BAB 7

Romance Completed 4799

Sedar-sedar aja keesokan paginya dia dah dekat dalam bilik. Dia sendiri tidak pasti bagaimana dia keluar dari kereta Rina. Sama ada dipapah bapanya atau dia sendiri keluar dan berjalan ke biliknya dalam keadaan tidak sedar.

Serta-merta Aeril memandang ke arah jam di dinding! Sepuluh pagi. Alamak aku dah terlewat! Dahlah solat marghrib, isya’, subuh pun terlepas, kerja pun kena pergi lewatlah ni. Kang tak pasal-pasal kena marah dengan Encik Idris. Hari kedua kerja dah tunjuk belang! Apa lagi, terus meloncat dia bangun dari katil dan mahu mencapai tuala tetapi tindakannya terhenti apabila ibunya masuk ke dalam bilik.

“Eh, dah bangun?”

“‘Eh, dah bangun’ mama tanya? Aeril dah lambat nak masuk office ni!”

“Memang lambat. Dah pukul sepuluh macam ni, office mana nak terima? Silap-silap kena pecat. Baru masuk sehari dah datang lewat.” Selamba Puan Faridah menjawab.

“Janganlah buat Aeril takut, ma!”

Puan Faridah tergelak, “Tadi Johan ada call. Dia kata bos kamu bagi cuti hari ni.”

“Call? Telefon Aeril mana?” Aeril baru menyedari telefon bimbitnya tiada di sisi.

“Ada dekat ruang tamu. Kereta kamu pun dah dihantar balik. Bagus betul bos kamu, ya?”

Aeril sekadar tersengih.

“Sudah. Pergi mandi. Lepas tu turun sarapan,”

“Okay, ma!”

Habis saja bersarapan Aeril mengambil keputusan mahu keluar memandu keretanya pusing-pusing satu taman perumahan. Walaupun Puan Faridah sudah menasihatkannya duduk saja di rumah berehat tapi Aeril ni bukan jenis boleh duduk diam!

“Kan best kalau Rina ada dekat sebelah ni. Tapi bila Rina ada dekat sebelah pun, bukannya aku reti nak berborak dengan dia!” Aeril teringat kembali insiden semalam. Walaupun kena ‘tibai’ dengan tumit kasut, tapi dia rasa indah sekali! Memang gila!

Aeril baru teringat dia belum mengucapkan terima kasih kepada Dina kerana sudi membawanya ke klinik bapanya. Dahlah tu, percuma pula tu! Memang tak kenang budi betul kalau tak ucap terima kasih! Ish… ish…. ish… Bad habit!

Dia melihat jam tangannya, dah masuk waktu makan tengahari. Tak salah rasanya kalau nak call. Tapi dia tak ada nombor Dina. Ah, Johan mesti ada dengan Dina! Jadi sambil tangan kiri pegang stereng kereta, tangan kanannya pula mencari nombor Johan. Memang tak bagus untuk keselamatan betul! Sebaik saja dia menekan huruf ‘J’ alangkah terkejutnya di bawah nama ‘Johan’ terteranya nama ‘Julia Kirana’!

Akibat terlalu terkejut Aeril tertekan pedal minyak terlebih kuat sehingga menyebabkan skuter di hadapannya terbabas. Apa lagi, cepat-cepat Aeril memberhentikan kereta dan keluar dari kereta. Penunggang skuter tersebut sudah tersembam ke dalam semak manakala skuter hijaunya juga turut terbaring.

“Bang, maaf bang! Saya tak sengaja. Saya bawa abang pergi klinik, ya?” Aeril cuba membantu lelaki itu yang terkial-kial bangun.

Serentak itu lelaki itu membuka topi keledarnya, “Kepala longkang kau ‘abang’! Sejak bila mak aku kahwin dengan bapak kau?!”

Tercengang Aeril mendengar suara penunggang tersebut, “Awak ni perempuan?”

“Kau ni goblok ke begok ke idiot ke stupid?! Kau ada nampak ke buah halkum dekat tekak aku ni? Dahlah langgar orang tak tentu pasal! Lepas tu tak bersopan pula tu. Cikgu tadika kau dulu tak ada ajar kau bersopan ke?” gadis yang disangka lelaki itu menjerkah.

“Saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja.” Aeril berterusan membela diri.

“Kepala kau tu dah bertampal, sekali aku hempuk kau dengan helmet aku ni bocor terus kepala kau!” gadis itu masih berterusan tidak puas hati.

“Saya dah cakap maafkan? Kalau awak nak saya bayar ganti rugi, saya boleh bayar tapi tak perlulah awak nak tengking saya macam orang gila!” Aeril pula sudah mula hilang sabar.

Gadis itu menjeling sekilas. Dia terus bangun tanpa mempedulikan lagi Aeril. Dia menghampiri skuternya dan cuba mengangkat tetapi baru saja mahu diangkat dia mengerang.

Aeril menyedari lengan gadis tersebut luka, “Eh, tangan awak luka!”

“Tangan saya, bukan tangan awak!” gadis tersebut mula merubah gaya percakapannya daripada membahasakan diri ‘aku’ kepada ‘saya’ tetapi masih bersikap dingin.

“Biar saya hantar awak pergi klinik.”

“Tak payah. Saya boleh sapu ubat dekat rumah.”

“Kalau macam tu biar saya hantar awak balik. Rumah awak dekat mana?”

“Tak apa. Saya boleh balik sendiri. Kalau awak yang hantar, skuter saya nak campak mana? Lagipun rumah saya dekat aja. Depan tu hah,” Gadis itu menunjuk ke arah rumahnya.

Aeril melihat arah yang ditunjukkan, “Err… yang mana?”

“Yang warna hijau tu,”

“HAH?!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience