ENAM tahun telah berlalu sejak Isabella melangkah masuk ke dalam kehidupan keluarga Hazman. Kini, pada usia dua belas tahun, Bella telah membesar menjadi seorang kanak-kanak yang ceria dan penuh semangat. Rambutnya yang panjang sering diikat dua, dan matanya yang besar sentiasa bersinar apabila melihat Luth.
"Abang Luth, tolong Bella ikat reben ni boleh?" pinta Bella sambil menghulurkan seutas reben berwarna merah jambu.
Luth, yang kini berusia 15 tahun, tersenyum melihat keletah adik angkatnya itu. "Mari sini, Bella. Abang tolong ikatkan."
Sambil mengikat reben di rambut Bella, Luth tidak dapat menahan senyumannya. Hubungan mereka semakin rapat sejak Bella mula memanggilnya "Abang". Panggilan itu membuatkan Luth merasa bertanggungjawab dan melindungi Bella seperti adik kandung sendiri.
Setiap hari, Luth akan memastikan Bella bersedia untuk ke sekolah. Dia akan membantu Bella dengan kerja rumah, membacakan cerita sebelum tidur, dan memastikan Bella tidak merasa terasing dalam keluarga mereka. Walaupun Bella bukan adik kandungnya, Luth menyayangi Bella sepenuh hati.
Namun, dalam diam, perasaan 'sayang' itu mula berubah. Luth mula menyedari bahawa perasaannya terhadap Bella bukan sekadar kasih sayang seorang abang kepada adik. Dia mula merasa berdebar setiap kali Bella memeluknya dengan manja.
"Abang Luth, kenapa muka abang merah?" tanya Bella suatu hari apabila melihat pipi Luth yang kemerahan.
"Abang... panas sikit je," jawab Luth sambil mengalihkan pandangannya.
Luth sedar bahawa perasaannya tidak sepatutnya wujud. Bella masih kecil, dan dia adalah abangnya. Dia cuba menafikan perasaan itu, menyibukkan diri dengan pelajaran dan aktiviti sekolah. Namun, setiap kali melihat senyuman Bella, hatinya kembali bergetar.
Suatu malam, Luth terdengar Bella menangis di biliknya. Dia segera masuk dan melihat Bella memeluk patung beruang kesayangannya, Mimi.
"Kenapa Bella menangis?" tanya Luth dengan lembut.
"Bella mimpi buruk... Bella takut," jawab Bella sambil teresak-esak.
Luth duduk di sisi Bella dan memeluknya erat. "Abang ada di sini. Bella tak perlu takut. Abang akan jaga Bella."
Pelukan itu membuatkan Luth merasa tenang, namun dalam masa yang sama, perasaannya semakin bercelaru. Dia tahu bahawa perasaannya terhadap Bella semakin mendalam, dan dia takut jika suatu hari nanti perasaan itu akan terbongkar.
Luth mula menulis diari untuk meluahkan perasaannya. Dalam diari itu, dia menulis tentang kebimbangannya, tentang rasa bersalahnya, dan tentang cintanya yang tidak sepatutnya wujud.
"Saya sayang Bella. Tapi saya takut... takut dianggap gila, atau paling buruk, perosak kasih sayang keluarga sendiri," tulis Luth dalam diarinya.
Walaupun perasaannya semakin kuat, Luth bertekad untuk menyimpan rahsia itu. Dia tidak mahu merosakkan hubungan mereka yang indah. Dia akan terus menjadi abang yang terbaik untuk Bella, walaupun hatinya terluka setiap kali melihat Bella semakin membesar dan semakin jauh dari pelukannya.
BEBERAPA minggu kemudian, Luth mula jarang berada di rumah waktu petang. Bukan kerana dia sibuk tapi dia cuba menjauh. Cuba beri ruang. Cuba padamkan rasa.
Namun, setiap kali pulang ke rumah, ada suara kecil yang menyambutnya dengan wajah penuh cahaya.
"Abang Luth! Bella lukis abang!" kata Bella dengan senyuman bangga, sambil mengangkat sekeping kertas lukisan yang penuh dengan warna-warna ceria.
Di atas kertas itu tergambar dua orang, seorang lelaki tinggi dan seorang gadis kecil berambut dua ikat. Di atas lukisan itu tertulis dengan tulisan yang kemas: “Abang Luth & Bella selamanya.”
Luth ketawa kecil. “Comel... tapi kenapa abang gemuk sangat dalam ni?”
Bella muncung. “Sebab abang suka makan nasi banyak! Tapi Bella sayang abang juga.”
Hati Luth tersentak. Kata-kata itu… ikhlas. Terlalu tulus hingga menyakitkan hatinya sendiri.
“Bella… nanti kalau abang jauh, Bella masih akan lukis abang tak?” soalnya, sengaja memancing.
“Kenapa abang nak jauh? Abang marah Bella ke?” Suara Bella berubah cemas.
Luth cepat menggeleng. “Taklah. Abang gurau je. Abang takkan tinggalkan Bella. Janji.”
Bella menghulur jari kelingkingnya. “Janji, ya?”
Luth sambut jari itu dan mereka berjanji jari kecil dan jari panjang itu terikat oleh janji senyap yang hanya mereka fahami.
Malam itu, Luth termenung di meja belajarnya. Diari miliknya terbuka separuh, pen tergenggam di jari. Dia ingin menulis sesuatu, tapi kali ini bukan keluhan. Dia ingin menulis doa.
“Ya Allah, aku keliru. Aku tak minta rasa ni. Aku cuma nak jadi abang yang baik. Tapi kenapa rasa ni macam tak nak pergi?”
“Bella terlalu kecil untuk faham. Aku terlalu muda untuk tahu apa yang betul. Tapi hati ni dah mula pilih dia.”
BEBERAPA bulan berlalu dan Bella makin membesar. Dia kini suka bercakap, suka bercerita tentang sekolah, tentang cikgu, tentang kawan-kawan. Tapi setiap kali dia sedih, dia tetap akan lari ke satu tempat: pelukan Luth.
“Abang Luth… Bella gaduh dengan kawan tadi. Dia ejek Bella anak angkat. Bella sedih…” ucapnya suatu hari dengan mata merah menahan tangis.
Luth tunduk, menggenggam tangan kecil itu. “Bella dengar sini… jadi anak angkat tak buat Bella kurang hebat. Bella disayangi. Abang sayang Bella. Mama sayang. Papa sayang.”
“Betul?” Suara Bella bergetar.
“Ya. Bella hadiah paling cantik untuk keluarga ni.”
Luth tak pernah lupa hari itu. Hari dia sedar, kasihnya pada Bella bukan sekadar simpati. Ia adalah rasa yang hidup yang berdenyut dalam diam, yang bernafas walau ditahan.
Tapi dia juga tahu, dunia tidak akan faham.
Jiran, saudara, malah mungkin ibu bapanya sendiri akan bertanya — kenapa?
Dan Luth masih terlalu muda untuk menjawab soalan itu.
Suatu petang, Luth pulang lewat dari perpustakaan. Di hadapan rumah, dia nampak Bella duduk di tangga, kepala tersandar ke lutut.
"Kenapa tak masuk rumah?" tanya Luth, sedikit cemas.
"Abang lambat… Bella tunggu. Bella takut abang lupa Bella."
Luth terkedu.
Dia melutut di depan Bella, menyentuh pipi gadis kecil itu. “Mana mungkin abang lupa Bella. Abang mungkin jauh… tapi abang tetap abang.”
Bella tersenyum kecil, masih dengan mata berkaca. “Janji, ya?”
“Janji sampai bila-bila.”
Malam itu, selepas Bella tidur, Luth duduk di sisi katilnya. Dia pandang wajah yang begitu damai itu wajah yang mengajarnya tentang erti tanggungjawab, tentang kasih… dan tentang ketakutan.
Dia tahu satu hari nanti, Bella akan membesar jadi gadis remaja. Dan dia, akan semakin terseksa memendam semua rasa ini.
“Ya Allah… aku mohon. Kalau rasa ni salah, padamkan. Tapi kalau rasa ni ujian, beri aku kekuatan untuk jaga dia dengan hormat… dengan ikhlas, tanpa perlu dia tahu.”
Share this novel