BAB 18

Romance Completed 4799

“Aeril, thanks tau sebab tolong ambilkan Ana semalam. Lepas tu awak bawa pula dia pergi makan. Thank you so much! Kalau tak ada awak, tak tahulah! Jadi, sebagai tanda terima kasih saya nak ajak awak keluar makan. Saya yang belanja. Okay?”

Itulah antara ayat-ayat terima kasih Rina. Tak sangka pula Rina betul-betul menghargai bantuannya. Siap nak belanja makan pula! Bak kata orang-orang tua, rezeki jangan ditolak maut jangan dicari.

Ikutkan hati, mahu aja dia siap pakai kemeja dan blazer bagai tapi nanti nampak bersemangat sangat! Jadi, Aeril cuma memilih untuk mengenakan pakaian lebih sempoi. Baju-T dengan jeans. Ala, bukannya nak makan dekat hotel lima bintang! Dekat restoran hujung rumah aja. Tapi takat hujung rumah pun, makanan dia memang terbaik gila! Jangan main-main.

Siap aja sentuhan terakhir pada rambut, Aeril terus bergegas ke restoran yang dimaksudkan. Rupa-rupanya Ana dan Rina sudah sedia menanti.

“Sorry terlambat.”

“Tak apa. Kitaorang pun baru aja duduk.” Ana ramah menjawab.

“Jangan risaulah,” Rina pula menyahut.

Selesai mengambil pesanan. Ada seorang lelaki lingkungan 20-an mendekati meja mereka dan menyapa Rina.

“Hai, Rina! Lama tak jumpa you!”

Rina dan Ana sama-sama terkejut apabila lelaki tersebut tiba-tiba muncul. Aeril jangan cakaplah. Berkerut keningnya melihat lelaki tersebut tiba-tiba datang menyapa.

“Dani, apa you buat dekat sini?” tanpa Aeril jangka, Rina mengenali lelaki tersebut.

“Saja lepak-lepak. Tiba-tiba ternampak you pula. Makin cantik sekarang.” Lelaki dipanggil Dani itu mahu mencuit dagu Rina tapi pantas ditepis Ana.

“Hei, jangan ganggu Kak Rina lagi! Dia dah tak nak dengan kau.” Ana pula bertindak.

“Eh, Ana! Ana pun nampaknya dah makin lawa sekarang. Ana ajalah dengan abang nak?” Dani seperti mahu menyentuh pipi Ana tapi kali ini Aeril pula bertindak dengan mencengkam tangan Dani.

“Jangan kacau diorang.”

“Eh, kau ni siapa?” Dani sudah menyeringai menahan sakit apabila lengannya kuat dicengkam Aeril.

“Tak kisahlah siapa aku. Tapi sekarang tolong jangan buat kecoh dekat sini. Sebelum aku cengkam tangan kau sampai patah baik kau pergi.” Aeril melepaskan cengkamannya.

“Rina, rupa-rupanya you dah ada pengganti ya? Tengoklah apa I akan buat!” Dani sempat mengugut sebelum meninggalkan mereka.

“Thanks, Aeril.” Muka Rina sudah mula pucat.

“It’s okay.” Aeril cuba tersenyum.

“Saya nak ke toilet.” Rina bingkas bangun menuju ke tandas.

“Siapa lelaki tu, Ana?”

“Bekas tunang Kak Rina. Diorang putus sebab Dani tu buaya darat. Biasalah, anak Dato’.” Ana menjawab.

“Oh…”

“Aeril tak cemburu ke?” pelik Ana apabila cuma ‘oh…’ saja dijawab Aeril.

“Kenapa pula nak cemburu?”

“Yalah. Diorang pernah bertunang. Jadi Aeril tak takut ke kalau Kak Rina balik dekat Dani?”

“Kalau Kak Rina sanggup putuskan pertunangan, maksudnya Kak Rina dah tak cintakan Dani lagilah, kan? Jadi buat apa nak cemburu?”

Ana masih lagi terkebil-kebil. Pelik melihat reaksi Aeril seperti tidak kisah saja apabila mengetahui Rina pernah bertunang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience