PERMUKAAN air laut yang kebiruan warnanya terlihat tenang. Beberapa ekor ikan lumba-lumba berenang dengan girang dan bermain sesama mereka, melompat dan tenggelam dari permukaan air laut berulang kali sambil mengeluarkan suara nyaring.
Di samudera yang terbentang luas seolah tidak berpenghujung itu, kelihatan sebuah kapal meluncur laju meredah dada laut. Bayu berhembus deras menyapa tubuh badan Nara dan menggerbangkan rambutnya yang separas bahu.
Sambil tersenyum, Nara yang sudah mencapai usia remaja berdiri dengan gagah di bahagian hadapan dek kapal. Kenderaan bagi orang laut itu meluncur laju membelah ombak dan sedang menuju ke arah pantai.
Dari kejauhan, mata Nara sudah melihat pesisir pantai yang di hiasi barisan pokok kelapa. Lelaki muda itu kemudiannya berlari di geladak dan dengan lincah melompat ke atas buritan kapal.
"Juragan, aku tutup layar bahagian atas dulu ya?" Nara menjerit agar suaranya kedengaran jelas dan tidak tenggelam oleh bunyi angin dan ombak.
Tekong kapal hanya memandang dan mengangkat ibu jari tangannya kepada Nara sebagai isyarat dia memberi keizinan kepada anak muda itu. Nara dengan pergerakan yang lincah segera menarik tali layar. Seraya itu juga salah satu layar pada kapal tersebut tertutup dan kelajuan kapal juga mula menurun.
Pergerakan kapal mulai semakin perlahan. Hal itu perlu dilakukan oleh Nara bagi mengelakkan hentaman kuat pada kapal ketika menghampiri pesisir pantai nanti. Menghampiri pantai dengan kelajuan tinggi sangat berbahaya dan berisiko tinggi untuk kapal mengalami kerosakan.
Apabila kapal sudah mendekati pantai, Nara segera terjun dari kapal dengan bersemangat sekali. Air yang separas pinggang diharunginya dengan berjalan mendekati gigi pantai. Beberapa orang lelaki dewasa turut turun dari kapal mengikuti tindakan Nara. Mereka turut memegang tali yang tertambat pada kapal dan mula menarik tali tersebut apabila sampai ke pantai untuk mendorong kapal naik ke permukaan pasir.
Di pantai, beberapa orang peraih sudah menunggu kepulangan kumpulan nelayan itu bersama pekerja mereka. Hasil tangkapan Nara dan kumpulannya segera akan dibeli oleh peraih bagi dijual di kota atau dijaja ke perkampungan sekitar.
Setelah Nara dan awak-awak kapal yang lain selesai memunggah tangkapan hasil laut turun dari kapal, para peraih segera berebut untuk memilih. Hanya dalam masa beberapa minit, hasil mereka telah habis dibeli oleh peraih.
Awak-awak kapal segera mendapat upah mereka daripada juragan yang juga ketua kapal. Malah setiap dari mereka juga mengambil bungkusan yang berisi ikan yang telah mereka pilih sebelum terjual untuk juadah masing-masing.
Bagitulah rutin kehidupan Nara sebagai nelayan dan awak-awak kapal yang lain. Mereka akan turun ke laut selama dua hari dan setelah pulang, mereka akan berehat sehari sebelum kembali ke laut lagi.
Nara yang girang segera berjalan pulang ke teratak usang yang di diaminya. Sesampainya di kediamannya, Nara langsung menyimpan bungkusan yang berisi ikan ke dalam tempayan dan menutup mulut tempayan tersebut menggunakan talam.
Setelah meninjau di dalam rumahnya, Nara tidak menemukan kelibat Bonang. Dia segera keluar dari rumah dan menuju ke halaman belakang. Dia yang mencari Bonang yakin sepupunya itu sedang berada di belakang kediaman mereka. Tidak jauh dari rumah, terlihat satu kawasan yang di pagari dengan susunan kayu dan pelepah kelapa. Nara memasuki kawasan yang dipagari itu sambil memanggil sepupunya.
"Bonang! Kau ada di kebun ke?" Nara separa menjerit. Di dalam kawasan yang berpagar tersebut, terlihat penuh dengan pelbagai jenis sayur-sayuran. Dari celah para yang terdiri dari pancangan kayu untuk menyokong pokok kacang panjang, Bonang muncul dengan menjengukkan kepala melihat ke arah Nara.
"Kau dah pulang ya Nara?" Bonang memegang kacang panjang yang baru dipetiknya, lalu memasukkan kacang panjang tersebut ke dalam bakul.
Bakul yang terisi penuh dengan sayuran itu di angkat dan Bonang segera menghampiri sepupunya yang sudah seperti adik beradik baginya itu. Nara pula sudah pun melabuhkan punggungnya di lantai wakaf yang dibina di kawasan kebun tersebut. Wakaf itu dibina oleh mereka bagi tujuan berteduh dan menghilangkan lelah ketika berkebun.
Di sebelah Nara, terdapat beberapa lagi bakul yang sudah terisi penuh dengan pelbagai jenis sayur. Bonang yang menghampiri Nara terus meletakkan bakul yang dibawanya di lantai wakaf, sekelompok bersama bakul yang lain.
"Wah, banyak hasil kutipan hari ni." Nara teruja melihat hasil sayuran yang sudah dituai oleh Bonang.
"Agak banyak jugalah.. Letih dah aku mengutip sayur-sayur ni semua. Kalau lambat kutip, nanti rosak pula." Bonang menyeka peluh pada dahinya sambil meletakkan punggungnya di lantai wakaf. Dia benar-benar kepenatan setelah sekian masa memetik hasil sayur di kebun.
Beberapa tahun yang lalu, mereka bersama memulakan usaha berkebun di situ untuk menyara kehidupan mereka. Namun setelah sekian lama berkebun, Nara memilih untuk turun ke laut menjadi nelayan dan Bonang pula sendirian meneruskan usaha perkebunan mereka. Nara mula belajar mengenai laut dengan menjadi awak-awak di kapal Juragan Delit dan sekarang Nara boleh dikatakan sudah mahir dan menguasai ilmu pelayaran dengan baik.
"Esok bolehlah kita pergi ke kota, jual semua hasil ni." Nara tersengih sambil memijat bahu Bonang. Bonang langsung memejamkan matanya, menikmati urutan dari Nara.
Seketika kemudian, Nara mengeluarkan wang dari kocek seluarnya. Wang upah yang di berikan oleh Juragan Delit tadi kepadanya ditatap.
"Aku fikir, nak beli perahu la.." Nara bersuara dalam nada rendah. Bonang lantas berpaling menatap wajah saudaranya itu.
"Untuk apa?"
"Aku nak ke laut sendiri. Cari hasil sendiri.. rasanya sudah cukup aku menimba ilmu sebagai awak-awak di kapal Juragan Delit."
"Kenapa pula? Tidak cukup ke upah yang Juragan berikan?"
"Bukan soal cukup atau tidak Bonang.. Aku juga mahu berdikari.. cari wang lebih.. sampai bila harus aku mengambil upah? Aku ingin lebih maju. Aku ingin mencabar kemampuan diriku sendiri."
"Tapi.. bukankah lebih bahaya jika kau pergi ke laut sendirian? risikonya lebih tinggi.." Bonang cuba memberi pendapat.
"Hidup ini sentiasa berisiko Bonang.. Jika tidak ingin menerima risiko, kita tidak akan hidup.. Kita tidak akan maju."
"Tapi kalau jadi kemalangan, nanti siapa yang akan bantu kau kalau kau sendirian di tengah laut?" Bonang cuba meningkah kata-kata Nara.
"Kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.. apatah lagi turun ke laut.." Nara cuba berseloroh dalam serius.
"Kau ini benar-benar keras kepala." Bonang tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
"Kalau begitu, kau saja yang ikut, temani aku ke laut.."
"Ahh.. tak nak lah aku." Bonang terus berdiri dan mencapai salah satu bakul yang penuh terisi sayur-sayuran.
Nara yang tertawa turut sama mengangkat punggungnya dari lantai wakaf yang di duduki dan mengangkat bakul di situ. Mereka kemudian berjalan beriringan meninggalkan kawasan kebun tersebut untuk kembali menuju ke teratak usang mereka.
Share this novel