Prolog

Fantasy Series 1713

MATAHARI mulai bangkit daripada peraduannya. Cahayanya dari ufuk timur perlahan-lahan menyuluh, menerangi seantero alam. Di permukaan laut, alunan ombak tetap setia menari, berlari menuju ke arah darat yang berpasir putih.

Deruan ombak menghempas pantai terdengar seperti biasa. Angin semilir pula tidak pernah lelah menggoyangkan pelepah nyior yang tergantung di pohonnya, berbaris terpacak di sepanjang tanah. Desiran dedaunan yang bertepuk tampar seolah sedang girang berzikir mengingati kebesaran Tuhannya.

Tidak jauh dari pesisiran pantai, terlihat sebuah rumah kayu yang kecil. Sebahagian dari rumah tersebut telah pun roboh. Di dalam rumah usang tersebut, suara esak tangisan yang tersedu sedan kedengaran. Penghuni di dalamnya hanyalah dua orang anak kecil yang berusia tujuh tahun yang sedang duduk di lantai. Salah seorang daripada mereka sedang menangis teresak-esak sambil membenamkan mukanya dicelah kedua lutut kakinya yang dirapatkan. Seorang lagi pula hanya terduduk diam sambil menatap temannya yang sedang menangis. Ketabahan jelas terlihat dari riak wajahnya.

"Nara.. aku lapar.." Anak yang menangis itu bersuara sambil mukanya masih dibenam di celah kakinya yang dibengkokkan. Tubuhnya sedikit lebih gempal berbanding temannya yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. Mereka berdua adalah sepupu yang telah menjadi saudara susuan dan keduanya sudah kehilangan orang tua mereka. Kini mereka hanya tinggal berdua tanpa sanak saudara mahupun jiran tetangga yang menjaga makan minum mereka.

"Kau tunggu saja di sini Bonang. Biar aku ke kota untuk mencari makanan." Anak tabah yang dipanggil Nara mula bangkit berdiri. Dia sendiri menahan kelaparan, namun masih terlihat kuat berbanding sepupunya, Bonang. Matanya berkaca dek kerana genangan air mata yang terbendung. Ketabahan hatinya masih mampu membuatkan air jernih dari matanya tertahan mengalir keluar membasahi pipi. Nara kemudian membuka langkah kakinya menuju ke arah pintu untuk keluar dari rumah tersebut. Bonang pula hanya terus kekal di tempat duduknya. Dia cuma mengangkat mukanya sambil melihat Nara berjalan meninggalkan dirinya yang masih menangis.

"Nara.. jangan tinggalkan aku." Bonang berteriak sambil bangkit berdiri untuk mengejar Nara yang sudah berada di muka pintu, luar dari kediaman mereka. Dia tidak mahu di tinggalkan dan bersendirian di situ. Nara tersengih melihat telatah saudaranya itu. Walaupun berbadan lebih besar berbandingnya, namun Bonang itu tersangat manja dan penakut.

Setelah keluar dari rumah usang tersebut, kedua anak yang kelaparan itu berjalan beriringan menyusuri pesisir pantai. Mereka menuju ke kota yang terletak agak jauh dari tempat tinggal mereka, hanya untuk mencari makanan bagi mengalas perut yang kekosongan.

Walaupun sedang kelaparan dan bersedih, namun sambil berjalan, mereka sempat bergurau dan bergelak tawa untuk menceriakan hati. Nara kadang-kala berlari meninggalkan Bonang sambil mentertawakan sepupunya itu. Bonang yang agak gempal pula termengah-mengah mengejar sambil menangis.

Di kota yang tidak jauh dari dermaga, aktiviti perniagaan sedang berjalan rancak. Terlihat ramai orang sedang menjalankan urusan jual beli. Nara dan Bonang yang berpakain comot, berjalan dicelah kerumunan orang ramai sambil melihat-lihat ke sekeliling kawasan. Bonang yang kelaparan menekan tapak tangannya pada perut yang sedang berkeroncong sambil sebelah tangannya lagi memegang bahu Nara di sampingnya. Nara kemudian melihat ke arah seorang lelaki yang sedang membeli buah dari sebuah gerai buah-buahan. Dengan penuh yakin dan membuang rasa malunya, Nara menghampiri lelaki tersebut sambil di buntuti oleh Bonang.

"Pakcik, kami lapar. Boleh tolong berikan kami sedikit buah itu untuk di makan?" Nara mula menyapa lelaki berkenaan sambil mengharapkan simpati.

Dia sangat berharap lelaki tersebut akan membantu dirinya dan Bonang untuk mendapatkan sedikit makanan. Lelaki itu hanya memandang ke arah Nara dan Bonang tanpa sebarang riak pada wajahnya. Pandangan lelaki itu kosong. Rasa jengkel mula terbit di hati lelaki tersebut setelah memandang dua orang budak yang terlihat comot dan kusut itu. Kemudian lelaki tersebut menguis tangannya ke arah Nara sebagai isyarat untuk Nara dan Bonang menjauh darinya. Tanpa sebarang perasaan, lelaki itu terus berpaling dan pergi dari gerai tersebut.

"Hei budak.. pergi dari geraiku.. nanti orang tak datang ke geraiku kalau ada pengemis macam kau." Peniaga di gerai buah tersebut cuba menghalau Nara dan Bonang. Dia bimbang kehadiran kedua orang budak comot itu akan menyebabkan pembeli tidak ingin mendatangi gerai jualannya.

"Pakcik.. boleh beri kami sedikit buah? kami benar-benar lapar.." Nara masih ingin menagih simpati dan belas kasihan dari peniaga gerai tersebut.

"Kau ada wang? Kalau tiada wang, kau pergi dari sini. Dah ada wang nanti, baru kau datang kembali." Suara peniaga gerai tersebut mula di tinggikan. Dia semakin meluat dengan dua anak yang mengemis darinya.

Lelaki tersebut langsung tidak menunjukkan sebarang ihsan terhadap dua anak kecil yang sedang kelaparan itu. Bonang yang ketakutan mula menarik-narik bahu Nara supaya mereka meninggalkan kawasan tersebut. Nara hanya menundukkan pandangan wajahnya. Kekecewaan mula membaluti hatinya. Anak itu mendiamkan diri dan seterusnya memalingkan badannya untuk mengikuti Bonang meninggalkan gerai tersebut.

"Bonang, kau buat sahaja seperti yang aku suruh.." Nara tiba-tiba bersuara dan memandang ke arah Bonang. Sepertinya Nara mempunyai buah fikiran untuk melaksanakan suatu rancangan. Bonang hanya menatap sepupunya itu dengan mata yang berkelip-kelip tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun.

Tidak lama kemudian, Bonang kembali menghampiri gerai yang menjual buah-buahan tadi. Peniaga gerai yang baru selesai meladeni pelanggannya terus melihat ke arah Bonang yang sedang tersengih di depan gerainya. Tingkah laku budak yang comot itu sangat aneh dan peniaga tersebut mula rasa curiga.

"Kau nak apa lagi budak? Kau dah ada wang?" Peniaga tersebut sedikit membentak kepada Bonang. Bonang pula hanya terus tersengih. Tanpa menunggu lama, Bonang terus mencapai sebiji cempedak yang terletak di baris paling hadapan di gerai tersebut.

"Boleh bagi saya buah ni?" Bonang masih tersengih sambil memeluk buah cempedak yang baru diambilnya.

Peniaga gerai mula berang dan meninggalkan tempatnya berdiri, lalu menuju ke arah Bonang yang sedang terpacak di depan gerainya.

Bonang pula langsung tidak menggerakkan dirinya. Dia hanya menunggu peniaga tersebut mendatanginya. Ketika peniaga tersebut menghampiri Bonang, dia langsung mengambil kembali cempedak dari rangkulan Bonang.

Tanpa dia sedari, Nara pula secara diam-diam muncul dari belakang gerai dan mengambil sebiji tembikai dan sesikat pisang.

"Kau kalau tiada wang, jangan nak datang sini. Kalau nak makan, pergi minta wang dari bapa kau." Peniaga tersebut merengus sambil menuding jarinya ke dahi Bonang dan menolak dahi anak itu dengan agak kasar.

Buah cempedak yang diambilnya dari Bonang diletakkannya kembali ke tempat asalnya. Nara pula sudah pun melarikan diri dari belakang gerai tanpa di kesan oleh peniaga tersebut. Rancangan Nara sepertinya telah berjaya di laksanakan.

"Pakcik kedekut! Tangkai jering! Tahi hidung masin! wekkk.." Bonang menjelirkan lidahnya kepada peniaga tersebut.

Peniaga gerai semakin berang dengan tindakan Bonang yang dianggap sebagai kurang ajar itu. Bonang segera lari untuk menyelamatkan dirinya.

Peniaga tersebut hanya mengejar anak itu cuma beberapa langkah sahaja. Dia tidak ingin meninggalkan gerai jualannya hanya untuk mengejar anak pengemis itu. Hatinya yang membara ditahan dan tidak ingin terus membuang masa melayan budak comot tersebut.

Dari jauh, Bonang terus mengejek sambil menjelirkan lidahnya kepada peniaga yang tiada hati nurani itu.

"Budak tak guna.." Peniaga gerai mengepal tangannya sambil mengetap bibir. Hatinya penuh dengan perasaan geram dan amarah setelah diejek oleh budak kecil. Namun dia terpaksa tidak mengendahkan anak itu untuk meneruskan perniagaannya. Setelah kembali ke tempatnya, peniaga tersebut merasa agak pelik apabila melihat seperti ada kekosongan pada satu ruang yang menempatkan buah tembikai. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.

Tembikai yang di potong kepada beberapa bahagian kecil dimakan oleh Nara dan Bonang dengan lahap sekali.

Selang-seli hirisan tembikai dan pisang di suap ke dalam mulut mereka. Mereka terlihat senang dan gembira setelah berjaya mencuri buah tersebut bagi mengisi perut mereka yang kelaparan.

Demi kelangsungan hidup dan menghilangkan lapar, mereka terpaksa mencuri. Bagi anak seperti mereka, tiada istilah betul atau salah dalam perbuatan mereka. Kekejaman orang dewasa mengajarkan mereka untuk melakukan apa sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience