Bab 10: Jealousy yang Tersembunyi

Romance Series 2408

PETANG itu, langit kelabu dan angin bertiup perlahan. Kafe tempat Bella bekerja agak sunyi, hanya dua tiga pelanggan yang setia di hujung minggu. Bella sedang menyusun bekas gula di kaunter apabila pintu terbuka dan loceng berdenting perlahan.

“Bella?”

Suara itu tidak asing. Bella menoleh dan melihat seorang wanita muda melangkah masuk dengan gaya sopan dan senyuman ramah.

“Kak Amira?” Bella berkerut sedikit sebelum tersenyum. “Eh, Kak cari siapa?”

Amira ketawa kecil. “Akak cari Bella lah! Akak tahu Bella kerja sini, sebab tu akak datang. Boleh temankan akak minum kejap?”

Bella mengangguk, walau hatinya terasa janggal tiba-tiba. Mereka berdua mengambil tempat di meja kecil berdekatan tingkap kaca. Bella meletakkan menu, namun Amira hanya mengangkat tangan.

“Sama macam Luth order dulu ya… caramel latte. Tapi yang paling manis,” ujar Amira sambil tersenyum nakal.

Bella menahan senyum, walau hatinya terasa tersentak sedikit mendengar nama itu disebut.

“Baik, kejap ya.” Bella bangkit dan menyiapkan pesanan dengan tangan sedikit menggigil tanpa sedar.

Beberapa minit kemudian, Bella duduk kembali, meletakkan dua cawan minuman panas di atas meja.

“Wah, nampak profesional,” puji Amira.

“Belajar dari barista kat sini je,” jawab Bella ringkas.

Amira mengambil tegukan pertama, kemudian bersandar selesa.

“Bella, akak tahu ni agak pelik… tapi akak datang ni sebab akak nak borak dengan Bella… pasal Luth.”

Bella diam, namun mengangkat wajah dengan senyum paksa. “Pasal abang Luth?”

Amira mengangguk, wajahnya sedikit merah.

“Kami satu fakulti. Dia popular, ramai suka… tapi dia lain. Dia macam mudah mesra, tapi tak mudah nak rapat. Bila akak tengok dia… akak rasa macam, akak nak kenal dia lebih daripada sekadar kawan.” Amira menunduk seketika sebelum menyambung.

“Tapi dia selalu sangat cakap pasal Bella. ‘Adik aku suka ni’, ‘kena balik awal sebab nak tengok adik belajar’, ‘adik aku pandai baking’. Akak tahu Bella special untuk dia.”

Bella cuba tersenyum, tapi jantungnya terasa berat.

Amira menyambung, “Sebab tu… akak datang sini. Akak nak minta tolong Bella.”

“Tolong?” Bella bertanya, senyumannya semakin tawar.

“Kalau akak nak cuba pikat Luth… Bella okay tak? Maksud akak… Bell boleh tolong akak faham dia? Bagi akak peluang kenal dia lebih dekat?”

Bella diam. Tangan menggenggam sudu kecil di sisi cawan. Hatinya terasa seolah ada yang dicungkil keluar secara perlahan-lahan.

“Abang Luth tu… bukan mudah nak teka hati dia,” jawab Bella perlahan.

Amira tersenyum. “Akak tahu. Tapi akak nampak dia lelaki yang baik… dan kalau Bella sendiri restu, akak rasa berani nak cuba.”

Bella mengangguk kecil. “Kalau dia bahagia… Bella bahagia,” jawabnya ringkas, walau dalam hati terasa seperti dihentak.

Amira ketawa manja. “Ala, Bella ni baik sangat. Untung Luth ada adik macam Bella.”

Bella senyum nipis.

Tapi bila Amira berpaling sekejap, wajah Bella berubah. Matanya berkaca, namun segera dia tunduk menyembunyikan luka yang sedang memekar dalam diam.

Langit malam sudah pekat. Jarum jam menghampiri pukul 11.00 malam, tapi bayang Bella masih belum kelihatan di depan rumah. Luth berlegar-legar di ruang tamu, matanya kerap menjeling ke arah pintu. Televisyen yang terpasang sekadar menjadi latar bunyi yang tidak masuk ke dalam fikiran.

“Kenapa lambat sangat…” gumamnya.

Baru sahaja dia mahu bangun ke dapur, terdengar bunyi enjin skuter milik Bella berhenti di luar rumah. Tidak lama kemudian, pintu dibuka perlahan. Bella muncul dengan wajah muram, masih memakai uniform kerjanya dan langkahnya sudah lesu.

“Bella,” panggil Luth perlahan dari sofa.

Namun Bella tidak menyahut. Dia sekadar melepaskan beg ke lantai dan terus naik ke tangga. Luth bangun, mengekori langkah adik kesayangannya itu dengan dahi berkerut.

“Bella, kenapa ni? Lambat balik. Bella okay ke?” Luth naik ke tingkat atas, tapi Bella langsung tak menoleh. Pintu biliknya dikuak sedikit dan dia terus merebahkan diri ke atas katil, membelakangi pintu. Lampu tidak dinyalakan. Dia baring dalam gelap, masih dengan uniform dan bau kopi pada baju.

“Bella…” Luth berdiri di ambang pintu. Sunyi.

Dia masuk perlahan, menghampiri katil dan duduk di birai.

“Bella, cakap dengan abang. Bella mengelak dari tadi. Ada apa-apa jadi ke kat tempat kerja?” Nada Luth cemas. Suaranya penuh bimbang.

Bella diam. Bunyi keluhan kuat muncul dari mulutnya . Matanya terbuka dalam gelap, menatap dinding. Tangannya menggenggam kain cadar kuat-kuat.

Luth hulur tangan menyentuh bahu Bella.

"Jangan buat abang risau macam ni, sayang..."

Bella bersuara, perlahan tapi tegas, “Jangan panggil Bella macam tu.”

Luth terkejut. Tangannya terhenti.

“Bella penat…” Bella menyambung, masih tidak memandang.

“Penat kerja atau penat dengan abang?” soal Luth, separuh berbisik.

“Dua-dua.”

Jawapan itu menampar jiwa Luth. Dia diam sejenak. Suasana gelap dan sunyi terasa berat menekan ruang itu.

“Bella, kalau abang buat salah… cakap. Jangan seksa diri sendiri macam ni. Ni sekarang balik kerja terus baring. Tolonglah…”

Bella menghela nafas perlahan, matanya mula berkaca. Tapi dia masih tidak menoleh.

“Kenapa abang tak pernah cerita pasal Amira?”

Luth tersentak. Nafasnya tersekat sekejap. “Amira?”

“Dia datang jumpa Bella tadi kat kafe. Dia... cakap dia suka abang.”

Luth tergamam. “Bella…”

“Dia minta Bella tolong dia rapat dengan abang… sebab dia tahu abang baik.Lagi pun Abang Layak untuk dapat orang yang lebih baik daripada… Bella.”

Nada terakhir itu hampir bergetar. Air mata yang ditahan akhirnya menitis perlahan.

“Bella fikir abang dah mula suka dia,” tambah Bella, akhirnya berpaling sedikit, menampakkan wajah yang berlinang dalam samar gelap.

Luth menatap wajah itu, hatinya luluh.

“Tak… abang tak suka dia. Tak pernah. Abang… tak pernah buka hati untuk orang lain. Abang…”

Dia terdiam sekejap. Nafas ditarik perlahan sebelum disambung, “Sebab hati abang… dah ada orang lain dari dulu.”

Bella mengerut dahi, masih cuba menahan tangis.

Luth bangun dari birai katil dan duduk di lantai mengadap Bella yang terbaring dikatil. Tangannya menyentuh pipi Bella, mengesat sisa air mata yang mengalir dalam diam.

“Baguslah kalau macam tu” balas Bella perlahan.

Bella berpaling semula, menutup wajah ke bantal, membiarkan air mata terus mengalir.

Luth masih lagi memilih untuk tidak berterus terang. Dia hanya duduk semula, mengusap lembut tangan Bella, dengan satu harapan agar luka yang mula berdarah tadi, boleh perlahan-lahan sembuh.

Luth masih setia di sisi, walau Bella membisu. Dia tahu… kata-katanya tadi bukan mudah untuk dihadam.

“Bella…” Luth bersuara perlahan, tangannya masih mengusap tangan adik itu dengan penuh kasih. “Tolong jangan jauhkan diri dari abang. Abang tak mampu…”

Bella diam, matanya masih merah dan basah.

“Abang tengah final minggu ni. Kepala abang dah berserabut. Tapi bila Bella mula dingin, mula senyap… abang rasa hilang arah.”

Dia ketap bibir. “Abang tak kisah kalau Bella marah abang. Tapi tolong, jangan hukum abang dengan diam…”

Kata-kata Luth meresap jauh ke hati Bella. Dia tahu Luth jujur. Dia tahu Luth ikhlas. Tapi dia juga tahu, perasaannya sendiri belum tentu stabil untuk terima yang hati Luth sudah dimiliki.

Tapi demi Luth… demi lelaki yang dia sendiri terlalu sayang… Bella tidak sanggup menjadi beban pada minggu yang paling penting buat Luth.

Perlahan-lahan, dia menoleh ke arah Luth. Matanya masih sembab, tapi ada senyuman kecil yang dipaksa naik di bibir.

“Abang…” Dia tarik nafas dalam. “Maaf… Bella penat sangat. Mungkin sebab tu Bella jadi emosi.”

Luth kelihatan sedikit lega. “Tak apa. Abang faham. Tapi… janji dengan abang satu benda je.”

“Apa dia?”

“Jangan simpan semuanya sendiri. Kalau ada apa-apa… cakap. Abang sanggup dengar. Walau Bella marah, cemburu, keliru… abang nak tahu. Jangan jauh, Bella. Tolong.”

Bella tunduk, tidak mampu menatap mata Luth lama-lama. Namun dia angguk perlahan.

“Bella janji…”

Luth tersenyum, lalu membetulkan selimut di atas tubuh Bella. “Rehat ya. Esok kerja lagi. Kalau tak sihat, abang boleh dapatkan MC”

Bella senyum nipis, buat kali pertama dalam beberapa hari. “Jadi abang masih nak jadi PA Bella ke sekarang?”

Luth tergelak kecil. “PA, tukang masak, pengurus jadual, pemandu, semua abang buat. Asalkan Bella tak jauh dari abang.”

Seketika mereka berdua terdiam tidak lagi kerana kedinginan, tetapi kerana hati yang perlahan-lahan mendekat semula.

Luth akhirnya bangun. “Abang keluar dulu. Abang kena study sikit lagi malam ni.”

Bella memandang sayu ke arah belakang tubuh Luth. “Abang…”

Luth berpaling.

“Good luck untuk final exam,” ucap Bella, lembut.

Luth tersenyum, bahagia dengan harapan kecil itu. “Terima kasih, sayang…”

Dan kali ini, Bella tidak menegur. Hatinya bergetar, tapi dia tidak tolak . Mungkin, untuk pertama kali, dia mahu belajar menerima walau perlahan, walau dalam diam.

Mentari petang menyinar redup ke halaman rumah. Bella berdiri di sisi perdu bunga kertas, perlahan menyiram pokok dengan paip air. Air menitis tenang ke tanah, sama tenangnya wajah Bella ketika itu walau dalam hati, masih ada riak yang belum reda sepenuhnya.

Dari pintu pagar, deruman enjin kereta membuat Bella menoleh. Luth keluar dengan beg sandangnya, penat jelas di wajah, namun senyum tetap terukir saat matanya menangkap kelibat Bella.

“Baru balik kerja berkebun, cik adik?” Luth berseloroh, menyangkut beg di bahu.

Bella senyum sipi. “Tanam pokok pun satu terapi tahu tak…”

Luth ketawa perlahan. “Abang setuju. Tapi abang pelik… Bella tak kerja hari ni?”

Bella diam seketika, paip di tangannya masih mencurahkan air ke pokok bunga cina di hujung pagar. Luth menghampiri, memandang wajah adiknya yang nampak lebih tenang dari semalam.

“Bella…”

“Bella berhenti kerja,” jawab Bella akhirnya, tanpa menoleh.

Kening Luth terangkat sedikit. “Kenapa?”

Bella tunduk. “Bella nak fokus masa depan. Lagipun… tak semua yang datang dalam hidup kita, kita perlu pertahankan.”

Luth merenungnya dalam-dalam. Ada makna di sebalik ayat itu. Dan dia tahu, Bella bukan bercakap tentang kerja saja.

“Kalau ada orang yang buat Bella rasa tak tenang… abang boleh tolong.”

Bella senyum nipis. “Bella tak nak abang penat fikir pasal Bella. Exam abang pun belum habis. Fokus dulu.”

Luth menghela nafas, kemudian menyentuh lengan Bella lembut. “Abang akan fokus… tapi Bella tetap penting. Jangan lupa tu.”

Bella hanya angguk perlahan, tak berani memandang terus ke arah Luth. Namun hatinya sedikit lega. Dia tahu Luth ada. Dia tahu perasaannya masih belum reda. Tapi buat masa ini, biarlah dia menyiram hatinya sendiri seperti dia menyiram pokok-pokok di halaman.

Semoga, bila tiba masa yang sesuai… semuanya akan kembali mekar dengan indah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience