EMPAT hari berlalu. Keadaan Nara semakin membaik dan pulih seperti sedia kala. Selama empat hari itu, setiap hari kaki dan badannya diurut. Nara sepertinya mengalami kelumpuhan akibat lama terlantar. Kakinya tidak kuat untuk berdiri sendiri.
Disebabkan itu, Likur terpaksa memberi pertolongan dengan mengurut kaki Nara agar segala urat dapat berfungsi dengan baik dan mengalirkan darah ke seluruh tubuh Nara dengan lancar. Kini Nara sudah mampu berdiri dan berjalan sendiri.
Perlahan-lahan kakinya menapak keluar melepasi muka pintu rumah. Matanya kemudian melihat sebuah bangku yang terletak di hadapan anjung rumah. Nara kemudian melabuhkan punggungnya ke atas bangku tersebut. Sambil bersantai dengan hembusan angin dari laut, Nara menikmati keindahan pemandangan di sekitar rumah yang ditumpanginya itu. Likur yang mengiringi Nara berjalan turut duduk di bangku yang berada disamping Nara.
"Bagaimana kakimu?" Likur bertanya.
"Rasanya sudah pulih seperti biasa.. Terima kasih di atas bantuanmu Likur.. Sungguh tak terbalas budi baikmu kepadaku." Nara mengukirkan senyuman sambil memandang ke arah Likur.
"Aku cuma menjalankan tanggung jawab sebagai sesama manusia saja.. Selagi mampu untuk membantu, pasti aku akan bantu.. Setiap orang ada masa naik dan jatuhnya.. Air juga ada pasang surutnya, inikan pula kita sebagai manusia.. Ada masa kita senang, ada masa kita susah.. Kali ini kau yang perlukan bantuan. Mungkin esok lusa, aku pula yang memerlukan bantuanmu." Likur berbasa basi dalam ucapannya yang merendah diri.
"Kau benar-benar orang yang baik.. Aku bersyukur ditemui oleh mu."
"Sudahlah kau memuji ku Nara.. cukuplah sekadar ucapan terima kasihmu.. berikanlah puji-pujianmu kepada Allah yang Maha Esa, kerana Dialah yang menemukan aku dengan mu." Likur menyelitkan pesanan kepada Nara di dalam ucapannya. Nara terdiam sambil tersenyum setelah mendengar kata-kata Likur. Kepalanya diangguk perlahan beberapa kali, sebagai tanda bersetuju dengan ucapan Likur sebentar tadi.
Seketika kemudian, Nara mengarahkan kembali pandangannya kepada pantai yang tidak jauh dari tempat duduknya. Dia mula merasa rindu kepada rumahnya sendiri. Jarak rumah dari pantai dan pemandangan rumah Likur itu tidak ubah persis dengan rumahnya dan Bonang. Begitulah kehidupan mereka sebagai orang laut. Walau di pantai mana sahaja mereka berada, pemandangannya terlihat seakan sama. Bahkan bentuk binaan rumah mereka juga hampir serupa. Tidak lama bermenung menghabiskan masa, Nara kemudian bangkit berdiri. Matanya masih tertumpu ke arah pantai.
"Likur, aku ingin ke pantai sebentar.. kakiku sudah terlalu rindu untuk merasai kehalusan pasir pantai.. Sudah lebih seminggu aku tidak menyentuh tanah. Mungkin kerana itu aku lambat sembuh agaknya.." Nara mengatakan keinginannya sambil berseloroh kepada Likur.
"Pergilah.. elok juga kau biarkan kulitmu itu menyentuh debu pasir di pantai. Nanti aku akan menyusulmu.. Aku ingin berbicara dengan Kartika duluan." Likur tertawa seraya bangkit daripada duduknya. Nara perlahan-lahan berjalan menuruni anak tangga rumah sambil diperhatikan oleh Likur. Setelah Nara mula menjejakkan kakinya ke tanah dan berjalan menuju ke arah pantai, Likur segera masuk kembali ke dalam rumah. Dia ingin menemui adiknya, Kartika yang sedang sibuk di dapur.
Silir-semilir yang kering dari lautan menyapa kulit Nara dan mengerbangkan rambutnya yang separas bahu. Lelaki muda itu memejamkan matanya sambil berdiri menghadap ke arah laut. Kakinya yang memijak butiran pasir halus berwarna putih sesekali di sentuh oleh air laut yang menghempas pantai tersebut. Deruan ombak dari laut yang masin itu terdengar mesra dan mendamaikan. Nara kemudian mendepangkan kedua belah tangannya ke sisi kanan dan kiri.
"Oh Tuhan, kenapa Kau perintahkan laut untuk melempar aku jauh ke sini? Takdir bagaimana yang Kau ingin aku jalani?" Nara meluahkan perasaan gundahnya. Dia mula teringat kata-kata Kiai Muhsin Tuban ketika menuntut ilmu dari lelaki dari Tanah Jawa itu. Kata guru tua tersebut, setiap kejadian yang menimpa ke atas anak Adam, pasti ada hikmahnya. Walaupun kita merasakan malang yang menimpa itu sebagai satu bala, padahal kepayahan itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah untuk menjadikan kita lebih baik. Kita mungkin tidak menyukai apa Allah telah berikan kepada kita, namun Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita. Allah tidak akan memberikan apa yang kita mahukan, tetapi Allah akan memberikan apa yang kita perlukan.
"Kita tidak suka apabila diturunkan hujan.. yang kita mahu adalah cuaca yang panas. Namun kita tidak tahu, sebenarnya Allah nak berikan pelangi yang indah kepada kita selepas turunnya hujan.." Kata-kata Kiai Muhsin Tuban seakan terngiang di telinga Nara. Sejenak kemudian, Nara mencelikkan matanya dan menatap lautan yang saujana luas terbentang.
"Hmm.. apakah hikmahnya Allah menghantarkan aku ke sini?" Nara bermonolog.
Tidak lama kemudian, lelaki itu berjalan menyusuri gigian air. Sepanjang perjalanan kakinya melangkah, Nara memerhatikan seluruh kawasan sekitar. Fikirannya banyak tertumpu kepada perjalanan hidupnya selama ini.Tatkala memikirkan dirinya semenjak kecil sudah menjadi yatim piatu dan tidak dipeduli, malah dihina oleh masyarakat, Nara sedikit gundah. Namun seketika kemudian, dia tersenyum sendirian apabila mengenangkan Bonang yang sentiasa menemani dan menghiburkan hati.
"Nara! Kau nak ke mana?" Tiba-tiba kedengaran suara Likur yang melaung memanggil Nara. Mendengarkan suara Likur, Nara segera berpaling. Kelihatan Likur sedang berdiri tegak sambil melambai ke arahnya. Kini Nara baru sedar yang dia sudah berjalan sejauh beberapa ratus kaki dari arah rumah Likur.
"Aku berjalan-jalan ke sekitar ini saja!" Nara menjawab dengan suara yang kuat. Dia lantas berpaling punggung dan menuju ke arah Likur. Rambutnya yang ditiup angin diusap kebelakang dengan menggunakan kedua belah tapak tangannya. Setelah sampai berdekatan dengan Likur, Nara hanya memberikan satu senyuman.
"Kau baru saja mula berjalan.. jangan lagi memaksa dirimu untuk berjalan jauh." Likur memberikan nasihat. Dia tidak ingin lelaki yang baru ditolongnya itu kembali jatuh sakit jika terlalu memaksa diri untuk berjalan.
"Aku sudah tidak apa-apa Likur.. Rasanya kekuatan kakiku sudah pulih sepenuhnya setelah menginjak butiran pasir pantai ini." Nara pantas menjawab.
"Hmm.. ada-ada saja kau ni Nara." Likur tersenyum sambil kepalanya menggeleng perlahan beberapa kali.
"Ayuhlah, kita pulang dulu ke rumahmu.. Sudah cukup aku mengambil angin petang ini." Nara menepuk bahu Likur. Mereka berdua kemudian mengalihkan pandangan masing-masing ke arah rumah Likur yang terletak tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
"Ah, nampaknya rumahmu sedang menerima tetamu lain." Nara memandang tepat ke arah rumah Likur sambil melangkahkan kakinya menuju ke sana. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri di muka pintu rumah tersebut.
"Oh, itu Laila.. temannya Kartika.." Likur memberi penjelasan setelah menyedari sosok individu yang sedang berdiri di hadapan rumahnya. Sejurus kemudian, Likur tiba-tiba menghentikan langkah kakinya dan memegang tangan Nara. Lelaki itu sepertinya ingin menegah Nara dari terus menghampiri rumahnya.
"Kenapa Likur? Apakah kau tidak ingin kembali ke rumah lagi?" Nara segera bertanya. Dia terasa ada keanehan pada tingkah laku Likur di kala itu.
"Laila itu anak penghulu di sini.. Sebaiknya dia tidak tahu mengenai kehadiranmu di rumahku." Likur langsung berterus terang.
Dia cuba menarik tangan Nara untuk segera beredar dan menjauhi rumahnya pada ketika itu. Namun tindakannya terlambat. Dari kejauhan, dia sudah melihat kelibat Kartika yang muncul di muka pintu rumah dan berdiri di samping gadis yang bernama Laila. Kartika kelihatan melambai ke arah Likur dan Nara seolah sedang memanggil mereka berdua untuk segera pulang ke rumah. Likur melepaskan satu nafas kasar yang bergelumang keluhan.
Share this novel