BAB 17: Homesick ?

Romance Series 2408

SUDAH genab sebulan sejak Bella jejakkan kaki ke kampus. Tapi selama dua minggu akhir-akhir ini Luth hidup dalam sepi. Telefon yang selalu berbunyi setiap malam kini hanya berfungsi sebagai jam loceng dan kenangan. Tiada lagi panggilan sebelum tidur. Tiada lagi pesanan ringkas, “Dah makan ke, abang?”

Yang tinggal Cuma dua tanda biru.

Tanda baca.
Tanda diam.

Petang itu di pejabat, Luth memerhati skrin komputer. Jemarinya berhenti menaip, walau deadline projek semakin hampir. Semangatnya… hilang entah ke mana.

Tangannya membuka WhatsApp. ‘My Sweet Bella – nama yang masih berada di pinned chat paling atas.

Senyap.
Sunyi.

Satu hela nafas berat dilepaskan sebelum dia menaip:

“Bella… kalau malam ni masih tak jawab, abang akan cari Bella kat kampus, depan kolej, bawa megaphone sambil nyanyi lagu ‘Rindu Serindu-Rindunya’.”

Minit demi minit berlalu.

Akhirnya…

“Abang gila ke?! Jangan malukan Bella”

Luth tersenyum.
Bibirnya perlahan-lahan tersungging naik. Tapi hatinya masih belum sejuk.

“Tahu malu tapi tak tahu rindu?” - Luth

Bella hanya typing…typing…
Dan kemudian,

“Maaf.” - Bella

Luth geleng kepala, senyum pahit.

“Tu je?” - Luth

Sunyi lagi.

Kemudian masuk satu gambar. Gambar selfie Bella bersama caption memujuk.

“For Abang. Maafkan Bella. Maaf sebab buat abang tunggu. Bella rindu. Tapi Bella takut bila terlalu rindu.”

Beberapa jam kemudian…

Telefon berbunyi. Panggilan video masuk. Nama ‘My Sweet Bella’ tertera.

Luth terus jawab, tak tunggu.

“Assalamualaikum…” suara Bella perlahan, wajahnya di balik selimut tebal dikatil.

“Waalaikumussalam. Bella demam?” Luth berlagak selamba, padahal hati dah berbunga-bunga.

“Taklah…”

“Kenapa suara macam orang nak menangis?”

“Mana ada,” Bella cepat-cepat mengelak, sengih sikit. “Abang makan apa hari ni?”

Luth mendekat ke skrin, suara makin perlahan. “Hari ni abang makan rindu. Penuh pinggan. Tak habis lagi.”

Bella tergelak kecil, malu. “Abang ni tak habis-habis.”

“Memang tak nak habis. Sebab satu-satunya peneman abang selama ni dah jauh.”

Bella tunduk. Matanya berkaca.

“Bella…”

“Hm?”

“Jangan senyap lama sangat. Abang ni… kuat. Tapi kalau bab Bella, abang lemah.”

Sunyi.

Kemudian Bella angkat wajah. “Maaf sebab buat abang rasa macam Bella tak peduli. Tapi Bella… tengah cuba jadi kuat sendiri.”

“Kenapa kena sendiri?”

“Sebab kalau Bella asyik harap abang, Bella takut Bella lupa cara nak berdikari.”

Luth diam sebentar, senyum nipis.

“Okay… abang faham. Tapi janji satu je…”

“Apa?”

“Jangan lupakan abang.”

MALAM ITU langit gelap tak berbintang. Tapi cahaya skrin telefon cukup untuk menerangi wajah Bella yang sedang berbaring di katil sambil bersandar pada dinding. Suara Luth kedengaran perlahan dari speaker telefon.

“Abang baru balik ni. Penat gila… tapi bila dengar suara Bella, terus segar.”

Bella tersenyum kecil. “Abang tak bohong ke ni?”

“Kalau abang bohong, biar esok pagi kopi abang tumpah atas laptop.”

Bella tergelak. “Ish, janganlah sumpah macam tu.”

“Haa… maknanya abang jujur. Bella pula macam mana hari ni?”

“Okay je… kelas tak banyak. Esok pun tak ada apa.”

“Cuti ke?” soal Luth cepat.

“Hmm… ya. Hujung minggu lepas tu sambung public holiday pulak. Roommate pun dah plan balik rumah masing-masing.”

“Bella balik juga?” tanya Luth, nada harap.

Bella diam sejenak. Wajahnya berubah serius.

“Tak tahu lagi…” bohong Bella perlahan.

“Hm. Kalau Bella tak balik, abang datang kampus, duduk luar pagar sampai Bella sudi jumpa.”

Bella tergelak hambar. “Abang ni tak habis-habis nak ugut.”

“Rindu punya pasal…”

Beberapa jam kemudian

Bella duduk termenung di birai katil. Matanya masih tertancap pada skrin telefon.

Dia sudah buat keputusan.

Dia mahu balik. Tapi bukan sebab rindu semata-mata. Dia Cuma… nak rasa tenang di rumah. Tanpa terlalu banyak persoalan atau tekanan.

Lalu dia buka mesej lama dari driver mereka dan menaip mesej,

‘Uncle Salleh, boleh jemput Bella esok pagi? Jangan bagitahu sesiapa ya. Suruh bibik bukakan pintu saja.’

Jawapan diterima kurang dari seminit.

‘Baik, Cik Bella. Uncle datang seperti biasa, pukul 8 pagi ya.’ Jawapan balas dari pemandu rasmi Dato’.

Bella menarik nafas panjang. Dia tahu Luth akan beleter panjang bila tahu Bella balik tanpa beritahu.

Tapi kadang-kadang… untuk tenangkan hati, dia perlu lari sekejap walau daripada orang yang paling dia sayang.

Keesokan paginya… Langit mendung. Angin pagi sejuk menusuk kulit. Bella berjalan keluar dari blok asrama dengan beg galas sederhana. Pemandu sudah menunggu seperti yang dijanjikan.

“Selamat pagi, Cik Bella,” ucapnya sopan sambil bukakan pintu belakang kereta.

“Pagi uncle. Terima kasih ya.”

Tanpa banyak bicara, kereta mula meluncur di atas jalan kampus yang masih sunyi. Bella bersandar pada tingkap, melihat dunia yang perlahan-lahan bergerak di luar.

Tiada sebarang mesej dihantar pada Luth pagi itu. Panggilan telefon Luth juga diabaikan.

Cuaca petang mula redup, angin bertiup perlahan. Luth baru sahaja pulang dari pejabat, penat dan bertekad mahu terus naik ke bilik selepas mengambil air di dapur.

Tapi langkahnya terhenti di depan pintu rumah. Matanya tertancap pada sepasang kasut Vans berwarna krim, kasut Bella yang dia hadiahkan.

Keningnya terangkat. “Eh?”

“Bibik!” Luth menjerit kecil.

Bibik menjenguk dari dapur. “Ya Luth?”

“Ni… kasut Bella ke ni?”

Bibik kelihatan serba salah. “Err… saya tak pasti… kot-kot tertinggal ke sebelum dia pergi…”

Luth menyipitkan mata. “Bibik…”

“Err… saya masak dulu ya Luth.” Bibik laju berpaling semula.

Tanpa tunggu lama, Luth berlari naik tangga dua anak sekali. Tombol pintu bilik Bella dipusing. Perlahan, dia tolak. Dan… di situ Bella.

Berbaju T-shirt oversized, rambut diikat messy bun, sedang duduk bersila di atas katil sambil menikmati maggi dalam mangkuk besar.

Terkebil-kebil mata Bella bila nampak Luth berdiri tercegat di depan pintu dengan muka blur campur bengang.

“Abang?!”

Luth masuk dengan langkah panjang. “Bila balik?! Kenapa senyap?! Kenapa tak cakap apa-apa?!”

Bella tarik comforter, konon nak sorok muka. “Cutiiii… public holiday… nak balik rumah rehat, tak boleh?”

“Tak boleh?! Kalau abang tak perasan kasut Bella tadi, abang tak tahu langsung Bella ada kat sini! abang tunggu call dari pagi lagi, sekali balik senyap-senyap?!”

Bella buat muka tak bersalah. “Bella rindu bilik ni… rindu tilam, rindu sabun kat bilik air…”

“Tak rindu abang?!”

Bella terdiam. Tapi senyum nakal mula muncul.

Luth menghampiri, duduk di hujung katil. “Bella… abang rindu tau. Bukan sikit-sikit. Sampai bau syampu Bella pun abang boleh ingat.”

“Creepy-nya…” gumam Bella, sengaja menyakat.

Luth gelak. “Abang tak kisah nak jadi creepy stalker kalau Bella tak jawab phone lagi.”

Bella letak mangkuk maggi di meja sisi, lalu memeluk lutut. “Bella cuma… tak tahu macam mana nak uruskan perasaan.”

Luth pandang wajah itu. Lembut, tenang… dan tetap wanita yang dia sayang sejak dulu.

“Abang pun tengah belajar, Bella. Tapi janganlah lari macam ni. Hati abang ni bukan tong sampah tau, kena buang tak tentu hala.”

Bella senyum kecil. “Tapi hati abang kuat.”

Luth ketawa kecil, kemudian mencubit pipi Bella perlahan. “Kuat sebab penuh Bella dalam tu.”

Suasana hening seketika, tapi selesa. Hanya bunyi angin kipas dan detik jam dinding.

Kemudian Luth tiba-tiba bersuara, “Abang ada bawa beli air kegemaran Bella tadi. Abang sangka Bella tak ada. Tapi sekarang Bella kena turun minum dengan abang. Tak boleh tolak.”

Bella mencebik. “Kalau Bella tak turun?”

“Abang naik atas setiap 10 minit bawa air lain. Sampai Bella mabuk air manis.”

“Abang ni dah kenapa suka ugut-ugut ni…” Bella bangun dari katil, menolak bahu Luth ringan.

“Eh, Bella tolak abang?” Luth buat muka sedih. “Terguris hati ni.”

Bella tergelak kecil. “Sorry abang… Bella tak pandai nak pujuk…”

“Tak payah pujuk,” Luth tiba-tiba merapat, mencuit hidung Bella. “Cukuplah Bella ada depan mata sekarang ni. Itu pun dah lebih dari cukup untuk hari ni.”

Bella terkedu. Beberapa minggu berlalu, baru saat ini dia senyum dengan tenang dalam diam, meletakkan semua rindunya di mata Luth.

Selepas berborak panjang dengan Luth, Bella sudah bersila atas sofa ruang tamu. Rambut masih bersepah, baju T-shirt tadi pun masih sama. Remote TV ditangan, fokus sepenuhnya pada kartun Oggy & the Cockroaches yang sedang bersiaran.
Kadang kala tawa halus muncul dari mulut Bella.

“Bella…”
Luth muncul dari dapur dengan secawan air coklat. “Jom keluar. Kita pergi minum kat kafe depan taman tu. Abang dah lama tak dating dengan Bella”

Bella tidak menoleh seraya membalas. “Bella nak habiskan satu episod ni dulu.”

“Yang ni dah habis. Tengok tu, dah naik kredit lagu.”

Bella pantas tukar ke siaran kartun lain. “Hah, ni ada lagi.”

Luth pegang pinggang, berdiri tegak depan TV. “Bella, abang tak kisah tunggu sebulan untuk pandang muka Bella, tapi sekarang nak ajak keluar pun susah?”

“Cuaca panas,” jawab Bella, malas-malas.

“Abang drive, air-cond dalam kereta sejuk.”

“Bella ngantuk.”

“Nanti abang belikan air teh ais extra pearl!”

Bella buat muka manja. “Nak air jagung campur cincau.”

Luth angguk penuh yakin. “Deal! Jom tukar baju!”

Bella sandar ke sofa, pejam mata. “Bella malas la nak keluar. Nak layan kartun.”

Luth mula geram. Dia merapat, duduk atas meja kopi depan Bella. “Okay, last warning. Kalau Bella tak bangun dalam tiga saat…”

Bella buka sebelah mata. “Nak buat apa? Cubit?”

“Satu… dua…”

“Bella bukan budak kecik, abang.”

“Tiga!”

Tanpa tunggu, Luth terus tunduk, angkat Bella dengan gaya bridal carry.

“Abang!!!” jerit Bella sambil menampar-nampar bahu Luth.

Luth tergelak besar. “Ni cara paling berkesan pujuk Bella yang keras kepala.”

“Turunkan! Bella berat!”

“Eh, berat sebab degil. Bukan sebab badan.”

“Abang ni”

“Shhh… jangan gaduh. Kita baru nak sweet balik.”

“Abang…” seru Bella perlahan.

“Yes?” jawab Luth lembut dengan langkah perlahan ke bilik.

“Nothing..” Bella tidak meneruskan kata-katanya.

“Sayang..” Luth memanggil Bella dengan romantik.

“Hmm?” gumam Bella.

“Yes. Akhirnya, Bella mengaku jugak”

Bella menekup muka ke dada Luth, malu dan geram dalam masa yang sama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience