Bab 1

Fantasy Series 1713

SUASANA sepi dan suram menyelubungi sebuah bilik yang dipenuhi oleh rak buku yang bertingkat-tingkat dan tersusun rapi. Dua orang kanak-kanak membuka pintu dari luar dan berlari masuk ke dalam bilik yang menjadi perpustakaan itu. Dua orang kanak-kanak tersebut menuju ke sudut paling belakang dan berlindung di sebalik rak buku di sana. Tidak lama kemudian, seorang lagi kanak-kanak lelaki sebaya mereka memasuki ruangan bilik tersebut. Dia mengintai ke setiap ruang di antara celah rak buku yang tersusun. Sepertinya mereka sedang bermain sembunyi sesama mereka.

"Usop.. Rania.. aku tahu kalian ada di sini.." Kanak-kanak lelaki itu bersuara. Dia sedang mencari kedua orang temannya yang sedang bersembunyi. Dia  yakin mereka berada di dalam ruangan bilik tersebut. Perlahan-lahan kakinya melangkah, mengintai celahan sususan rak buku satu persatu. Setelah gagal menemui kedua temannya, kanak-kanak tersebut berjalan menuju ke sudut belakang bilik yang menjadi gedung ilmu itu. Dia tersenyum apabila melihat tirai besar yang tergantung. Jelas terlihat dua sosok yang sedang bersembunyi di belakang tirai tersebut.

"Usop.. Rania.. aku dah jumpa kalian.. keluarlah dari tirai tu.." Kanak-kanak itu langsung ketawa apabila mengetahui cara kedua temannya itu bersembunyi.

"Aku dah cakap jangan ikut aku, tapi kau degil Rania.. kan Ayas dah jumpa kita." Kanak-kanak yang digelar Usop merungut, menyalahkan Rania kerana persembunyian mereka telah diketahui. Anak perempuan yang bernama Rania pula hanya mencebikkan bibirnya setelah mendengar rungutan Usop.

"Sekarang kau pula yang kena cari kami." Usop memberi arahan kepada Rania.

"Mana aci.. Ayas sebut nama kau dulu kan.. jadi, kau la yang kena cari pula." Rania menyanggah dan tidak bersetuju dengan cadangan Usop. Gadis kecil itu menepuk lengan Usop dengan kuat sebagai tanda protesnya. Dia mula berjalan meninggalkan kedua temannya dengan kakinya dihentak ke lantai.

"Janganlah merajuk Rania.. ok, kita bagi Usop aja yang cari kita.." Ayas cuba mengejar Rania sambil memujuk temannya itu. Usop juga turut melangkahkan kakinya mengekori Ayas yang sedang menuju ke arah Rania. Setelah sampai di ruangan depan, terdapat sebuah meja bacaan yang di penuhi buku di atasnya. Rania menghentikan langkah kakinya apabila melihat sebuah buku yang bertulisan tangan, terbuka di atas meja tersebut. Ayas dan Usop turut mengikut tindakan Rania yang mendekati meja bacaan. Mereka menatap tulisan tangan pada buku tersebut dengan pandangan terkebil-kebil. Mereka masih tidak tahu membaca dan tidak mengerti apa yang di tulis pada buku tersebut. Namun mereka tahu buku tersebut sedang di tulis dan masih belum tersiap dengan lengkap. Masih tersisa ruangan kosong pada muka surat di buku itu.

"Apa yang di tulis pada buku ini?" Rania mula membelek-belek helaian kertas pada buku tersebut. Tiba-tiba seorang lelaki dewasa yang bertubuh besar memasuki bilik tersebut.

"Apa yang kalian buat? Jangan usik buku itu." Lelaki itu bersuara lantang sehingga mengejutkan ketiga orang kanak-kanak di situ. Lelaki itu segera berjalan menuju ke arah mereka. Wajahnya terlihat menakutkan dengan sebelah matanya yang buta, serta jambang yang panjang dan mengerbang. Kanak-kanak di situ sedikit berundur ke belakang apabila di hampiri lelaki tersebut. Lelaki itu kemudian menarik kerusi di meja bacaan dan terus meletakkan punggungnya di kerusi.

"Hmm.. apa yang kalian buat di bilik bacaanku ini?" Lelaki itu memalingkan mukanya ke arah ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.

"Pakcik Bahadur.. buku ini pakcik yang tulis?" Ayas bertanya tanpa menjawab soalan yang diberikan oleh lelaki yang digelar sebagai Bahadur itu.

"Oh, buku ini? Ya.. pakcik yang menulisnya.. masih belum siap lagi.." Bahadur menepuk buku tulisan tangannya yang terletak di atas meja.

"Buku apa yang pakcik tulis?" Rania pula bertanya.

"Pakcik tulis buku Hikayat Nakhoda Nara.. tentang riwayat hidup dan kisah perjalanan Nakhoda Nara bersama kapalnya Renjana Bayu." Bahadur menerangkan kepada Rania dan teman-temannya.

"Pakcik Bahadur tulis seluruh kisah hidupnya? Sejak dari kecil?" Usop pula bersuara, melontarkan soalan.

"Ya.. pakcik mula tulis kisahnya sejak dari dia kecil."

"Bagaimana orangnya Nakhoda Nara?" Ayas kembali dengan soalannya.

"Nakhoda Nara itu, sejak kecil lagi sudah kehilangan kedua orang tuanya. Dia cuma membesar dengan sepupunya yang bernama Bonang. Mereka itu sebaya dan senasib. Ayah Bonang hilang entah kemana sejak dia dilahirkan. Ibunya pula meninggal ketika melahirkannya. Jadi ibu bapa Nara yang menjaga dan merawat Bonang. Mereka membesar seperti adik beradik. Namun ketika mereka berusia lima tahun, ibu Nara pula meninggal kerana sakit. Ayah Nara seorang diri membesarkan Nara dan Bonang sehingga mereka berusia tujuh tahun. Ayahnya yang menjadi nelayan, hilang di laut ketika hujan lebat. Nara dan Bonang terpaksa membesar dan mencari makan sendiri dari usia seawal tujuh tahun." Panjang lebar cerita dari Bahadur.

"Mereka kena bekerja dari umur tujuh tahun? umurnya baru sama seperti kami.." Rania mulai berkaca matanya. Kisah hidup Nakhoda Nara yang diceritakan oleh Bahadur itu benar-benar menyentuh hatinya.

"Hmm.. untuk usia seperti itu.. kerja apalah yang mampu mereka lakukan.. awalnya, mereka terpaksa mencuri untuk meneruskan hidup mereka. Mencuri makanan di kota.. mencuri dari pedagang.."

"Menjadi pencuri?" Rania, Ayas dan Usop terlopong mendengar kata-kata Bahadur.

"Cuma itu yang mampu di lakukan oleh anak kecil seperti mereka. Mereka cuba menagih simpati daripada masyarakat, namun tiada siapa yang sudi membantu mereka." Bahadur tersenyum ke arah tiga orang kanak-kanak di depannya. Seketika kemudian, dia melanjutkan cerita.

"Ketika usia lapan atau sembilan tahun, mereka sudah mula bekerja sendiri untuk mencari nafkah. Mereka mula memetik kelapa dan menjual di pasar. Kemudian mereka bercucuk tanam dan mencari buah-buahan di hutan. Hasil itu semua mereka jual untuk dapatkan wang. Ketika usia sepuluh tahun, Nara mula turun ke laut. Jiwanya kepada laut sungguh mendalam. Mungkin perasaannya kepada laut itu di warisi daripada ayahnya yang juga seorang nelayan." Bahadur semakin rancak bercerita. Rania, Usop dan Ayas yang asyik mendengar mula menarik kerusi dan duduk di samping Bahadur untuk terus mendengar kisah dari lelaki yang buta sebelah itu.

"Jadi, bermula dari situlah Nakhoda Nara mula belajar tentang laut?" Ayas bertanya.

"Hmm.. ya.. sejak berusia sepuluh tahun, dia mula turun ke laut dan belajar mengenai laut." Bahadur menghentikan kata-katanya sejenak. Matanya hanya merenung dinding. Jelas menunjukkan fikirannya menerawang jauh. Mungkin dia sedang mengingati kembali kisah riwayat yang telah ditulisnya di dalam buku. Kemudian dia kembali memandang ke arah tiga orang anak di sebelahnya sambil tersenyum.

"Ketika usia tiga belas atau empat belas tahun, Nara sudah mahir dalam pelayaran dan sudah menguasai ilmu lautan.."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience