BAB 15

Romance Completed 8172

“Nanti dulu Aya. Mungkin, Aya rasa dah tak ada guna untuk Aya jumpa dia, tapi mak cik rasa Aya berhak tahu benda ni. Kalau tak, seumur hidup mak cik akan menyesal, nak.”, kata mak cik Som sambil menggengam jemari Aya dengan mata berkaca. Hati Aya terusik. Dibuangkan juga egonya untuk mendengar.

“Aya.. Aya tahu tak Luthfi tu waktu dia kecil, mak dia selalu sakit-sakit sampai dia kurang mendapat kasih sayang dan perhatian. Dato’ Hanafi, jarang ada dirumah. Dia selalu sibuk. Sebab tu bila ada orang sudi nak berkawan dengan budak gemuk macam dia, dan melindungi dia masa dibuli, dia rasa terharu sangat. Kalau dia balik sekolah je, dia selalu cerita pasal Aya pada ibu dia dan mak cik. Betapa dia menghargai Aya dalam hidup dia sampai dia tak sangka dia akan jatuh cinta pada Aya, dan berani pulak dia meluah perasaan pada Aya. Ya, memang dia sedih bila Aya tolak cinta dia. Tapi, lagi menyedihkan bila ibunya meninggal masa dia balik sekolah dan dia baru nak bercerita mengenai kekecewaan dia. Lepas daripada tu, Dato’ Hanafi mahu kami berpindah supaya dapat melupakan kenangan bersama isterinya.”

Aya melongo. Dikuncikan mulutnya untuk segala pertanyaan. Cuma dia tahu sesuatu, yang Luthfi berhenti sekolah bukan kerana dirinya.

“Luthfi kembali kesepian. Dato’ Hanafi sibuk lagi. Atau kata lain, sengaja menyibukkan diri. Dia memang sangat sayangkan isterinya, dan mulanya tidak mampu menerima takdir yang menimpa. Tapi, ada seorang wanita yang senasib dirinya. Kehilangan suami dan anak perempuan semasa kemalangan. Tambah berat, anaknya yang meninggal itu baru berusia 3 bulan, dan mayatnya tidak dijumpai di tempat kejadian. Wanita itu, amat berharap yang anaknya masih hidup sehingga hari ni tapi dia hampa. Dialah yang amat mengambil berat mengenai hidup Dato’ dan Luthfi. Jadi, Dato’ mengambil keputusan untuk menikah dengan Datin Sharifah Saleehah pada umur Luthfi 18 tahun dan anak perempuannya 17 tahun..” Aya menekup mulutnya.

“Datin Sharifah Saleehah?”, bisiknya. Ingatannya terimbau pada gambar yang dilihatnya pada hari dia berjumpa dengan Luthfi. Anak kecil itu ialah dirinya!

“Datin Saleehah sangat baik, tidak seperti ibu tiri yang lain. Dia begitu menjaga tertib anak perempuannya, khuatir disalah erti orang sekeliling. Sekarang anaknya sudah tamat belajar di luar negara, dan mereka berhasrat untuk menyatukan Luthfi dan anaknya. Luthfi hanya diam sebab dia berharap dia dapat berjumpa dengan Aya. Sampai satu ketika dia cerita pada mak cik dia ternampak Aya di sebuah bangunan, dan dia gembira sangat. Mak cik tak pernah nampak dia gembira begitu. Tapi, gembiranya tak lama bila dia teringat niat Datin. Datin yang banyak mencurah kasih sayangnya menggantikan ibunya, jadi dia tidak sampai hati untuk membantah. Selain mak cik, Datin juga lah yang banyak menjaganya dan memberi kekuatan kepadanya waktu dia sakit..”, ceritanya berhenti di situ. Airmatanya menitis. Aya masih diam. Berdebar menunggu cerita selanjutnya.

“Sakit? Maksud mak cik?” Mak cik Som mengesat air matanya yang tumpah.

“Luthfi tidak punya banyak masa lagi. Dia menghidap radang hati, Aya. Buat masa ni tak ada penderma hati yang sesuai untuk dia. Disebabkan penyakit tu dia kurus.. dan disebabkan penyakit tu dia tak mahu melukakan Aya..” Aya turut sama menangis. Ya Allah, dugaan apakah ini? Berikanlah hambamu ini seribu kesabaran!

“Tapi, apa yang dia buat ni lagi melukakan saya, mak cik!”

“Aya.. dia mahu kamu membenci dia. Dia mahu bila dia tiada lagi nanti, kamu tidak terus-terus mengenangkannya dan mencintai dia! Dia mahu kamu melupakkannya.. Dia tidak mahu kamu menjadi seperti dirinya waktu ibunya meninggalkannya. Biar dia seorang saja yang rasa perasaan sedih itu, bukan orang lain. Bukan kamu, Aya.. bukan kamu..” Aya diam sambil menyandarkan belakangnya. Dia buntu. Benarkah ini semua? Tidak mungkin wanita ini berbohong mengenai kematian.

“Aya.. Luthfi sekarang koma dan ada di hospital. Kelmarin, dia dikejarkan ke wad lepas jatuh dalam bilik air. Jenguklah dia, mungkin buat kali terakhir..” kata-kata mak cik Som berlegar dalam fikirannya waktu dia berada di depan pintu wad yang menempatkan Luthfi. Kalau dulu, dia berdepan dengan ibunya, dan Luthfi yang menjadi penguat semangatnya. Tapi, sekarang orang yang membakar semangatnya pula bakal dilawatnya. Dia tidak tahu adakah dia kuat untuk berdepan hakikat ini.

Tiada sesiapa yang menemani Luthfi waktu itu. Memang itu yang dia mahu. Aya masih belum punya kekuatan untuk berdepan dengan wanita yang mungkin ialah ibu dan kakak kandungnya. Wajah lesu Luthfi ditatap dengan linangan air mata. Dengan wayar yang penuh berselirat, mata itu masih terpejam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience