ANGIN tiba-tiba bertiup dengan kencang. Langit yang tadinya cerah dengan cepat bertukar menjadi gelap. Nara yang sendirian di laut mula keresahan. Dia dengan pantas melabuhkan layar perahunya dan ingin beredar dari laut. Dia perlu segera kembali ke daratan bagi mengelak daripada berhadapan dengan gelombang di lautan. Kejadian seperti itu jarang sekali berlaku. Sebagai seorang pelaut, Nara sudah mahir untuk membaca keadaan cuaca. Namun cuaca ketika ini benar-benar tidak terduga.
"Padahal tadi langsung tiada tanda-tanda hujan akan turun.. bagaimana pula cuaca boleh berubah secara tiba-tiba begini?" Nara bermonolog sendirian.
Cuaca kali ini benar-benar aneh. Di hati Nara, dia mula merasa menyesal kerana sudah turun ke laut. Jika dari awal dia sudah dapat menduga cuaca buruk akan melanda, pasti sahaja dia tidak akan meredah lautan sejauh itu.
Setelah menyedari perubahan cuaca dikala itu, Nara segera memusingkan arah perahunya. Dia perlu segera kembali ke daratan secepat mungkin bagi mencegah kemudaratan yang bakal menimpa.
Di tengah lautan yang luas terbentang, berada di sana, hanyalah nyawa sebagai taruhannya. Kini, nyawa Nara sudah ibarat telur dihujung tanduk. Perasaan cemas mulai menerbitkan manik-manik peluh di dahi anak muda tersebut. Seketika kemudian, air dari langit turut bertandang setitik demi setitik dan singgah dipermukaan kulit Nara.
Baru sahaja Nara menggerakkan perahu tidak berapa jauh, hujan mulai turun dengan lebat di tengah laut dan ombak mula bergelora dengan hebat secara tiba-tiba. Nara yang cuma belayar dengan perahu kecil agak sukar untuk mengharungi ombak yang semakin mengganas. Jika tidak berhati-hati, perahunya mungkin akan karam. Walaupun cemas, namun Nara masih mampu bersikap tenang dan mengawal perahunya dengan baik agar tidak di lambung oleh ombak.
Dalam keadaan getir itu, tiba-tiba ombang menggulung tinggi dan menghempas Nara bersama perahu kecilnya.
TANGISAN Bonang yang tersedu sedan menghiasi ruang rumahnya. Sudah seminggu dia tidak berhenti menangis kerana mengenangkan Nara. Lelaki itu satu-satunya teman dan saudaranya, namun kini Nara juga sudah meninggalkan dirinya.
Bonang yakin Nara sudah menerima nasib yang sama seperti bapanya, hilang dan mati di dalam laut yang terbentang luas. Ribut tiba-tiba melanda pada seminggu yang lalu ketika Nara turun ke laut. Sehingga sekarang, temannya itu masih belum pulang jua. Tanpa Nara disisinya, Bonang merasakan hidupnya juga sudah tidak bererti.
"Assalamualaikum.." Tiba-tiba satu suara memberikan salam dari luar rumah. Bonang mula tertanya-tanya gerangan pemilik suara yang mendatangi rumahnya kerana selama ini tiada sesiapa pun yang pernah mendatangi dia dan Nara di sana. Bonang mengesat air matanya dan dengan malas bangkit perlahan-lahan untuk melihat tetamu yang mendatanginya. Matanya bengkak dan jelas terlihat lingkaran hitam di sekeliling kedua belah matanya. Selama seminggu ini, Bonang tidak berhenti menangis dan kurang tidur kerana menurutkan hatinya yang sedang berduka. Bonang kemudian terkejut apabila melihat sosok Kiai Muhsin Tuban yang sedang berdiri di hadapan teratak usangnya.
"Oh, Pak Kiai.. apa hajat Pak Kiai mendatangi rumah saya?" Bonang sekali lagi mengesat air matanya agar tidak terlihat oleh orang tua yang berada di hadapannya itu.
"Bagaimana keadaanmu anak muda? Sudah seminggu kau tidak hadir ke surau.." Kiai Muhsin Tuban menatap wajah Bonang yang bengkak matanya itu. Bonang pula hanya mendiamkan diri, tidak menjawab pertanyaan gurunya itu.
"Kenapa kau bermuram durja Bonang?" Kiai Muhsin Tuban mengulangi pertanyaannya.
"Aku.. aku.. sudah kehilangan saudaraku.. Nara sudah meninggal.."
"Innalillahi wainnailaihirojiun.. kenapa kau tidak khabarkan terlebih awal? Tiada satu orang pun yang tahu keadaan kalian. Kerana khawatir, itulah sebabnya aku mendatangi kalian di sini.." Kiai Muhsin Tuban terkejut dengan perkhabaran yang dia dapatkan dari Bonang.
"Aku tak tahu Pak Kiai.. Aku tak tahu nak sampaikan kepada siapa.. selama ini aku hanya ada Nara sahaja dalam hidupku.. Tapi sekarang dia juga sudah tiada.. malah jasadnya juga tiada.. dia hilang di laut. Bagaimana aku mampu mengesahkan jika Nara benar-benar sudah mati? kerana itu aku tidak sampaikan kepada sesiapa termasuk Pak Kiai.."
"Hmm.. jadi kau belum benar-benar pasti jika dia sudah meninggal?"
"Entahlah.. Aku tak ingin Nara mati.. tapi sekarang sudah seminggu dia tak pulang selepas ribut.. Biasanya Nara pasti akan pulang setiap hari jika turun ke laut."
"Berdoalah kepada Allah.. semoga dia mendapat perlindungan. Insyaallah dia masih hidup.." Kiai Muhsin Tuban cuba memberi harapan.
"Pak Kiai rasa Nara masih hidup?"
"Aku pun tak tahu Bonang.. Ajal maut itu rahsia Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Berdoalah kepadaNya.." Kiai Muhsin Tuban mendekati Bonang seraya menepuk bahu anak muda itu dengan lembut. Bonang terdiam seketika sambil termenung. Pandangannya ditunduk, sepertinya sedang memikirkan sesuatu. Bonang kemudiannya mengalihkan anak matanya ke arah Kiai Muhsin Tuban.
"Jadi kalau ikut hukum Islam, apakah aku perlu menganggap Nara masih hidup atau sudah mati Pak Kiai?"
"Hmm.. kes sebegini disebut sebagai al-mafqud.. kes orang yang hilang. Ulama berbeza pendapat mengenai hal ini kerana tiada dalil yang jelas. Secara ringkasnya, mazhab Hanafi meletakkan had umur sampai sembilan puluh tahun bagi seseorang dari tarikh kelahirannya. Maknanya kalau orang tu hilang pada umur empat puluh tahun, maka perlu tunggu lagi lima puluh tahun untuk mengesahkan kematiannya. Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat, genap empat tahun kehilangan, baru boleh dikatakan al-mafqud itu mati. Mazhab Syafi'e pula berpendapat, perlu tunggu sehingga tujuh tahun. Tapi tempoh itu cuma untuk pembahagian faraid dan harta pusaka sahaja. Untuk isteri yang kehilangan suami itu berkahwin lagi.. Hal sebegitu perlu disegerakan untuk menjaga kepentingan orang lain." Kiai Muhsin Tuban berkata sambil memejamkan matanya. Lelaki tua itu seperti sedang berfikir sambil menyampaikan ucapannya. Bonang hanya terlopong mendengar penjelasan gurunya itu. Kiai itu kemudian melanjutkan kata-katanya.
"Tapi untuk mentakrifkan seseorang itu benar-benar telah meninggal dunia, bagi imam Abu Hanifah, beliau meletakkan al-mafqud itu tadi pada umur seratus dua puluh tahun. Kalau orang tu hilang pada umur lima puluh tahun, maka kena tunggu tujuh puluh tahun lagi untuk benar-benar memastikan orang tu sudah meninggal dunia. Kalau Imam syafi'e pula mengguna pakai kaedah istishab iaitu mengekalkan sesuatu perkara mengikut keadaan asalnya. Maknanya, selagi tidak dibuktikan orang itu mati, tiada mayatnya, maka orang itu akan dianggap masih hidup." Kiai Muhsin Tuban akhirnya mencelikkan kembali matanya dan memandang ke arah Bonang setelah dia selesai menyampaikan ucapan yang panjang lebar.
"Kalau begitu, aku juga harus terus menganggap Nara masih hidup.." Bonang mula meletakkan harapan. Dia ingin tetap yakin bahawa saudaranya itu masih hidup. Hati kecilnya memanjatkan doa agar Nara mendapat perlindungan dari Allah, Tuhan sekalian alam.
"Kalau begitu, aku pulang ke surau dulu ya Bonang.. aku cuma ke mari kerana khawatirkan keadaanmu sahaja.. nanti datanglah ke surau." Kiai Muhsin Tuban cuba meminta diri untuk beredar.
"Eh, naiklah atas rumah dulu Pak Kiai.. nanti saya buatkan air kopi."
"Tak usahlah.. lagipun aku berpuasa hari ni.."
"Sekurangnya, duduk la sebentar supaya rumah buruk saya ni dapat berkat Pak Kiai.."
"Hahaha.. berkat yang dapat aku sampaikan kepadamu hanyalah ilmu Bonang.. ilmu itu sendiri adalah harta yang paling tak ternilai harganya.. lagipun, rumah mu ini benar-benar mewah.. luaran sahaja yang terlihat buruk tapi di dalamnya terisi barang yang sangat mahal.. biasanya, hanya di istana sahaja yang ada.." Kiai Muhsin Tuban tersenyum. Dia segera menjabatkan tangannya bersalam dengan Bonang. Bonang pula terdiam kerana tersentak mendengar kata-kata Kiai Muhsin Tuban itu.
"Aku pergi dulu ya Bonang.. Assalamualaikum.."
"Wa..waalaikumussalam.." Bonang hanya menjawab salam itu dengan suara yang perlahan, seolah suaranya terlekat di halkum.
Dia masih tertanya-tanya dengan maksud kata-kata Kiai Muhsin Tuban sebentar tadi. Adakah barang yang sangat mahal dan hanya ada di istana yang di maksudkan oleh orang tua itu adalah keris raja yang di sorokkan oleh Nara?
Bonang mulai cemas. Bagaimana lelaki tua itu tahu mengenai keris tersebut? Setelah Kiai Muhsin Tuban berjalan dan jauh meninggalkan rumahnya, Bonang segera kembali ke dalam rumah dan melihat alang rumahnya.
Di celah atas sanalah Nara menyembunyikan kerisnya. Bonang cuba memanjat tiang rumah untuk melihat keberadaan keris itu namun tubuhnya yang agak gempal menyukarkan dirinya untuk berbuat demikian. Setelah gagal memanjat tiang walau dicuba berkali-kali, Bonang akhirnya mengalah dan terduduk di lantai rumah. Matanya masih memandang ke arah alang yang berada di atas kepalanya.
"Nara.. mungkinkah apa yang berlaku kepada kau, disebabkan terkena tulah? Celaka ayam, padi masak makan ke hutan.. Apakah kau yang malang kerana hanyut di laut, atau aku yang malang kerana kehilangan kau? Nara.. kembalilah.. aku masih perlukan kau.. tolong jangan tinggalkan aku.." Bonang melafazkan kata-kata yang terbit dari hati kecilnya. Dia benar-benar merindukan temannya itu.
Share this novel