Bab 16: Langkah Baru, Hala Tuju Baru

Romance Series 2408

PAGI ITU, ruang tamu dihiasi bunyi suara lembut berita pagi dari televisyen. Bella duduk di meja makan, telefon di tangan, wajahnya tegang namun cuba bersahaja. Jari telunjuknya menggigil ketika menekan aplikasi UPU.

“Abah… Mama… Bella dah check,” ucapnya, suara separuh tenggelam.

Datin Marlia cepat-cepat bangun dari sofa. “Macam mana?”

“Bella dapat…” dia telan liur, kemudian senyum nipis.

“Alhamdulillah!” Opah bersuara terlebih dahulu. “Opah tahu, cucu Opah ni bukan biasa-biasa.”

Dato’ Hazim menepuk lembut bahu Bella. “Tahniah, sayang. Itu rezeki dan jalan yang Allah buka.”

Bella senyum. Tapi senyumannya ada sisa gugup, seolah-olah satu beban baru sedang mengetuk pintu hati.

Luth muncul dari arah dapur dengan mug kopi di tangan. “Dapat?” soalnya.

Bella angguk, memandang kembali handphone ditangan. “Dapat.”

“Good,” balas Luth ringkas, cuba sembunyikan perasaan yang bercampur di sebalik wajah tenang. Tapi matanya… sempat menjeling wajah Bella yang masih ragu-ragu.

Opah yang sejak tadi memerhati, menarik nafas perlahan. “Alahh.. Luth jangan risaulah.. Kalau dah jodoh tak ke mana”
Suara Opah terluah lembut namun dalam nadanya, ada ketegasan seorang nenek yang penuh kasih.

Bella tunduk, pipinya sudah memerah.

Luth hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal, menggenggam mug yang makin sejuk di tangan.

“Kami dah bincang,” sambung Dato’ Hazim tenang. “Kami nampak niat kamu berdua baik. Tak pernah lebih-lebih. Tapi hal macam ni, kalau tak diatur betul-betul… boleh jadi luka yang panjang.”

“Opah setuju,” tambah Opah. “Cuma satu je Opah nak pesan. Jangan biar rasa sayang jadi penghalang kamu nak berjaya. Kalau betul cinta tu jujur… biar dia tunggu dengan sabar.”

Bella mengangkat wajah, matanya berkaca.

Luth bersuara perlahan, “Abang takkan halang Bella ke mana pun. Kalau itu impian Bella, abang nak jadi orang pertama yang sokong.”

Opah ketawa kecil. “Hah, mula dah ‘abang-abang’ dia. Luth, jangan pandai cakap je. Tunjuk bukti nanti.”

Semua tertawa, termasuk Bella yang cuba menghapus air mata malu di pipinya.

Datin Marlia menambah, “Kita rancang elok-elok ya, Bella. Lagi pun semester pertama saja kan duduk asrama?”

Bella mengangguk. Jarak university hanya sejam dengan rumahnya.

“Jangan tinggalkan abang kamu ni lama-lama, takut menangis kat sini,” sela Opah sambil jeling manja ke arah Luth yang pura-pura meneguk kopi.

Luth tersengih. “Kalau rindu sangat, abang pergi melawat hari-hari.”

“Melawat ke melamar tu?” usik Dato’ Hazim, buat semua ketawa pecah lagi.

Dalam gelak tawa yang menyatu itu, terselit rasa syukur dan kelegaan. Bahawa walau cinta mereka disulam dalam diam, kini perlahan-lahan ia mula disulami restu dan yang paling penting, diberi ruang untuk bernafas dan berkembang… seperti mereka berdua yang kini sedang melangkah ke dunia baru, dengan satu hati yang belum bersatu… tapi sudah saling mengerti.

Petang itu, mentari sudah mula menguning di ufuk barat. Di halaman rumah, Bella duduk di buaian besi sambil memegang buku panduan universiti. Tapi matanya lebih banyak melayang ke arah angin daripada ke helaian buku.

Langkah kaki yang sudah biasa, perlahan-lahan menghampiri.

“Boleh abang duduk?” soal Luth sambil angkat kening, tunjuk tempat kosong sebelahnya.

Bella angkat bahu. “Bukan tempat Bella pun…”

Luth duduk tanpa dipelawa, menyandarkan tubuh pada buaian. Sunyi seketika, hanya bunyi cengkerik dan daun-daun kering melintas.

