HARI itu langit cerah, secerah senyuman di wajah Bella. Sekolah dipenuhi pelajar yang keluar masuk dengan ekspresi berbeza ada yang gembira, ada yang menangis, dan ada yang terdiam lama menatap slip keputusan.
Bella genggam slipnya erat-erat. Hatinya berdebar ketika kaki melangkah masuk ke rumah.
Datin Marlia keluar tergesa. “Macam mana?”
Bella tunduk. Dengan tangan sedikit menggigil, dia hulurkan slip keputusan itu.
Satu saat yang sepi.
Kemudian…
“All A’s?! Ya Allah, Bella! Alhamdulillah!” Datin Marlia peluk Bella erat.
Dato’ Hazim datang dengan wajah penuh bangga. “Anak abah ni memang hebat!”
Luth senyum, sedikit jauh di belakang. Pandangannya tak lepas dari wajah Bella yang kelihatan bercahaya bukan hanya kerana keputusan, tapi kerana semangat yang tak pernah padam sepanjang dia berusaha.
Malam itu, selepas rumah mula sunyi dan semua sudah lena, Bella duduk di kerusi kayu di ruang rehat luar rumah. Angin malam mengusap lembut wajahnya. Tangannya mengusap lengan, sedikit menggigil bukan kerana sejuk, tapi kerana ada satu rasa yang dia tak tahu nak tafsirkan.
Luth muncul perlahan. Di tangannya ada kotak baldu kecil berwarna maroon.
“Abang nak cakap tahniah,” ucapnya perlahan sambil duduk di sebelah Bella. “Bella memang luar biasa.”
Bella tersenyum malu. “Terima kasih, abang pun banyak bantu Bella”
Luth buka kotak kecil dan keluarkan seutas gelang emas klasik, halus buatannya, tapi penuh makna. Tanpa banyak bicara, dia capai tangan Bella.
“Abang hadiahkan ni… untuk Bella.”
Bella terpaku. Matanya membulat.
“Eh, untuk apa ni?” soal Bella terkejut, matanya terus memandang tangan Luth.
Luth sekadar senyum. Perlahan-lahan, dia sarungkan gelang itu ke pergelangan tangan Bella, mengikatnya seperti mana hatinya sudah lama terikat dengan gadis itu.
Bella pandang gelang itu dengan mata berkaca.
“Kenapa abang bagi Bella benda semahal ni?”
“ Bella layak terima benda yang paling berharga dari abang,” balas Luth, masih tidak menyebut langsung makna disebalik gelang itu..
Bella menggenggam gelang itu erat. Dia tak tahu nak balas bagaimana. Dalam fikirannya, hadiah ini datang terus daripada hati Luth tiada siapa tahu, tiada siapa campur. Hanya antara mereka berdua.
Awalnya Luth ingin serah pada hari ulang tahun kelahiran Bella tapi hatinya meronta untuk melihat gelang itu bersama Bella sebelum terlambat.
Beberapa hari kemudian, kenduri kesyukuran kecil diadakan di rumah keluarga mereka. Dato’ Hazim mahu meraikan kejayaan Bella walau sederhana. Keluarga terdekat dan jiran terdekat dijemput.
Opah datang bertandang. Duduk di sudut rumah, tenang memerhati setiap gerak cucunya.
Tatkala pandangannya terhenti pada gelang emas yang melingkar manis di pergelangan tangan Bella, senyuman kecil terukir di wajah tuanya.
Dia tidak berkata sepatah pun. Tidak tanya, tidak menegur.
Namun dalam diam, hatinya berkata “Pandai cucu opah simpan rahsia. Tapi opah tahu… gelang tu dah sampai pada tuannya.”
Bella pula hanya menatap gelang itu dengan hati yang penuh debar. Dia menyangka itu sepenuhnya pemberian Luth. Dalam diam, satu perasaan halus mula tumbuh mekar tanpa dipaksa.
Petang kenduri semakin reda. Para tetamu sudah mula beransur pulang, dan suasana rumah kembali tenang. Opah duduk di anjung, menghirup teh panas yang dibancuh oleh Datin Marlia. Angin petang meniup lembut, menggerakkan langsir tipis yang menggantung di tepi pintu.
Luth keluar ke anjung, membawa pinggan berisi kuih baki kenduri.
“Opah dah kenyang ke?” tegur Luth sambil duduk di sebelah.
“Opah ni mana pernah tolak kalau cucu opah hulur kuih,” jawab Opah sambil tersenyum senget, menjeling manja.
Luth tergelak kecil. “Ambil la, opah. Ni yang paling sedap.”
Mereka berbual kosong seketika, tentang lauk pauk kenduri, tentang jiran lama yang datang, tentang pokok bunga yang makin menjadi di laman rumah. Tapi seperti biasa, Opah tak pernah berbual kosong sahaja. Dia bijak menyelitkan usikan yang sarat makna, tanpa membuatkan sesiapa rasa tertekan.
“Bella makin besar, kan?” ujar Opah tiba-tiba, matanya memandang ke arah dalam rumah di mana kelihatan Bella sedang membantu mama mengemas dapur.
Luth angguk. “Cepat betul masa berlalu.”
“Dulu kecik je, ikut ke mana Luth pergi. Nangis tak berhenti kalau tak nampak Luth.”
Luth senyum nipis. “Sekarang pun… dia tetap Bella yang sama.”
Opah menyandar perlahan. “Opah tengok cara Bella pandang Luth tadi… lembut sangat.”
“Opah nampak elok je gelang duduk kat tangan Bella. Macam memang dah tuan dia dari awal.” Sambung Opah.
Luth menoleh. Wajah Opah tenang, tapi kata-katanya seperti anak panah yang menepati sasarannya.
“Opah…” Luth ketawa kecil cuba menutup gelisah, tidak sangka mata Opahnya begitu tajam.
Opah ketawa juga, tapi matanya tak beralih dari wajah cucunya itu. “Opah tak suruh apa-apa. Cuma… kalau satu hari nanti hati Luth tetap memilih Bella, dan Bella pun pilih Luth… opah restu.”
Luth terdiam. Bahunya perlahan-lahan turun naik, menghela nafas panjang. “Luth tak bagitahu pun itu gelang opah.”
“Tak perlu. Kalau hati yang beri, bukan siapa punya asalnya yang penting tapi siapa yang menerimanya dengan ikhlas.”
Luth angguk perlahan. Ada sejenis lega dan sebak yang bercampur dalam dada. Dia rasa seperti mendapat isyarat yang dia sendiri takut nak harap selama ini.
Opah menepuk tangan Luth perlahan.
“Hati tu Tuhan yang pegang, Luth. Tapi bila Tuhan dah tunjuk petunjuk… jangan butakan mata.”
Mereka diam seketika.
“Terima kasih, opah.”
“Jangan terima kasih kat opah lagi,” balas opah sambil bangun perlahan. “Tunggu sampai Luth benar-benar tahu siapa yang pegang hati Luth. Waktu tu… baru ucap.”
Dengan senyuman yang penuh makna, opah melangkah masuk ke dalam, meninggalkan Luth dengan fikirannya sendiri tentang hati, tentang Bella, dan tentang masa depan yang kini terasa semakin dekat, semakin jelas.
MALAM semakin larut. Rumah kembali sunyi selepas kenduri kesyukuran tamat dengan meriah. Dato’ Hazim dan Datin Marlia duduk di ruang tamu, masing-masing menikmati teh panas sambil merehatkan badan. Suasana rumah yang sebelum ini dipenuhi suara tetamu kini hanya tinggal bunyi kipas siling yang berputar perlahan.
Dari bilik tetamu, Opah muncul dengan langkah perlahan. Dia melabuhkan punggung di kerusi panjang di hadapan mereka berdua.
“Hazim… Lia…” sapa Opah dengan nada tenang.
“Mak belum tidur?” tegur Datin Marlia lembut.
“Belum lagi, mata masih segar. Tadi baring je, tapi badan rasa lenguh sikit. Duduk sini kejap.”
Dato’ Hazim letakkan cawan ke meja kecil. “Kenduri tadi meriah, Mak. Kalau tahu ramai datang, patut kita tambah khemah luar satu lagi.”
Mak tersenyum kecil. “Tak apa lah. Yang penting niat kita sampai. Mak senang hati tengok ramai yang datang doakan Bella. Mak nampak sendiri, Bella makin dewasa, makin bijak bawa diri.”
Datin Marlia angguk setuju. “Kami pun rasa begitu. Bella makin matang. Pandai jaga diri”
Mak diam seketika, sebelum mengangkat wajah dan pandang mereka berdua dengan renungan yang lebih dalam.
“Mak nak cakap sesuatu… tapi jangan terkejut,” katanya perlahan.
Dato’ Hazim dan Datin Marlia saling berpandangan. “Apa dia, Mak?” soal Hazim, penuh tanda tanya.
Mak menarik nafas perlahan, nadanya lebih lembut. “Pasal Luth dan Bella.”
Kedua-duanya kembali beri perhatian.
“Mak tahu… dari kecil mereka dibesarkan macam abang dan adik. Tapi Mak perhati… cara Luth tengok Bella. Cara Bella hormat dan ambil berat tentang Luth. Bukan biasa-biasa, bukan sekadar adik-beradik.”
Datin Marlia sedikit tersentak, tapi tidak menafikan. “Kami pun pernah terdetik, Mak… Tapi takut nak salah tafsir.”
Mak tersenyum nipis. “Mak tak salahkan. Tapi Mak ni dah tua, banyak tengok orang. Pandangan itu…”
Dato’ Hazim bersuara, perlahan. “Mak… jujur, kami pernah bincang hal ni. Tapi masyarakat kadang tak faham. Walaupun bukan adik kandung, tetap akan ada suara-suara belakang.”
Opah angguk, memahami. “Mak tahu, masyarakat selalu letak tanda tanya. Tapi Mak tak pandang macam tu. Bella tu anak yang baik, Luth pun. Dua-dua Mak sayang, dan Mak percaya… kalau mereka ditakdirkan bersama, Mak reda. Mak restu.”
Datin Marlia tunduk sedikit, suaranya bergetar. “Kalau betul jodoh mereka… saya pun reda, Mak.”
Opah menguntum senyum puas. “Mak tak minta lebih. Cuma nak tengok cucu-cucu Mak bahagia. Bahagia yang mereka pilih, bukan yang orang lain tentukan.”
Suasana kembali sunyi seketika. Tapi dalam diam itu, ada doa yang mengalir tanpa suara, ada harapan yang dipasrahkan kepada Tuhan, dan ada restu yang cukup jelas disampaikan… dalam diam dan dalam redha seorang ibu.
AWAN mendung berarak perlahan di langit, memberikan suasana teduh yang menyenangkan. Suasana kawasan perumahan elit perlahan-lahan ditinggalkan di belakang saat Luth memandu perlahan keluar dari simpang rumah menuju ke bandar berhampiran.
Di tempat duduk belakang, Opah duduk dengan tenang sambil memerhati kiri dan kanan jalan. Sesekali senyum sendirian melihat kehijauan pokok-pokok yang ditanam rapi.Di sebelah pemandu, Bella sesekali menjeling ke arah Luth yang kelihatan santai memandu.
“Hari ni Opah rasa muda balik. Dah lama tak keluar petang-petang macam ni,” ujar Opah tiba-tiba, membuatkan Bella tergelak kecil.
“Kan Bella dah cakap… keluar dengan kami memang awet muda,” usik Bella sambil menoleh ke belakang.
Luth menyampuk, “Betul tu, Opah. Tapi jangan sampai Opah rasa muda sangat sampai nak shopping macam budak-budak TikTok pulak.”
“Eh, kalau Opah nak TikTok pun boleh. Luth ajar lah nanti!” balas Opah selamba. Ketiga-tiga mereka ketawa bersama. Suasana dalam kereta dipenuhi tawa dan gurauan yang hangat.
Tak lama kemudian, mereka tiba di sebuah restoran nasi ayam terkenal di kota raya itu. Tempat itu sederhana tapi sentiasa penuh dengan pelanggan tetap. Luth sempat menempah meja lebih awal, jadi mereka tidak perlu menunggu lama.
Makanan dihidang tak lama kemudian nasi ayam panggang kegemaran Opah, lengkap dengan sup panas, sambal cili, dan acar timun.
“Opah makan banyak-banyak hari ni. Kami belanja,” kata Bella sambil menyenduk nasi ke pinggan Opah.
“Macam ni baru rasa cucu sayang Opah,” usik Opah sambil mencubit manja lengan Bella.
Luth menjongket kening. “Habis tu, selama ni Opah rasa kami tak sayang?”
“Sayang… tapi hari ni lain macam sikit. Macam ada aura nak masuk meminang…” Opah buat muka nakal, mata melirik pada Luth dan Bella silih berganti.
Bella tersedak kecil, cepat-cepat capai air. Luth pula Cuma senyum malu, menunduk sedikit sambil mengacau sup ayamnya.
“Opah ni… pandai gurau Sekarang ,” rungut Bella, mukanya sudah merah padam.
“Jodohkan rahsia Tuhan, mana nak tahu kot-kot jodoh ada depan mata saja” balas Opah sambil tersenyum penuh makna.
Luth sudah berpeluh dingin risau Opah pecah rahsia tentang gelang ditangan Bella. Bella hanya tersengih seraya menggeleng kepala.
Selesai makan, mereka singgah sekejap di taman berhampiran restoran. Hanya duduk-duduk santai di bangku batu, memerhati kanak-kanak bermain dan angin petang yang berhembus perlahan.
Dalam gurauan dan tawa, ada kehangatan yang tak perlu dijelaskan. Walaupun hubungan antara mereka belum pernah diungkap secara terbuka, tetapi kasih yang terbit perlahan-lahan itu makin jelas dalam senyap dan dalam keikhlasan.
Dalam senyuman Opah, ada doa yang tak putus untuk mereka cucu-cucu yang disayang, agar sentiasa dilindungi dan diberikan bahagia, walau apapun jalan yang bakal dipilih nanti.
Share this novel