LANGIT petang mendung redup. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup daun-daun ketapang di laman rumah, menambahkan rasa damai yang tenang. Dari jauh, kedengaran enjin kereta berhenti di hadapan pagar utama. Bella yang sedang menyiram bunga segera menoleh. Luth pula muncul dari sisi pintu, meletakkan telefon ke poket seluar.
“Opah dah sampai ke?” tanya Luth, matanya turut memandang ke arah jalan masuk.
“Rasanya ya,” balas Bella pendek, menyeka tangan pada kain lap sambil menahan debaran halus di dada.
Beberapa saat kemudian, pintu kereta dibuka, dan sosok yang dirindui muncul. Langkahnya perlahan, tapi senyuman lebar tidak lekang dari bibir.
“Assalamualaikum, cucu Opah,” sapa Opah ceria.
“Waalaikumussalam, Opah!” Bella cepat-cepat menyambut dan memeluk tubuh tua itu. “Rindunya!”
Luth turut mencium tangan Opah. “Opah sihat?”
“Alhamdulillah, sihat cukup untuk datang tengok cucu-cucu Opah,” jawab Opah, ketawa kecil.
Tanpa kehadiran Dato’ dan Datin yang masih di Mekah, rumah terasa sunyi namun damai. Luth dan Bella melayan Opah dengan penuh perhatian menyediakan minuman, berbual di ruang tamu, dan menyiapkan bilik tetamu kegemarannya.
Waktu senja, mereka bertiga duduk di anjung rumah. Langit jingga, burung mula berterbangan pulang. Suasana tenang hanya ditemani secawan the panas dan kuih muih di atas meja kecil rotan.
“Rumah ni tetap rasa hidup bila Opah datang,” ujar Luth sambil mengangkat cawan.
“Bukan rumah ni yang hidup… kamu dua yang buat Opah rasa muda balik,” jawab Opah, mengenyit mata.
Bella hanya ketawa kecil, tapi matanya sempat mencuri pandang ke arah Luth. Segala gundah yang dipendam, seolah reda seketika dengan kehadiran Opah.
“Bella nampak ceria… tapi mata tu masih ada cerita,” tegur Opah lembut, memandang Bella.
Bella tersentak sedikit. “Eh, Opah ni..”
Opah mengusap tangan Bella, hangat dan penuh kasih. “Opah kenal cucu Opah ni… simpan banyak dalam hati.”
Luth diam di sebelah, tapi pandangannya jatuh pada wajah Bella yang tunduk.
“Opah nak tanya satu soalan. Tapi jawab bila kamu bersedia,” ujar Opah perlahan.
Bella dan Luth berpandangan sekilas. Opah sambung, suaranya tenang.
“Kamu berdua… tahu tak perasaan masing-masing tu bukan lagi macam adik-beradik?”
Bella kelip mata laju. Jantungnya seperti terhenti sebentar.
Luth telan liur, cuba menahan reaksi.
“Opah tak marah. Opah tak terkejut. Opah… dah lama nampak. Dari cara Luth pandang Bella pun, Opah tahu perasaan tu tak sama.”
“Opah…” Bella bersuara, tapi tak tahu apa mahu dikatakan.
“Opah bukan nak desak. Tapi Opah dah serahkan satu benda dulu. Gelang tu…” Opah pandang tangan Bella. “Itu bukan sekadar hadiah.”
Bella menoleh ke arah Luth. “Maksud opah?”
Luth angguk perlahan. “Opah minta Luth beri pada orang yang berjaya miliki hatinya…”
Opah tersenyum lembut. “Dan dia pilih kamu, Bella.”
Airmata Bella tumpah perlahan. Bukan kerana sedih, tapi kerana kelegaan kerana selama ini dia ragu. Kini hatinya mula yakin. Walaupun belum disebut dengan kata, tapi restu itu sudah pun tersirat.
“Kalau kamu berdua betul-betul rasa begitu… Opah doa yang terbaik. Jangan paksa, jangan sorok. Sayang itu… Allah yang hadirkan. Opah Cuma harap, jangan sakiti sesama sendiri.”
Luth mencapai tangan Bella di atas meja tidak lama, cukup untuk menyampaikan satu rasa.
“Bella…” bisiknya perlahan. “Abang pun nak jaga rasa ni… baik-baik.”
Opah hanya tersenyum puas, memandang ke langit yang kini bertukar keunguan. Dalam diam, dia tahu… benih cinta yang pernah dia lihat sewaktu kecil dulu, kini sedang mula tumbuh, dengan izin Tuhan.
Malam menjelma perlahan. Rumah tenang disimbah cahaya lampu malap dan desir angin malam yang menampar dedaunan di luar. Bella duduk di ruang bacaan, buku di tangan tidak lagi dibaca. Fikirannya terawang-awang masih dibayangi kata-kata Opah petang tadi.
“Dia pilih kamu, Bella.”
Hatinya yang selama ini membeku dengan persoalan dan ketidakpastian kini terasa cair, perlahan-lahan.
Bunyi ketukan halus mengejutkannya. Bella berpaling. Luth berdiri di pintu, memegang dua cawan coklat panas.
“Untuk bakal cikgu yang paling kuat simpan rasa,” ucapnya perlahan.
Bella ketawa kecil, tapi matanya berkaca.
Luth melabuhkan punggung di sebelah. Mereka diam seketika. Cuma bunyi angin dan detik jam yang menemani.
“Bella…” Luth bersuara perlahan. “Abang dah lama suka Bella. Sejak sebelum abang tahu apa itu cinta.”
Bella tidak bersuara. Dia hanya mendengar , jiwanya bergetar hebat.
“Mula-mula abang fikir, perasaan ni salah. Tapi makin abang jauh, makin abang rasa kosong. Makin abang elak, makin abang rindu.”
Bella mengalihkan pandang ke arahnya. “Kenapa tak beritahu lebih awal?”
“Abang tunggu masa yang betul. Tapi rupanya, masa tak pernah betul kalau kita asyik takut.”
Bella senyum sayu. “Bella pun takut… abang bukan siapa-siapa… tapi dalam hati Bella, abang dah lama jadi semua.”
Mereka berpandangan kali ini lama. Tidak ada lagi tabir antara mereka. Tiada lagi nama ‘abang’ dan ‘adik’ yang memenjara rasa.
Luth memegang tangan Bella. “Kalau Bella izinkan… abang nak terus sayang Bella. Bukan sebagai abang. Tapi sebagai lelaki yang nak jaga Bella sampai syurga.”
Bella mengangguk perlahan. Airmata tumpah juga akhirnya bukan kerana sedih, tapi kerana gembira yang tak mampu ditahan lagi.
“Bella izinkan…”
Malam itu, mereka duduk lama. Bercakap tanpa suara, tetapi hati mereka berbual dengan jujur. Dan di ruang yang tenang itu, cinta yang selama ini dipendam, akhirnya disambut dengan penuh redha dan harapan.
Angin pantai berhembus lembut, membelai rambut Bella yang terurai sedikit. Langit berwarna oren keemasan, dan burung camar berterbangan rendah di atas laut. Suasana petang itu macam lukisan hidup cukup cantik… cukup sesuai untuk sesuatu yang istimewa.
“Eh, abang bawa Bella jauh-jauh ni… nak jual ke?” usik Bella dengan senyuman kecil, cuba mencairkan kesunyian mereka.
Luth ketawa perlahan. “Kalau jual, ada orang nak beli ke? Bella ni banyak ragam.”
“Eh, banyak ragam tu sebab abang yang ajar, kan?” balas Bella sambil menjeling manja.
Mereka sama-sama duduk di atas tikar kecil yang Luth bentangkan. Sebungkus keropok lekor dan air kelapa tersusun rapi, macam perkelahan kecil. Luth kelihatan sedikit resah, walaupun cuba disorokkan di sebalik senyum selambanya.
Bella perasan Luth hari ni macam pelik. Senyap banyak. Asyik jeling poket jaket.
“Abang simpan keropok dalam poket ke?” tegur Bella tiba-tiba.
Luth terbatuk kecil. “Ha? Mana ada.Err.. Ini…”
Dia keluarkan satu kotak baldu kecil berwarna kelabu. Bella spontan tergamam.
“Jangan cakap dalam ni ada biji saga,” Bella berseloroh, cuba redakan debaran yang tiba-tiba muncul.
Luth tergelak sambil duduk bersila menghadap Bella. Wajahnya kini serius, tapi matanya masih lembut seperti selalu.
“Bella… kita dah lama kenal. Dah lama hidup sama. Dari Bella kecik, sampai Bella makin tinggi dari dulu”
“Abang… Bella tak tinggi pun. Tu sebab kasut tebal!” potong Bella sambil ketawa kecil.
Luth geleng kepala. “Apa-apa jelah. Tapi… yang abang tahu, sayang abang pada Bella… tak pernah berubah. Malah makin susah abang nak simpan.”
Bella terpempan. Luth buka kotak ditangan, ada cincin perak manis sederhana, tapi cukup untuk buat Bella telan air liur perlahan.
“Abang tak nak tunggu sampai Bella jauh dari abang, baru nak ikat janji. Jadi sebelum Bella sambung belajar, abang nak Bella tahu satu benda.”
Bella diam, tangan dikepit antara lutut, pipi dah mula merah.
Luth sambung, “Will you be my special? Untuk kita simpan rasa ni… dan simpan Bella elok-elok sampai tiba masa kita halal nanti?”
Bella terdiam beberapa saat. Luth dah mula rasa cemas.
“Kalau Bella tak sudi, abang..”
“Sudi…,” potong Bella perlahan. “Tapi dengan satu syarat.”
Luth angkat kening. “Apa dia?”
Bella ambil air kelapa dan hulur. “Minum ni dulu. Dah lama sangat abang berdrama. Nanti pengsan pula tak cukup air.”
Luth ketawa kuat, sampai terbatuk. “Bella ni… romantik betul cara jawab lamaran.”
Bella tersengih. “Kalau abang nak romantik sangat, lamarlah masa Bella tengah naik roller coaster.”
“Tak payah. Abang takut Bella jawab sambil jerit. Orang ingat Bella tolak.”
Akhirnya, Luth bangun perlahan, menyarung cincin di jari manis Bella dengan tangan sedikit menggigil.
“Imbas balik nanti, kita akan gelak sebab lamaran ni kelakar. Tapi… abang tetap serius.”
Bella senyum manja, dan perlahan bersandar pada bahu Luth. Mereka duduk di situ, memerhati langit yang semakin gelap dua hati yang akhirnya bersatu dalam tenang, tanpa tergesa-gesa, cuma… perlahan-lahan jatuh cinta semula.
Share this novel