“Abang tahu Bella tengah risau,” Luth mula bersuara. “Tapi abang takkan halang. Pergilah, kejar impian tu.”

Bella diam. Tangannya memegang kuat buku panduan tadi.

Luth sambung, nada makin perlahan. “Tapi sebelum Bella pergi… abang nak tanya satu soalan.”

Bella paling muka, dahi berkerut. “Apa?”

“Bella akan rindu abang tak?”

Soalan yang terlalu mudah tapi degupan jantung Bella tiba-tiba laju.

Bella menjeling. “Bella rindu kalau abang tak bising satu hari pun.”

Luth tergelak. “Jadi kalau abang senyap dua hari?”

“Bella anggap abang tengah mogok lapar.”

“Kalau seminggu?”

Bella senyum nipis, masih pura-pura selamba. “Bella buat kenduri kesyukuran.”

Luth ketawa kecil. “Haa, pandai dia buat lawak sekarang.”

Bella diam sejenak, kemudian lirih menyambung, “Bella rindu abang hari-hari. Tapi Bella takut rindu tu buat Bella patah balik.”

Luth senyap. Kemudian, dia pandang Bella lama, dalam.

“Abang tak minta Bella patah balik. Abang Cuma nak Bella tahu, kalau satu hari nanti Bella rasa penat, atau sedih, atau nak lari dari semua benda… abang ada. Kat sini. Tunggu.”

Bella akhirnya angkat muka, pandang mata Luth untuk pertama kali tanpa sembunyi, tanpa ragu.

“Kalau Bella hilang arah?”

“Abang jadi kompas.”

“Kalau Bella hilang semangat?”

“Abang jadi gula-gula.”

Bella ketawa kecil. “Apa kaitan semangat dengan gula-gula?”

“Gula-gula manis. Boleh buat orang senyum semula.”

Bella geleng kepala. “Ayat abang makin merepek.”

“Tapi Bella senyum, kan?”

Bella tunduk, malu. Tapi ya… senyuman itu hadir juga. Di bibir, di hati.

Luth tiba-tiba hulur jari kelingking. “Janji?”

Bella pandang jari itu. Lama. Kemudian dia sambut perlahan, mengaitkan kelingkingnya.

“Janji.”

Seawal pagi, rumah keluarga itu sudah mula terasa sibuk. Di ruang tamu, kotak kasut, bungkusan seterika mini, dan bakul laundry sudah tersusun. Bella duduk bersila sambil melipat baju, manakala Datin Marlia keluar masuk bilik, sibuk menyusun barang ke dalam beg roda besar yang baru dibeli semalam.

“Bella, stokin semua masuk dalam beg kecil, ya. Jangan nanti bila sampai sana tercari-cari.”

“Ya, Mama.” Suara Bella sayup tapi tenang.

Opah pula duduk di kerusi malas sambil menggentel tisu di tangan, konon sibuk mengelap peluh walhal lebih kepada mengelap mata yang sudah mula berair sejak tadi.

“Opah tahu Bella besar dah… tapi Opah rasa macam semalam je Bella duduk depan Opah minta duit beli aiskrim…”

Luth yang baru turun dari tangga dengan segelas susu di tangan bersuara, “Opah, jangan start drama pagi-pagi. Nanti Bella teresak, packing tak siap.”

Bella menjeling. “Kalau esak pun bukan sebab Opah, tapi sebab ada orang suka menyibuk!”

Luth sengih. “Kalau menyibuk tu buat Bella gelak, abang rela.”

Bella tunduk, pura-pura fokus pada baju. Tapi dalam hati, sudah mula terasa sebak.

Di dapur, Dato’ Hazim berbual dengan Datin Marlia.

“Semua dah siap?” soal Dato’ sambil menyisip teh.

“Barang semua ada. Esok pagi kita gerak awal. Luth akan ikut sekali bawa kereta.”

“Bagus. Sekurang-kurangnya Bella tak rasa asing sangat di tempat baru.”

Sementara itu di bilik, Bella meneliti senarai barang buat kali terakhir. Luth masuk perlahan, berdiri di ambang pintu.

“Abang kemas kereta nanti, okay?”

Bella angguk perlahan.

“Bella…”

“Ya?”

Luth berjalan masuk, duduk di tepi katil. “Abang tak tahu nak cakap macam mana. Tapi abang bangga dengan Bella.”

Bella terhenti menulis senarai. Dia pandang Luth dengan senyuman kecil.

“Kalau Bella homesick… boleh call abang?”

Luth gelak perlahan. “Bukan boleh… wajib.”

Bella ketawa. Tapi matanya berkaca.

“Bella akan rindu rumah ni… rindu mama, abah, opah… dan abang.”

Luth bangun perlahan. Tangan diletakkan di kepala Bella, usap lembut.

“Abang pun akan rindu Bella. Tapi abang akan tahan. Sebab abang tahu… Bella sedang kejar impian. Abang doakan langkah Bella… jadi jalan yang paling membahagiakan.”

Bella tak mampu jawab. Hanya senyum. Tapi senyuman itu cukup untuk buat Luth tahu Bella juga sedang menyimpan doa yang sama.

WAKTU Subuh berlalu. Udara pagi masih dingin dan berkabus lembut. Keluarga kecil itu sudah pun bersiap di halaman rumah. Dua buah kereta diparkir, satu dipandu Dato’ Hazim, satu lagi akan dibawa Luth.

Bella berdiri di sisi Datin Marlia, menggenggam beg tangan kecil sambil matanya melilau memerhati rumah yang akan ditinggalkan untuk beberapa waktu. Rumah yang menyimpan terlalu banyak cerita dari zaman dia kecil hinggalah hari ini.

“Siap semua?” tanya Dato’ Hazim, menghidupkan enjin.

“Siap,” jawab Datin Marlia.

Luth menghampiri Bella, mengambil beg besar dari tangan adiknya itu. “Let me,” katanya sepatah sambil angkat satu kening.

“Konon abang long la tu,” balas Bella separuh berbisik, buat Luth sengih panjang.

Opah pula melangkah keluar, walau sudah beria kata tak larat ikut, dia tetap mahu lambaikan tangan di depan pagar.

“Opah doakan selamat jalan, ya Bella,” katanya dengan suara bergetar. “Jaga diri. Jangan degil, jangan suka tahan lapar.”

Bella segera peluk Opah. “Bella janji, Opah.”

Sebelum masuk ke kereta, Luth sempat berdiri di sisi Bella. “Nanti kalau ada roommate annoying, cakap je abang Luth askar pencen. Mereka akan takut.”

Bella ketawa perlahan. “Abang Luth cikgu pun bukan. Tapi gaya lebih.”

Mereka berbalas pandang beberapa saat. Panas pagi belum terasa, tapi dada masing-masing terasa ketat. Ada rasa yang belum dilepaskan.

Di sepanjang perjalanan, kereta Luth dan bapanya berselang-seli di jalan raya. Luth yang memandu sendirian sempat pasang lagu kegemaran Bella lagu kartun. Tanpa sedar, dia senyum sorang.

“Bella… jaga diri. Bila rindu, jangan lupa… ada abang yang akan tunggu.”

Di universiti, suasana sibuk. Mahasiswa baharu turun naik dengan beg dan borang pendaftaran. Dato’ Hazim dan Datin Marlia membantu urusan masuk bilik.

Bella berdiri di depan pintu asrama. Dia pandang Luth, yang sengaja berdiri jauh sedikit dari keluarganya seakan tahu Bella perlukan ruang.

Tapi bila semua selesai dan waktu perpisahan tiba, Bella melangkah perlahan ke arah Luth. Tanpa kata, dia hulur tangan kecilnya untuk bersalaman.

Luth genggam tangan itu erat.

“Bella… all the best.”

Bella angguk. “Abang pun… jaga mama, abah, opah.”

Luth tarik nafas. Tangan masih menggenggam. “Call abang bila rasa nak nangis.”

Bella senyum, dia memberi pelukkan erat pada Luth. Sekilas. Tapi cukup untuk hantar isyarat dia rindu sebelum sempat pergi.

Luth hanya berdiri, menahan diri dari menatap terlalu lama.

“Jumpa nanti, sayang,” bisiknya. Bella tersenyum tanpa membantah.

“Take care ya? Satu semester kejap je tu” ucap Datin Marlia sambil peluk Bella.

“Nanti kita bincang, nak berulang atau cari rumah sewa masuk semester kedua” sambung Dato’ Hazim.

Bella mengangguk setuju. Mereka sempat berborak dan mengambil gambar untuk dijadikan kenangan sempena pertama kali Bella berada jauh sejak gadis itu melangkah masuk dalam hidup mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience