Bab 15: Nak panggil Sayang please!

Romance Series 2408

KEPULANGAN Dato’ Hazim dan Datin Marlia dari tanah suci disambut dengan penuh kesyukuran. Rumah kembali meriah dengan suara tawa, doa dan cerita-cerita daripada dua insan yang baru selesai menjadi tetamu Allah.

Opah masih tinggal bersama mereka, kerana katanya, dia mahu luangkan lebih masa bersama cucu-cucunya sebelum pulang ke kampung. Dato’ Hazim pun tak kisah. “Mak tinggal lama pun tak apa. Rindu masakan Mak,” katanya sambil tersenyum setiap kali makan malam.

Luth dan Bella pula… masih cuba berlagak seperti biasa. Tiada sesiapa tahu tentang lamaran Luth, malah cincin lamaran itu hanya disimpan di dalam laci meja belajar Bella , disorok jauh-jauh dalam kotak alat tulis.

Namun, rahsia selalunya sukar disembunyikan lama.

Pagi itu, cuaca cerah. Burung berkicau. Angin meniup nyaman. Luth dan Bella sama-sama menyiram pokok bunga di laman rumah. Botol penyembur bunga di tangan Bella, manakala Luth pula pegang baldi kecil.

“Sayang, jangan spray banyak sangat. Nanti pokok ni lemas,” tegur Luth sambil menyuakan gayung ke arah pasu bunga orkid.

Bella spontan berpaling dan mendengus kecil. “Ish! Jangan panggil macam tu!”

Luth buat muka tak bersalah. “Apa? Sayang tak boleh ke? Kan dah rasmi.”

“Abang ni… kita belum beritahu sesiapa lagi. Kalau mama dengar, pengsan.”

Luth senyum nakal. “Okaylah… nak ikut macam orang barat ke? I panggil you sweetie pie, cupcake, sugar muffin?”

Bella tergelak besar. “Eee ! Dekat Malaysia ni, tukarlah ikut kuih tempatan ke… Baru patriotik!”

Luth angguk-angguk. “Oh macam tu… apa kata abang panggil awak lepat pisang?”

“Tak naklah! Nama macam pesakit kencing manis.”

“Kalau macam tu, onde-onde?”

Bella ketawa tak tahan. “Abang ni, nak panggil ke nak suruh Bella nangis?”

“Okay… yang terakhir. KUIH LAPIS!”

Bella terus sembur air ke arah Luth dengan botol penyemburnya. “Padan muka!”

Mereka ketawa sama-sama. Tanpa sedar, gurauan itu begitu ringan tapi dalam maknanya kasih yang dibalut dalam jenaka, seperti kebiasaan mereka selama ini.

Di balik pintu kaca sliding yang terkuak sedikit, Datin Marlia berdiri senyap. Senyum tak lekang dari wajahnya, matanya bersinar dengan rasa bahagia melihat dua anak mudanya itu.

“Macam-macam nama… kuih lapis pun jadi,” bisiknya perlahan, kemudian berpaling ke Opah yang duduk tidak jauh di ruang tamu.

“Mak… saya rasa tak lama lagi rumah ni memang akan ada kenduri pulak.”

Opah tersenyum nipis, menyisip teh di tangan.

“Mak tahu. Mereka bukan pandai sangat berlakon.”

Mereka ketawa kecil bersama, sambil pandangan masing-masing terus mengarah ke laman rumah, di mana dua hati yang pernah saling menafikan kini sedang belajar menerima dalam gurauan, panggilan manja, dan kasih yang diam-diam mekar sejak dulu.

MALAM menjengah. Rumah sudah kembali sunyi selepas solat berjemaah dan makan malam bersama. Opah masuk awal ke bilik kerana katanya penat, manakala Luth pula masih menghadap laptop di bilik kerja.

Datin Marlia menyikat rambut di hadapan meja solek, sesekali mengerling Dato’ Hazim yang sedang membaca buku di atas katil. Beberapa ketika kemudian, dia berpaling.

“Abang…” panggilnya perlahan.

“Hmmm?”

“Abang perasan tak… Luth dan Bella tu makin lain caranya?”

Dato’ Hazim letak bukunya perlahan. “Maksudnya?”

“Mereka… nampak terlalu berhati-hati. Tapi dalam masa yang sama, macam dah tak dapat sembunyikan perasaan.”

Dato’ Hazim tarik nafas panjang. “Mak dah cakap hal ni sebelum kita ke umrah.”

Datin Marlia angguk. “Saya tahu. Tapi masa tu saya tak pasti. Sekarang ni… makin jelas. Gurauan mereka, cara Luth pandang Bella… Itu bukan pandangan seorang abang.”

“Apa yang awak rasa?”

Datin Marlia diam sejenak sebelum menjawab, “Saya… saya rasa tenang sebenarnya. Tak ada yang saya risaukan sangat tentang Bella. Dia anak yang baik. Kalau betul jodohnya dengan Luth… saya reda.”

Dato’ Hazim senyum tipis. “Saya pun sama. Cuma… saya tertanya-tanya, kenapa mereka masih belum beritahu kita apa-apa.”

“Entahlah. Mungkin mereka belum bersedia. Mungkin juga takut kita tak terima.”

Dato’ Hazim ketawa kecil. “Kita ni mak ayah dia, bukan hakim syariah. Asalkan bukan benda salah… kenapa kita nak halang?”

Datin Marlia turut ketawa perlahan. “Cuma satu saya risau, bang…”

“Apa dia?”

“Kalau Bella atau Luth terlalu lama memendam… takut nanti ada yang terluka sebelum sempat bahagia.”

Dato’ Hazim capai tangan isterinya, genggam erat.

“Kalau macam tu… kita bantu. Dengan doa, dengan restu diam-diam, dan dengan ruang yang tak memaksa.”

Datin Marlia tersenyum sayu. “Terima kasih abang… kerana selalu jadi ayah yang lembut walaupun luar nampak garang.”

Dato’ Hazim senyum sambil mengenyit mata. “Kalau bab anak, saya kalah dulu.”

Mereka berdua tergelak kecil, dalam suasana tenang kamar yang menyimpan pelbagai kisah membesarkan anak-anak. Malam itu, mereka tidur dalam doa yang sama semoga dua hati yang mereka sayang, dipertemukan dengan bahagia yang Allah redhai.

Pagi itu, cahaya matahari lembut menyinari ruang belakang rumah. Bella sedang menyusun pasu bunga kecil di sisi laman, memakai apron labuh dan topi jerami. Suasana tenang, ditemani bunyi burung berkicauan.

Opah datang perlahan dari arah dapur, membawa sepinggan kuih seri muka dan dua cawan teh panas.

“Bella… duduk sini dengan Opah. Makan sikit,” panggil Opah, tersenyum.

Bella cepat-cepat basuh tangan lalu duduk di kerusi kayu bersebelahan Opah.

“Terima kasih, Opah. Kuih ni Opah buat ke?”

“Ha’ah. Malam tadi sebelum tidur Opah kukus. Saja buat sikit, teringat cucu Opah yang suka manis-manis ni,” usik Opah sambil suakan sepotong pada Bella.

Bella tergelak kecil. “Opah tak habis-habis usik Bella.”

Opah hanya tersenyum lebar. Kemudian, dia pandang Bella sejenak sebelum membuka bicara dengan nada perlahan.

“Bella…”

“Ya, Opah?”

“Opah tengok kamu ni… makin cantik. Makin tenang. Tapi mata tu, kadang-kadang macam sorokkan sesuatu.”

Bella terdiam.

“Bukan nak paksa Bella cerita apa-apa,” sambung Opah. “Tapi Opah ni… dah lama hidup. Kadang-kadang… hati orang tua ni boleh rasa kalau cucu dia simpan sesuatu.”

Bella tunduk. “Bella tak apa-apa, Opah.”

Opah ketawa kecil. “Kalau kamu betul tak apa-apa… kenapa tiap kali Opah sebut nama Luth, kamu terus pegang cawan kuat-kuat?”

Bella tergamam. Perlahan-lahan dia letakkan cawan yang hampir habis dipegang.

Opah pegang tangan Bella.

“Opah tahu kamu sayang Luth. Dan Opah juga tahu… Luth tu, kalau boleh belah dada dia, mungkin dah penuh dengan nama kamu.”

Bella telan air liur, perlahan.

“Tapi Opah juga tahu… kamu berdua terlalu menjaga hati semua orang, sampai hati sendiri kamu simpan dalam peti besi.”

“Bella takut, Opah…”

“Takut apa?”

“Takut kalau semua ni salah. Takut kalau Bella tak patut rasa macam ni. Takut Luth berubah fikiran.”

Opah genggam tangan Bella lebih erat.

“Cinta yang betul… tak buat kamu takut. Ia buat kamu kuat. Kalau kamu dan Luth rasa itu yang kamu mahukan… Opah takkan halang. Bahkan Opah… restu.”

Bella menoleh, matanya berkaca.

“Betul ni, Opah?”

Opah senyum. “Dari kamu kecil Opah jaga. Dari Luth kecil Opah peluk. Tak ada apa yang buat Opah lebih bahagia daripada tengok dua hati yang Opah sayang… bahagia bersama.”

Bella tersenyum perlahan, dipeluk Opah erat-erat dalam diam, restu yang tersirat tadi sudah cukup menjadi pelita di hati.

“BELLA siram pokok tu jangan sampai mati lemas,” tegur Luth sambil senyum nakal, menyimbah sedikit air ke kaki Bella.

“Abang ni…!” Bella terlompat kecil. “Mentang-mentang la air tangan abang, semua benda nak kena tempias!”

Luth ketawa. “Kalau hati Bella pun boleh kena tempias air tangan abang, memang abang siram hari-hari.”

Bella jeling, walaupun pipinya dah merah padam. “Siram pokok tu elok-eloklah, jangan nak drama.”

Luth rapatkan diri sedikit, hujung hose digulung perlahan. “Abang nak tanya satu je…”

Bella sengetkan kepala. “Apa dia?”

“Hmm…boleh tak… panggil Bella ‘sayang’?” Bisik Luth perlahan.

Bella terus terkebil. “Err… abang dah minum baja pokok ke tadi?”

Luth gelak besar. “Ishh… serius lah. Bukan abang nak gurau.”

“Abang, Bella dengan abang ni…” Bella pandang keliling, pastikan tiada siapa dengar, “…macam tak sesuai nak panggil sayang lagi.”

“Kalau tak nak ‘sayang’, abang boleh je tukar,” Luth mula senaraikan, “Cinta hati abang ke… kek keju abang ke… sayur campur abang ke”

“Sayur campur tu macam lauk kat kedai tomyam la bang!” Bella tergelak sambil tepuk lengan Luth.

Luth buat muka selamba. “Sebab Bella lengkap semua rasa. Masam, manis, pedas, kelakar, dan kadang pahit jugak bila marah.”

Bella akhirnya tak mampu tahan tawa. “Abang ni… kalau masuk pertandingan lawak, mesti kalah.”

“Kenapa?”

“Sebab semua juri jatuh cinta dengan abang dulu, tak sempat nak nilai.”

Luth angkat kening, bangga. “Jadi Bella ke juri tu?”

Bella terdiam sekejap, kemudian senyum sipi. “Bella tak nak jawab, sebab takut abang kembang seminggu.”

“Tak kisah,” balas Luth, memandang lama. “Janji Bella tak lari.”

Mereka terdiam sebentar, Cuma suara dedaun dan desir angin menemani.

Dari balik langsir, Datin Marlia sempat menutup mulut menahan ketawa. “Ya Allah, dua-dua nak menang ayat manis,” bisiknya.

Dato’ Hazim yang baru keluar dari bilik terus bertanya, “Apa yang manis-manis ni?”

“Anak kita… manis depan mata.”

Dato’ Hazim angkat kening. “Kalau macam ni, esok kita serahkan je borang nikah awal-awal.”
Datin Marlia terus ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience