TAHUN baru bermula dengan ritma yang berbeza. Rumah itu tidak lagi semeriah dulu. Tiada ulangkaji malam, tiada pergaduhan kecil pasal nota hilang atau suara Luth yang membebel pasal ejaan Bella yang lintang-pukang.
Kini, Luth lebih banyak di universiti menyiapkan projek tahun akhir yang menuntut tumpuan penuh. Manakala Bella, setelah tamat SPM, memilih untuk bekerja sambilan di sebuah kafe berdekatan kawasan perumahan mereka. Katanya mahu kumpul duit belanja sendiri sementara tunggu keputusan.
Mereka masih tinggal di rumah yang sama. Masih bertukar senyuman di meja makan, masih bertukar salam jika berselisih di pintu. Tapi segalanya terasa jauh berbeza.
Hubungan itu… semakin sunyi.
PAGI Sabtu Luth duduk di ruang tamu, menatap skrin komputer ribanya. Kod-kod program memenuhi halaman. Dahi berkerut, tangan pantas menaip. Di sebelahnya, mug kopi yang sudah suam.
Bella turun dari bilik dengan pakaian seragam kerjanya apron berwarna krim . Rambut diikat rapi, wajah bersih tanpa mekap.
“Bella kerja hari ni?” tegur Luth tanpa angkat muka.
“Ya. Ganti orang cuti.”
“Oh. Jaga diri, ya.”
Bella angguk. “Insya-Allah. Abang jaga kesihatan jugak… nampak macam tak cukup tidur.”
Luth ketawa kecil, akhirnya mengangkat muka. “Assignment final year. Kalau tak siap, melingkup.”
Bella senyum, tapi cepat-cepat berpaling semula. “Okey, Bella gerak dulu.”
Langkah Bella laju. Tapi dalam hatinya, ada sesuatu yang tertinggal sesuatu yang terasa seperti… kehilangan.
SEBELAH petang Bella pulang lewat sedikit kerana pelanggan ramai. Dia masuk rumah dengan langkah perlahan, lenguh seluruh tubuh. Dapur sunyi. Ruang tamu kosong. Luth tiada.
Naik ke bilik pun, sunyi. Tapi di atas meja belajarnya, ada satu sticky note kecil:
“Good luck kerja hari ni. Ada roti dan teh atas meja. — Luth”
Bella pandang nota itu lama. Matanya tiba-tiba rasa panas. Entah kenapa, perhatian sekecil itu buat hatinya bergetar. Tapi dia tahu masa mereka sudah tidak sama. Jadual, haluan, fokus… semua sudah berubah.
Beberapa Hari Kemudian, Luth jarang ada di rumah waktu siang. Bella pula semakin selesa bekerja di kafe. Dia belajar berkomunikasi dengan pelanggan, mencuci gelas dengan sabar, dan memahami dunia luar tanpa bayangan abangnya.
Namun, setiap kali melihat telefon, dia tetap berharap akan terima mesej dari Luth.
Luth pula… selalu berhenti menaip saat nama Bella muncul dalam fikiran. Tapi dia tak tahu nak tulis apa. Nak tanya ‘dah makan?’ terlalu klise. Nak tulis ‘abang rindu?’ dia sendiri takut dengan rasa itu.
Mereka saling menyimpan rindu dalam ruang diam yang membelenggu.
Satu Malam,Bella balik kerja lebih awal dari biasa. Ketika masuk ke ruang tamu, dia lihat Luth tertidur di sofa komputer riba masih terbuka, dengan nota bertajuk “Prototype System Development” terbuka di skrin.
Wajah Luth nampak letih. Ada eyebag. Rambutnya kusut sedikit.
Bella hampiri perlahan, tarik selimut nipis dari tepi sofa dan selimutkan Luth. Tangannya terhenti di dada Luth sebentar, terasa degupan jantung lelaki itu laju, tetapi tenang.
“Abang…” bisiknya perlahan. “Entah bila kita jadi macam ni. Jauh… tapi masih dekat. Rasa macam tak cukup.”
Tapi dia tahu, tak semua rasa boleh diluah. Tak semua rindu layak didengar.
Keesokan Paginya
“Bella,” panggil Datin Marlia di dapur. “mama dengar Bella nak sambung belajar?”
Bella angguk sambil menyusun pinggan.
“Baguslah. Tapi… mama nak tanya, Bella tak nak belajar jauh sikit ke? Cuba berdikari.”
Bella diam. Hatinya berbelah bahagi. Belajar jauh… bermakna benar-benar berpisah dengan Luth bukan lagi hanya haluan berbeza di bawah bumbung sama.
Luth yang baru turun dari tangga terdengar perbualan itu. Dia pandang Bella lama, tetapi tiada sepatah pun yang dia ucapkan.
Dalam diam, dua hati sekali lagi diuji.
Mama dengan Abah okey ke kalau Bella jauh?,” katanya perlahan sambil mengangkat kening.
Datin Marlia berpaling, asalnya dia sekadar bergurau . “Jauh? Mana?”
“Mana-mana yang Bella dapat,” jawab Bella. “Kos pendidikan awal kanak-kanak. Bella nak jadi cikgu .”
Luth yang sedang menghirup kopi di sebelah Dato’ Hazim, diam. Tapi dari ekor mata, dia sempat menjeling ke arah Bella. Serentak, dada terasa ketat. Tak sangka Bella benar-benar serius nak keluar dari rumah ini. Dari kehidupannya.
Namun, sebelum sempat Datin Marlia bersuara, Dato’ Hazim letak sudu perlahan di atas mangkuk.
“Bella tak boleh jauh,” katanya tegas tapi tenang. “Opah dah pesan.”
Bella terkejut. “Opah?”
Dato’ Hazim angguk. “Sebelum dia balik kampung hari tu, dia dah minta Abah janji. Jangan izinkan Bella belajar jauh-jauh.”
“Kenapa?” soal Bella, tidak menyembunyikan kecewanya.
Datin Marlia menyambung, lembut. “Kata opah… dia tak nak Bella ‘hilang arah’. Dia percaya Bella lebih tenang dan selamat kalau dekat dengan keluarga.”
“Dan satu lagi…” Dato’ Hazim menyambung, “Opah cakap… hati orang muda ni kadang-kadang celaru kalau jauh dari orang yang dia percaya. Dia tak nak Bella lalui perkara yang buat Bella terluka, terutama bila semua orang sibuk dengan urusan masing-masing.”
Bella tunduk. Bibir digigit perlahan.
Dia tahu opah sayang padanya. Tapi dalam hati, dia juga mahu mencabar diri berdikari, keluar dari bayang Luth, dari ruang rumah yang kadang-kadang sesak dengan perasaan yang tak pernah diberi nama.
Namun kata-kata opah itu… menusuk.
Saat itu, Luth yang sejak tadi hanya diam, akhirnya bersuara lembut, “Kalau Bella dapat tempat dekat sini, abang boleh tolong hantar, jadi cikgu kelas tambahan free. Kalau jauh, susah sikit abang nak tolong.”
Mata Bella naik perlahan. Menatap wajah Luth. Tenang, tapi ada sesuatu di balik senyumannya. Sesuatu yang menyerupai kelegaan.
Dia senyum sedikit, walau pedih. “Baiklah. Bella fikir semula.”
Dalam diam, Luth telan rasa bersalah kerana dalam doanya, dia sebenarnya berharap Bella tidak ke mana-mana. Supaya dia masih sempat… simpan harapan.
Walau dia tahu itu selfish, dia tetap tersenyum dalam hati kerana buat masa ini, Bella masih di depan matanya. Masih di bawah langit yang sama.
KAFE kecil di hujung blok kampus itu sudah mula lengang selepas waktu makan tengah hari. Bella menyusun gelas dan pinggan ke dalam dulang sambil berborak dengan rakan sekerjanya, Nia seorang pelajar tahun pertama yang bekerja sambilan sepertinya.
“Eh, kau nampak macam murung je. Okey ke?” tanya Nia sambil menyusun sudu di rak.
Bella senyum nipis. “Tak ada apa… penat sikit je.”
Nia sengih. “Penat kerja, atau penat fikir seseorang?”
Bella tergelak kecil, tapi tidak membalas. Matanya hanya tertumpu pada buih sabun yang menari di permukaan cawan yang sedang dicucinya. Dalam hati, nama itu tetap muncul Luth Hazman.
Dia tak sangka, meski sudah jauhkan diri, rasa itu tetap mengikat. Bila malam menjelma, wajah Luth tetap datang mengetuk benaknya tanpa dijemput.
Sedang mereka berbual, loceng pintu kaca di pintu masuk berbunyi nyaring.
Bella berpaling.
Langkah Luth masuk bersama dua lelaki dan seorang perempuan membuatkan Bella terkaku seketika. Dia kenal rakan-rakan universiti Luth. Tapi kehadiran seorang perempuan yang berdiri agak rapat dengan Luth… buat dadanya kembali dihimpit resah yang disangka telah reda.
“Assalamualaikum,” Luth menegur dengan senyum nipis, seperti biasa. Tapi mata mereka bertaut sejenak dan Bella sempat menyedari pandangan Luth yang sedikit gugup.
“Waalaikumussalam…” balas Bella perlahan.
“Bella kerja sini?” tanya salah seorang rakannya, Ikhwan.
“Ha’ah… cari pengalaman,” jawab Bella sambil menunduk sedikit. Tangannya pantas menyusun dulang walaupun fikiran sudah terbang entah ke mana.
Perempuan di sebelah Luth yang diperkenalkan sebagai Amira kelihatan begitu mesra. Suaranya lembut, tapi penuh perhatian. Sepanjang mereka duduk, Bella tak lepas memandang dari jauh.
“Luth, you nak air panas ke sejuk? Jangan asyik minum ais sangat, nanti batuk.”
“Luth, lepas ni nak terus balik ke? Kalau nak, I boleh tolong siapkan bahan report tu.”
Setiap kata Amira menusuk telinga Bella. Seolah-olah dia sedang menonton sesuatu yang pernah dia impikan, tetapi kini dipegang orang lain.
“Bella,” tegur Nia sambil menyiku, “dah habis lap meja tu tiga kali. Meja tu tak berdosa pun.”
Bella tersedar. Dia mengeluh perlahan, tersenyum hambar, dan berlalu ke dapur.
Di sebalik tabir dapur, Bella bersandar di dinding. Nafasnya panjang. Ada sesuatu dalam dirinya yang terasa longgar seperti simpulan yang terlerai tanpa sedar.
‘Dia dah ada dunia sendiri… Bella kena belajar untuk lepaskan.’
Sedangkan di meja hadapan, Luth tidak betah duduk diam. Pandangannya kerap mencari Bella, tapi Bella tak pernah mendekat. Dia tahu, kehadiran Amira membuatkan segalanya jadi lebih rumit. Tapi dia juga tak mampu tolak Amira rakan study group yang rajin dan tidak pernah berhenti mencuri perhatian dengan kebaikannya.
Namun, setiap gelak tawa Amira tidak dapat menutup kekosongan satu suara lain. Suara yang dia cari dari jauh suara Bella.
Dan petang itu, walaupun mereka duduk di bawah bumbung yang sama, terasa seperti dua dunia yang semakin menjauh.
Sejak pertemuan di kafe itu, Bella tidak lagi seperti dulu. Senyumannya tidak semanis biasa, dan sapaannya pada Luth hanya sekadar formal cukup untuk tidak dianggap biadab.
Luth mula perasan. Dulu, Bella akan menyambutnya dengan ceria setiap kali dia pulang dari universiti. Akan ada puding dalam peti ais, atau nota kecil di meja makan bertulis “Abang, jangan lupa makan.”
Tapi kini, semuanya senyap.
Tiada nota. Tiada puding. Tiada pandangan penuh makna dari hujung meja.
“Bella…” tegur Luth suatu malam di ruang tamu.
Bella yang sedang melipat kain hanya mengangguk sedikit. Tidak menoleh pun. Hatinya masih dikuasai rasa yang dia sendiri sukar jelaskan.
Bukan cemburu.
Bukan kecewa.
Tapi… kosong.
Sebab dia sedar, dia mula menaruh harapan. Sekarang, harapan itu mula kelihatan seperti mimpi yang tak berpijak di bumi nyata.
“Bella okey?” soal Luth lagi, perlahan.
“Okey,” jawabnya ringkas.
Luth angguk, tapi hatinya terasa sayu. Dia bukan tak mahu tanya lebih lanjut, tapi dia tahu Bella jenis yang akan simpan segalanya sampai pecah sendiri.
Malam itu, Bella termenung sendirian di jendela biliknya.
Langit kelam. Bintang suram. Angin malam menyapa wajahnya perlahan.
Kata-kata Opah suatu ketika dahulu kembali menghantui fikirannya.
“Kalau suatu hari nanti hati Bella terusik sebab abang tu… Bella ingat satu je pesan Opah. Hati perempuan… bila dah jatuh, dia tak semudah itu nak tarik balik. Jadi jaga hati sendiri, sayang…”
Bella pejam mata rapat-rapat. Cuba tahan air mata yang ingin gugur.
Dia tahu dia perlu kuat. Dia perlu teruskan hidup. Fokus pada masa depan. Tapi bila bayang Luth hadir, segala dinding yang dibina mulai retak kembali.
Sementara itu, di bilik sebelah, Luth termenung di atas katil sambil memandang siling.
Bella dah berubah. Dia tak tahu… adakah kerana dirinya?
Adakah dia yang menyebabkan Bella menarik diri, menjauhkan diri, dan… menutup semula hatinya?
Dia ingin tahu. Dia ingin tanya. Tapi dia tak pasti sama ada dia sudah bersedia mendengar jawapannya.
Luth tak betah melihat Bella terus bersikap dingin. Suatu malam, selepas makan malam, dia nekad untuk duduk berdua dengan Bella di ruang tamu. Waktu itu hanya mereka berdua. Dato’ Hazim dan Datin Marlia sudah naik ke bilik.
“Bella,” Luth panggil perlahan.
Bella masih menonton televisyen atau sekadar pura-pura menonton. Wajahnya kosong, pandangan tak fokus.
“Abang nak cakap sikit.”
Bella diam.
“Bella marah abang?” soal Luth, jujur. “Sebab hari tu abang datang dengan kawan-kawan?”
Bella menggeleng. “Tak.”
“Tapi Bella lain sekarang.”
“Manusia berubah.”
Jawapan itu buat Luth senyap.
“Abang… ada buat salah?” tanyanya lagi, sedikit bergetar suaranya.
Bella akhirnya berpaling, matanya menentang mata Luth buat pertama kali dalam beberapa minggu.
“Tak,” jawabnya. “Abang tak buat salah. Cuma… Bella sedar satu benda.”
“Apa dia?”
“Abang… dah ada dunia abang sendiri. Dan Bella tak termasuk dalam dunia tu.”
Luth terkedu.
“Bella…” dia cuba bersuara, tapi Bella sudah bangkit dari sofa.
“Bella penat. Nak masuk tidur.” Langkahnya perlahan, tapi meninggalkan beban yang berat di dada Luth.
Luth segera mencapai tangan Bella. Dia masih tidak puas hati dengan layanan dingin Bella.
“Abang minta maaf kalau abang salah” ucap Luth memandang Bella dari sisi.
Bella mengeluh. “Abang tak salah. Bella saja yang tak sedar yang kita ada kehidupan masing-masing”
“Bella tetap yang pertama dalam hidup abang walaupun abang dikelilingi orang lain” Balas Luth tegas.
Bella diam membatu, tidak tahu kata-kata itu benar atau sekadar menyedapkan hati.
Luth bangun perlahan mendekatkan diri dengan Bella, genggaman tangannya masih kuat.
“Sampai akhir hayat abang, Bella satu-satunya dalam hati abang. Ingat tu” Pesan Luth seraya mengucup dahi Bella dan terus meninggalkan Bella diruang tamu yang mula berteka-teki dengan ucapan Luth.
Share this novel