Bab 13: Persiapan Menyambut Opah

Romance Series 2408

BILIK Opah sudah mula berwajah baru. Langsir hijau lembut baru digantung, Bella berdiri di sisi tingkap, memandang taman kecil di luar. Angin pagi menyapa wajahnya perlahan. Tiba-tiba telefon bimbit di poket bajunya bergetar.

Amira.

Nama itu saja sudah cukup untuk membuatkan senyum Bella hilang dari wajah.

Dia menjawab panggilan, berdiri masih tegak di sisi tingkap, menjauh dari Luth yang sedang mengemas katil di belakangnya. Namun, tanpa dia sedar, Luth tidak hanya fokus pada cadar dia sedang mencuri dengar. Setiap nada dalam suara Bella, setiap nama yang terbit.

“Hello?” Bella menyambut dingin.

“Hei Bella! Sorry kacau. Tengah buat apa tu?” Suara Amira kedengaran ceria seperti biasa.

“Kemas bilik Opah. Dia nak datang nanti.”

“Wah, rajinnya. Bella… sebenarnya akak call ni sebab nak cakap sesuatu yang agak… penting.”

Bella tidak menjawab, hanya diam menunggu.

“Akak… serius dengan Luth. Luth ni lain dari lelaki lain. Tapi dia susah sangat nak buka ruang. Kak tahu Luth rapat dengan Bella, kalau Bella sokong, Luth mungkin akan pertimbangkan tentang akak.”

Bella mengetap bibir. Kata-kata itu menghunjam terus ke dadanya. Pandangannya kini tajam ke luar tingkap cuba mengawal diri. Tapi wajahnya ketat. Dingin. Hampa. Geram.

Di belakang, Luth yang masih ‘mengemas’, terhenti gerak tangannya. Nama “Luth” dan “serius” tadi cukup jelas. Dia kerut dahi dan menoleh sedikit ke arah Bella, tak senang dengan suara yang didengarnya.

“Akak harap sangat Bella boleh tolong. Setidaknya cakap baik-baik dengan Luth. Dia nampak rapat dengan Bella. Mungkin sebab tu dia tak buka ruang untuk orang lain.”

Bella berpaling perlahan, pandangannya kini tepat pada Luth yang masih memerhati secara senyap.

Tatapan tajam. Seolah-olah segalanya sudah difahami.

“Bella… please?” Amira mendesak dari hujung talian.

Bella menjawab perlahan tapi jelas, “Bella takkan halang.”

“Terima kasih, Bella! Akak hargai sangat!”

Talian diputuskan. Bella genggam telefon erat, nafasnya berat. Tapi dia hanya berpaling sedikit, berlagak tenang, walau matanya sudah mula berkaca.

Luth berdiri di sisi katil, memandangnya dalam diam, kening sedikit berkerut.

“Amira?” Luth bertanya akhirnya, nada suara sedikit dalam.

Bella mendongak, memandang tajam. “Ya. Kawan universiti abang tu. Dia cari Bella… untuk ‘memudahkan’ jalan dia.”

Luth menghampiri Bella dengan langkah perlahan. Wajahnya serius, matanya tidak lepas dari wajah Bella yang keras.

“Dia cakap apa lagi?” soal Luth, suara tenang tapi sarat makna.

Bella senyum nipis sinis. “Dia suka abang. Dia fikir… Bella halangan dia.”

“Dan Bella…?”

“Bella tak halang”

Luth bernafas dalam, matanya tajam namun penuh kecewa. “Kenapa cakap macam tu?”

Bella tidak menjawab. Dia berpaling kembali ke tingkap, membelakangi Luth.

Luth mendekat lagi, perlahan. “Bella… abang tak pernah bagi harapan. Abang tak pernah pandang dia lebih dari seorang rakan universiti.”

“Tapi dia pandang abang lebih dari itu,” jawab Bella perlahan tapi tajam.

“Abang Cuma…” Luth tarik nafas. “… nak pandang seorang saja.”

Bella menunduk. Kali ini dia tidak mampu membalas. Dalam diam, ada hati yang hampir retak. Tapi juga hati yang terlalu berharap.

Hening kembali menyelubungi bilik Opah yang belum siap dikemas sepenuhnya. Langsir masih belum disangkut sempurna. Bantal masih belum beralas sarung. Tapi hati dua insan di dalam bilik itu jauh lebih berserabut daripada bilik yang sedang mereka uruskan.

Bella memeluk tubuh, memandang ke luar tingkap. Pundak kecilnya turun naik menahan gelora dalam dada. Luth masih berdiri di belakangnya, cuba mengawal nada dan emosi yang sudah mula berombak kuat.

“Bella… abang tak nak orang lain,” ujar Luth tegas, hampir berbisik, tapi cukup kuat untuk sampai ke dasar hati Bella.

Bella berpaling, kali ini wajahnya tidak mampu menyembunyikan kekecewaan yang terpendam. “Tapi semua orang datang cari Bella… tanya tentang abang. Semua anggap Bella tahu apa yang abang rasa. Tapi sebenarnya, Bella sendiri pun tak tahu isi hati abang.”

“Abang rasa, abang tak perlu cakap lagi, bukan masa yang sesuai” balas Luth masih cuba pertahankan diri.

Bella senyum sinis. “Dan sebab tu abang diam bila Amira datang? ”

“Abang tak pernah bagi harapan pada dia.”

“Ya, tapi abang tak pernah tolak dia juga, kan?”

Luth terkedu. Dia tak mampu menjawab. Keraguan dan tekanan yang makin lama dipendam kini terluah dalam nada suara Bella yang mula tinggi.

“Kalau abang tak serius dengan dia, tolak dari awal! Jangan buat Bella ni jadi tugu cinta abang dengan perempuan lain lah!”

“Cukup, Bella,” pintas Luth, kali ini suaranya keras sedikit. “Abang tak nak bergaduh dengan Bella.”

“Kalau tak nak gaduh, kenapa buat semua ni?!” Bella menjerit kecil. “Kalau abang betul dah ada yang punya, cakap! Tapi kalau tak, abang pergilah pada Amira tu. Dia sanggup buat apa saja. Dia cantik. Pandai. Abang tak perlu biar dia ganggu Bella lagi.”

Luth menggenggam penumbuk, cuba menahan api dalam dadanya. “Abang tak nak Amira. Abang tak pernah nak sesiapa pun selain Bella!”

Bella terdiam sebentar “Kalau macam tu… kenapa abang tak pernah berterus terang?!” Nada Bella kini menggetar.

Dalam sekelip mata, kesabaran Luth sudah meletup.

Dia melangkah pantas ke hadapan, meraih tangan Bella yang cuba melarikan diri.. dalam ketegangan, kekalutan emosi yang membuak, kekeliruan yang sudah terlalu lama dipendam…

Luth menarik Bella ke dalam pelukannya dan mencium bibir gadis itu.

Bella terpaku. Matanya terbeliak. Tangan menggigil. Tapi Luth tetap diam, masih erat. Nafasnya deras. Tangannya tidak menggenggam kuat, tapi cukup tegas menunjukkan betapa dalam perasaannya yang terpendam.

Beberapa saat berlalu. Tiada kata. Hanya degup jantung yang kencang di antara mereka berdua.

Luth akhirnya melepaskan pelukan perlahan-lahan. Suaranya parau. “Abang minta maaf… abang tak patut buat macam ni. Bella kena tahu… abang tak main-main. Abang tak akan lepaskan Bella pergi macam tu saja.”

Bella kaku, wajahnya masih merah, matanya berkaca. Tapi hatinya… tak mampu menolak kebenaran yang selama ini disangkal.

Dia berpaling, melangkah keluar dari bilik tanpa sepatah kata. Tapi sebelum pintu ditutup, Luth bersuara lagi perlahan, penuh makna.

“Abang sanggup tunggu. Tapi Bella tolong jangan paksa abang pandang orang lain, bila dalam hati abang Cuma nampak Bella.”

Pintu tertutup perlahan.

Suasana malam mula merangkak senyap, namun dalam rumah itu, dua jiwa sedang bergelora hebat bila dikejutkan dengan emosi yang terluah tanpa sempat difikirkan.

Bella duduk di meja belajarnya. Tangan menggenggam erat hujung lengan baju. Nafasnya berat dan dada terasa sempit. Sorotan lampu meja menyinari wajahnya yang masih merah, namun kali ini bukan lagi kerana marah… tapi keliru.

“Kenapa dia buat macam tu?” soalnya dalam hati, suara itu terngiang tanpa henti.

Dia tunduk, menatap buku yang terbuka, namun aksara-aksara di depannya kabur dilitupi air mata yang menakung. Bukan kerana benci. Tapi kerana takut.

‘Adakah itu hanya tindakan terburu-buru? Atau itu benar-benar rasa dari hati?’

Bella pejam mata rapat. Tapi apa pun tak mampu lenyapkan debar dan getar yang belum surut sejak kejadian tadi.

Di bilik sebelah, Luth berdiri di hadapan cermin. Pandangan mata sendiri tak mampu ditatap lama. Dia menghela nafas berkali-kali, namun perasaan bersalah menghimpit dada bagai batu besar. Jari-jemarinya menggigil sedikit, bukan kerana takut dimarahi tetapi kerana takut Bella menjauh lebih jauh selepas ini.

“Aku tak patut buat macam tu…” gumamnya.

Dia capai hoodie nipis di kerusi, melangkah keluar dari bilik.

Perlahan, dia berdiri di hadapan pintu bilik Bella. Tangan terangkat… tapi tidak mengetuk. Dia dengar bunyi hela nafas yang berat dari dalam bilik. Luth pejam mata, menarik nafas dalam, lalu ketuk perlahan.

“Bella…” suaranya rendah, hampir tenggelam dalam senyap malam.

Tiada jawapan.

Dia ketuk lagi, sedikit berani. “Boleh abang masuk?”

Masih tiada sahutan. Tapi pintu tidak dikunci.

Perlahan, Luth memulas tombol dan menjenguk masuk. Bella masih duduk membelakangi pintu, menunduk di meja belajar. Bahunya sedikit terangkat, mungkin sedar kehadiran Luth… tapi dia tak berpaling.

Luth melangkah masuk perlahan. Menutup pintu semula. Suasana terasa berat dan tegang.

“Abang minta maaf.”

Bella tidak menjawab.

“Abang tahu abang salah. Abang tak patut buat begitu… walau abang terlalu marah, terlalu kecewa masa tu… abang tak sepatutnya ambil kesempatan.”

Bella pejam mata. Dia tetap diam.

Luth berjalan menghampiri, tapi berhenti di pertengahan. Jarak itu sengaja dijaga sebagai hormat yang dia mahu kembalikan. Dia tidak mahu keliru itu menjadi luka.

“Abang tak akan ulang. Abang janji.”

Bella akhirnya bersuara, perlahan dan serak, masih membelakangi Luth.

“Kenapa abang buat macam tu kalau abang tahu ia salah?”

Soalan itu menikam dada Luth. Dia telan liur, menahan getar suara.

“Sebab abang terlalu takut kehilangan Bella.”

Bella menggenggam jemarinya di atas meja.

“Abang tak pernah betul-betul cakap. Abang tak pernah letak titik pada semua teka-teki antara kita.”

“Abang Cuma tak berani… sebab abang tahu, bila abang berterus terang… semua akan berubah. Abang takut Bella tak bersedia.”

Bella bangun dari kerusi, perlahan berpaling. Wajahnya sugul, matanya sembab. Tapi dia cuba kuatkan diri.

“Semuanya memang dah berubah. Sekarang… Bella tak tahu apa yang tinggal untuk kita.”

Luth mendekat sedikit, tidak lagi dengan niat tergesa. “Apa pun yang tinggal… abang tetap nak jaga. Kalau Bella tak bersedia, abang akan tunggu. Tapi tolong jangan tolak abang macam Bella paksa abang bersama orang lain. Itu yang paling sakit.”

Bella akhirnya mengangguk perlahan. “Bella perlukan masa…”

Luth tersenyum nipis. Lega. “Ambillah. Tapi abang tetap di sini. Tak ke mana.”

Dia melangkah ke pintu semula.

Sebelum keluar, dia berpaling. “ Satu lagi…”

Bella mendongak.

“Abang minta maaf, sekali lagi. Sebab buat Bella keliru. Tapi perasaan tu… ia bukan silap. Ia Cuma… salah cara.”

Dengan itu, dia keluar, menutup pintu perlahan.

Pagi itu hening dan damai. Cahaya mentari baru mengintai dari celah langsir yang masih separuh terbuka. Di ruang tamu, Bella duduk bersila di atas sofa, bersandar dengan bantal kecil di dada sambil menonton kartun Oggy and the Cockroaches. Gelak ketawa kecilnya sesekali tercetus, bukan kerana cerita yang benar-benar lucu, tapi kerana dia cuba melupakan apa yang berlaku malam semalam. Sekadar mahu rasa ringan sedikit walau hatinya masih berat.

Langkah kaki kedengaran di muka pintu. Bella mengintai sedikit ke arah ruang masuk. Kelihatan Luth muncul dengan tangan kanan membawa kotak kecil berwarna pastel, diikat riben putih sederhana comel.

Wajah Luth sedikit lesu, tapi ada senyuman yang jelas di bibirnya senyuman yang dia kumpul sepanjang perjalanan ke kedai kek kegemaran Bella.

“Hari ni tengok Oggy awal pula,” tegur Luth perlahan, cuba mencari nada santai.

Bella tidak terus menjawab, tapi pandangannya tak lari dari kek kecil di tangan Luth.

Luth duduk di hadapan, meletakkan kotak itu perlahan di atas meja. Dia tolak sedikit ke arah Bella.

“Untuk Bella,” ujarnya pendek.

Bella kerut dahi, perlahan buka riben dan kotak. Mata bulatnya membesar sebaik melihat sebiji kek bento comel, dihias ringkas dengan krim warna pastel purple dan putih. Di atas permukaan kek, tertera kartun Oggy dan tulisan halus:

“I’m sorry, I love you.”

Bella terdiam. Kartun di televisyen seperti lenyap suaranya. Yang tinggal Cuma degup jantungnya sendiri yang makin laju.

“Abang keluar awal pagi… takut kedai habis stok kek cheese mini yang comel ni. Bella selalu suka kek dari kedai ni kan?” Luth bersuara perlahan. Suaranya penuh harap.

Bella tunduk menutup muka dengan tangan. Rasa nak marah, nak ketawa, nak menangis semuanya bercampur. Tapi yang paling kuat, rasa jantungnya bergetar hebat dengan tiga perkataan yang tertulis atas kek.

Luth mengusap tengkuk sendiri, gugup. “Abang tahu abang dah terlalu keliru semalam. Tapi rasa ni… bukan semalam je wujud. Dah lama. Cuma abang… pengecut sangat nak luahkan dengan cara yang betul.”

Bella angkat muka perlahan. Mata mereka bertembung.

“Kenapa kek comel sangat…” gumam Bella, hampir tak kedengaran.

Luth tergelak kecil, lega melihat Bella mula mencair.

“Sebab Bella pun comel.”

Bella terus lempar bantal kecil ke arah Luth, yang dengan mudah menepisnya sambil ketawa.

“Tapi serius…” Bella bersuara lagi, kali ini lebih tenang, “Bella suka.”

“Yang kek, atau… tulisan atas kek tu?”

Bella diam sebentar, kemudian tunduk senyum malu.

“Kedua-duanya.”

Luth tersenyum puas. Tanpa sedar, dia hulur tangan, menyentuh hujung rambut Bella yang terurai sedikit di tepi pipi.

“Terima kasih sebab tak terus tolak abang.”

Bella angkat kening. “Belum tentu terima sepenuhnya pun.”

Luth ketawa lagi. “Tak apa. Abang akan pujuk hari-hari. Dengan kek… dengan Oggy pun abang sanggup.”

“Betul ni?” cabar Bella sambil ketawa kecil.

“Selagi Bella masih duduk depan abang dan tak lempar kek ni kat muka abang itu tanda peluang masih ada.”

Bella tergelak besar akhirnya.

Pagi itu, di sebalik kartun yang melalaikan, sebiji kek kecil, dan tiga perkataan yang ditulis ringkas… satu rasa yang lama terpendam mula dicantum kembali, perlahan-lahan, dengan warna lembut yang bernama harapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience