"Nara.. jika Laila bertanya tentang dirimu, katakan saja kau adalah saudaraku dari jauh dan menumpang bermalam di sini. Jangan sesekali kau beritahu dirimu adalah orang asing yang hanyut di laut dan diselamatkan olehku." Likur memberi peringatan kepada Nara.
"Tapi kenapa?" Nara masih bingung dengan ucapan Likur.
"Ayahnya itu penghulu.. Laila pula anak yang lurus.. Kalau dia tahu ada orang asing yang hanyut di perkampungan ini, pasti saja dia akan melaporkan kepada ayahnya. Ayahnya itu pula pasti akan mengarahkan orangnya untuk membawa kau menghadapnya.. dan kau.. pasti kau akan disoal siasat dengan bermacam-macam persoalan. Bahkan orang dagang pun disoal siasat, apatah lagi orang asing yang tidak diketahui asal usulnya.. Penghulu sekarang sangat berhati-hati untuk menerima orang dagang.. Ini kerana tersebar khabar angin yang mengatakan ada kumpulan perompak sedang berkeliaran di kawasan berdekatan." Likur memberi penjelasan agar Nara segera memahami.
"Pe..perompak?" Nara terkejut. Dia mula menelan liur. Dia khawatir jika identitinya sebagai perompak turut terbongkar.
Namun sesaat kemudian, Nara mengawal emosi dirinya dengan sebaik mungkin. Dia yakin perompak yang dimaksudkan itu bukanlah dirinya. Di sana, tiada sesiapa pun yang mengenali dirinya. Malah di dunia ini, hanya Bonang seorang sahaja yang tahu kegiatan rompakan yang sudah dia lakukan selama ini.
"Ya.. kalau kau tidak ingin dirimu terhimpit dalam kesusahan, sebaiknya kau dengar nasihatku.. Mungkin sahaja diri kau akan selamat kalau pun di tahan. Tapi apakah kau sanggup jika dirimu ditahan beberapa hari di rumah penghulu hanya untuk di soal siasat tentang latar belakang dirimu?" Likur terus menerus memperingatkan Nara.
"Baiklah.. aku mengerti.." Nara menganggukkan kepala. Mereka kemudian berjalan beriringan menuju ke arah rumah Likur. Di anjung rumah, Kartika kelihatan sudah duduk dibangku bersama dengan gadis yang digelar sebagai Laila. Beberapa kali melangkah, Nara dan Likur semakin hampir dengan rumah. Mereka kemudian menyedari tingkah laku Laila yang merenung ke arah Nara.
"Siapa lelaki tu?" Laila bertanya kepada Kartika. Kartika segera mengetahui individu yang dimaksudkan oleh sahabatnya itu walaupun Laila tidak menunjuk ke arah Nara.
"Oh, itu.. dia.. dia itu.." Kartika agak tergagap-gagap untuk menjawab pertanyaan Laila.
"Dia saudara kami.. saudara dari jauh.. hanya datang berziarah dan bermalam sehari dua di sini." Likur segera menjawab pertanyaan yang dituju kepada adiknya. Walaupun masih berada di tanah, namun Likur sudah mendengar pertanyaan Laila kepada Kartika sebentar tadi. Sebelum ini, Likur sudah memberi peringatan kepada adiknya agar tidak mendedahkan keberadaan Nara dirumah mereka kepada orang lain. Oleh kerana itu, Kartika tiba-tiba menjadi gugup dan tidak mampu menjawab pertanyaan Laila dengan pantas.
"Tidak tahu pula aku kalau kalian ada saudara di tempat jauh.." Laila masih memandang ke arah Kartika.
"Ah, pastilah ada.. takkan aku nak ceritakan semua tentang saudara maraku yang tinggal di perkampungan lain kepadamu.. Aku dan Abang Likur sendiri pun jarang-jarang sahaja bertemu dengan saudara kami." Kartika tersengih sambil menjawab.
Laila pula mula mengalihkan kembali pandangannya kepada Nara. Pada saat itu juga Nara turut melihat ke arah Laila. Kini pandangan mereka bertautan. Masing-masing terpaku dan berdiam diri. Nara berdiri tegak di depan tangga rumah sambil menatap wajah Laila. Gadis itu terlihat sangat cantik pada pandangan mata Nara. Seluruh alam, bahkan masa juga terasa seakan terhenti. Nara benar-benar terpesona. Lelaki itu hanyut diulit oleh kecantikan seorang gadis. Seumur hidupnya, belum pernah sama sekali Nara merasakan perasaan sedemikian. Begitu juga yang dirasakan oleh Laila. Walaupun itu kali pertama dia melihat Nara, namun hatinya terasa seakan dijentik. Seolah ada sesuatu yang sedang mengganggu pemikirannya.
"Nara! Kau kenapa?" Likur menepuk bahu Nara. Dia menjadi risau apabila melihat Nara yang tiba-tiba menjadi kaku.
Namun Likur tidak sedar, perbuatannya itu telah mengganggu Nara yang sedang asyik melayan perasaannya. Satu perasaan aneh yang semakin hanyut bersama lamunan indah. Begitu juga dengan Laila. Suara Likur yang menegur Nara segera mematikan lamunan yang singgah di fikiran Laila. Gadis itu segera mengalihkan pandangannya kepada Kartika yang duduk di sebelahnya.
"Tak..tiada apa-apa.." Nara menggelengkan kepala sambil menurunkan pandangan wajahnya. Namun sesekali, Nara tetap mencuri pandang ke arah Laila. Kecantikan gadis itu masih mengganggu perasaan Nara. Hati Nara seakan membuak-buak untuk melafazkan kata-kata indah bagi memuji kecantikan gadis tersebut. Namun lidahnya kelu. Bait-bait puisi seperti muncul dibenaknya namun tidak terwujud di alam nyata.
"Siapa namamu wahai gerangan si gadis jelita?" Nara seolah tidak mampu mengawal dirinya. Dia terlalu ingin berbicara dengan Laila dan mendengar suara gadis tersebut.
"Uhuk..uhukk..ehmm..ehemm.." Likur terbatuk setelah mendengar pertanyaan Nara. Kini Likur baru sedar jika Nara sudah tertarik kepada kecantikan Laila.
"Namaku Laila.. Putri Laila.. anak kepada Penghulu Megat Budi. Namamu pula siapa wahai teruna?" Giliran Laila pula bertanya. Gadis itu sepertinya malu-malu untuk berbicara.
"Namaku Nara.. Datang ke sini menziarahi saudara.. tapi jika ada taman yang dibuka pagarnya, ingin sekali aku memetik bunga." Nara mula bermadah dalam memperkenalkan diri.
Mereka yang berada di sana, semuanya tercengang. Masing-masing ternganga mulutnya apabila mendengar kata-kata Nara. Wajah Laila pula mula merona. Dia sepertinya sangat memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Nara. Dia tahu, Nara sedang cuba untuk menggodanya. Bahkan dia sendiri mula tertarik kepada Nara melalui pandangan mata pertama. Oleh kerana dia mempunyai pandangan yang baik terhadap Nara, Laila cuba melayani perbicaraan Nara seadanya.
"Hmm.. di sini luas sekali tamannya.. pagarnya juga sentiasa terbuka.. petiklah bunga mana yang kau suka. Ambil saja yang kau berkenan, asal jangan yang sudah dipetik orang."
"Tapi.. risau juga kalau terpetik bunga di taman larangan.. walaupun cantik si bunga kayangan.. sungguh aku penasaran, sudah dipetik atau belum dipinang orang.." Nara masih terus bermain kata.
"Ehemm... apa yang bunga itu, bunga ini? Kat sini ada bunga tu je.. bunga taik ayam.." Kartika segera menyampuk. Dia tidak ingin terus berdiam diri menjadi pemerhati. Jika semakin dibiarkan Nara dan Laila berbicara, terasa semakin menggelikan hati. Likur pula terkidum-kidum sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pada masa yang sama, setiap dari mereka mula berfikir hal yang sama. Entah kenapa Nara dan Laila seolahnya tersangat mesra walau pun kali pertama bersua muka dan berbicara. Mungkinkah itu yang dikatakan keserasian, masing-masing tiada jawapan.
"Laila, ayuh kita masuk ke dalam.. berbual di dapur saja. Biarkan mereka di serambi." Kartika bangkit berdiri dan segera di turuti oleh Laila. Likur dan Nara pula mula menaiki anak tangga. Namun tiba-tiba Nara tergelincir dan rebah di tangga. Nasibnya baik kerana Nara sempat menahan tangannya pada anak tangga agar mukanya tidak tersembam ke sana.
"Nara! hati-hati.. kaki kau belum kuat sepenuhnya. Seminggu kau terlantar, jangan gopoh untuk berlari dalam sehari." Kartika yang terkejut disaat Nara rebah di tangga, tanpa sedar telah terlanjur berkata sesuatu yang tidak sepatutnya dia ucapkan di hadapan Laila.
"Seminggu terlantar? Apa yang terjadi sebenarnya?.. Kenapa.. kakinya belum kuat?.. Padahal tadi kau katakan, dia cuma datang bermalam sehari dua untuk berziarah? Apa maksud dari kata-katamu Kartika? Apakah kau cuba menipu aku?" Laila bertanya soalan yang bertalu-talu. Dia yakin mereka bertiga cuba bertindak untuk menipunya sebentar tadi. Melihat perubahan riak wajah Laila, Kartika mula mati akal. Dia tahu kebohongan mereka telah terbongkar daripada kesilapan tutur katanya sebentar tadi.
"Siapa dia sebenarnya? Dia pasti bukan saudara kalian kan? Kau jangan memperbodohkan aku Kartika! Lebih baik kau jujur dan berterus terang!" Laila mula membentak sambil jari telunjuknya tertuding ke arah Nara. Kartika dan Likur tertelan air liur. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan Laila. Padahal selama ini Laila adalah teman baik kepada Kartika. Mereka mula merasa bersalah kerana telah menipu Laila dan menyembunyikan identiti sebenar Nara. Mereka langsung tidak menyangka, niat baik mereka akan bakal terbalas dengan hinaan.
"Jangan kau marah-marah Laila.. mereka tidak bersalah.. mereka hanya ingin menolongku. Ya, aku orang dagang.. bukan sanak saudara mereka. Aku cuma ditimpa kemalangan dan terlempar ke sini. Mereka sedaya upaya berusaha untuk menyelamatkan nyawaku. Aku juga bukanlah orang jahat dan aku sendiri tidak pernah berhajat untuk datang ke sini.. Cuma takdir yang telah menyeret nyawa yang masih tersisa pada tubuh badanku ini untuk menyinggah di sini. Aku berteduh di sini hanya untuk menunggu sembuh.. Aku juga punya rumah dan keluarga sendiri.. Sampai masa, sirih pasti pulang ke gagang jua." Nara lantas menjawab bagi pihak Kartika dan Likur. Dia tidak ingin dua insan yang sudah membantu menyelamatkan nyawanya itu terus ditekan oleh Laila.
"Ya, sudah.. akhirnya kau mengaku juga.. Aku bukan ingin merenggut nyawamu atau menyukarkan hidupmu. Tapi aku perlu patuh kepada undang-undang yang diwujudkan oleh ayahku. Demi keselamatan kampung, aku terpaksa melaporkan kehadiranmu kepada ayahku.. Maafkan aku. Aku harap kau faham. Keselamatan dan keamanan kampung adalah keutamaan bagi keluargaku.." Laila segera membuka langkah menuruni tangga. Dia yang berselisih dengan Likur dan Nara di tangga langsung tidak memandang ke arah mereka.
"Laila.. nanti! Laila.." Kartika menjerit memanggil sahabatnya itu.
Namun Laila seolah memekakkan telinga dan hanya berjalan terus tanpa memalingkan mukanya. Gadis itu bergegas meninggalkan pekarangan rumah tersebut untuk kembali menuju ke rumahnya. Di hatinya turut tersemat rasa kesal dengan sahabatnya sendiri. Dia tidak menyangka Kartika sanggup berbohong kepadanya dan tidak mematuhi arahan yang sudah dibuat oleh ayahnya sebagai Penghulu di kampung mereka.
"Sudahlah Kartika.. biarkanlah dia pulang ke rumahnya. Lagipun hari juga sudah semakin petang dan menuju senja.." Likur menarik tangan adiknya itu untuk kembali masuk ke dalam rumah.
Nara juga perlahan-lahan melangkah menaiki anak tangga. Dia kemudian duduk di bangku yang tersedia di anjung rumah seraya meluahkan satu hembusan kekesalan. Hatinya terasa seolah hancur berkeping-keping seperti kaca yang berderai. Lamunan indah yang dibayangi oleh kecantikan Laila tadinya sudah sirna sama sekali. Nara kecewa.
Awalnya tadi, dia baru merasakan ada perasaan cinta yang bercambah di hatinya. Namun belum jua tunas itu tumbuh besar, kini sudah dicantas pula sehingga rata. Seolah ada luka yang tidak terlihat sedang menyesak di dalam dada. Sakitnya tidak terungkap dengan kata-kata. Nara kini cuma diam sambil termenung. Matanya menatap jauh ke tengah lautan. Nun diufuk barat, matahari sudah semakin gelongsor ke arah permukaan laut. Tidak lama lagi, makhluk Tuhan yang menerangi alam ini akan hilang, terpuruk ke dalam lautan yang terbentang luas. Setelah itu, alam malam akan dicengkam oleh kegelapan yang menakutkan. Mata yang dicelik atau terpejam, sudah tidak berbeza dengan si buta. Ketika itu pandangan setiap orang adalah sama. Jika ada yang berbeza, itu hanyalah pada fikiran dan hati. Mungkin juga berbeza bagi orang yang hidup dan orang yang mati.
Share this novel