BAB 7: ULANGKAJI UNTUK ADIK KESAYANGAN

Romance Series 2408

PAGI itu, matahari memancar hangat di jendela. Bella duduk termenung di tepi meja belajarnya, memandang keluar jendela. Hatinya masih belum benar-benar tenang, tetapi kata-kata Luth semalam berulang-ulang dalam kepalanya.

“Satu hari nanti, Bella akan tahu… kenapa abang tak pernah mampu biarkan Bella pergi.”

Dia tidak tahu kenapa ayat itu menggoncang hatinya. Namun, ia hadir dengan ketulusan yang sukar dinafikan.

Ketukan lembut di pintu membuatkan Bella berpaling. Suara Luth menyusul dari luar.

“Bella… abang bawa sarapan. Dengan satu set latihan Matematik Tambahan. Nak belajar sama-sama?”

Bella tarik nafas. Tak sangka Luth masih gigih.

“Letak je dekat luar,” jawabnya perlahan.

Tapi pintu terbuka perlahan. Luth masuk dengan tangan memegang dulang nasi lemak, air coklat panas, dan fail nota. Senyuman cuba diukir di wajahnya walaupun dia nampak canggung.

“Kalau Bella makan sekali, baru otak boleh jalan. Takkan nak jawab soalan log tanpa tenaga?”

Bella menjeling kecil. “Tak kelakar pun.”

“Tapi berjaya buat Bella respon. Itu kemajuan,” balas Luth sambil duduk di kerusi sebelahnya.

Dia meletakkan makanan di meja, membuka helaian latihan dan mula menerangkan. Suaranya tenang, sabar seperti dulu. Bella dengar, walau mulutnya masih mendiamkan diri. Namun dia tidak lagi menjauh.

Beberapa Hari Kemudian

Sesi ulangkaji menjadi rutin. Setiap malam selepas makan, Luth akan masuk ke bilik Bella, kadang-kadang dengan kek coklat mini buatan mama, kadang-kadang dengan air milo panas.

“Ni sebagai ganjaran kalau Bella berjaya siapkan lima soalan fizik malam ni,” katanya suatu malam, meletakkan kek di atas meja.

“Kalau tak berjaya?”

“Abang makan kek tu,” jawab Luth bersahaja, buat Bella senyum tanpa sedar.

Hubungan mereka perlahan-lahan pulih. Walaupun Bella belum sepenuhnya terbuka, tapi dia tahu Luth tidak pernah benar-benar pergi. Dan yang lebih penting, Luth berusaha bersungguh-sungguh untuk tinggal.

Namun ada kalanya Bella masih terdiam lama selepas Luth pulang ke biliknya. Ada satu ruang dalam hatinya yang tidak tahu bagaimana mahu ditafsir antara rasa rindu, keliru dan harap yang dia sendiri belum berani akui.

Menjelang Peperiksaan

Luth menunggu Bella selesai ulangkaji. Tangannya menggenggam sesuatu yang kecil gelang emas yang pernah opah berikan padanya sebelum pulang tempoh hari.

“Simpan baik-baik. Dan satu hari nanti, beri pada orang yang berjaya miliki hati kamu,” pesan opah.

Dia pandang gelang itu lama. Hatinya belum bersedia. Tapi dia tahu… hatinya sudah lama dimiliki.

Keesokannya

“Abang…” Bella memanggil, buat pertama kali selepas sekian lama perang dingin.

“Ya?” Luth berpaling, berdebar.

“Terima kasih sebab tolong Bella… walaupun Bella buat perangai.”

Luth ketawa kecil. “Abang dah biasa.”

“Kalau Bella berjaya dalam SPM ni, itu sebab abang.”

Luth geleng perlahan. “Itu sebab Bella rajin. Abang Cuma bantu sikit je.”

Bella senyum. Senyuman itu… buat jantung Luth berdegup kencang semula seperti dulu.

MALAM itu hujan turun renyai. Suasana bilik Bella sunyi kecuali bunyi pensel di atas kertas. Dia sedang menyalin rumus fizik sambil sesekali menguap. Luth yang duduk di hadapan, menyusun flashcard berwarna mengikut topik.

“Okay, last one,” kata Luth. “Cuba jawab, apa hukum Newton kedua?”

Bella pejam mata sejenak. “F = ma,” jawabnya perlahan. “Daya sama dengan jisim darab pecutan.”

“Good girl,” puji Luth sambil senyum. “Kita rehat lima minit.”

Dia bangun, membuka tingkap sedikit untuk beri angin malam masuk. Bella menjeling ke arahnya tanpa sedar. Ada perasaan aneh bukan lagi marah, bukan juga sekadar rindu. Tapi perasaan yang lebih rumit.

“Abang,” Bella tiba-tiba bersuara. “Abang tak rasa… pelik ke?”

Luth pandang ke arahnya. “Pelik apa?”

“Kita. Duduk belajar sama-sama macam ni. Lepas semua yang jadi.”

Luth tarik kerusi semula, duduk. “Pelik… Cuma kalau kita biar benda tu akan jadi penghalang.”

“Bella tak faham.”

“Abang pun tak harap Bella faham semua sekarang.” Luth tenang. “Cuma… abang harap Bella tahu satu benda. Walau apa pun berlaku, abang tetap abang Bella. Abang akan jaga Bella sampai bila-bila.”

Kata-kata itu buat Bella terkedu. Hatinya seperti dicuit dengan sesuatu yang lembut satu bentuk kasih sayang yang tidak mampu dia tolak, walau keliru.

Beberapa Hari Sebelum SPM

Luth mula bangun awal pagi untuk semak jadual ulangkaji Bella. Dia sediakan air vitamin C dalam botol kecil, letak di meja belajar.

“Untuk tenaga,” katanya ringkas sebelum keluar ke universiti.

Datin Marlia perasan perubahan baik kedua anaknya. Suatu malam ketika Datin menonton TV bersama suaminya, dia bersuara.

“Bang… sebagai lelaki, apa yang abang nampak pada pandangan mata Luth bila tengok Bella?”

Dato’ Hazim ketawa kecil. “Kenapa awak tanya macam tu?”

“Sebab saya nampak..”

Dato Hazim hanya senyum. “Kita doakan yang baik-baik sajalah. Mereka dah besar. Dah tahu beza rasa sayang dan rasa tanggungjawab.”

Suatu Petang

Bella keluar dari biliknya, penat dengan ulangkaji. Dia duduk di sofa, dan mendapati ada bungkusan kecil berbalut kertas kuning pastel di atas meja. Di atasnya ada sekeping nota:

“Untuk semangat. Jangan buka sampai malam sebelum paper pertama.” Abang Luth

Bella pegang bungkusan itu, terasa dadanya hangat. Hatinya masih belum mampu seberani dulu untuk bersikap terbuka, tetapi setiap perlakuan Luth bagaikan membalut luka dalam hatinya sedikit demi sedikit.

Malam Sebelum Peperiksaan SPM Bermula

Bella buka bungkusan kecil itu seperti yang diarahkan.

Isinya adalah penanda buku kayu yang diukir cantik. Ada ukiran nama “Bella” dan di belakangnya tertulis:

“Untuk adik kesayangan abang, yang selalu kuat walau tak pernah tunjuk. Abang percaya, Bella boleh.”

Air mata Bella menitis perlahan. Dia genggam penanda buku itu erat.

“Abang Luth… kenapa selalu buat Bella rasa macam ni…”

PEPERIKSAAN tinggal sehari. Rumah sudah mula senyap sejak awal malam. Dato’ Hazim dan Datin Marlia masing-masing memberi ruang kepada Bella untuk fokus. Luth pula masih di bilik Bella, membantu menyemak soalan-soalan percubaan.

“Okay, last quiz sebelum kita stop,” kata Luth dengan suara perlahan. Dia hulurkan sekeping kertas. “Bahagian subjektif Bahasa melayu. Pilih satu soalan, cuba jawab macam exam sebenar.”

Bella mengangguk perlahan. Wajahnya nampak letih, tapi matanya tetap fokus.

Sepuluh minit berlalu dalam senyap. Luth hanya duduk memerhati, memegang jam tangan dan sesekali melihat Bella wajah yang dia kenal sejak kecil, tapi kini berubah menjadi seorang gadis remaja yang kuat dan tabah.

“Dah siap,” ujar Bella sambil serahkan kertas jawapan.

Luth semak satu per satu. Senyum perlahan terukir di bibirnya. “Bagus. Ayat padat, fakta kukuh. Kalau Bella jawab macam ni esok, mesti boleh skor.”

Bella tunduk, tapi ada senyuman kecil bermain di bibirnya. “Terima kasih sebab tolong Bella, abang.”

Luth hanya mengangguk. Tapi hatinya bergolak.

Dia mahu cakap lebih. Dia mahu Bella tahu betapa pentingnya dia. Tapi dia tak mahu ganggu fokus Bella. Tak mahu kalutkan kepala gadis itu dengan perasaan yang dia sendiri belum pasti diterima.

Bella bangun, mengemas buku-buku. “Bella tidur dulu ya.”

Luth berdiri. Tapi sebelum Bella melangkah ke katil, Luth bersuara, perlahan.

“Bella…”

Bella menoleh.

“Abang bangga dengan Bella.”

Diam seketika. Kemudian, Bella senyum sedikit. “Bella pun… bangga ada abang macam abang.”

Malam itu, Luth kembali ke bilik dengan hati yang berat. Dia tahu dia sudah makin sukar menyembunyikan rasa. Tapi dia juga tahu belum tiba masanya.

Keesokan Pagi

Pagi yang cerah.

Bella bersiap dengan baju sekolah lengkap, beg di tangan. Dia turun ke dapur dengan langkah perlahan. Luth sudah menunggu sambil memegang termos air panas dan sebiji roti bakar yang disapu mentega.

“Untuk Bella,” katanya dengan senyuman.

Bella ambil tanpa banyak bicara. Tapi kali ini, dia sempat menatap wajah abangnya itu. Ada sesuatu dalam renungan Luth yang buat jantungnya berdebar seperti doa yang tak dilafaz, tapi sampai ke jiwa.

“Abang hantar Bella?” soalnya.

“Of course,” balas Luth.

Dan pagi itu, kereta Luth bergerak perlahan meninggalkan kawasan rumah, membawa dua hati yang saling berdegup satu kerana tanggungjawab, satu kerana harapan yang belum berani disebutkan.

SPM bakal bermula, tetapi peperiksaan sebenar di antara mereka baru sahaja bermula ujian tentang perasaan, tentang batas, dan tentang keberanian untuk jujur pada waktu yang belum tentu tepat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience