BAB 3

Fantasy Series 14987

Sudah hampir dua minggu Syaza cuba untuk mencari kerja. Namun dia gagal. Langsung tidak diterima di mana-mana syarikat walaupun pasaraya. Lelaki yang dijumpai hari itu betul-betul mengotakan janjinya. Nama Syaza sudah disenarai hitamkan dari menyertai mana-mana syarikat.

Seperti biasa Syaza terpaksa menaiki LRT untuk pulang ke rumah selepas mencari kerja. Hanya itu sahaja yang dia mampu memandangkan dia terpaksa berjimat-cermat. Hatinya makin gelisah kerana dalam kurang 10 hari sahaja lagi akan berganti bulan yang baru. Kebiasaannya dia akan membayar sewa rumah pada awal bulan. Sudahla sewa hampir mencecah seribu sebulan. Lagi parah dia tinggal bersendirian. Nasib baiklah Arif baik hati tolong membayarkan separuh dari kadar harga rumah yang disewanya. Jika tidak mana mungkin dia mampu menyewa sebuah rumah.

LRT sesak kerana ramai yang mahu pulang ke rumah selepas seharian bekerja. Syaza terpaksa menyelit dan berhimpit. Makin lama makin berkurang orang. Syaza pula turun di stesen yang terakhir jadi dia tidak ada masalah untuk mendapatkan tempat duduk yang kosong kerana kebanyakannya turun di tempat berlainan dan tidak ramai yang turun di stesen yang terakhir.

Earphone dipasang di telinga. Sambil menunggu, bolehlah dia mendengar lagu untuk dijadikan halwa telinga. Tak adalah bosan. Sedang asyik melayani perasaan, dia terasa dirinya seperti sedang diperhatikan. Terus sahaja Syaza menoleh ke arah hadapan.

Dahinya berkerut melihat seorang lelaki bersut kerja sedang memandang tepat pada dia. Walaupun lelaki itu memakai kacamata hitam namun dia tahu lelaki itu sedang memandang dirinya. Tadi tak perasan pula lelaki itu masuk. Oh mungkin kerana ralik mendengar lagu ataupun bersesak-sesak tadi. Syaza bukan jenis perhatikan orang sangat.

Bila diamati wajah lelaki itu, dia seakan mengenalinya. Lagi-lagi apabila melihat senyuman senget lelaki itu. Macam pernah jumpa tapi di mana. Puas dia memikirkan. Barulah dia teringat.

Lelaki itu! Lelaki yang telah memecat dia sesuka hati!

"Awak!" Syaza menudingkan jari telunjuk tepat pada wajah Hairi.

Semua orang memandang gelagat Syaza memandangkan suasana agak senyap sahaja. Syaza pula bercakap sedikit kuat.

"Kau buat apa dekat sini? Kau intip aku ke!" Kali ini Syaza bercakap agak kasar. Dia masih menudingkan jarinya.

"Adik cakap dengan siapa?" Seorang wanita dalam lingkungan umur 40an di sebelah Syaza menegur. Pelik melihat si gadis menuding-nuding jari marahkan seseorang.

"Dia! Akak nampak tak lelaki yang duduk dekat situ?" Balas Syaza.

"Lelaki? Mana ada lelaki dekat situ. Semuanya perempuan."

Syaza menggosok matanya. Memang kerusi di hadapannya dipenuhi perempuan. Namun terselit seorang lelaki di situ. Dia sendiri nampak. Takkanlah wanita di sebelahnya tidak nampak.

"Lelaki tak guna tu adalah. Elok je duduk. Takkan akak tak nampak?"

"Lelaki tak guna? Siapa pula?" Wanita itu sudah menggaru kepala. Menyesal pula dia bertanya tadi. Agaknya gadis di sebelahnya ini gila. Apa yang dia nampak? Mana ada lelaki di situ.

Melihatkan banyak mata-mata memerhatikan dia, Syaza tersengih.

"Maaf, saya tersilap. Mamai. Biasalah." Belakang kepala diusap perlahan.

Dia pandang semula ke arah Hairi. Masih ada di situ. Langsung tidak berganjak. Dia menundukkan kepala. Apabila dia angkat semula kepala dan menoleh, dia nampak Hairi sudah duduk di sebelahnya memandangkan wanita tadi sudah bangun dan bersedia untuk keluar dari LRT.

Syaza meraup wajah. Terasa sedikit kecut. Langsung tidak dipandang bahagian sebelah. Dia hanya duduk dengan tegak.

Baru beberapa minggu lepas dia lihat lelaki itu sebagai manusia. Hari ini, dia jumpa lelaki itu sebagai roh pula? Apa yang terjadi kepadanya? Sudah meninggal?

"Awak boleh tolong saya tak?" Bisik Hairi.

Air liur diteguk. Seram sejuk Syaza mendengar suara bisikan dari Hairi. Laju kepalanya mengangguk. Takut diapa-apakan.

"Terima kasih."

Mendengarkan ucapan itu, Syaza menoleh semula. Hairi sudah tiada. Terasa Lega sedikit hatinya.

Eh kejap. Lelaki itu minta tolong? Jadi dia bersetuju? Habislah! Macam mana. Boleh pula dia mengangguk tanda setuju. Kenapa lelaki itu meminta pertolongannya? Boleh sahaja minta orang lain. Kenapa dia??

°°°°°°°°°°°°

Buka sahaja pintu, Syaza melaungkan nama adiknya.

"Anis oo Anis!"

Anis langsung tidak muncul.

"Anis!" Keras nada suara Syaza memanggil barulah Anis muncul. Itupun dengan rambut serabai. Naik terperanjat Syaza melihat adiknya sebegitu.

"Kau ni! Boleh tak muncul elok-elok sikit!" Marah Syaza. Dadanya diusap perlahan.

Anis cuma tertawa.

"Akak ada masalah ni!"

"Masalah apa pula? Dah dapat kerja lepas tu kena pecat?"

"Bukanlah!"

"Habis apa?"

"Anis ingat tak lelaki yang Anis cakap boleh nampak Anis tu."

"Ingat. Kenapa?"

"Akak jumpa dia dalam LRT! Tapi dia bukan manusia!"

Wajah Anis langsung tidak terkejut. Dia hanya beriak selamba.

"Tahu."

"Tahu? Kenapa tak beritahu akak? Apa yang berlaku?"

"Itulah! Lain kali jangan malas baca surat khabar! Boleh ikuti perkembangan semasa. Sekarang ni kan semuanya dihujung jari. Itu pun malas! Pergilah cari dekat internet!" Bebel Anis.

"Eh, marahkan kita pula. yelah-yelah." Syaza keluarkan telefon dan buka bahagian google.

"Nak taip pasal apa?" Kepala digaru.

"Apa-apa jelah! Huh! Itupun nak kena ajar!"

Syaza cuba menaip tentang kemalangan memandangkan dia tidak tahu nama penuh lelaki yang dijumpainya. Tiba-tiba keluar satu berita.

"Anak seorang ahli perniagaan terkenal terlibat dalam kemalangan jalan raya?" Tajuk berita dibaca Syaza.

Dia baca lagi. Terpampang di situ gambar Hairi.

"Tuan Hairi? Koma?" Syaza memandang Anis.

Anis menganggukkan kepala. Syaza jatuh terduduk di sofa. Wajahnya diraupkan. Nampaknya selepas ini hidupnya tidak akan aman seperti dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience