengah lagi memandangkan para pengawal yang tersekat di celahan pokok yang tumbang dari sudah pun berjaya melepaskan diri dan menuju ke arahnya. 

Untuk mengelakkan dirinya tertangkap, Damar harus berlari masuk ke arah hutan. Setelah berada ditengah hutan dan yakin tiada sesiapa yang melihatnya, Damar segera membuka kain penutup mukanya. Nara mengerang menahan kesakitan. Luka daripada mata badik pada lengannya terasa bisa sekali. Lukanya berdenyut dan tidak berhenti mengeluarkan darah. Nara terpaksa menggunakan kain yang menutup mukanya tadi untuk membalut luka tersebut. Jika tidak dihentikan pendarahannya itu, para pengawal diraja tadi pasti dapat menjejak keberadaan Nara melalui titisan darah yang menitik membasahi bumi. Setelah membalut lukanya, Nara kembali berlari dengan langkah yang kencang. Dia tidak boleh berlama-lamaan di situ. Sangat bahaya jika para pengawal diraja mengejarnya.

DAUN yang ditumbuk halus ditempelkan pada luka sebelum lengan Nara dibalut dengan kain. Bonang dengan penuh hati-hati mengikat kain yang membaluti lengan saudaranya itu. Manik-manik peluh pula membasahi dahi Nara. Dahi pemuda itu kelihatan berkerut menahan kesakitan.

“Itulah kau.. Degil.. Kalau kita tak lakukan rompakan ni, takde la kau cedera macam ni.. Ini nasib baik luka di lengan je.. Kalau kau terbunuh macam mana?” Bonang memulakan bebelannya. Nara pula tersengih sambil mukanya masih berkerut menahan sakit.

“Kan aku dah janji, ini adalah rompakan terakhir.. Bukan orang biasa-biasa yang kita rompak untuk terakhir kalinya ini.. Kalau terbunuh pun, aku redha.. Setidaknya kau dah dapat bawa lari wang emas tu semua. Kau boleh gunakan semuanya untuk dirimu.” Nara ketawa kecil.

“Aku tak ingin harta tu semua Nara.. apa gunanya harta kalau kau tiada bersama.” jawab Bonang.

“Kalau kau tak nak, kau beri je la kepada orang lain.. Orang yang lebih memerlukan.. Lagipun harta tu semua memang patut dibahagikan kepada rakyat jelata. Harta tu semua diambil daripada rakyat melalui pelbagai cukai.. Tapi tak dikembalikan kepada rakyat. Sepatutnya, semua harta tu diberikan kepada orang miskin.. Diguna untuk membantu dan memudahkan hidup rakyat.. Bukan untuk pemerintah menghias diri mereka.” Nara mengungkapkan pendiriannya.

“Tapi matlamat tak menghalalkan cara.. Cara kita ni salah.” Bonang menegur.

“Sudahlah.. Lagipun, ini rompakan terakhir kita. Selepas ni, kita takkan merompak lagi. Aku akan mengikut katamu.. Kalau kau mahu berubah, aku akan sentiasa bersamamu..” Nara ingin menyenangkan hati saudaranya. Bonang sudah berkali-kali meminta Nara untuk menghentikan aktiviti perompakan mereka selama ini. Walaupun sebelum ini mereka sudah sepakat untuk membubarkan kumpulan Damar, namun Nara sepertinya tertarik untuk merompak rombongan diraja. Di hati Nara, dia tidak suka kepada pemerintah yang menganiaya rakyat. Disebabkan itu, Nara mengambil keputusan untuk menimbulkan kemurkaan sultan sebelum dia benar-benar meninggalkan aktiviti rompakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience