Bab 11: End Final Year, Amira yang Terus Mengejar

Romance Series 2408

SUASANA universiti tampak lebih sibuk dari biasa. Peperiksaan akhir tahun telah berakhir. Dewan peperiksaan mula lengang, dan pelajar-pelajar mula melangkah keluar dengan senyuman lega di wajah mereka.

Luth menolak pintu keluar dengan nafas panjang. Lega. Satu lagi fasa hidupnya selesai. Final year done.

“Luth!” jerit lembut satu suara dari belakang.

Dia menoleh, dan seperti dijangka . Amira.

Gadis itu berlari-lari anak mendekatinya, rambut diikat tinggi, senyuman lebar terukir. Tangannya menghulur botol minuman sejuk.

“For you. Congratulation, Final Year!”

Luth menyambut dengan senyuman ringkas. “Thanks, Amira.”

Amira berdiri di sebelahnya, seolah-olah ingin berjalan pulang bersama. Luth tahu sejak beberapa minggu lepas, gadis ini semakin terbuka menunjukkan minatnya. Tapi dia hanya melayan sekadar kawan. Tidak lebih.

“You free hari ni? I nak ajak keluar, maybe small celebration,” ajak Amira, seiring langkah.

Luth senyap sejenak. “Rasanya nak balik rumah dulu. Dah lama tak luang masa dengan family.”

“Balik sebab Bella?” soal Amira tiba-tiba, dengan nada bergurau… tapi dalam matanya, jelas ada maksud tersirat.

Luth terpinga sebentar. “Balik sebab semua orang. Especially mak ayah. Dan… ya, Bella pun.”

Amira ketawa kecil, tapi senyuman di wajahnya tidak seceria tadi. “You’re so hard to read, Luth. Macam friendly, tapi macam ada tembok yang tinggi sangat.”

Luth senyum hambar. “Mungkin sebab tembok tu memang ada.”

Amira memandangnya beberapa saat. “Tapi I takkan berhenti cuba. Maybe satu hari nanti… I akan jumpa pintu kat tembok tu.”

Luth tidak menjawab. Dia hanya teruskan langkah, Amira ikut di sebelah, namun suasana mula bisu. Dalam diam, Luth tahu, Amira bukan seseorang yang mudah menyerah. Itu yang membuatnya resah.

Sampai di rumah, Luth letakkan begnya di sofa dan terus ke dapur. Tiada suara Bella. Hanya kelihatan sepasang kasut perempuan di luar pintu dapur.

Dia meninjau ke luar. Bella duduk di buaian kecil di taman, buku di tangan, angin petang meniup anak rambutnya perlahan. Tenang, tapi dingin. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Bella masih begitu menjaga jarak.

“Bella…” tegur Luth perlahan.

Bella hanya berpaling seketika, sebelum kembali tunduk membaca.

“Abang dah habis exam.”

“Oh. Congrats,” jawabnya ringkas.

“Bella… boleh kita borak kejap?”

Bella menutup bukunya, tapi tidak bangun. “Banyak kerja rumah nak buat, abang. Lain kali boleh?”

Luth hanya mampu menelan rasa. Kadang kala dia keliru dengan tindakkan Bella.

Kini, waktu hampir tamat. Final year sudah berakhir. Tapi cerita antara dia dan Bella… baru mula berliku.

Beberapa hari berlalu, Bella masih dengan sikapnya ramah di depan mama dan abah, sopan seperti biasa, tapi sejuk bila hanya dia dan Luth. Jawapan sepatah dua, senyuman tawar, pandangan yang sekejap-sekejap.

Luth tak tahan. Dia perlu tahu.

Petang itu, dia tunggu Bella pulang dari kedai runcit. Gadis itu baru hendak masuk dapur bila suara Luth menahan langkahnya.

“Bella, boleh abang cakap sikit?”

Bella menoleh sekilas, namun wajahnya tetap tenang tanpa riak. “Pasal apa?”

Luth telan liur. Dia rapat sedikit. “Kenapa Bella dah lama tak macam dulu? Kalau Bella marah… abang nak tahu kenapa. Abang nak minta maaf kalau abang buat salah.”

Bella tunduk. “Tak ada apa. Bella okay.”

“Bella tipu,” potong Luth tegas.

Bella mendongak, mata bertentang dengan mata Luth. “Kenapa abang nak tahu sangat ?”

Luth diam. Soalan itu menamparnya.

Sebelum sempat dia jawab, hon kereta berbunyi di luar. Datin Marlia buka langsir dan menjenguk.

“Luth, ada orang datang tu!” jeritnya dari ruang tamu.

Luth dan Bella berpandangan. Bella segera berlalu ke bilik, enggan bertembung siapa pun yang datang.

Di luar, Luth tergamam.

Amira berdiri di depan pagar dengan senyuman manis, bawa kotak hadiah kecil dan beg plastik berisi makanan.

“Surprise!” ucapnya ceria.

Luth membuka pagar, agak terkejut. “Amira… macam mana tahu rumah saya?”

“Bella pernah cerita sikit masa borak kat kafe dulu,” jawabnya selamba. “Lagipun, I thought nak datang celebrate dengan you. ”

Luth mengetap bibir. Dia buka langkah perlahan masuk ke halaman. “Amira, I appreciate this, tapi datang tanpa beritahu”

“Sebab I tahu you’ll say no.” Amira memotong, senyum lebar. “Tapi tak apa… boleh I masuk? Just for a while.”

Datin Marlia pula dah keluar menyambut, mesra seperti biasa. “Masuklah, dik. Kawan Luth, ya?”

“Ya, aunty. Saya Amira.”

“Ha, masuk… masuk. Bella ada kat dalam. Boleh borak sama-sama,” ajak Marlia sambil menjemput.

Bella yang mendengar dari dalam bilik hanya memejam mata. Amira… di rumah? Kenapa dia boleh rasa dada makin ketat?

Dalam rumah

Amira duduk di ruang tamu, berbual rancak dengan Datin Marlia dan Dato’ Hazim. Dia pandai mengambil hati tutur katanya lembut, senyum tak lekang dari bibir. Sesekali dia pandang Luth, seolah memberi isyarat “tengoklah, aku serasi dengan keluarga kau.”

Bella tidak turun. Dia tahu dirinya takkan mampu berlakon tenang kali ini.

Luth hanya duduk bersandar, diam. Hatinya tidak selesa.

Amira tidak pernah melampau. Tapi kali ini… langkahnya terlalu berani. Dan yang lebih buat Luth gelisah reaksi Bella.

Gadis itu semakin jauh… dan dia tidak tahu bagaimana untuk tarik semula.

Amira akhirnya pulang selepas hampir dua jam bertandang. Dia sempat menjeling ke arah tingkap tingkat atas, berharap Bella akan muncul. Tapi kelibat gadis itu tidak pernah kelihatan.

Luth menghantar Amira ke kereta dengan senyap. Tiada tawa, tiada senyuman. Amira perasan, namun dia masih cuba berlagak yakin.

“You’re not happy I came?”

Luth pandang wajah Amira. “Amira… awak kawan yang baik. Tapi kalau awak datang sebab nak cari restu dari keluarga saya… saya rasa awak silap langkah.”

Wajah Amira berubah.

Luth sambung lagi, perlahan, “Saya hargai awak. Tapi hati saya bukan sesuatu yang boleh ditukar hanya sebab seseorang datang lebih dekat.”

Amira cuba senyum, tapi tawar. “Hati awak tu… Bella yang pegang, ya?”

Luth tidak jawab. Tapi diamnya sudah cukup jadi pengakuan.

MALAM menjelma. Bella masih tidak keluar bilik. Pintu tidak berkunci, tapi dia tetap baring membelakangkan dunia, hanya lampu meja kecil terpasang suram.

Luth berdiri di ambang pintu. Lama. Tidak sanggup melangkah masuk tanpa diundang.

Tapi hatinya berat. Dia melangkah juga.

“Bella…”

Tiada jawapan.

Dia dekati Bella perlahan-lahan. Gadis itu tetap tidak hirau dengan kehadiran Luth.

“Maafkan abang… kalau abang pernah buat Bella rasa… tak penting.”

Bella mengalihkan mata, memandang wajah Luth yang gelisah.

“Kenapa Amira datang rumah kita?” soal Bella akhirnya, suara serak, tapi tenang.

Luth duduk di birai katil. “Dia datang sendiri. Abang tak jemput.”

“Dia kata abang baik. Mudah didekati… tapi susah dimiliki.”

Luth menghela nafas. “Abang tak pernah beri harapan pada dia. Abang tak boleh… sebab hati abang bukan untuk dia.”

Bella senyap.

“Bella…” Luth capai tangan adik angkatnya itu perlahan. “Kalau ada apa-apa yang mengganggu, cakap dengan abang. Jangan simpan. Jangan hukum abang dengan diam.”

Bella menunduk, suara hampir bergetar. “Bella tak tahu… kalau Bella ada hak untuk rasa semua ni.”

“Kenapa tak ada hak?” Luth tanya lembut.

“Entah lah..Bella rasa, Bella punca abang tak bebas”

Luth genggam jari Bella kemas.

“Kalau Bella nak tahu… betapa abang takut kehilangan Bella, Bella takkan cakap macam tu.”

Akhirnya Bella melepaskan satu keluhan berat.

Luth tahu jarak yang terbina bukan kerana benci, tapi kerana takut kehilangan kasih yang tak pasti.

ESOK paginya, langit mula cerah dan angin berhembus lembut. Bella sedang menyapu halaman rumah seperti biasa, cuba mengisi waktu pagi dengan aktiviti ringan.

Luth keluar dari dapur dengan segelas air kosong dan sepotong kek pisang buatan Datin Marlia.

“Untuk tukang sapu paling rajin,” tegur Luth dengan suara ceria.

Bella menoleh, terpinga. “Abang buat apa kat sini? Tak pergi universiti?”

Luth duduk di kerusi taman. “Abang kan dah habis final exam. Lagipun… abang rindu tengok Bella senyum.”

Bella cebik, tapi tak mampu menahan senyuman kecil yang menjengah bibir.

“Abang rasa… rumah ni sunyi sangat sejak Bella berhenti kerja. Dah tak ada bunyi Bella menyanyi masa lipat kain,” ujar Luth, memandang ke langit.

Bella meletakkan penyapu ke tepi. “Sebab Bella nak rehat. Fokus sikit sebelum result keluar.”

“Fokus untuk result… atau untuk jauhi abang?” Luth usik, separuh bergurau separuh memancing reaksi.

Bella menjeling tajam, tetapi wajahnya mula mencair dengan riak malu.

“Jom,” Luth tiba-tiba bangun dan hulur tangan.

“Jom apa?”

“Jom abang belanja ais krim. Dekat taman hujung jalan tu. Kita dah lama tak lepak sama.”

Bella diam. Pandang tangan Luth yang terhulur. Lama.

Akhirnya, dia sambut juga tangan itu perlahan-lahan.

Langkah mereka menuju ke taman penuh dengan sunyi yang damai tapi bukan sunyi yang mengasingkan.

Sunyi yang memulihkan.

Di taman kecil, Luth buat lawak-lawak bodoh hanya untuk buat Bella ketawa semula. Bella senyum, akhirnya ketawa kecil, dan Luth tahu walaupun perlahan, dia sedang berjaya.

Bukan semua luka sembuh dengan kata-kata. Ada yang sembuh dengan keikhlasan dan usaha untuk kembali seperti dulu.

Itulah yang Luth cuba lakukan.

Kerana bagi Luth, senyuman Bella adalah rumah paling tenang dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience