Bab 4: Ucapan Hari Jadi

Romance Series 2408

HARI itu rumah mereka sedikit meriah. Tiada kek besar atau belon berwarna-warni, hanya keluarga kecil yang duduk di meja makan, menyambut ulang tahun kesembilan belas Luth Hazman dengan nasi ayam kegemarannya dan doa yang dibacakan penuh ikhlas oleh Dato’ Hazim.

Bella menyusun pinggan dengan senyuman yang berseri-seri. Dia sudah 16 tahun, remaja manis yang tak pernah lupa hari penting dalam hidup abang angkatnya itu. Walaupun hanya berbeza tiga tahun, dia tetap memanggil Luth sebagai ‘abang’ satu gelaran yang disulami hormat, kasih, dan... perasaan yang tidak dapat dia sendiri tafsirkan.

“Bella buat ni sendiri?” soal Datin Marlia sambil meneliti kad kertas keras yang dihias lukisan tangan.

Bella angguk malu. “Lukisan je, mama. Tak ada apa pun.”

Kad itu hanya berisi satu ilustrasi ringkas wajah dua orang, seorang lelaki sedang memayungi seorang budak perempuan kecil. Di bawah lukisan itu, tertulis dengan tulisan tangan berbunga-bunga: ‘Abang Luth, terima kasih jaga Bella.’

Luth yang duduk di seberang meja, senyum. Tapi ada sesuatu dalam senyuman itu yang tidak mampu ditipu. Dadanya berombak perlahan. Matanya terasa panas. Tapi dia pantas tunduk, menyuap nasi ke mulut walau tekaknya kering.

“Abang suka tak?” Bella bertanya. Wajahnya bersinar penuh harap.

“Suka,” balas Luth pendek. “Cantik... sangat cantik.”

Sebenarnya dia tidak tahu bagaimana mahu menyembunyikan apa yang bergelora di dalam hati. Usia 19 tahun sepatutnya membawa dia ke fasa dewasa. Universiti, kerjaya dan cita-cita. Tapi Luth mula sedar, ada sesuatu yang mengekang langkahnya.

Perasaan.

Perasaan yang makin jelas terhadap Bella.

Bukan perasaan seorang abang. Bukan lagi sayang seorang penjaga kepada adik kecil yang ketakutan. Tapi... rasa yang lebih mendalam, lebih sukar dijelaskan. Dan semakin Bella membesar, semakin dia sedar dia tak mampu melarikan diri darinya.

Selepas makan malam, Bella masuk ke bilik Luth dengan semangkuk puding karamel di tangan. Puding buatan dia sendiri. Manis seperti senyumannya malam itu.

“Happy birthday, abang,” ucapnya perlahan, sambil meletakkan mangkuk kecil itu di atas meja belajar Luth. “Bella tahu puding ni bukan kegemaran abang, tapi Bella nak cuba buat sendiri tahun ni.”

Luth berpaling dari komputer ribanya. “Abang suka. Terima kasih, Bella.”

Bella hanya diam, berdiri dengan jari menggulung hujung bajunya. “Abang…”

“Ya?”

Bella ambil nafas. “Kalau Bella tak ada dalam hidup abang... abang rasa hidup abang macam mana?”

Soalan itu membuatkan Luth terkedu. Tangannya yang tadi ingin mengambil sudu, terhenti di udara.

“Kenapa tanya macam tu?” Luth cuba bersuara tenang.

Bella geleng. “Saja. Bella selalu fikir... kalau Bella tak muncul dalam hidup abang, abang mesti hidup lebih tenang. Tak perlu jaga budak menangis macam dulu. Tak perlu tolong kerja sekolah, teman tengok kartun, pujuk waktu tidur…”

“Jangan cakap macam tu,” potong Luth tiba-tiba.

Bella tersentak. Luth bangun dari kerusi, berdiri di hadapannya.

“Bella tak pernah jadi beban dalam hidup abang,” katanya, perlahan tapi tegas. “Malah… kehadiran Bella buat abang rasa... hidup.”

Dan sekali lagi, Luth terdorong oleh perasaan. Dia ingin berkata lebih dari itu. Tapi dia tahu batas. Dia tahu mereka masih di bawah satu bumbung, dengan gelaran abang dan adik yang sudah sebati sejak kecil.

Dia berpaling kembali ke meja, menahan degupan jantungnya yang semakin tak tentu arah.

Bella tersenyum kecil. “Bella rasa… Bella beruntung sangat. Ada abang Luth dalam hidup Bella.”

Sebelum keluar dari bilik, dia sempat berkata perlahan, “Terima kasih sebab jaga Bella dari dulu sampai sekarang.”

Luth menunggu pintu tertutup. Lama dia duduk semula di meja. Pandangannya jatuh pada lukisan Bella dua watak kecil di bawah payung, satu kenangan yang hanya mereka berdua faham.

Kemudian, dia buka laci. Mengeluarkan sebuah buku nota kulit hitam.

Diari.

Bukan tempat mencatat aktiviti harian, tapi satu-satunya ruang di mana dia boleh jujur. Di mana dia tidak perlu menapis perasaan.

Tangannya mencoret perlahan.

> Hari ini aku 19 tahun. Bella 16 tahun. Dia makin matang, makin bijak, makin... cantik. Tuhan… apa salahnya kalau aku jatuh cinta dengan dia? Tapi salahkah aku rasa macam ni? Salahkah aku harap suatu hari nanti, dia bukan lagi adik angkat... tapi seseorang yang aku boleh jaga sebagai isteri?

Air mata tak tumpah, tapi dada Luth berat seperti disekat. Dia tutup diari itu perlahan, simpan kembali di laci, dan kunci.

Malam itu, dia tak mampu lelapkan mata. Kata-kata Bella berulang dalam kepalanya ‘kalau Bella tak ada dalam hidup abang...’

Dia ingin menjerit, ‘jangan pernah pergi.’ Tapi yang keluar hanya keluhan panjang dalam diam.

Esok paginya, Luth turun ke dapur dan lihat Bella sedang siapkan bekal untuk sekolah. Dia suka tengok Bella begitu tenang, berdikari, tapi masih dengan senyum yang dia kenal sejak kecil.

“Abang nak hantar Bella hari ni?” soal Bella sambil memasukkan roti ke dalam bekas plastik.

“Abang ada hal sikit,” jawab Luth. “Tapi kalau sempat, abang singgah ambil petang nanti.”

Bella angguk. “Okey. Bella suka kalau abang datang.”

Hati Luth semakin berat. Bella terlalu tulus untuk tahu betapa beratnya beban perasaan yang dia pikul. Dia cuma mampu berdoa agar satu hari nanti, takdir tunjukkan jalan sama ada untuk melepaskan, atau untuk memperjuangkan.

Sehingga hari itu tiba, dia akan terus simpan segalanya… dalam diam.

Waktu petang datang bersama bayu yang tenang. Langit sedikit mendung, tetapi tiada hujan. Luth duduk sendirian di dalam keretanya, di bawah pohon besar berhampiran sekolah Bella. Tangannya masih memegang stereng walaupun enjin sudah lama dimatikan.

Dia sebenarnya sampai lebih awal. Sengaja. Bukan kerana risau Bella keluar tanpa dia, tapi kerana hatinya tak tenang.

Sejak malam tadi, fikirannya ligat. Kata-kata Bella terus bergaung dalam kepala:

“Kalau Bella tak ada dalam hidup abang...”

Bagaimana mungkin dia menjawab soalan itu dengan jujur? Jika Bella tiada, hidupnya akan kosong. Rumah akan sunyi. Hidup akan hilang warnanya.

Sekelip mata, pintu pagar sekolah terbuka. Pelajar-pelajar keluar, riuh rendah dengan suara remaja. Luth menoleh, mencari wajah yang dikenalinya. Dan di celah-celah lautan seragam biru putih, dia nampak Bella.

Langkah gadis itu perlahan. Buku-buku dipeluk ke dada. Wajahnya kelihatan penat, tapi bila matanya bertembung dengan pandangan Luth, senyum manis itu kembali muncul.

Luth keluar dari kereta, dan secara automatik, pintu sebelah penumpang dibuka.

“Abang datang awal ke?” tanya Bella sambil masuk.

“Rindu nak tengok Bella.”

Kata-kata itu terlepas tanpa sempat dia tapis.

Bella tergamam, sebelum tersenyum sambil tunduk. “Abang ni… pandai bergurau sekarang.”

“Abang tak bergurau.”

Kali ini, Luth pandang wajah Bella. Gadis itu hanya diam. Tapi dia tak menolak kata-kata itu.

Hati Luth makin celaru.

Sampai di rumah, Luth terus naik ke biliknya. Bella pula membantu Datin Marlia di dapur. Tapi dalam kepalanya, Luth masih terbayang senyuman Bella dalam kereta tadi. Ada sesuatu di sebalik senyuman itu bukan senyuman biasa. Bukan senyuman adik kepada abang.

Malam itu, Luth buat keputusan untuk menulis lagi.

> “Hari jadi aku tahun ini berbeza. Bella bukan lagi budak kecil yang suka menangis dan merengek. Dia dah jadi gadis yang… aku pandang sebagai wanita. Dan itu menakutkan aku. Bukan sebab dia, tapi sebab aku sendiri.”

> “Aku takut tak dapat kawal rasa ni. Aku takut semua akan terbongkar sebelum masa yang sesuai. Aku takut kehilangan dia bukan sebagai adik, tapi sebagai seseorang yang aku harap… akan jadi lebih dari itu.”

> “Aku belum bersedia. Tapi aku tahu, aku perlu buat pilihan. Sama ada aku terus jadi abang yang berpura-pura, atau aku jauhkan diri untuk kebaikan dia.”

BEBERAPA hari selepas itu, Luth mula menjauh sedikit demi sedikit. Dia sengaja keluar rumah awal, pulang lewat, banyak habiskan masa di perpustakaan dan kafe. Dia fikir itu penyelesaian terbaik menjauhkan diri sebelum rasa itu makin membesar dan sukar dikawal.

Tapi Bella mula perasan perubahan itu.

“Abang Luth busy sangat sekarang, ya?” tegurnya suatu malam semasa di ruang tamu.

Luth, yang sedang membaca, angkat muka. “Biasa je. Assignment banyak.”

Bella duduk di tepi sofa, memeluk bantal. “Tapi dulu abang tetap sempat balik makan dengan kita. Sekarang tak…”

Luth diam.

“Bella buat salah ke?” soalnya lagi. Kali ini nadanya bergetar.

Luth letak bukunya, pandang tepat ke mata adik angkatnya itu. “Tak. Bella tak salah apa-apa. Abang je… yang tak betul sekarang.”

Bella terkelu.

“Abang sayang Bella,” sambung Luth, perlahan. “Terlalu sayang sampai abang takut... takut nanti semua ni menyakitkan Bella.”

Bella tidak berkata apa-apa. Tapi dari wajahnya, Luth tahu Bella faham. Atau sekurang-kurangnya, hatinya juga sedang berbunyi pada frekuensi yang sama.

Beberapa minggu berlalu. Suasana antara mereka kembali normal secara luaran. Tapi jauh di sudut hati, kedua-duanya tahu ada sesuatu yang berubah.

Dan setiap kali Bella memandang Luth, dia sedar, lelaki itu bukan sekadar ‘abang’. Tapi juga seseorang yang dia percaya, yang dia rindui walau tinggal serumah, yang dia harap akan terus kekal dalam hidupnya.

Satu malam, ketika semua sudah tidur, Bella berjalan perlahan ke arah bilik Luth. Dia berdiri di depan pintu yang tertutup, jari-jarinya menggenggam sesuatu kad hari jadi yang Luth gantung di papan notanya.

Kad itu telah dia salin semula. Kali ini dengan tulisan baru:

> “Abang Luth, terima kasih jaga Bella. Tapi sekarang Bella dah besar. Kalau satu hari nanti Bella jatuh cinta dengan abang... abang akan tolak Bella ke?"

Bella membatalkan niatnya untuk menyerahkan kad ucapan itu dan berpaling kembali ke bilik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience