Bab 6: Bella Nak SPM!

Romance Series 2408

SEJAK kebelakangan ini, Bella sedar sesuatu berubah. Luth bukan lagi Luth yang sama tiada lagi pertanyaan “dah makan?” selepas dia pulang dari sekolah, tiada lagi suara memanggilnya ke dapur untuk minum petang bersama, apatah lagi senyuman kecil yang selalu menyambutnya setiap kali dia lalu di depan bilik lelaki itu.

“Abang sibuk assignment, Bella. Sorry kalau abang tak sempat layan sangat,” itu alasan yang diberikan Luth minggu lepas ketika Bella cuba duduk di sisi untuk berkongsi kisah hariannya. Suara lelaki itu tidak garang, tapi cukup jauh seperti ada dinding yang dibina tanpa dia sedar.

Bella angguk, cuba faham.

Tapi hati seorang gadis berusia tujuh belas tahun itu sukar menipu rasa. Dalam diam, Bella perasan… Luth semakin jauh bukan kerana dia benar-benar sibuk, tetapi seolah-olah dia sedang cuba mengelak.

Dan rasa itu makin kuat apabila hari itu, selepas tamat kelas tambahan di luar sekolah, Bella berjalan kaki pulang kerana pemandunya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dia menapak di tepi deretan kedai kecil berhampiran kawasan komersial.

Langkahnya terhenti apabila matanya menangkap satu figura yang dia sangat kenal Luth. Duduk di meja sebuah kafe, bersebelahan seorang wanita.

Wanita itu anggun. Wajah manis dengan kaca mata bulat, sedang ketawa kecil dengan Luth yang… kelihatan tenang. Selesa.

Bella tidak berdiri lama. Dia segera menunduk, melintas di belakang deretan kereta, dan berjalan pantas menuju jalan belakang.

Dadanya berombak. Tangannya menggenggam buku rujukan hingga hampir terkoyak plastik pembalut.

Dia tidak tahu kenapa, tapi rasa itu pedih. Seperti ada kaca halus menoreh dalam diam.

PETANG itu, Bella tidak turun makan malam. Dia kunci diri dalam bilik, hanya menjawab sapaan Datin Marlia dengan suara lemah dari balik pintu. Bila ditanya kenapa, dia hanya kata, “Penat… kepala pening sikit.”

Datin Marlia sudah mula rasa tak sedap hati. Dato’ Hazim pula perasan Bella tak banyak bercakap sejak dua hari lepas. Pagi-pagi dia keluar awal ke sekolah, pulang petang pun terus masuk bilik. Tak seperti biasa.

Luth yang duduk di ruang tamu semasa itu hanya tunduk. Suaranya tidak kedengaran walau sedikit. Hatinya pun mula rasa bersalah. Tapi dia yakinkan diri semua ini untuk kebaikan Bella.

Dia harus undur, beri ruang. Bella bakal hadapi peperiksaan besar SPM hanya beberapa bulan lagi. Kalau dia terlalu rapat, takut emosinya mengganggu fokus gadis itu.

Tapi Luth lupa satu perkara.

Dia bukan sekadar abang angkat bagi Bella.

Dia adalah rumah.

Dan apabila rumah itu tiba-tiba menghilang, dunia Bella jadi sunyi. Terlalu sunyi.

MALAM keempat, Bella demam. Panas badannya tinggi, wajahnya pucat. Bila Datin Marlia masuk ke bilik dan menyentuh dahi anak gadis itu, dia hampir menjerit memanggil suaminya.

Luth yang terdengar kecoh dari tingkat bawah segera naik tergesa-gesa.

“Bella kenapa, mama?”

“Demam. Panas sangat ni. Dah berapa hari tak makan betul-betul?” suara Datin Marlia hampir panik.

Tanpa banyak soal, Luth angkat tubuh kurus Bella yang menggigil ke dalam pelukannya. Bella separuh sedar, tapi masih sempat menolak Luth darinya dan segera memeluk Datin Marlia.

Luth terkaku. Seperti ditikam dari dalam.

Sampai di klinik, doktor berikan ubat dan minta Bella berehat sepenuhnya. Tekanan emosi dan kurang makan buatkan sistem tubuh Bella jatuh. Dalam perjalanan pulang, Luth hanya diam memerhati Bella disisi.

Di rumah, bila Bella diletakkan kembali di atas katilnya, Luth duduk lama di sisi. Menunggu. Menatap wajah yang selama ini dia lindungi.

“Mama keluar dulu ya?” ucap Datin Marlia seraya bangun meninggalkan kedua anak-anaknya.

“Bella marah abang?” soal Luth teragak-agak. Dia bersandar di sisi katil. Matanya tidak lepas dari memandang wajah pucat Bella yang terus pejamkan mata.

Malam itu, untuk pertama kali, Luth berdoa bersunguh-sungguh didalam hati.

“Biar Allah tunjukkan jalan… kalau cinta ni dosa, ambil dari hati aku. Tapi kalau cinta ni memang takdirku, aku hanya mahu jaga dia sampai sihat. Sampai dia senyum balik.”

Keesokan Paginya

Aroma roti bakar dan kopi panas memenuhi ruang dapur pagi itu. Sarapan pagi sentiasa menjadi waktu istimewa bagi keluarga Dato’ Hazim tempat berkumpul sebelum memulakan hari masing-masing. Tapi pagi ini terasa... pincang.

Hanya ada tiga kerusi yang berisi. Satu lagi, yang biasa diduduki Bella, kosong.

Datin Marlia menyenduk sup ayam ke dalam mangkuk dan mengeluh perlahan. "Bella tak turun lagi?"

Luth yang baru duduk, hanya menggeleng. Dia kelihatan penat mata sedikit bengkak kerana tak tidur malam tadi. Tapi dia cuba sorok semua itu dengan wajah neutral.

“Mama risau... Bella masih demam?” soal Datin Marlia sambil meletakkan semangkuk nasi lembik ke hadapan Luth.

Luth menunduk sedikit, tangan menggenggam sudu.

“Panasnya dah turun sikit. Tapi dia masih lemah. Kurang selera makan,” jawabnya perlahan.

Datin Marlia duduk, meletakkan cawan kopi di hadapan suaminya. “Bella bukan jenis cepat jatuh sakit, Luth. Tapi mama tengok minggu ni dia macam lain. Tak ceria langsung.”

“Ya, abang pun perasan,” Dato’ Hazim menyampuk. Suaranya tenang, tapi jelas serius. “Dia bukan macam biasa.”

Luth angkat kepala. Bertentang mata dengan abahnya yang kini menatapnya tajam tapi penuh makna.

“Luth, ada apa-apa jadi ke? Abah tahu kamu rapat dengan Bella. Dia tak cerita apa-apa?”

Luth terdiam. Nafasnya turun naik. Dia tak tahu nak mula dari mana. Nak cerita tentang alasan dia menjauh? Tentang rasa yang dia sendiri cuba matikan?

Atau... tentang betapa dia sendiri mula keliru dengan sempadan rasa yang selama ini dia pertahankan?

Datin Marlia memecah sunyi. “Mama takut dia simpan benda dalam hati. Bella tu jenis diam, tapi makan dalam. Kalau tak makan, tak tidur, mana nak ada tenaga untuk ulang kaji?”

Dato’ Hazim bersandar sedikit, mengeluh. “Luth, abah nak minta tolong kamu sikit.”

Luth angkat kepala.

“Tolong jaga Bella. Bantu dia siapkan diri untuk SPM. Kamu kan pandai Matematik, Sains semua subjek tu kamu skor dulu. Bella mungkin tak minta, tapi dia perlukan sokongan. Kamu lebih faham dia dari kami.”

Luth menelan air liur.

“Luth takut ganggu Bella, abah. Dia tengah stress…”

Dato’ Hazim angkat tangan, menghentikan kata-kata Luth.

“Tak, Luth. Kamu takkan ganggu. Kamu akan bantu.”

Diam seketika menyelubungi ruang makan.

Luth akhirnya angguk perlahan. “Baik, abah.”

Datin Marlia tersenyum tipis, lega. “Terima kasih, Luth. Mama tahu kamu boleh bantu Bella. Tapi mama harap kamu juga dapat bantu tenangkan dia... bukan sekadar bantu belajar.”

Luth mengangguk lagi, kali ini dengan senyum kecil yang pahit.

Dalam hati, dia tahu membantu Bella bermakna mendekat semula. Bermakna membuka semula ruang rasa yang dia cuba tutup. Tapi mungkin... mungkin dengan itu dia juga boleh perbetulkan salah faham.

Dan mungkin, jika Allah izinkan, dia akan faham... adakah rasa ini ujian atau petunjuk.

Beberapa Hari Kemudian

Sejak perbualan pagi itu bersama mama dan abah, Luth mula mengambil peranan lebih aktif menjaga Bella. Dia tahu bukan mudah untuk mendekat semula selepas menjauhkan diri, lebih-lebih lagi bila Bella sendiri kelihatan masih terluka. Tapi dia tak sanggup biarkan Bella terus larut dalam emosi sendiri lebih-lebih lagi saat penting seperti ini, di ambang SPM.

Dia mula dengan perlahan menghantar ubat ke bilik, mengetuk pintu dengan sabar untuk ajak makan, pada malam ketiga, dia muncul dengan fail nota Matematik dan beberapa lembar latihan.

“Bella… abang tahu Bella nak fokus SPM,” ujarnya lembut dari luar pintu, “abang Cuma nak bantu.”

Sunyi.

Tiada balasan.

Tapi pintu tidak berkunci. Bila dia tolak perlahan, Bella masih duduk di meja belajar, rambutnya dibiar lepas hingga menutupi wajah. Matanya kelihatan kuyu belum pulih sepenuhnya.

Luth letak fail di meja.

“Abang takkan lama. Cuma nak tunjuk cara buat soalan kuadratik ni. Susah sikit. Tapi kalau faham konsep, senang je.”

Bella tidak menjawab. Tangannya hanya memusing pen di jari, pandangan tidak bertumpu.

“Bella…”

Baru suara itu menyentak reaksinya. Bella akhirnya bersuara. “Bella nak rehat. Abang boleh keluar?”

Nada itu tajam, tak seperti biasa.

Luth terdiam. Dadanya sedikit terasa bukan kerana ayat itu sahaja, tapi kerana kedinginan yang seakan berduri.

“Bella marahkan abang?”

Bella diam lagi. Tapi riak wajahnya jelas seperti seseorang yang memendam terlalu lama.

“Kalau abang salah, abang minta maaf. Tapi jangan diamkan diri macam ni. Bella demam sebab tak makan. Tak tidur. Semua orang risau.”

Bella bangun tiba-tiba.

“Abang tak perlu risau!” bentaknya, akhirnya. “Abang ada orang lain untuk jaga, kan?”

Luth terkejut.

“Orang lain?” Dahinya berkerut.

Bella menggenggam pen dalam tangan, kemudian meletaknya kembali dengan kasar.

Diam yang berat menyelubungi bilik itu.

Luth ternganga sedikit, cuba mencernakan kata-kata itu. “Bella…”

“Bella minta maaf sebab menyusahkan abang selama ni. Abang patut ada hidup sendiri, Bella tak nak jadi penghalang abang nak bina hidup dengan orang lain” Tutur Bella perlahan menahan sebak.

Luth menghela nafas panjang. “Ya Allah… itu yang Bella fikir selama ni?”

Bella angkat wajah, mata merah. “Bella bukan siapa-siapa pun, kan? Hanya adik angkat… yang abang boleh tinggal bila-bila abang nak.”

Luth melangkah dan melutut dihadapan Bella. Dia menggapai kedua tangan Bella. “Bella..”

“Abang tak perlu jelaskan apa-apa” potong Bella pantas.

“Abang perlu! Sebab abang tak nak Bella terus salah faham!”

Luth memandang wajah Bella yang tunduk memandang lantai, suaranya mula goyah. “Bella tak pernah susahkan abang pun selama ni Cuma Abang takut! Abang takut Bella tak fokus untuk SPM. Dan abang juga takut kalau abang dekat, perasaan ni makin sukar abang kawal!”

Bella terkedu.

Luth menyambung, lebih perlahan. “Abang tak pernah tinggalkan Bella. Tapi abang cuba letak jarak. Supaya Bella boleh berdiri sendiri. Tapi kalau cara abang salah… maafkan abang.”

Bella menunduk, bahunya bergetar.

“Abang Cuma nak Bella bahagia. Itu je.”

Luth membawa kedua tangan Bella ke bibirnya. "Rehatlah. Esok abang datang lagi okey?abang akan bantu sampai Bella berjaya.”

Sebelum keluar, dia menoleh.

“Satu hari nanti, Bella akan tahu… kenapa abang tak pernah mampu biarkan Bella pergi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience