MALAM itu sunyi. Angin menyapa daun tingkap yang tidak rapat. Lampu meja di bilik Luth Hazman menyala samar, hanya menerangi kawasan kecil di sisi katilnya. Di atas meja, sebuah buku kulit hitam terbuka. Di hujung jari Luth, pen yang sudah bertahun digunakannya berputar perlahan.
Dia menatap muka surat kosong di hadapannya, namun fikirannya tidak kosong. Sebaliknya, penuh dengan kata-kata yang tidak pernah diucapkan, tidak pernah didengar, dan tidak pernah ditulis sehingga malam ini.
Sudah bertahun - tahun sejak Isabella melangkah masuk ke dalam hidupnya, menjadi sebahagian daripada keluarganya, sebahagian daripada dirinya. Dan semakin hari, semakin Luth sedar, ada sesuatu yang berbeza dalam hatinya. Rasa yang tak sepatutnya tumbuh. Rasa yang menakutkan. Rasa yang... dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menamakan.
“23 Mei.
Saya tak tahu kenapa saya tulis semua ni. Mungkin sebab saya tak mampu luah pada sesiapa. Kalau saya cakap dengan Bella, dia takkan faham. Kalau saya cerita pada ayah dan ibu, mereka mungkin fikir saya gila.
Tapi hati saya ni... dia tak tahu beza siapa yang patut atau tak patut disayangi.
Bella.
Saya pandang awak hari ini masa awak peluk teddy bear tu dan senyum pada saya. Awak tanya, ‘Abang Luth, Bella cantik tak?’ tapi saya tak mampu jawab. Kalau saya cakap ya, awak cuma akan gelak. Tapi kalau saya jawab tidak, saya menipu.
Awak cantik. Dalam semua cara yang saya tak pernah tahu saya akan suka.
Saya takut, Bella. Takut sebab awak bukan adik kandung saya, tapi semua orang anggap begitu. Takut sebab perasaan ni tak patut wujud. Tapi... awak satu-satunya orang yang buat hati saya berdegup lebih laju, walau hanya dengan sebut nama saya.”
Luth letakkan pen. Matanya memandang keluar tingkap. Malam semakin pekat. Jam menunjukkan 11:47 malam. Di sebelah biliknya, bilik Bella sudah lama sunyi. Mungkin dia sudah lena ditemani bunyi hujan renyai di luar.
Dia bersandar pada kerusi. Nafasnya ditarik perlahan. Sungguh, dia tak pernah bayangkan akan menyukai seseorang begini. Lebih-lebih lagi seseorang yang dipanggilnya adik selama ini.
Beberapa tahun lalu, ketika Bella mula-mula sampai di rumah mereka, Luth cuma fikir dia seorang budak kecil yang perlukan perlindungan. Dia terlalu kecil. Terlalu fragile. Tapi tahun demi tahun, Bella membesar menjadi gadis manis yang cerdik, penyayang, dan sentiasa tahu membuat orang tersenyum. Dalam diam, dia menjadi seseorang yang sangat penting dalam hidup Luth.
“28 Mei.
Hari ni Bella ajak saya main congkak. Saya main dengan dia kat ruang tamu. Dia gelak bila saya pura-pura kalah. Saya sanggup kalah sepuluh kali kalau itu boleh buat dia senyum.
Kenapa saya rasa begini? Bila Bella sebut nama Johan, kawan abah yang anak dia selalu ikut program taman perumahan saya rasa tak senang. Masa dia cakap Johan puji rambut Bella cantik, saya cuma ketawa. Tapi sebenarnya, saya nak marah. Saya tak nak ada sesiapa pandang dia macam saya pandang dia.
Tapi saya siapa? Abang dia. Bukan sesiapa yang berhak cemburu.”
Luth mengeluh. Diari itu menjadi satu-satunya tempat dia boleh bercakap benar tentang apa yang dia rasa. Setiap patah perkataan itu seperti jalan keluar kepada tekanan yang menyesakkan dada.
Setiap malam, selepas semua ahli keluarga lena, dia akan kembali ke bilik, menulis dan menulis. Kadang-kadang hanya satu perenggan. Kadang-kadang satu muka surat. Tapi setiap huruf itu sarat dengan emosi yang tidak mampu dia jelaskan secara lisan.
Kadang-kadang dia terfikir, bagaimana jika satu hari Bella baca semua ini? Adakah dia akan lari? Jijik? Marah? Atau... faham?
“4 Jun.
Bella demam hari ni. Saya cuti kelas sebab nak temankan dia di rumah. mama bising, tapi akhirnya faham.
Saya suapkan dia bubur. Lap peluh di dahi dia. Saya peluk dia sebab dia kata dia sejuk. Dan masa tu, saya tahu... saya bukan sekadar abang. Saya tak mampu tipu diri sendiri lagi.
Saya sayang dia. Lebih daripada sepatutnya.
Sebab tu, saya makin takut.”
Luth pejam mata. Bayangan wajah Bella dalam demam masih segar dalam ingatan. Suara dia panggil, “Abang…” penuh lembut, penuh kepercayaan. Rasa bersalah mula menjalari hatinya.
Adakah dia sedang rosakkan ikatan kekeluargaan ini? Adakah dia sedang biarkan dirinya hanyut dalam rasa yang hanya akan bawa luka?
Dia kembali menulis.
“10 Jun.
Saya cuba jauhkan diri. Tapi Bella cari saya. Tanya kenapa abang Luth tak makan sekali, kenapa abang Luth duduk diam je bila Bella cerita pasal kelas. Saya tak ada jawapan.
Mungkin kalau saya jauhkan diri, perasaan ni akan hilang. Tapi bila dia pandang saya dengan mata bulat dia tu, semua ni rasa sia-sia.
Saya buntu.
Bella, awak bukan sekadar orang yang tumpang dalam keluarga saya. Awak tumpang dalam hati saya. Saya tak tahu macam mana nak keluarkan awak.”
Air mata yang bertakung di hujung mata Luth dikesat pantas. Dia tak pernah menangis sekurangnya bukan kerana hal begini. Tapi hari ini, segalanya terasa terlalu berat.
Mungkin satu hari nanti, diari ini akan dia bakar. Atau tanam. Atau musnahkan. Tapi selagi rasa ini belum terpadam, dia akan terus menulis. Kerana hanya melalui tulisan ini, dia tahu dia masih waras. Masih punya cara untuk menyimpan rasa tanpa menghancurkan semuanya.
Selagi Bella belum tahu, semuanya masih selamat.
Tapi sampai bila?
Itu soalan yang dia sendiri tak berani jawab.
Malam itu, Luth menutup diari. Disorokkan kembali ke bawah laci pakaian, dilindungi kotak kasut lama yang sudah tiada isi. Ketika dia memadam lampu dan berbaring di atas katil, hanya satu doa yang terlintas dalam hati:
“Ya Allah… jangan izinkan aku jatuh cinta pada orang yang tak sepatutnya.”
Tapi hatinya sudah pun jatuh. Jatuh lebih dalam daripada yang dia sangka.
Luth pejam mata lama. Dada berombak. Bunyi detik jam dinding terasa makin kuat dalam senyap malam.
Dalam hatinya hanya ada satu doa.
“Ya Allah… janganlah biarkan perasaan ni rosakkan apa yang kami ada. Kalau bukan untuk aku, tolong tarik perlahan-lahan rasa ni. Tapi kalau ada peluang walau sedikit… aku janji, aku akan jaga dia seumur hidup aku.”
Satu hela nafas perlahan dilepaskan.
Luth capai pen di meja. Jari-jarinya kembali menari di atas helaian kosong.
“Bella,
Hari ni abang tulis lagi. Walaupun Bella takkan baca. Mungkin tak patut pun tulis nama Bella kat sini, tapi abang takut satu hari nanti abang lupa... lupa rasa ni pernah wujud dalam hati abang.
Bella buat abang rasa tenang.
Tapi Bella juga buat abang rasa bersalah.”
Titik terakhir ditulis perlahan.
Dia lipat helaian itu, masukkan dalam poket kecil di hujung diari. Satu hari nanti mungkin dia akan bakar semuanya. Atau… mungkin satu hari nanti, dia akan serah semuanya.
Tapi bukan hari ini.
Kerana hari ini, dia masih Luth Hazman.
Seorang abang. Yang mencintai adik angkatnya dalam diam.
Share this novel