Bab 1: Gadis Kecil Bernama Bella

Romance Series 2408

TANGISAN itu nyaring. Satu rumah sunyi tiba-tiba bergema dengan esakan pilu seorang kanak-kanak perempuan yang duduk mengeletar di hujung sofa. Matanya merah, hidungnya basah dan kedua-dua tangannya memeluk boneka kecil yang hampir lusuh satu-satunya peninggalan daripada dunia yang telah musnah sekelip mata.

Isabella. Umur enam tahun. Rambutnya panjang, kerinting sedikit di hujung. Kulitnya cerah, tetapi kini pucat kerana trauma. Matanya besar, redup, penuh ketakutan. Di hadapannya berdiri dua orang dewasa yang tersenyum meskipun mata mereka turut berair.

“Bella, ini rumah baru kamu sayang. Rumah kami,” lembut suara wanita pertengahan usia itu, Datin Marlia. Tangannya menyentuh bahu kecil Bella yang masih menegang.

Di sisi, Dato’ Hazim mengangguk perlahan, cuba memberikan sedikit kekuatan kepada isterinya dan anak kecil yang baru mereka bawa pulang hari ini. Sahabat mereka, ibu bapa Bella telah pergi dalam kemalangan yang tidak diduga. Sebelum segalanya berakhir, mereka telah berpesan agar anak ini dijaga… seperti darah daging sendiri.

“Bella akan tinggal sini mulai hari ni, ya? Abah dan mama akan jaga Bella baik-baik,” pujuk Datin Marlia lagi, cuba menenangkan.

Tapi Bella hanya diam. Hanya bunyi tangisan perlahan yang keluar dari bibir mungilnya. Dia menoleh kiri dan kanan, matanya mencari sesuatu atau seseorang. Mungkin ayah. Mungkin ibu. Tapi tiada siapa muncul.

Di tangga, seorang budak lelaki berusia 9 tahun berdiri. Dia memerhati dalam diam. Bajunya sedikit comot kerana baru pulang dari latihan bola sepak. Wajahnya keletihan, tetapi dia tidak berkelip memandang kanak-kanak perempuan yang sedang duduk dan menangis itu.

Itu Isabella. Adik angkat yang akan tinggal bersama mereka. Nama itu telah disebut-sebut sejak minggu lepas, tetapi hari ini baru realiti benar-benar hadir dalam bentuk seorang kanak-kanak kecil yang kelihatan terlalu sedih untuk dunia sebesar ini.

“Luth, turunlah. Datang sini sekejap,” panggil Datin Marlia.

Luth Hazman menghela nafas. Perlahan dia melangkah menuruni tangga, mendekati mereka di ruang tamu.

“Inilah Bella,” ujar Datin Marlia. “Adik baru Luth.”

“Adik?” Luth pandang Bella. “Tapi dia menangis…”

“Dia sedih, sayang. Dia baru kehilangan mak ayah dia. Cuba Luth duduk sebelah dia. Teman dia sikit.”

Luth angguk perlahan. Dia bukan jenis yang banyak soal. Tapi suasana ini baru padanya. Sangat baru. Seorang budak perempuan tiba-tiba muncul dalam hidupnya sebagai adik. Dan budak itu pula tak henti-henti menangis.

Perlahan-lahan dia duduk di hujung sofa, beberapa inci dari Bella. Dia perhati wajah gadis kecil itu yang langsung tidak memandangnya.

Diam.

Suasana tegang.

Luth garu kepala. Dia tak tahu nak buat apa. Tapi hatinya yang masih suci sebagai kanak-kanak, merasa sesuatu. Rasa simpati. Rasa kasihan.

“Kalau awak nangis macam ni, saya pun rasa nak nangis…” katanya perlahan, jujur dari hati.

Bella terhenti seketika. Tangisannya perlahan. Dia angkat kepala, menoleh sedikit, memandang wajah budak lelaki yang duduk sebelahnya.

Luth tersenyum, sedikit kekok. “Saya Luth. Umur sembilan tahun. Awak Bella, kan?”

Bella hanya mengangguk perlahan. Tiada kata. Tapi mata mereka bertentang.

“Boneka tu nama apa?” tanya Luth cuba mengalih perhatian.

Bella pegang erat patung beruangnya. “Mimi…”

“Oh, Mimi… cantik nama tu. Mimi mesti suka awak, kan?”

Bella senyap.

“Awak nak tengok bilik awak?” soal Luth.

Bella geleng.

“Awak nak makan?”

Geleng lagi.

“Awak nak… peluk?”

Kali ini, Bella tak jawab. Tapi tiba-tiba, tangannya bergerak. Pelan-pelan, dia hulurkan boneka Mimi ke arah Luth.

Luth pandang patung itu, kemudian pandang Bella. Dia ambil perlahan.

“Terima kasih. Mimi comel.”

Bella akhirnya senyum walaupun kecil dan penuh air mata.

Dari jauh, Datin Marlia menekup mulut, menahan sebak. Dato’ Hazim menarik nafas lega.

Dan dari saat itu, hubungan dua jiwa itu bermula.

Malam itu, Luth tak dapat tidur.

Dia bangun dari katilnya, turun ke dapur untuk ambil air. Dalam samar-samar cahaya, dia terdengar bunyi esakan halus dari bilik sebelah, bilik Bella.

Dia berdiri seketika di depan pintu. Tangan di tombol. Rasa serba salah. Tapi akhirnya dia ketuk perlahan.

“Bella? Awak okey?”

Tiada jawapan. Tapi esakan masih kedengaran.

“Boleh saya masuk?”

Pelahan-lahan dia buka pintu. Bella duduk di atas katil, berselimut penuh, bahunya terangkat-angkat menahan tangis.

“Awak rindukan mak ayah awak, ya?” Luth duduk di tepi katil. Bella angguk.

“Saya tahu rasa tu. Saya pernah kehilangan atuk saya. Saya sayang dia… sangat. Tapi sekarang saya ingat dia sambil senyum. Sebab saya tahu dia pun nak tengok saya kuat.”

Bella hanya diam. Tapi matanya pandang Luth.

“Awak ada saya. Mama, abah… semua sayang awak. Saya janji, saya akan jaga awak. Saya akan pastikan awak tak rasa keseorangan.”

“Betul?” suara Bella sangat perlahan.

“Betul.”

Malam itu, untuk kali pertama, Bella tidur lena dengan patung Mimi di satu sisi dan Luth yang tertidur di lantai bilik, tidak sanggup tinggalkan dia sendirian.

---

Hari-hari berlalu.

Bella semakin ceria. Dia mula bercakap, mula senyum lebih kerap, dan mula makan dengan berselera. Dia juga mula panggil Datin Marlia sebagai “Mama”, dan Dato’ Hazim sebagai “Abah”.

Tapi yang paling jelas dia mula bergantung pada Luth.

“Abang Luth, boleh tolong buka beg sekolah Bella?”

“Abang Luth, Bella nak makan ayam goreng je…”

“Abang Luth, teman Bella tidur malam ni boleh?”

Luth pada mulanya kekok dipanggil abang. Tapi lama-lama, dia terbiasa. Sebenarnya, dia suka. Suka perasaan dilindungi, disayangi, dan diperlukan oleh seseorang.

Isabella menjadi sebahagian daripada hidupnya tanpa dia sedar. Dia tunggu Bella balik dari sekolah. Dia tolong Bella siapkan kerja rumah. Dia belikan aiskrim perisa kegemaran Bella setiap petang Jumaat.

Setiap kali Bella tersenyum sambil ucap “Terima kasih, Abang Luth”, entah kenapa… hati kecil Luth rasa senang.

Dia sayang Bella. Tapi bukan macam adik.

Tapi Luth diamkan saja. Dia cuma belasan tahun ketika itu. Apa yang dia tahu tentang cinta?

Tapi dia tahu satu benda — dia akan lindungi Isabella. Sampai bila-bila.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience