RUMAH mereka kembali ceria dengan kehadiran tetamu yang sangat dirindui, Opah Salmah.
Sejak malam sebelumnya, Bella sudah menghitung waktu. Seawal pagi, dia sudah bangun membantu Datin Marlia membersihkan ruang tamu dan menyiapkan bilik tetamu. Tangannya lincah di dapur, mulutnya pula tidak henti bersenandung kecil tanda hatinya berbunga menanti kedatangan nenek tersayang.
“Opah dah sampai!” jerit Bella dari tingkap bila terdengar bunyi enjin kereta di luar.
Dia berlari perlahan keluar dari rumah. Dalam beberapa saat, tubuhnya sudah terpeluk erat dengan tubuh kecil Opah Salmah yang baru turun dari kereta. Wanita tua berusia 80an itu masih sihat berdiri dalam pelukkan cucunya.
“Rindunyaaaa opah!” ucap Bella, manja.
“Ya Allah, Bella cucu opah ni makin tinggi dah... makin lawa pun ya!” Opah tergelak kecil sambil membelai rambut Bella. “Dah jadi anak dara dah!”
Luth turun dari tangga, sempat melihat adegan itu dari pintu. Dia hanya tersenyum kecil, mendekati dan membantu membawa beg Opah masuk ke dalam.
“Luth, kamu pun makin segak,” puji Opah sambil mencubit lengan cucu lelakinya. “Orang tengok kamu dua ni, macam kakak adik je. Tapi Luth kena jaga Bella tu baik-baik.”
Bella terbuntang mata, "Adik kakak? serius la opah?"
Opah Salmah hanya tersengih.
"Maknanya Luth nampak muda lah kan?" sampuk Luth sengaja mengusik.
"Eee.. jangan perasan lah!" balas Bella menjeling.
Petang itu, mereka berkumpul di ruang tamu. Opah duduk di kerusi malas kegemarannya, ditemani Bella yang setia menyuapkan buah potong.
“Bella ni rajin betul,” kata Opah, puas hati. “Pandai buat kerja, jaga orang tua, masak pun sedap. Siapa yang dapat dia nanti, memang bertuah.”
Bella ketawa kecil. “Opah ni... Bella baru 15 tahun.”
“Baru 15, tapi hati tu dah macam 20. Matang sungguh.”
“Abang Luth selalu cakap Bella banyak fikir,” sampuk Bella, sambil menjeling Luth yang sedang menyusun piring di dapur.
Opah terus senyum panjang. “Yalah... abang Bella tu memang jenis garang-garang sayang. Tapi opah tengok kalau Bella nangis, Luth juga yang kalut. Kan?”
“Opah!” Bella mencubit manja lengan neneknya.
“Opah cakap betul. Opah ni orang lama. Pandai baca bahasa orang tak cakap. Ada mata yang tengok penuh sayang, tapi mulut diam saja. Macam Luth tu lah…”
Bella membulatkan mata. Luth yang baru duduk menyertai mereka di ruang tamu, terhenti sekejap sambil mengangkat kening. “Apa opah cakap pasal Luth?”
“Tak ada apa,” jawab Opah bersahaja. “Opah cuma cakap... kalau Luth terus baik dengan Bella macam ni sampai dua puluh tahun lagi pun opah tak hairan.”
Luth tersenyum. "Kalau Luth tak jaga Bella, mana ada orang lain yang sanggup nak jaga cucu opah yang sorang tu.."
"Eloklah tu. Opah pun tak risau sangat" tambah Opah Salmah.
Luth hanya ketawa kecil, tapi dalam hati... dia tahu, gurauan itu lebih dari sekadar jenaka orang tua. Ia datang dari tempat yang melihat dengan mata hati dan entah kenapa, dia tidak merasa terganggu.
Malam itu, Bella termenung di tingkap biliknya.
Kalau abang Luth tengok Bella macam orang lain tengok kekasih mereka… boleh ke?
Dia sendiri tak faham kenapa soalan itu muncul dalam fikiran. Tapi sejak kecil, hanya Luth yang ada ketika dia takut, ketika dia menangis, ketika dia sakit. Setiap kali abang itu marah, Bella tahu… itu tanda sayang.
Tapi… adakah perasaan itu boleh berubah bila Bella makin dewasa?
Bella hela nafas. “Jangan mengarut, Bella…”
Keesokan pagi, Opah duduk bersarapan bertemankan Luth.
“Luth,” panggilnya perlahan. “Opah tengok Bella tu... lain macam dah membesar. Hati-hati sikit.”
Luth kerut dahi. “Hati-hati apa, opah?”
Opah senyum senget. “Kadang-kadang, orang yang kita anggap adik… boleh buat hati kita tersangkut diam-diam.”
Luth terdiam.
“Opah bukan suruh apa-apa. Tapi kalau satu hari nanti hati kamu berubah… jangan tunggu sampai dia jauh baru kamu nak kejar.”
Sebelum Opah bangun meninggalkan meja, dia sempat menepuk bahu Luth sambil berbisik, “Orang tua ni… kadang cakap main-main, tapi hati dia selalu nampak dulu.”
Malam terakhir sebelum Opah pulang ke kampung, rumah sunyi sedikit awal dari biasa. Bella sudah masuk tidur, letih setelah seharian membantu di dapur dan melayan Opah. Luth pula masih di ruang tamu, menonton berita sambil melipat selimut nipis yang digunakan Opah tadi.
“Luth,” suara Opah menyapa perlahan dari balik bilik tetamu.
Dia berpaling. “Opah belum tidur?”
“Belum. Opah ada nak bagi sesuatu.”
Opah melangkah perlahan ke arah sofa, tangannya menggenggam sesuatu dalam balutan kain batik kecil. Dia duduk di sisi Luth, meletakkan kain itu ke dalam tangan cucu lelakinya.
Luth membuka lipatan perlahan-lahan.
Sepasang gelang emas kecil terletak kemas di dalam. Ukirannya halus, klasik jelas barang lama yang disimpan penuh nilai.
“Opah…” Luth terkedu.
“Itu gelang opah masa muda,” ujar Opah perlahan. “Dulu, atuk beli masa opah baru kahwin. Sampai sekarang opah simpan. Tapi sekarang, opah nak serahkan pada kamu.”
Luth mengerutkan dahi. “Untuk apa opah bagi Luth? Bukan patut bagi pada mama?”
Opah tergelak kecil. “Gelang ni bukan untuk anak perempuan opah. Tapi untuk… orang yang berjaya miliki hati satu-satunya cucu lelaki opah ni”
Luth terdiam.
Opah pandang wajah cucunya yang sudah hampir dewasa. “Luth… kamu ni anak yang baik. Tak banyak cakap, tapi hati kamu penuh rasa. Suatu hari nanti, kamu akan jatuh cinta betul-betul. Bukan sayang macam adik-beradik, bukan kasihan. Tapi cinta yang buat kamu sanggup buat apa saja untuk dia.”
Luth pandang gelang dalam genggamannya. Rasanya berat bukan kerana emasnya, tapi kerana maknanya.
“Bila masa tu tiba, bila kamu betul-betul yakin… simpan gelang ni, dan serahkan pada dia,” pesan Opah. “Biar dia tahu… dia miliki hati kamu sepenuhnya.”
Luth menggenggam kain itu erat. Dalam diam, wajah Bella muncul dalam fikirannya. Senyumnya. Suaranya. Pandangan mata yang jujur.
Tapi dia tak mampu berkata apa-apa. Hanya angguk perlahan.
Opah senyum, dan bangun dari sofa. Sebelum masuk ke bilik, dia sempat berkata perlahan.
“Kadang-kadang... cinta paling ikhlas, tumbuh dalam diam yang panjang.”
Malam itu, Luth simpan kain batik kecil itu ke dalam lacinya. Bersebelahan dengan diari hitamnya. Dua rahsia satu dari hati, satu dari masa depan.
Pagi itu, suasana rumah sedikit hening. Bukan kerana kesedihan yang nyata, tapi kerana masing-masing cuba menyembunyikan rasa berat hati di sebalik senyum.
Kereta keluarga Luth sudah bersedia di hadapan rumah. Dato’ Hazim yang akan menghantar Opah Salmah pulang ke kampung. Luth dan Bella berdiri di muka pintu, menunggu giliran untuk memeluk wanita tua yang mereka sayang itu.
“Opah balik dulu, ya. Jangan lupa call opah,” pesan Opah sambil mengusap kepala Bella.
“Opah... bila nak datang lagi?” tanya Bella, matanya sudah berkaca.
“Insya-Allah, kalau panjang umur,” jawab Opah sambil senyum nipis. “Tapi Bella kena janji, jaga diri baik-baik. Jangan cepat sangat dewasa, ya.”
Bella mengangguk perlahan. Dia memeluk Opah erat-erat. Dalam pelukan itu, Opah sempat berbisik perlahan di telinganya.
“Kalau suatu hari nanti hati Bella rasa pelik bila tengok Luth pandang wanita lain... itu maksudnya Bella dah simpan dia dalam hati.”
Bella terkelu. Dadanya berdebar. Dia tak faham sepenuhnya maksud kata-kata itu, tapi ia menggamit satu rasa yang tak mampu dia namakan.
Opah melepaskan pelukan, menepuk pipi Bella lembut.
“Jangan risau... hati kita tahu siapa yang ikhlas dengan kita. Tinggal tunggu masa saja untuk tahu kenapa.”
Luth yang berdiri tidak jauh dari mereka hanya mampu melihat dengan senyum nipis. Dia tak tahu bahawa Opah baru saja menyelitkan benih kesedaran ke dalam hati Bella, benih yang akan tumbuh perlahan-lahan.
Setelah Opah masuk ke dalam kereta, mereka melambai hingga kereta hilang dari pandangan.
Bella berdiri diam di laman rumah.
“Bella okey?” soal Luth.
Bella berpaling. Dia senyum, tapi matanya berkaca.
“Opah tinggalkan banyak benda,” balasnya perlahan.
Luth angguk. Dia tidak tahu bahawa antara semua benda yang Opah tinggalkan, salah satu yang paling besar... adalah soalan baru dalam hati Bella tentang ‘abang’ yang mungkin lebih daripada sekadar abang.
Share this novel