BONANG berlari dengan deras walaupun nafasnya termengah-mengah. Sampainya dia ke rumah, dilihatnya Nara masih tidur siang. Tadi Bonang ke surau sendirian untuk menunaikan solat zohor memandangkan Nara sedang tidur, merehatkan dirinya. Kini setelah melihat saudaranya itu masih tidur, Bonang terpaksa membangunkan Nara dari tidurnya itu.
“Nara.. ayuh, lekas bangun.” Bonang menggoncangkan tubuh Nara. Pemuda yang sedang tidur itu segera mencelikkan matanya dan terpisat-pisat dengan kelakuan Bonang.
“Kau kenapa Bonang?” Nara menggosok matanya sambil membangkitkan tubuhnya dari pembaringan.
“Kita kena lari dari sini Nara.. tadi aku ke surau, aku dengar orang bercakap kalau Sultan sedang murka dengan perompakan yang dilakukan ke atas rombongan baginda. Sekarang baginda mengerahkan para pengawal istana untuk masuk ke setiap pelosok kampung dan mencari lelaki yang mempunyai luka di lengan kirinya. Kalau kita masih di sini, kita pasti akan tertangkap.” Bonang yang masih tercungap-cungap menyampaikan khabar. Nara segera membeliakkan matanya.
“Hmm.. kalau begitu. Kita tiada pilihan lain.. Ayuh Bonang, kita bergerak segera.” Nara lantas bangkit berdiri.
“Tapi.. kita nak kemana?” Bonang bertanya. Nara terdiam seketika. Otaknya diguna untuk terus berfikir. Sedang asyik berfikir arah tujuan mereka untuk melarikan diri, tiba-tiba bayangan wajah Putri Laila terimbas dimindanya.
“Laila..” Nara tersentak.
“Laila? Siapa pula Laila?” Bonang yang mendengar ucapan Nara menjadi bingung.
“Ya.. kita lari ke kampung Aur Cabang.. Di sana, sudah di bawah kekuasaan kerajaan Cendanagiri. Kita pasti selamat di sana.. Kita tinggal saja di sana seketika, sehingga keadaan di sini mereda dan luka di tanganku sudah sembuh.” Nara memberikan cadangan tanpa menjawab pertanyaan Bonang.
“Cendanagiri? Tempat kau dihanyutkan tahun lalu?” Bonang bertanya untuk kepastian.
“Ya.. kita ke sana aja.. Buat sementara, kita menumpang saja dirumah Likur yang sudah menolongku dulu.”
“Kalau itu keputusanmu, aku turutkan saja..”
“Ayuh Bonang.. Segera berkemas. Siapkan makanan untuk perjalanan kita. Bawakan sedikit pakaian..” Nara memberikan arahan. Bonang segera bergerak ke arah dapur untuk mengumpulkan bahan makanan yang ada di rumah mereka. Nara pula, baru sahaja membuka satu langkah, dia menghentikan pergerakannya. Matanya dialihkan ke bahagian alang rumah di atas kepalanya.
“Keris Raja..” Nara tiba-tiba teringat dengan kerisnya itu. Dia harus membawa bersama keris tersebut. Jika sepanjang ketiadaan mereka, rumah mereka pasti akan digeledah. Dirinya pasti akan terus menjadi buruan selamanya kerana tuduhan mencuri keris raja milik Sultan. Nara dengan segera melompat dan memanjat tiang rumah. Keris Raja yang terselit di atas alang dicapainya dengan mudah. Setelah kembali turun ke lantai, Nara tersenyum sambil memandang Keris Raja yang berada di tangannya. Keris tersebut sudah pun diberikan hulu dan sarung oleh Nara. Walaupun tidak seindah hulu dan sarung asal, namun Nara tetap berpuas hati dengan hulu dan sarung yang dibuat sendiri olehnya itu.
Nara kemudiannya mengambil karung kosong yang akan dijadikan sebagai uncang. Dia seterusnya membuka kotak peti yang dirompaknya semalam bersama Bonang. Wang emas di dalamnya diambil dan dimasukkan ke dalam uncang. Beberapa uncang digunakan untuk mengisi semua wang emas yang diperolehi dari rompakannya ke atas rombongan diraja. Selesai memindahkan kesemua emas rompakan ke dalam uncang, Nara membuka pula tabung simpanannya. Wang simpanannya selama ini turut diambil dan dimasukkan ke dalam uncang. Tanpa membuang masa, Nara mengambil peti rompakan yang sudah tidak berisi dan menuju ke luar rumah.
“Kau nak kemana Nara?” Bonang bertanya.
“Aku nak buang peti ni ke laut.. Bahaya jika peti ni berada di sini.” Nara segera berlari keluar menuju ke arah pantai. Bonang pula kembali meneruskan tugasnya. Beberapa jenis buah-buahan diletakkan di atas hamparan kain sebelum kain tersebut di ikat menjadi kantung yang berisi buah-buahan.
Tidak lama kemudian, mereka berdua sudah bersiap sedia untuk berangkat. Mereka perlu keluar dari perkampungan secepat mungkin tanpa diketahui oleh sesiapa. Baru sahaja Nara dan Bonang keluar dari rumah, mereka dikejutkan dengan kehadiran Kiai Muhsin Tuban di hadapan rumah mereka.
“Kenapa kalian terlihat sangat kelam-kabut? Ini.. kenapa membawa berbagai bungkusan? Apa kalian ingin berpergian?” Kiai Muhsin Tuban segera menyapa apabila melihat Nara dan Bonang.
“Ah, kenapa Pak Kiai datang ke mari?” Bonang sedikit gugup. Dia berpura-pura tidak mendengar pertanyaan Kiai tua itu dan enggan menjawabnya.
“Tadi aku lihat kau berlari kencang sekali ketika turun dari surau.. Apakah ada masalah yang menimpa? Aku fikir hal yang buruk sudah berlaku kepada temanmu Nara. Tapi nampaknya dia baik-baik saja.” Kiai Muhsin Tuban memandang ke arah Nara.
“Err.. ya Pak Kiai.. tadi aku kelam-kabut untuk pulang kerana sudah berjanji dengan Nara. Kami ingin berpergian beberapa hari.” Bonang berbohong kepada gurunya itu. Namun Kiai Muhsin yang menjadi tepian ilmu itu tidak mudah dibohongi. Dia segera melihat keadaan lengan Nara yang sedang berbalut.
“Apakah kalian ingin lari daripada buruan Sultan? Nampaknya, orang yang mempunyai luka di lengan kiri dan di buru oleh Sultan itu adalah kamu.. Dan kalian adalah perompak yang sudah merompak rombongan sultan..” Kiai Muhsin membuat tekaan. Nara dan Bonang tersentak. Lidah mereka mula kelu untuk menjawab disebabkan terpempan dengan dugaan daripada Kiai Muhsin Tuban.
“Hmm.. bermain air basah, bermain api letur, bermain pisau luka.. Setiap perbuatan pasti akan ada akibatnya.” Kiai Muhsin Tuban memberi teguran.
“Kami.. kami hanya ingin menuntut hak rakyat.. Kami bukan saja-saja merompak rombongan sultan. Harta Sultan itu juga datangnya dari rakyat yang dikenakan pelbagai cukai. Tapi Sultan bukan menggunakan harta tersebut untuk membantu rakyat, bahkan hanya mengumpul untuk kekayaan baginda sendiri.” Nara cuba menegakkan pendiriannya yang difikirkan betul.
“Tapi perbuatan kalian tetap salah.. Mengambil hak orang lain tanpa kerelaan, itu mencuri namanya.. Malah Islam juga menuntut untuk taat kepada Allah, taat kepada rasul dan pemerintah.” Kiai Muhsin Tuban ingin membetulkan tanggapan Nara.
“Apakah kita perlu berdiam diri jika pemerintah menindas rakyat yang lemah? Adakah Islam mengajarkan kita untuk membiarkan kezaliman berleluasa? Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah..” Nara dengan berani menjawab kata-kata Kiai Muhsin. Jawapan daripada Nara itu benar-benar mengejutkan Kiai tua tersebut. Orang tua itu kemudian menundukkan wajahnya. Kata-kata anak muda di hadapannya itu seolah-olah menampar pipi Kiai Muhsin Tuban.
“Jika itu pendapatmu, aku sudah tidak mampu berkata apa-apa..” Kiai Muhsin terpaksa akur dengan kebenaran dari ucapan Nara. Bonang pula terkebil-kebil. Dia sebenarnya terkejut dengan jawapan Nara terhadap guru mereka itu.
“Maaf Pak Kiai.. aku sedar perbuatanku itu salah. Sebenarnya, aku dan Bonang sudah pun berniat untuk mencuci tangan dan tidak mengulangi lagi perbuatan terkutuk kami. Tapi tak ku sangka, untuk yang terakhir kali ini, Sultan bersungguh-sungguh pula untuk memburu kami. Mahu atau tidak, kami terpaksa membawa nyawa, pergi dari negeri ini buat sementara waktu.” Nara sedikit turut kesal di atas kelancangan kata-katanya sebentar tadi kepada Kiai Muhsin Tuban.
“Baiklah kalau begitu.. Aku juga tidak ingin kalian menjadi binasa kalau terus menetap di sini. Pergilah menyelamatkan nyawa kalian terlebih dahulu. Cuma pesanku, janganlah lagi kalian beraja di mata, bersultan di hati.. Kelak, binasa diri.” Kiai Muhsin Tuban memberi nasihat.
“Baiklah Pak Kiai.. Kami bergerak dulu.” Nara mula menuruni anak tangga rumah dan turut disusuli oleh Bonang.
“Ingat, disaat kalian berpergian, jangan memangku ayam jantan, baik memangku ayam betina.. Pergilah sehingga keadaan di sini sudah reda dan jaga diri kalian baik-baik. Jangan pula dari lecah, lari ke duri.” Kiai Muhsin Tuban ikhlas menyampaikan nasihat dan pesanan kepada dua orang anak muridnya itu. Nara dan Bonang kemudian bersalam dan mencium tangan Kiai Muhsin Tuban sebagai menghormati guru tua tersebut.
“Kami pergi dulu Pak Kiai.. Doakan keselamatan kami.” Bonang meminta diri untuk segera memulakan petualangannya bersama Nara.
“Insyaallah.. Kalian berhati-hatilah.. Ingat, Allah adalah sebaik-baik pelindung dan penjaga. Tiada kekuasaan yang dapat menandingi-Nya.. Berserahlah diri kepada Allah.” Kiai Muhsin Tuban berterusan memberikan nasihat kepada dua orang anak muda di hadapannya. Setelah itu, Nara dan Bonang segera berjalan meninggalkan pekarangan rumah mereka. Kiai Muhsin Tuban pula hanya mengiringi pemergian dua pemuda tersebut dengan pandangan matanya.
Setelah berjalan jauh meninggalkan rumah mereka, Nara berpaling untuk melihat ke arah belakang. Yang terlihat pada matanya hanyalah pemandangan pesisir pantai. Nara kembali berpaling ke hadapan dan meneruskan langkah kakinya bersama Bonang.
“Agaknya, Pak Kiai akan bagitahu orang lain ke tentang kita?” Nara bertanya kepada Bonang.
“Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh.. Pak Kiai tu orang yang baik.. Percayalah kepadanya.” Bonang menjawab sambil tersenyum.
“Aku fikir, dengan kehilangan kita, pasti akan ada orang yang akan bercakap.. dari jauh orang angkat telunjuk, kalau dekat dia angkat mata.” Nara memberi pandangan.
“Aku tak peduli dengan pandangan orang.. Aku cuma fikir keadaan kita je sekarang.. Sampai bila kita akan berpetualang? Apa kita nak buat untuk menyara hidup nanti?” Bonang sedikit mengeluh.
“Biarkan saja hidup kita ini bagai aur atas bukit.. Ingat pesanan Pak Kiai tadi, asal jangan dari lecah, lari ke duri.. Lagi pun kita ada banyak wang emas. Apa yang kau risaukan? Dengan wang sebanyak ini, tujuh keturunan pun kita makan tak habis.” Nara tersengih untuk menghiburkan hati Bonang.
“Jadi kau nak guna semua wang emas tu untuk diri kita sendiri?” Bonang ingin tahu.
“Hmm.. lihatlah pada keadaan.. Macam yang Pak Kiai bagitahu tadi, jangan memangku ayam jantan, baik memangku ayam betina.. Kita tak boleh habiskan banyak wang kalau berada di negeri orang. Jadi, aku berfikir untuk menjadi orang dagang yang berniaga. Kita boleh gunakan wang emas ni sebagai modal permulaan.. Lagipun, orang di sana nanti pasti akan curiga kalau kita menetap di sana tanpa berbuat apa-apa.. Lebih baik kita menjadi saudagar dan membuka perusahaan di sana.” Nara menyatakan cita-citanya. Bonang terlopong mulutnya mendengar perancangan Nara.
“Wah, tak sangka kau mampu ingat pesanan Pak Kiai.. selalunya masa belajar, otak kau entah kemana..” Bonang menghamburkan tawa selepas mengusik Nara. Nara pula segera menumbuk tangan Bonang sebagai gurauan kasar di antara mereka. Suara gelak ketawa mereka menghiasi suasana pesisir pantai. Walaupun jarak perjalanan mereka agak jauh, namun mereka tidak merasakan kepenatan kerana asyik bergurau senda.
Share this novel