Bab 12: Dato’ & Datin Umrah

Romance Series 2408

RUANG tamu petang itu dihiasi warna-warna sederhana, namun terasa hangat dengan suara gelak tawa dan perbualan ringan. Dato’ Hazim dan Datin Marlia duduk di sofa panjang sambil melipat sehelai demi sehelai pakaian yang akan dibawa ke Tanah Suci. Luth dan Bella turut serta, membantu sekadar mampu, walau fikiran masing-masing melayang entah ke mana.

“Tak sangka dah sampai masa kami nak ke Mekah. Macam baru semalam Bella tadika,” gurau Dato’ Hazim sambil menyusun sejadah kecil ke dalam beg sandang.

Bella tersenyum hambar. “Cepat masa berlalu, abah.”

Luth sekadar tunduk, menyusun tuala muka dan losyen kecil ke dalam beg Datin Marlia. Ada rasa berat dalam dada yang tidak mampu diluahkan.

“Luth,” panggil Datin Marlia perlahan.

Luth menoleh. “Ya, mama?”

Datin Marlia pandang anak sulungnya dengan senyuman yang menyimpan banyak pengharapan. “Mama dan abah pergi lama. Dua minggu lebih. Dalam masa tu, Bella kita hanya ada kamu. Jaga dia elok-elok, ya?”

Bella menunduk, menarik hujung baju lengan panjangnya. Perutnya terasa kosong.

Dato’ Hazim bersuara, lebih tegas. “Bella dah besar, tapi dia tetap anak kita. Dan kamu tetap abang dia di rumah ni. Jangan biar dia urus semua sendiri. Tolong-tolonglah juga, ya?”

Luth mengangguk perlahan. “Insya-Allah, abah. Jangan risau.”

Suasana seketika menjadi sunyi. Hanya bunyi zip beg ditarik perlahan yang memecah senyap.

Bella pura-pura sibuk melipat selendang yang sudah tiga kali dilipat. Hatinya gundah. Bukan dia tak gembira melihat orang tuanya bakal menjadi tetamu Allah, tapi dia sendiri tak tahu bagaimana harus melalui hari-hari yang akan datang… hanya berdua dengan Luth.

‘Macam mana Bella nak elak dia?’

‘Macam mana Bella nak sorok hati yang makin susah nak tahan?’

Petang itu berlalu dengan hati yang masing-masing cuba pendam. Dato’ Hazim dan Datin Marlia jelas teruja dengan ibadah yang bakal mereka tempuhi, sedang Luth resah memikirkan Bella yang kian menjauh, dan Bella… hanya mampu menelan resah sendirian.

Usai solat maghrib, mereka duduk di meja makan bersama untuk makan malam terakhir sebelum keberangkatan esok pagi. Bella banyak diam, hanya sesekali menyambut bicara ringan orang tuanya. Luth cuba mencuri pandang, tetapi Bella pantas mengalihkan wajah.

“Bella,” tegur Dato’ Hazim sebelum menyuap nasi. “Jangan terlalu kerja keras dekat rumah nanti. Ada abang kamu. Bahagi masa elok-elok, ya? Sementara ada masa untuk rehat ni, rehat puas-puas. Nanti dah start sambung belajar, busy dah.”

Bella hanya mengangguk. Senyum nipis yang disulam paksa.

Luth tahu… malam itu, senyum Bella bukan senyum biasa.

Dia tahu, sepanjang ketiadaan abah dan mama, dia perlu cari ruang bukan hanya untuk jaga Bella seperti yang diminta…

Tetapi juga untuk jaga perasaan Bella yang makin kabur dari hatinya.

Keesokan Pagi , suasana dalam kereta Alphard milik keluarga Dato’ Hazim sunyi. Lampu jalan masih menyala meskipun langit mula menunjukkan tanda-tanda Subuh akan berlabuh. Di bahagian belakang, Dato’ Hazim dan Datin Marlia duduk bersebelahan sambil menggenggam tangan satu sama lain, manakala Bella di tepi dengan wajah yang jelas keruh.

Luth di kerusi hadapan bersama pemandu keluarga, Encik Salleh. Dia sesekali menjeling ke cermin sisi, melihat riak Bella yang tunduk memeluk beg kecil berisi barangan mama dan abahnya.

“Opah tak jadi datang?” soal Bella perlahan, memecah kesunyian.

“Mmm, opah kata sibuk sikit. Ada kenduri jiran esok, jadi tak dapat datang rumah,” jawab Datin Marlia sambil mengelus lembut paha Bella. “Nanti mak kirimkan doa untuk opah juga.”

Bella angguk kecil.

Setibanya di lapangan terbang, suasana menjadi lebih sayu. Orang ramai sudah mula memenuhi balai pelepasan, namun keluarga kecil itu tetap berada dalam dunia mereka sendiri.

“Luth, tolong ambilkan troli,” arah Dato’ Hazim tenang.

Luth segera menolak dua buah troli ke arah bonet kereta yang sudah terbuka. Sementara menunggu, Bella diam, sekadar membantu menyusun beg dan memastikan semuanya tidak tertinggal.

Saat mereka melangkah ke ruang check-in, pelukan terakhir mula terasa lebih berat.

Datin Marlia memeluk Bella erat, lama, sebelum mengucup dahi anak gadis itu.

“Jaga diri baik-baik, ya sayang. Dengar cakap Luth. Mama reda dan doakan semua baik-baik untuk Bella.”

Bella hampir menahan air mata. “Mama jangan risau. Bella okay…”

Dato’ Hazim pula menepuk belakang Luth perlahan. “Jaga rumah. Jaga adik. Abah percaya kamu.”

Luth hanya mengangguk. Serius wajahnya menahan sesuatu dalam dada.

Sebelum pasangan itu berlepas ke pintu pelepasan, Bella melambai dalam diam. Satu perasaan aneh menyelinap. Seolah-olah rumah yang ditinggal sebentar itu akan jadi ruang baru ruang yang memaksa dia berhadapan dengan seseorang yang hatinya semakin sukar ditafsir.

Dalam Perjalanan Pulang suasana di dalam kereta kali ini lebih sunyi. Hanya bunyi deruan enjin dan lagu perlahan dari radio yang mengisi ruang. Encik Salleh fokus memandu, manakala Luth dan Bella diam di tempat duduk belakang.

Sesekali, pandangan mereka bertembung cepat-cepat dialihkan.

“Kalau lapar… nanti kita singgah makan,” kata Luth perlahan, cuba memecahkan kesunyian.

Bella hanya geleng perlahan. “Tak apa. Bella nak balik dulu…”

Jawapan itu buat dada Luth terasa sesak.

Dia tahu… ini baru permulaan. Permulaan tempoh tinggal berdua yang mungkin lebih mencabar dari apa yang dia jangkakan atau menjadi penyambung perasaan yang selama ini dipendam.

Sudah dua hari Dato’ Hazim dan Datin Marlia berangkat ke tanah suci. Rumah agam itu terasa lengang tanpa suara ibu bapa mereka, lebih terasa kosong kerana hanya ada dua insan yang saling cuba mengelak meskipun tinggal di bawah bumbung yang sama.

Bella duduk di ruang tamu, membelek buku motivasi yang sebenarnya sudah beberapa kali dibaca, sekadar alasan untuk mengalihkan tumpuan. Televisyen terpasang, tapi tidak benar-benar ditonton.

Luth melintasi ruang itu dari dapur, membawa sebotol air mineral. Pandangannya sempat terhenti pada Bella, namun gadis itu tetap membuang pandang ke arah skrin.

“Bella…” tegur Luth, perlahan.

“Hmm?” jawab Bella tanpa memandang.

“Bella… okay?”

Bella hela nafas panjang. “Bella tak sakit pun.”

Luth duduk di sofa bersebelahan, tapi menjaga jarak. Sunyi. Dia tahu, sejak malam itu.. malam Amira datang ke rumah tanpa dijemput Bella seolah meletakkan sempadan antara mereka.

“Ayah dan mama pesan suruh abang jaga Bella baik-baik,” suara Luth kedengaran perlahan, seakan mengharap sesuatu dari jawapan gadis itu.

“Tapi abang sibuk kan? Tak apa, Bella dah besar. Bella boleh jaga diri sendiri,” ujar Bella, masih tanpa memandang.

Luth tunduk. Senyap. Kata-kata Bella ibarat satu tamparan perlahan tapi menyakitkan.

Dia bangkit dan melangkah ke tangga. Tapi sebelum berlalu, dia sempat berpaling sedikit.

“Abang ada kat bilik kalau Bella perlukan apa-apa…”

Bella hanya mengangguk kecil, lalu kembali memandang buku kosong yang tidak pernah dibaca pun dari tadi.

Malamnya Bella berbaring di atas katil. Kipas siling berputar perlahan di atas kepala. Lampu tidur menyala samar, dan bunyi cengkerik dari luar jendela menambah rasa sepi di dada.

Tiba-tiba mesej masuk.

Luth: Jangan tidur lambat. Esok abang nak ajak keluar beli barang dapur sikit. Opah kata nak datang hujung minggu ni.

Bella pandang skrin. Jari jemarinya mahu membalas, tapi dia padam semula mesej yang ditulis. Akhirnya dia hanya letakkan telefon di sisi dan pejamkan mata seolah-olah tidak berlaku apa-apa.

Keesokan pagi Luth sudah menunggu di bawah. Bella turun tangga dengan perlahan, bersahaja tapi hatinya berdebar. Dia sedar Luth masih mencuba.

Mereka keluar membeli barang keperluan rumah bersama. Berjalan bersebelahan, namun masing-masing tidak banyak bicara. Bila berselisih pandang, kedua-duanya cepat-cepat mengalih mata.

Ketika mereka sampai semula ke rumah…

Luth sempat berkata, “Bella…”

Bella memandang perlahan.

“Abang rindu yang dulu. Yang selalu gelak, bercerita… yang selalu kacau abang dekat dapur,” Luth senyum hambar.

Bella terdiam. Pandangannya jatuh ke lantai, sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Dekat jaraknya hanya beberapa inci. Tapi jauh seperti dua hati yang berada di dua benua.

Dalam diam, mereka sama-sama menunggu… siapa yang akan membuka ruang untuk kembali pulih, atau siapa yang akan terlebih dahulu menyerah dengan luka yang semakin dalam.

Petang itu sunyi. Hujan turun renyai di luar tingkap, membasahi halaman yang redup. Bella duduk di meja makan dengan mug coklat panas di tangan, namun matanya tidak benar-benar fokus. Di hadapannya, sebuah balang kaca berisi serbuk agar-agar terletak atas meja seolah sedang menunggu keputusan dari hati yang tidak menentu.

Sejak perbualan ringkas mereka semalam, Luth tidak lagi mencuba. Dia masih mesra, tapi tidak memaksa. Masih bertanya jika Bella sudah makan, masih beli barang-barang dapur yang Bella suka… tapi nada suaranya tidak lagi mengharap. Itu yang paling menyesakkan dada Bella.

“Abang rindu yang dulu.”

Ayat itu bermain dalam kepalanya berkali-kali. Bella tahu dia keterlaluan. Tapi dia juga sedang keliru. Bila dekat, dia lemas dalam rasa yang makin bercambah. Bila jauh, dia resah kosong.

Hari ini, dia tekad untuk minta maaf. Tapi bukan dengan kata-kata.

Bella berdiri di hadapan peti ais. Di atas meja, tersedia bahan-bahan untuk membuat puding karamel pencuci mulut kegemaran Luth sejak mereka kecil. Tangannya lincah, walau hatinya berdebar. Setiap langkah dalam penyediaan itu membawa ingatan tentang gelak ketawa mereka di dapur suatu ketika dahulu, tentang betapa Luth suka berebut sudu rasa.

Selesai semuanya, dia simpan puding ke dalam peti sejuk dan menunggu.

Luth pulang lewat dari perpustakaan, sejak kecil Luth suka menghabiskan masa dengan buku. Dia masuk ke dapur untuk mencari air, dan terlihat sekeping nota kecil di atas piring kaca yang berisi puding karamel.

“Maaf sebab buat abang rasa jauh. Bella buat ni… sebab Bella masih ingat segalanya. Selamat malam, abang.”

Luth pegang nota itu lama. Matanya tertancap pada puding yang tampak sejuk sempurna. Hatinya, yang tadi terasa berat… terasa sedikit ringan.

Dia tidak terus makan. Sebaliknya dia mengambil sudu, dan melangkah ke bilik Bella.

Ketukan lembut di pintu. Bella yang belum tidur, diam membatu.

“Bella,” suara Luth di luar.

Bella tarik nafas. “Ya?”

Pintu tidak dibuka, tapi suara Luth kedengaran sayup, “Abang makan separuh. Separuh lagi… abang simpan untuk esok. Kalau Bella sudi… kita makan sama-sama?”

Bella gigit bibir.

“Terima kasih…” sambung Luth perlahan. “Sebab masih ingat puding tu.”

Langkah Luth menjauh, tapi dalam dada Bella langkah kecil sedang menghampiri semula ruang yang dia sendiri tutup rapat sebelum ini.

ESOKNYA, selepas makan malam yang sunyi tapi tidak lagi canggung, Bella duduk sendirian di anjung rumah. Angin malam menyapa lembut, membuai langsir nipis di belakangnya. Tangannya menggenggam mug coklat panas, sambil matanya merenung langit gelap bertabur bintang.

Luth muncul dari pintu kaca dengan langkah perlahan, membawa sudu dan piring kecil yang masih berisi separuh puding semalam.

“Abang tak makan habis,” tegurnya sambil duduk di sisi Bella di atas bangku kayu panjang.

“Sengaja kan?” Bella tunduk, senyum kecil bermain di bibir.

Luth mengangguk. “Sebab abang harap… Bella nak makan sekali.”

Bella tidak jawab. Tapi dia ambil sudu itu perlahan-lahan dari tangan Luth, dan menyuap ke mulut. Sekali. Dua kali. Kemudian hulur kembali pada Luth.

Luth menyambut dan menyuap baki terakhir. Mereka saling tersenyum… dan senyap.

Hanya angin dan bunyi serangga malam menjadi latar.

“Bella memang dah tak nak kerja ke dekat kafe?” soal Luth perlahan, matanya masih ke hadapan.

Bella angguk. “Rasa nak rehat dulu. Lagipun… malas nak hadap orang.”

Luth ketawa kecil. “Orang mana tu… ‘orang’ yang abang kenal ke?”

Bella pandang Luth sekilas. “Entah.”

Luth bersandar ke belakang, menghadap bintang.

“Bella,” panggilnya lembut.

“Hm?”

“Abang suka bila Bella jadi Bella yang dulu. Ceria. Cakap lepas. Degil pun, comel.”

Bella senyap. Hatinya bergetar, tapi dia tak tahu nak jawab apa.

“Bila Bella mula jauhkan diri… abang rasa hilang arah. Macam hilang separuh dari diri abang.”

Kata-kata Luth buatkan dada Bella berombak. Tapi dia masih diam.

Luth menoleh perlahan ke arahnya. “Tapi bila Bella buat puding tu… abang tahu, Bella belum tinggalkan abang.”

Tangan Luth perlahan-lahan menyentuh tangan Bella yang masih menggenggam mug.

“Dan abang harap… Bella takkan pernah tinggalkan abang. Walau apa pun jadi.”

Bella berpaling, dan mata mereka bertentangan. Lama. Sunyi.

Tanpa perlu kata, tanpa janji… hanya genggaman perlahan dan senyuman yang penuh makna mereka sama-sama tahu.

Ada sesuatu yang sedang tumbuh, dan ia tak mungkin lagi dapat ditepis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience